Kebiasaannya, jika kita membayangkan tentang pahlawan-pahlawan Monggol pada Zaman Pertengahan, apa yang akan memenuhi layar minda kita adalah orang gasar yang liar lagi ganas, berpetualangan di padang rumput Eurasia dengan menunggang kuda sambil membvnuh manusia dengan menggunakan busur panah, lembing, kapak p3rang, cokmar, dan pedang.

Sememangnya, bayangan sebegini benar. Namun, terdapat sebuah kerajaan Monggol yang masyhur dengan keseniannya, iaitu Empayar Timurid yang berdiri pada kurun ke-14 hingga kurun ke-15.

Walaupun warga Timurid ini turut digeruni sebagai pahlawan yang gagah, mereka juga memelihara dan mempengaruhi kebudayaan dan kesenian di kawasan-kawasan yang dikuasainya. Wilayah naungan Timurid meliputi seluruh Parsi (kini Iran) dan kebanyakan wilayah Asia Barat dan Asia Tengah. Jajahan empayar ini amat besar. Pun begitu, keluasannya hanya meliputi sebahagian sahaja daripada empayar milik Genghis Khan.

TIMURLANE – PENAKLUK AGUNG TERAKHIR DARI MONGGOL

Khan pertama bagi Empayar Timurid adalah Timur atau Temur. Beliau berasal-usul dari keturunan Monggol-Turki, justeru beliau dianggap sebagai penakluk agung terakhir dari bangsa Monggol. Nama ‘Timurid’ diambil secara langsung daripada namanya. Beliau bertanggungjawab membentuk semula lanskap politik dan kebudayaan di wilayah-wilayah kekuasaannya, iaitu dari Kaukasus hingga ke utara India.

Dalam pemerintahannya, Timur banyak meneladani Genghis Khan. Beliau malah turut mendakwa dirinya berketurunan Khan Agung itu, walau hakikatnya, dakwaan itu tidaklah benar. Nama timangan Tamurlane atau Timur the Lame mula meniti bibir masyarakat Eropah semenjak beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki dalam sebuah pertempuran, di mana kecederaan ini membuatkannya tempang.

Timur dilahirkan pada tahun 1336. Beliau memulakan kariernya dengan menumpahkan kesetiaan kepada Tughluq Timur, si khan bagi kerajaan Jagataid. Seiring peredaran masa, namanya semakin masyhur. Ketika berusia 34 tahun, beliau berjaya menakluki Transoxiana dan kemudian berhasil menguasai Iran, Mesopotamia, Georgia, dan Armenia pada usia 48 tahun. Pada tahun 1389 hingga 1395, Timur memerangi Orda Emas (Golden Horde) dan berjaya melemahkannya. Sebagai maklumat tambahan, Orda Emas yang ditubuhkan oleh Batu Khan (cucu kepada Genghis Khan) menguasai Asia Selatan hingga ke Eropah.

Memasuki tahun 1398, Tamerlane menye3rang India, menakluk Delhi dan membvnuh warga kotanya. Beliau melanjutkan kempen ketenteraannya pada tahun 1401 dengan merampas Syria dari tangan Kesultanan Mamluk. Pada tahun berikutnya pula, beliau menundukkan Sultan Beyazid I dari Uthmaniyah. Namun, itulah kempen terakhir buat penakluk agung itu kerana tepat pada tanggal 18 Februari 1405, Timur mangkat di Kazakhstan semasa sedang mengetuai kempen ketenteraan ke atas China.

Lukisan pada pertengahan 1490an oleh seorang pelukis ulung dari era Renaisans Timurid, Kamal-ud-Din Bihzad, yang menggambarkan suasana pembinaan kubu Kharnaq

KONFLIK YANG MENYUSULI KEMANGKATAN TIMUR

Zuriat keturunan Timur kemudiannya bergelut dengan perebutan kuasa yang secara efektif memecahbelahkan empayar. Pun begitu, Renaisans Timurid yang menaungi kebudayaan dan kesenian empayar itu berjaya mengekalkan signifikasi Timurid sebagai salah satu empayar paling maju di Eurasia pada era pra-moden.

Secara keseluruhan, wilayah kekuasaan Empayar Timurid hanya meliputi bahagian barat Empayar Monggol yang dibangunkan oleh Genghis Khan dan cucu-cicitnya. Empayar Timurid sempat berdiri selama 150 tahun, namun pengaruhnya di India terus hidup sehingga kini.

RENAISANS TIMURID: KEMUNCAK KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ISLAM

Sejarahwan mengiktiraf kesenian Timurid sebagai salah satu kesenian paling agung dalam sejarah Islam. Kebudayaan, kesenian, dan sosiopolitik Empayar Timurid berupaya mempengaruhi negara-negara di sekelilingnya, dan sesudahnya. Ia meninggalkan pengaruh yang cukup mendalam pada Uthmaniyah di Anatolia, Safawiyah di Iran, dan Mughal di utara India. Di belahan bumi India misalnya, cicit kepada Timur yang bernama Zahir al-Din Muhammad Babur, bertanggungjawab menubuhkan Dinasti Mughal pada tahun 1526.

Walaupun Timur terkenal dengan kekejamannya di medan p3rang dan perilaku tentera-tenteranya pula menambahkan lagi garam atas luka tersebut, beliau tanpa dapat dinafikan merupakan seorang pencinta ilmu dan kesenian. Empayar Timurid yang memerintah Transoxiana dan Iran sehingga awal kurun ke-16 Masihi diperakui sebagai pelindung kesusasteraan Turki dan Parsi. Cicit beliau yang bernama Husayn Bayqara sebagai contoh, giat dalam mendanai Bizhad si pelukis dari Parsi, Jami si penyair sufi, dan Alisher Nava-i si polimath masyhur. Malahan, Husayn Bayqara sendiri merupakan seorang negarawan ulung.

Peta Empayar Timurid sekitar tahun 1400


Sememangnya Timur dan keturunannya bukanlah keturunan Genghis Khan. Beliau sengaja membuat dakwaan sedemikian demi meraih autoriti, prestij, dan keabsahan ke atas pemerintahannya. Walaupun beliau seringkali melontarkan manifesto mahu mengembalikan semula kegemilangan Khanate Agung, hakikatnya pemerintahannya cuma meliputi sebahagian kecil sahaja daripada keluasan sebenar empayar Genghis Khan.

Pun begitu, dengan berakhirnya kekuasaan Empayar Timurid pada kurun ke-16 Masihi maka berakhirlah juga dominasi Monggol di rantau Eurasia. Sebagaimana yang berlaku ke atas Daulah Umayyah di Andalusia di mana wilayah-wilayah pecahannya menjadi taifah dan emiriyah, negara-negara kecil yang menggantikan Timurid turut dikenali sebagai emiriyah-emiriyah Timurid.

TERJEMAHAN:

Mark Miller. (27 Oktober 2018). Timurid Empire’s Arts and Culture Influenced Much of the Known World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/timurid-empire-s-arts-and-culture-0010908


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.