Kita seringkali mendengar perkataan ini dalam beberapa lagu patriotik kita ketika kemerdekaan, dan juga ketika mendengarkan sajak bertemakan semangat kecintaan pada negara. Istilah ini juga disekalikan dengan perkataan lain iaitu, ‘ibu pertiwi’ dalam mana-mana penulisan. Namun apakah makna pertiwi ini dari segi asal-usulnya?

Istilah ‘pertiwi’ bukan sahaja digunakan dalam bahasa Melayu, ia juga digunakan oleh beberapa bahasa lain yang serumpun bersama bahasa Melayu. Seperti contoh bahasa Jawa, istilah ‘pratiwi’ diertikan sebagai bumi. Bahasa Toba-Batak juga, ‘portibi’ yang membawakan makna yang sama, namun juga barangkali boleh dimaknakan sebagai kawasan. Namun dalam bahasa Karo-Batak, istilah ‘pertibi’, berdasarkan maklumat diberikan oleh Gonda dalam ‘Sanskrit in Indonesia’, memaksudkannya sebagai ‘this world’. Makna ini mempunyai konotasi bahawa terdapat dunia yang lain selain daripada bumi. Gonda seterusnya menerangkan makna ‘pertibi’ ini sebagai ‘sublunary world’ dan hal ini menunjukkan terdapat dunia spiritual selain daripada dunia ini yang bersifat material. Gonda mendapati perkataan ini digunakan dalam hikayat dan kerangka agama.

Walaupun demikian, terdapat keanehan bagi istilah ‘pertiwi’ ini terutamanya dalam bahasa Makasar. Istilah ‘pertiwi’ di dalam bahasa Makasar disebutkan sebagai ‘pěrětiwi’ dimaknakan sebagai ‘netherworld’ atau neraka atau diringkaskan perkataanya sebagai ‘reti’; Puwam-reti = Puwam-pěrětiwi memberikan erti pemerintah dunia neraka.

Namun apakah makna ‘pertiwi’ dalam bahasa Melayu? Adakah ia mengandungi makna yang sama sepertimana dalam bahasa-bahasa serumpun dengannya? Jika diperhatikan makna ‘pertiwi’ dalam bahasa Melayu, ia mempunyai dua makna. Pertamanya maknanya itu boleh difahami sebagai ‘tanah air’ atau ‘tempat tumpah darah’, namun ia perlu digandingkan dengan perkataan ‘ibu’ dihadapannya. Justeru itu melahirkan istilah ‘ibu pertiwi’ yang kemudiannya memaksudkan istilah patriotik ini.

Namun demikian, dalam makna pertama itu, jelas istilah ‘pertiwi’ itu tidak dapat dimaknakan dengan sendirinya tanpa ada sokongan perkataan lain. Maka istilah ‘pertiwi’ itu sendiri dapat dilihat dari makna yang kedua yang lebih mendalam mengandungi unsur kedewaan dalam ajaran Veda. Jelas di sini ‘pertiwi’ adalah nama seorang dewi yang menguasai bumi, yang dinamakan sebagai Dewi Pertiwi.

Kesemua istilah daripada beberapa bahasa ini berasal daripada istilah Sanskrit, iaitu ‘prthivī’. Dibandingkan dengan kesemua bahasa-bahasa ini, istilah Melayu lebih hampir dengan makna ‘prthivi’ dalam bahasa Sanskrit. ‘Prthivī’ di samping maknanya bumi, ia juga membawakan makna lain yang berkaitan dengan kosmogoni Veda. Hal ini boleh didapati dalam Rg Veda, yang merupakan kitab Veda tertua di antara Yajur, Samar, dan Atharva.

Istilah ‘prthivī’ dalam Rg Veda seringkali digandingkan dengan dewa langit, iaitu ‘Dyaus’. Kedua dewa ini dianggap sebagai ibubapa para dewa, dengan istilah ‘pitra’ (ayah) dan ‘matra’ (ibu). Dalam petikan ayat lain dalam Rg Veda, langit dan bumi dibahasakan sebagai ayah dan ibu. Jelas disini bahawa ‘prthivī’ dinisbahkan dengan ciri yang feminin, sepertimana dalam ungkapan Inggeris digelar sebagai ‘Mother-Earth’ atau ‘Mother of Nature’. Istilah ‘pertiwi’ yang mengertikan dewi bumi jelas kelihatannya diambil daripada istilah ‘prthivī’ dalam kitab Rg Veda pada zaman Hindu-Buddha di Alam Melayu.

-Pawaka Legendria-

RUJUKAN:

Gonda, J., (1952). Sanskrit in Indonesia. Nagpur: The International Academy of Indian Culture.

Shariff, M. M., (1994). Sejarah Islam Dari Segi Falsafah Jilid 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

GAMBAR: Patung Dewi Prthivī disimbolkan sebagai Ibu Pertiwi di Monumen Nasional Indonesia (MoNas) dengan berpakaian diraja kuno. Ehsan gambar daripada Wikipedia


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply