Hubungan di antara revolusioner Rusia dan revolusioner Turki terganggu akibat perseteruan peribadi antara dua pemimpin terkemuka Turki. Pihak Bolshevik mengambil pendekatan yang menyokong dan sangat mesra terhadap Mustafa Kemal Pasha, dan Kemal juga menunjukkan kecenderungannya yang memiliki pandangan simpati secara aktif terhadap kerajaan Soviet. Walau bagaimanapun, suasana ini telah disulitkan oleh kehadiran seorang tokoh romantis Turki, Ismail Enver Pasha.
Kedinginan yang wujud di antara Enver Pasha dan Mustafa Kemal Pasha sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru berlaku selepas tamatnya Perang Dunia Pertama, tetapi Mustafa Kemal telah memutuskan semua hubungan persahabatan dengan Enver Pasha dan seluruh bekas badan pentadbiran Empayar Uthmaniyah di bawah Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan – C.U.P (Turki Muda) seawal dari tahun 1912 lagi.
Enver diibaratkan seperti Ludendorff versi Turki. Semasa Perang Dunia Pertama, dia boleh dikatakan sebagai pemerintah sebenar Empayar Uthmaniyah yang berkuasa mutlak, bersama-sama dengan Talaat Pasha dan Djemal Pasha, mereka bertiga membentuk kuasa kediktatoran triumvirat yang kebal.
Namanya menjadi kuasa yang menggerakkan pengaruh sejauh dari Berlin ke Baghdad, dan reputasinya sebagai seorang pemimpin kuat yang menjadi impian setiap lelaki telah tersebar sejauh ke sempadan India. Kaisar Wilhelm II mendapat tahu dan merasa kagum dengan pengaruhnya hingga Wilhelm nekad mahu meneruskan hubungan sekutu walaupun Sultan Abdülhamid II telah digulingkan oleh Turki Muda.
Pada waktu ini, Mustafa Kemal Pasha hanyalah seorang pegawai tentera yang tidak pernah berminat untuk mengambil tahu tentang perkembangan politik semasa. Tetapi dia umpama seekor burung laut pemangsa yang ganas dan sangat mudah tertarik kepada sesuatu sekiranya ia mengancam dirinya. Mustafa Kemal pernah bertengkar dengan Enver semasa Perang Tripoli dan berterusan hingga ke era Perang Balkan.
Semasa Perang Dunia Pertama, setelah Mustafa Kemal berjaya membelasah teruk tentera laut diraja British dan ANZAC di zon paling berdarah di Gallipoli, perselisihan yang lebih panas antara Kemal dan Enver mula timbul berkaitan dengan masalah struktur organisasi tentera.
Kedudukan Enver Pasha selaku Menteri Perang Uthmaniyah ketika itu lebih tinggi daripada Mustafa Kemal, namun, dia melihat Kemal sebagai seseorang yang memiliki kelebihan sebagai genius ketenteraan, sebagai satu ancaman yang tidak patut disimpan, lalu Kemal pun dihantar ke medan Mesopotamia-Palestin dalam keadaan “terhina”.
Di sana, Kemal berkonflik pula dengan seorang Jeneral Jerman bernama von Falkenhayn, yang lebih mengecewakan Enver, Kemal mahu mengundurkan diri dari khidmat ketenteraan. Tetapi, Liman von Sanders, pengganti Falkenhayn, telah memujuk Mustafa Kemal untuk kembali.
Apabila barisan pertahanan tentera Sultan dimusnahkan oleh tentera British di bawah perintah Jeneral Allenby di Baitulmaqdis, Mustafa Kemal menerima mandat tugasan dari von Sanders untuk bertahan di Adana dan membentuk semula struktur organisasi tentera Uthmaniyah.
Dari sinilah, Mustafa Kemal membuka langkah pertama menuju ke masa hadapan sebagai seorang pahlawan nasionalis yang akan membebaskan Turki dari penindasan penjajah Eropah.
Seminggu sebelum gencatan senjata bermula di antara Uthmaniyah dengan Pakatan Entente Barat, Mustafa Kemal hadir di Konstantinople atas urusan untuk menerima satu lagi mandat yang penting iaitu pelantikan pegawai kanan sebagai Inspektor Jeneral Anatolia.
Sementara Kemal mendaki ke puncak kekuasaannya, Enver Pasha pula terjerumus ke dalam lembah yang penuh penghinaan. Pasukan tentera di bawah pimpinannya telah mengalami kekalahan yang dianggap sebagai kekalahan yang paling menyedihkan di pergunungan Kaukasus semasa Pertempuran Sarikamish di mana angka korban mencatat hampir keseluruhan 308,660 tentera Uthmaniyah maut, ditangkap, cedera, ataupun hilang.
Kekalahan ini menyebabkan salah satu sebab tuduhan jenayah dilemparkan kepadanya, di samping dasar-dasar politiknya dengan Jerman yang telah mengheret Empayar Uthmaniyah ke kancah perang tanpa sebab yang munasabah dianggap sebagai punca yang menyebabkan kekalahan dan kejatuhan merudum Empayar Uthmaniyah.
Sultan melucutkan jawatan Enver sebagai Menteri Perang pada 4 Oktober 1918, sementara badan pentadbiran di bawah Talaat Pasha yang lain-lain meletakkan jawatan pada 14 Oktober 1918. Pada 30 Oktober 1918, Empayar Uthmaniyah terpaksa akur dengan menandatangani Gencatan Senjata Mudros.
Dua hari kemudian, ‘Tiga Pasha’ melarikan diri dengan cara mengasingkan diri. Pada 1 Januari 1919, kerajaan baru menggugurkan nama Enver Pasha dari sebarang tugasan dan jawatan dalam tentera. Dia didakwa atas tuduhan jenayah perang dan dibicarakan in absentia (perbicaraan kes jenayah tanpa kehadiran pihak yang dituduh) dalam Perbicaraan Mahkamah Tentera Turki 1919–1920.
Beberapa tuduhan jenayah dibacakan kepadanya, “mengheret negara ke kancah perang tanpa alasan yang munasabah dan sah, mendalangi tragedi penempatan semula secara paksa terhadap etnik Armenia, dan meninggalkan negara tanpa kebenaran”, dan Enver Pasha dijatuhi hukuman mati.
Tetapi dari awal lagi Enver telah melarikan diri dan cuba untuk mencapai ke Odessa. Namun pelayarannya diganggu oleh taufan yang melanda di perairan Laut Hitam, lalu mematahkan tiang layar kapal kecilnya, hingga memaksa dia berpatah balik ke pantai Turki. Walau bagaimanapun, ketika dia sekali lagi cuba menuju ke Rusia, dia sebaliknya melencong melalui Jerman dan dalam diam-diam menaiki kapal terbangnya sendiri dalam usaha untuk sampai ke Moscow.
Malangnya, enjin pesawatnya mengalami kerosakan hingga dia terpaksa membuat pendaratan cemas di Latvia. Enver ditangkap dan menghabiskan sedikit masanya di dalam penjara di Kovno, sebelum dipindahkan ke penjara di Riga. Tidak lama kemudian, dia dibebaskan dan dihantar kembali ke Berlin.
Percubaannya yang kali ketiga untuk sampai ke Moscow akhirnya berjaya pada bulan Ogos 1920. Dia telah disambut dengan layanan yang baik di Moscow di mana dia berhasil menjalinkan hubungan dengan perwakilan dari Asia Tengah dan bekas rakan-rakan seperjuangannya semasa Uthmaniyah berada di bawah kawalan Turki Muda melalui kerajaan C.U.P.
Dia juga ditemukan dengan pemimpin Bolshevik, Vladimir Lenin. Melalui bantuan dan pengaruh besar Lenin pada waktu itu, Enver cuba menggunakan pengaruh Lenin untuk menunjukkan bahawa dia akan menyokong Gerakan Nasionalis Turki yang sedang bangkit menentang pendudukan British yang membawa masuk peneroka dan populasi Yunani ke Anatolia.
Dia cuba berhubung dengan Mustafa Kemal melalui Lenin untuk memberi jaminan bahawa dia sudah tidak ada sebarang hasrat untuk campur tangan dalam gerakan politik di Anatolia, namun Mustafa Kemal sebaliknya langsung tidak merasa takjub mahupun gentar akan pengaruh yang dibawa melalui Vladmir Lenin, dia bahkan berkeras menolak permohonan Enver untuk kembali ke Istanbul tanpa kompromi.
Sebelum Enver Pasha, beberapa nama lain yang terkenal dari Turki telah mendahului Enver ke ibu kota Soviet, antaranya ialah Djemal Pasha, rakan sepakat semasa pemerintahannya sebagai Tiga Pasha yang terkenal, kemudian oleh bapa saudaranya Halil Pasha, dan kemudian Semi Bey. Namun, apa yang tokoh-tokoh Turki terkemuka ini hendak cari di Rusia?
Semasa Kongres Rakyat Timur Baku, satu deklarasi telah dibacakan oleh Enver Pasha di mana dia meluahkan protes dengan secara terbuka menyatakan dia membenci dan menyumpah kuasa imperialisme Jerman dan pemerintah imperialis Jerman sama seperti kebenciannya terhadap imperialisme Inggeris dan pemerintah imperialis Inggeris.
Dia turut mendakwa bahawasanya dia adalah sahabat kepada ideologi dan republik Soviet, dia memilih untuk bersama-sama dengan pejuang revolusi rakyat dan akan berjuang demi kepentingan rakyat yang tertindas. Tetapi Kongres itu dan orang-orang Bolshevik tidak mempercayai Enver. Djemal lebih mudah untuk dikawal kerana Djemal tidak memiliki ambisi bersifat anti-Kemalis.
Tidak lama kemudian, British mula memerangi ideologi komunis. Bahang konflik yang aktif mula muncul antara Rusia dan Inggeris. Afghanistan pada waktu itu terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dengan Inggeris. Oleh itu, Moscow memerintahkan Djemal Pasha menumpukan lebih banyak tumpuan terhadap Kabul.
Di Kabul, Djemal telah menerima anugerah penghargaan yang tinggi, dan meninggalkan banyak kesan yang mempengaruhi Amanullah Khan. Perlembagaan Afghanistan sebahagian besarnya adalah hasil sumbangan kerjanya. Dia juga banyak membantu dalam membentuk organisasi ketenteraan Afghanistan.
Enver mempunyai cita-cita yang jauh lebih liar dan mewah berbanding Djemal. Dia gemar berimaginasi dengan membayangkan dirinya memiliki kuasa yang setanding dengan Genghis Khan yang menyapu hampir keseluruhan benua Asia. Cita-citanya tiada batasan.
Di Moscow, Enver sering memakai tarbus yang agak tinggi berwarna hitam untuk mengurangkan ukuran fizikal badannya yang rendah menjadi tumpuan orang. Dan dia gemar bercakap besar tentang isterinya yang merupakan anggota keluarga terdekat Sultan Abdülhamid II.
Pemimpin Bolshevik amat menyedari bakat menyerlah Enver sebagai pemimpin tentera dan politik. Mereka juga sedar bahawa Enver adalah seorang pengembara berpengalaman. Tetapi, seperti yang pakar kaji jenayah, Cesare Lombroso pernah menyimpulkan bahawa antara dua lelaki yang dilahirkan dengan unsur api, seorang boleh menjadi penyebab kebakaran dan yang seorang lagi mungkin boleh menjadi kapten bomba yang dihargai.
Namun, Enver merupakan seorang anti-British yang tegar kerana dia berdendam terhadap orang Inggeris yang telah meruntuhkan Uthmaniyah dan merampas sebahagian wilayah Arab. Inggeris bertanggungjawab di atas sebahagian besar kekalahan tentera Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama.
Bolshevik melalui Lenin pada mulanya ada melakukan usaha cuba mendamaikan hubungan di antara Enver dan Kemal. Namun cubaan itu gagal. Bolshevik menyangkakan mereka mampu mempergunakan Enver sebagaimana mereka pernah mempergunakan Djemal.
Berdasarkan perkiraan spekulasinya terhadap rasa kebencian Rusia yang telah sekian lama membara terhadap British dan kemungkinan akan wujud konflik baru antara Tentera Merah Moscow dengan Imperialis London, Enver datang ke ibu kota Soviet dengan harapan dia boleh meraih simpati dan sokongan Soviet.
Membentuk gandingan sebagai rakan kongsi yang baik mungkin akan menjadi realiti, seandainya cita-cita dan ambisi kuasa yang diimpikan Enver itu sesuai menurut kehendak dan rancangan Bolshevik. Tetapi satu-satunya lapangan untuk aktiviti Enver adalah di Afghanistan yang terlalu kecil untuk seorang lelaki yang bersifat seperti Enver.
Enver sangat gemar membayangkan sebuah empayar besar yang ditubuhkan melalui penaklukan segera. Dia menanan impian hendak membina semula Empayar Timuriyyah. Dia memandang dirinya sebagai pemerintah dunia yang merangkumi seluruh wilayah Turkestan di China, Turkestan di Rusia, Kazakhstan, dan Afghanistan.
Kemudian, seumpama Alexander the Great, dia membayangkan satu kemaraan besar melalui Jalur Khyber menuju ke India dan melancarkan serangan ganas terhadap Empayar British yang bertapak di India. Dia mahu menjadi Napoleon Asia.
Dia menyembunyikan cita-cita jauh di sudut hatinya. Sedang elok-elok orang Rusia masih anti-Inggeris, dia pula turut mengheret sama wilayah Soviet. Enver mula memikirkan sesuatu yang lebih jauh, dia merasakan kejayaan Empayar Pan-Turania yang mahu ditubuhkannya adalah bergantung kepada kejayaan penaklukannya yang pertama terhadap pusat dunia Turan iaitu Turki. Dia mesti menggulingkan Mustafa Kemal Pasha.
Tetapi semasa Enver sedang bersantai di Moscow selama berbulan-bulan, Rusia telah pun mengeratkan hubungan mereka dengan Mustafa Kemal. Pada awalnya, Enver Pasha cuba bertindak sebagai perantara dalam rundingan Rusia-Turki dan meletakkan dirinya dalam kedudukan sebagai perwakilan Turki yang sebenar.
“Mustafa Kemal terlalu lemah. Dia tidak dikenali orang kebanyakan sama ada dari dalam dan luar negara. Manakala, aku memiliki reputasi di seluruh Turki dan Eropah. Setiap kanak-kanak di dunia Islam mengenali nama Enver Pasha.”
Orang-orang Bolshevik tidak melayan apa yang diperkatakan Enver, mungkin kerana mereka tidak mempercayai Enver sepenuh hati, dan mereka merupakan Kemalis totok. Moscow dan Ankara semakin lama bertambah semakin rapat, dan setelah perjanjian Soviet-Anatolia ditandatangani pada 16 Mac 1921, Enver merasakan harapannya mahu menggantikan Kemal melalui sokongan Bolshevik sudah musnah.
Oleh kerana itu, pada awal musim panas tahun 1921 dia menyatakan mahu pergi ke Kaukasus. Enver menginap di Rusia sebagai seorang tetamu untuk kerajaan Kesatuan Soviet, justeru, kerajaan tidak boleh menafikan hak Enver untuk bergerak bebas. Oleh itu, Enver diberi sebuah kereta salon sebagai pengangkutan untuk meneruskan perjalanan ke selatan.
Walau bagaimanapun, sebelum dia bertolak, dia secara peribadi sempat memberikan janji dan jaminan kepada Chicherin bahawa dia tidak akan berhubung dengan kenalan-kenalan di Turki mahu pun terlibat dalam mana-mana gerakan menentang Mustafa Kemal.
Para penyokong Enver telah menyeberangi sempadan Turki untuk menyambut dan menemui dia di Batum (di Georgia moden). Pengaruh yang dimiliki Enver Pasha ternyata masih agak besar di kalangan tentera Turki, agamawan (kerana Kemal adalah penentang Pan-Islamisme dan Khalifah) dan dengan golongan kelas atasan.
Satu persidangan kongres yang menghimpunkan para penyokong Enver (Enveris) pada skala penuh berlangsung di Batum, di mana ia kemudian diketahui oleh orang-orang Rusia yang akan melaporkan kepada kerajaan Soviet bahawa kongres itu sedang merancang agenda rampasan kuasa untuk menggulingkan rejim Kemalis.
Mustafa Kemal segera menyatakan protes kepada Bolshevik, dan tidak lama selepas persidangan kongres tersebut, Enver berusaha untuk cuba memasuki sempadan Turki, namun melalui pengaruh Mustafa Kemal yang sedang meningkat di kalangan pemimpin Bolshevik, pihak berkuasa Soviet telah bertindak menghentikan dan menahan kemaraan Enver secara paksa.
Enver sangat marah dan bersumpah untuk membalas dendam, tetapi dia cuba mengekalkan dasar bersahabat secara lahiriah dengan Rusia. Namun, dia mengatakan dia tidak mahu terus kembali ke Moscow tetapi ingin singgah di Transcaspia untuk menemui Djemal Pasha yang dalam perjalanan pulang dari Kabul.
Namun apa yang dia tidak nyatakan, dia sebenarnya ingin pergi berburu di Bukhara. Semasa awal ketibaannya di kota Bukhara dia melaporkan diri dan secara rasmi kepada perwakilan Soviet, sebelum tiba-tiba dia menghilangkan diri
Tidak lama kemudian, Enver yang sepatutnya memadamkan pemberontakan Basmachi di sana, sebaliknya membina pengaruh hingga berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan Basmachi, sebuah gerakan pemberontak orang-orang Islam di Bukhara yang menentang dasar kerahan tentera Soviet yang memaksa anak-anak Muslim Bukhara menyertai tentera Soviet.
Jauh sebelum Perang Dunia Pertama meletus, sebuah gerakan politik bernama Bukhara Muda, sangat mirip dengan Turki Muda dan Afghan Muda, telah muncul. Pada tahun 1910, dan tahun 1913, pemberontakan Bukhara Muda dilancarkan terhadap emir tempatan yang merupakan wakil Tsar Rusia di Asia Tengah. Sentimen anti-imperialis Rusia yang cukup kuat telah menggerakkan Bukhara Muda.
Pergolakan ini menyebabkan khan feudal dan pihak yang pro-emir tidak berpuas hati. Mereka memangsakan ramai golongan petani yang menderita akibat kemelesetan ekonomi di sepanjang Perang Saudara kerana kurang berhubung dengan Rusia, di mana Bukhara bergantung kepada penghasilan roti dan penjualan kapas.
Para petani juga amat membenci akan semangat anti-agama yang diterapkan parti Bolshevik. Secara umumnya, gerakan yang sedang berkembang ini boleh dianggap sebagai bentuk protes yang terancang terhadap tatanan baru.
Enver Pasha kemudian menduduki posisi sebagai ketua pemberontakan Basmachi dan melancarkan perang menentang Bolshevik. Dia menyebarkan doktrin ideologi Pan-Turani terhadap para pengikut Basmachi, dan mengirim utusan ke Kabul di mana perjuangannya berjaya meraih simpati dari kalangan bangsawan yang tidak menolak pengilhakan Bukhara oleh Afghanistan.
Enver menggerakkan tentera dan menumpukan perhatian untuk merealisasikan cita-citanya. Dikatakan dia menerima dana dan bekalan senjata dari pihak British. Tetapi, sesiapa pun pasti akan meragui dakwaan itu walaupun Basmachi sememangnya dilengkapi dengan senapang dan peluru Inggeris yang sebelum itu diperoleh dari ejen-ejen yang beroperasi di Turkestan. Enver sebaliknya lebih banyak menerima bantuan dari menteri Afghanistan di Bukhara dan ribuan para sukarelawan Afghanistan.
Enver menghabiskan masa hampir setahun di Bukhara. Pergerakannya bagaimanapun menghasilkan sedikit momentum. Pembentukan semula hubungan geografi dengan Rusia Tengah berjanji untuk menamatkan keluhan utama Basmachi, maka agenda Pan-Turanianisme pun gagal berkembang.
Enver Pasha merupakan seorang jeneral Turki dengan gaya pemikiran yang dipengaruhi Jerman dan menguasai taktik ketenteraan moden. Tetapi di pergunungan Bukhara Timur, strateginya sering kali memberi kelebihan kepada Tentera Merah yang dikerah untuk menghapuskan dia.
Pada malam 14 Jun 1922, dia menyerang wilayah Derbent, wilayah yang sama pernah diserang oleh Alexander the Great dan tentera Rom berabad-abad sebelumnya. Jeneral Kakurin yang memimpin tentera Bolshevik menganggarkan bahawa Enver tidak memiliki lebih dari tiga ribu orang dan hanya ada sedikit meriam, sedangkan pihak Soviet memiliki kekuatan seramai lapan ribu orang dan menguasai kelebihan komposisi artileri yang unggul dan pasukan berkuda yang terlatih. Enver mengalami kekalahan teruk.
Kakurin mengasak pasukan Enver yang telah terpecah belah jauh ke dalam kawasan pergunungan, dan tidak lama kemudian jeneral Turki itu melencong ke arah selatan menuju sempadan Afghanistan. Di sini, terdapat banyak unit Tentera Merah yang beroperasi dalam unit-unit rondaan kecil.
Satu unit rondaan yang kekuatannya setara dengan kira-kira 100 penunggang kuda memasuki sebuah laluan sempit pada 4 Ogos 1922, lalu terlihat kelibat sekumpulan besar orang-orang Bukhara duduk di atas tanah dalam bentuk bulatan. Apabila orang Bukhara meninjau kehadiran Tentera Merah, mereka segera bertempur dan mengusir penyerang. Tetapi unit yang mengendalikan senjata artileri lapangan ringan di puncak bukit rendah telah menahan kemaraan Basmachi di teluk.
Sementara itu, satu lagi peronda Tentera Merah, yang terdengar bunyi letupan yang bergema dari gunung segera berlari ke tempat kejadian. Dikatakan, pertempuran yang berlaku itu mirip seperti pertempuran Richard the Lion Heart dan kesatria-kesatria dari abad pertengahan. Para prajurit saling melibas antara satu sama lain menggunakan kapak dan pedang, kesemuanya bergelut demi nyawa di tanah gersang itu. Akhirnya, saki baki pemberontak Basmachi telah berundur meninggalkan mayat rakan-rakan mereka di medan perang.
Ketika Tentera Merah sedang memeriksa mayat, mereka mendapati bahawa kesemua khan-khan Basmachi mengenakan jubah labuh Bukhara berwarna terang dan hiasan kepala khas Asia Tengah. Tetapi ada seseorang yang memakai kasut tentera, berseluar panjang, dan memakai jaket biru yang segak. Di jarinya terdapat cincin regalia yang bernilai tinggi. Mereka memeriksa sebarang dokumen yang ada padanya. Terdapat tiga keping surat dari Berlin yang bertulisan tangan wanita, buku nota, dan sekeping kertas yang isi kandungannya ditulis dalam bahasa Turki. Mayat lelaki itu adalah Enver Pasha.
Barangan peribadi miliknya dibawa ke Tashkent, dirakam, dan disimpan di muzium tentera. Mayatnya didapati telah dikebumikan jauh di pergunungan tanpa sebarang tanda. Dakwaan yang mengatakan bahawa kepalanya dipenggal dan diarak di sepanjang jalanan di Samarkand adalah kurang tepat seperti kebanyakan versi lain yang tidak jelas tentang episod terakhir karier romantiknya.
Menurut maklumat yang diperoleh kemudian, perhimpunan kumpulan pemberontak yang ditemui oleh peronda Soviet merupakan sambutan perayaan Kurban Bayrami (Aidiladha) yang juga menjadi tapak perjumpaan di antara khan-khan dan syeikh-syeikh Basmachi yang paling penting.
Enver pada waktu itu dipercayai telah mengambil keputusan untuk melepaskan perjuangannya dan mahu berundur ke Afghanistan tetapi ajal terlebih dahulu menjemputnya. Perjumpaan itu menjadi majlis perpisahannya bersama ketua-ketua Basmachi yang lain, dan dia sedang berbincang untuk menentukan siapa calon yang boleh mengambil alih kedudukannya. Peristiwa itu berlaku berhampiran Bald-jhan, hanya lapan puluh, kilometer dari sempadan Afghanistan.
Enver Pasha didapati telah dikebumikan di sebuah perkampungan bernama Ab-I Derya yang hari ini terletak di Tajikistan. Kuburnya kekal di sana selama lebih dari tujuh dekad, sebelum jenazahnya dibawa pulang ke Turki dan dia dimakamkan kembali di Monumen Kemerdekaan, Istanbul pada tahun 1996.
Dan ada saksi mengatakan, sebelum gugur di medan tempur, Enver Pasha masih terbiasa dengan tabiatnya setiap kali bertempur dengan menggenggam naskah al-Quran kecil miliknya sambil sebelah lagi tangannya akan mengangkat senjata.
Yakov Melkumov (Hakob Melkumian) adalah seorang pegawai tentera yang telah menyertai Perang Dunia Pertama, dan selepas Rusia melalui proses revolusi, dia menyertai Tentera Merah. Brigad yang disertai Melkumian turut terlibat semasa Tentera Merah melancarkan serangan mengejut ketika Enver telah dan pasukannya merayakan Kurban Bayrami, meninggalkan seramai 30 pengawal di ibu pejabatnya berhampiran kampung Ab-i-Derya, dekat Dushanbe.
Beberapa sumber Turki mendakwa bahawa Enver dan tenteranya menyerang pasukan Tentera Merah yang menghampiri, dan pemimpin Turki itu terbunuh oleh tembakan mesingan. Melkumian menerbitkan memoarnya pada tahun 1960, di mana dia menyatakan bahawa Enver telah berjaya melarikan diri dengan menunggang kuda dan bersembunyi selama empat hari di kampung Chaghan.
Kemudian sepasukan Tentera Merah menyusup masuk ke kampung itu dengan menyamar dan menjejaki tempat persembunyiannya, setelah itu pasukan Tentera Merah menyerbu Chaghan, dan Melkumian sendiri mengaku telah membunuh Enver dalam pertempuran.
Walaupun Enver Pasha tidak pernah berdamai dengan Mustafa Kemal Ataturk, dan tidak pernah dibenarkan pulang ke Turki, namun kepulangan jenazahnya ke Turki tidak pernah mencetuskan sebarang isu nasional, bahkan atas usaha presiden Turki hari ini, Reccep Tayip Erdogan telah mengisytiharkan Ismail Enver Pasha sebagai salah seorang tokoh Pahlawan Nasional Turki sebaris dengan tokoh-tokoh lain termasuk bapa saudaranya sendiri, Halil Pasha..
Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya dan rohnya dicucuri rahmat.
RUJUKAN:
Zürcher, Erik Jan (2014). The Young Turk Legacy and Nation Building: From the Ottoman Empire to Atatürk’s Turkey.
Kaylan, Muammer (2005), The Kemalists: Islamic Revival and the Fate of Secular Turkey, Prometheus Books.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih