Walaupun mempunyai signifikasi sejarah dan kaya dengan pelbagai warisan budaya, Tibet merupakan salah sebuah rantau yang seringkali dipandang sepi dalam lingkungan sejarah moden. Suatu ketika dahulu, rantau tersebut unggul dengan sebuah empayar merdeka yang menaungi wilayah yang cukup besar – diperintah oleh raja-raja yang cekap dan dilindungi oleh kekuatan ten-tera yang ampuh.

Pada hari ini, rantau bersejarah Tibet merangkumi berapa buah negara seperti India, China, Bhutan, dan Nepal. Dataran Tingginya berkeluasan 1,000 km dari utara ke selatan dan 2,500 km dari timur ke barat, sekali gus menjadikannya dataran tinggi paling besar di dunia. Tambahan, ia diapit oleh dua sempadan semula jadi; iaitu Gurun Taklamakan di utara dan Banjaran Himalaya di selatan. Nama Tibet mungkin paling sinonim dengan Gunung Everest yang berketinggian 8,848.86 m, sekali gus meraihkannya julukan ‘Bumbung Dunia’.

Rupa bumi di rantau Tibet agak kasar dan sebahagian kawasannya tidak sesuai untuk dibangunkan petempatan. Bagaimanapun, keadaan sedemikian sama sekali tidak menghalang rantau Tibet untuk menjadi kampung halaman bagi pelbagai kumpulan etnik. Kebanyakan mereka adalah penternak-nomad yang meneruskan tradisi-tradisi lama.

Waktu berganti waktu. Lalu, sebuah kebudayaan Tibet yang unik pun perlahan-lahan terbentuk. Kesatuan identiti sebegini kemudian mendorong kepada kemunculan Empayar Tibet. Secara kasar, empayar tersebut wujud pada tahun 618 hingga 824 Masehi. Tempoh perdananya pula dikecapi sekitar 780an.

Empayar Tibet bertapak di Dataran Tinggi Tibet, diapit oleh Gurun Taklamakan di utara dan Banjaran Himalaya di selatan

NAMRI SONGTSEN MELETAKKAN BATU ASAS PENUBUHAN EMPAYAR TIBET

Mengulangi skrip yang hampir serupa dengan kebanyakan empayar di dunia, pembentukan Empayar Tibet bermula dengan pemberon-takan. Kesemuanya bertitik-tolak di Istana Taktsé. Menurut Hikayat Tibet Lama, kisah pembentukan Empayar Tibet dirintis oleh seorang raja bernama Tagbu Nyazig yang menen-tang dan menundukkan pemerintahan Gudri Zongpoje. Gudri dipercayai sebagai raja Tibet dan vassal kepada Empayar Zhangzhung.

Walaupun kandungan Hikayat Tibet Lama bercampur-baur antara fakta dan legenda, sejarahwan menyimpulkan bahawa kekacauan politik sememangnya berlaku di Tibet pada waktu itu. Sebagaimana biasa dalam suasana huru-hara, yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Yang duduk di tepi pula, pantas menyambar tali kendali – mengisi kekosongan kerusi politik tertinggi.

Run-tuhan Istana Taktsé

Individu yang tampil mere-but kesempatan ini dikenali sebagai Namri Songtsen. Bersama dokongan penuh dari seluruh klan beliau, Namri Songtsen berjaya melebarkan pengaruh dan kekuasaannya, terutama di bandar Lhasa moden. Namun, roda takdir terus berputar. Sejarah mencatatkan bahawa beliau tewas di tangan pembu-nuh sekitar tahun 618 M.

Pembu-nuhan tersebut secara tidak langsung mencerminkan suasana politik yang membelenggu Tibet ketika itu – pergelutan kuasa, pere-butan takhta, dan pemban-taian kerabat diraja. Bagaimanapun, batu asas yang diletakkan oleh Namri Songtsen cukup teguh dan kukuh. Wilayah yang ditinggalkannya terus bertahan dan seiring peredaran waktu, ia berkembang mapan menjadi sebuah empayar.

Sebelum pergi ke negeri abadi, Namri Songtsen sendiri sempat menempah kerusinya sebagai pemain utama dalam panggung sejarah menerusi pengutusan dua rombongan delegasi ke istana Dinasti Sui pada tahun 608 dan 609 Masehi. Secara efektif, pemerintahannya diiktiraf dan monarkinya kini menjadi pemerintah yang absah.

Lukisan menggambarkan sosok figura Songtsen Gampo, putera Namri Songtsen merangkap pengasas Empayar Tibet

SONGTSEN GAMPO – MENGASASKAN EMPAYAR TIBET PADA USIA 13 TAHUN

Mu-suh Namri Songtsen mungkin berhasil meragut nyawanya, namun tidak legasinya. Putera beliau yang bernama Songtsen Gampo serta-merta memadamkan cubaan meram-pas kuasa. Menurut catatan-catatan lama, Songtsen Gampo baru sahaja menginjak usia 13 tahun sewaktu bapanya ma-ti diracun.

Namun, usia bukanlah satu-satunya kayu bagi mengukur kematangan dan kesiapsiagaan seseorang individu. Sebelia mana pun usianya, Songtsen Gampo tampil mewarisi takhta dan berhasil menundukkan ancaman yang memata-matai kerajaannya.

Nama beliau tidak hanya unggul sebagai maharaja Tibet yang pertama. Songtsen Gampo juga diberikan kredit atas pelbagai inovasi dan pembangunan yang banyak memberi manfaat kepada rakyat jelata. Sempadan empayar diperluas, dan sesudah seluruh Dataran Tibet jatuh di tangannya, Songtsen Gampo menumpukan perhatian kepada pembangunan budaya pula.

Dicatatkan, beliau mengutus ketua penasihatnya yang bernama Thonmi Sambhota ke India bagi mendalami ilmu pengetahuan di sana. Tujuannya cuma satu – pulang nanti, ciptakan satu sistem tulisan yang sesuai dengan bahasa pertuturan di Tibet. Sistem tulisan tersebut kelak dibentuk berdasarkan pengaruh tulisan Bhrami dan Gupta.

Sistem tulisan Tibet dihasilkan sekitar 650 Masehi, pada era pemerintahan Songtsen Gampo

Dengan adanya sistem tulisan tersendiri, mereka pun dapat menghasilkan karya sastera pertama di Tibet. Begitu juga dengan catatan sejarah dan dokumen penting istana. Songtsen Gampo kemudian memindahkan pusat pemerintahannya ke Lembah Kyichu yang pada hari ini menjadi tapak bagi bandar Lhasa.

Sepanjang pemerintahannya, Empayar Tibet berdiri megah sebagai kuasa serantau. Mereka tidak hanya membawa masuk barang dagangan. Tetapi juga kemajuan budaya dan teknologi dari India, Nepal, dan China. Biara Jokhang di Lhasa yang terkenal sebagai pusat keagamaan terpenting di Tibet merupakan antara pusaka tinggalan beliau. Songtsen Gampo turut bertanggungjawab menggubal kod perundangan empayar, selain menubuhkan pasukan ten-tera diraja yang tersusun.

Biara Jokhang di Lhasa yang dianggap sebagai pusat keagamaan Buddha terpenting di Tibet dibina pada era Songtsen Gampo

Saiz dan kekuatan pasukan ten-teranya banyak membantu beliau menempa nama di persada sejarah. Kempen demi kempen dijalankan bagi meneguhkan kedudukannya di rantau tersebut. Beliau sempat mengetuai se-rangan ke atas utara Tibet dan menundukkan suku Sumpa.

Pada tahun 635 dan 636 Masehi pula, Empayar Tibet menggem-pur Kerajaan Tuyuhun yang terletak di sekitar tebing Tasik Koko Nur. Se-rangan ini penting buat Gampo. Ia bakal meletakkan kekuasaannya di beberapa laluan perdagangan penting ke China. Takdir pun seakan-akan menyebelahinya.

Tangga kekuasaan terus didaki. Mang-sa beliau kali ini ialah wilayah-wilayah Dinasti Tang yang terletak jauh di sempadan Dataran Tibet. Tepat pada 635 hingga 638 Masehi, dua kuasa serantau itu saling bercakaran. Kemenangan, sekali lagi berpihak kepada Gampo.

Ibarat bulan jatuh ke riba, Gampo dikahwinkan dengan puteri China yang bernama Wencheng. Perkahwinan ini berlaku pada tahun 640 Masehi. Ia bukan sahaja tahun yang bermakna buat Gampo, tetapi juga seluruh Tibet. Hadirnya Wencheng menjadi titik mula kemasukan Buddhisme di sana, yang secara tidak langsung mengikat lagi jalinan identiti antara dua bangsa.

Lukisan menggambarkan Songtsen Gampo dan Wencheng yang mempunyai pengaruh China

MENGECAPI ZAMAN PERDANA

Memasuki tahun 645 Masehi, Songtsen Gampo dengan bantuan saudara perempuannya berjaya menguasai Kerajaan Zhangzhung di sempadan barat Tibet. Penak-lukan ini secara langsung meletakkan seluruh Dataran Tibet di dalam genggaman Gampo. Namun empat atau lima tahun kemudian, maharaja agung Tibet itu pergi menyahut panggilan bumi.

Takhtanya diambil-alih oleh cucu beliau yang bernama Mangsong Matsen. Langkah bendol dalam pewarisan takhta ini berlaku kerana putera Gampo mangkat lebih awal. Pada era pemerintahan Mangsong, Empayar Tibet terus menikmati perkembangan. Beliau berjaya menyerap sepenuhnya wilayah Kerajaan Tuyuhun sekitar tahun 667 Masehi. Tiga tahun kemudian, Mangsong menak-luki Kerajaan Khotan yang menguasai kedudukan strategik di Laluan Sutera.

Sekitar tempoh masa yang sama ini jugalah bermula percakaran panjang dengan Dinasti Tang. Empayar Tibet dengan keampuhan ten-teranya berhasil memenangi keadaan, mengusir pengaruh China dari Lembangan Tarim, dan menguasai wilayah berkenaan.

Bayangan pemakaian ten-tera Tibet

Bagaimanapun, situasi berubah seratus lapan puluh darjah sesudah kemangkatan Mangsong Matsen. Kemakmuran bertukar menjadi kekacauan. Takhta yang diambil-alih oleh Tridu Songtsen si putera kecil Matsen hanya berfungsi pada nama semata-mata. Beliau dijadikan sebagai maharaja boneka, dengan kuasa sebenar berada dalam tangan maharani yang memangku.

Pemberon-takan demi pemberon-takan kecil di Zhangzhung tampil menunjukkan belang. Kon-flik dengan Dinasti Tang pula tidak menunjukkan kesudahan. Kekuasaan di Lembangan Tarim habis bertukar tangan. Keamanan antara kedua-dua belah pihak (China-Tibet) hanya dikecapi setelah Tang tewas pada tahun 696 Masehi.

Empat tahun kemudian, perdamaian diteruskan antara Empayar Tibet dan Dinasti Zhou. Tempoh tersebut dimanfaatkan oleh Tridu Songtsen untuk meme-rangi Kerajaan Nanzhao di timur laut. Namun, tuba binasa, ikan pula tak dapat. Kempen tersebut berakhir dengan nyawa Tridu terkor-ban, sekitar tahun 704 Masehi.

Dekad-dekad yang menyusul menyaksikan Empayar Tibet mengharungi corak suasana yang serupa: Maharaja mangkat dan takhta digantikan oleh putera yang masih kecil (Tride Tsuktsen). Sekali lagi, mereka terjerumus ke dalam kancah persengketaan dengan Empayar China.

Empayar Tibet terkenal dengan kegagahan pasukan ten-teranya, yang berkali-kali mencabar kedudukan China

Sekitar masa yang sama, yakni lewat 720an, belahan dunia timur menyaksikan kemunculan drastik Dinasti Umayyah. Bahang kon-flik mereka dengan konfederasi Turgesh-Turki dapat dirasakan hingga ke Tibet dan China. Dalam pergelutan tersebut, Tibet menyekutukan diri dengan Turgesh sambil China berpihak kepada Kekhalifahan Umayyah. Tahun berganti tahun, pepe-rangan berlanjutan tanpa kesudahan muktamad.

Menjelang tahun 790 Masehi, yakni sekitar pemerintahan Trisong Detsen (putera Tride Tsuktsen), Empayar Tibet sekali lagi berupaya meneguhkan pengaruh di Dataran Tibet dan Asia Tengah. Dengan China terpaksa berhadapan dengan pergelutan dalaman, Empayar Tibet seakan-akan diberi ruang untuk menghela nafas dan menikmati semula tempoh perdananya yang telah lama tiada.

Lukisan menggambarkan sosok figura Trisong Detsen

TUMBANGNYA EMPAYAR TIBET

Sejarah sentiasa mengajarkan kita tentang satu perkara; setiap yang jatuh akan bangun dan setiap yang bangun pasti akan jatuh. Sekitar tahun 820 Masehi, Empayar Tibet masih meniti masa-masa kemuncaknya sebagai kuasa serantau. Namun, segalanya tamat dalam dekad yang singkat.

Era pemerintahan Langdarma menyaksikan empayar tersebut digegakgempitakan oleh kekacauan di wilayah-wilayah sempadan. Tidak ketinggalan juga perbalahan agama antara paksi pro-Buddha dan pro-Bon. Suasana menjadi kacau-bilau.


Peta wilayah naungan Empayar Tibet pada kurun ke-8 Masehi

Tahun 842 Masehi, Langdarma ma-ti dibu-nuh. Isu pewarisan takhta berubah menjadi sengketa hebat sesama kerabat diraja. Pe-rang saudara berskala besar pun tercetus. Api huru-hara disemarakkan lagi oleh pembe-rontakan yang dibangkitkan oleh kerabat-kerabat kecil Tibet.

Apa yang menyusul, tidak lain adalah perpecahan empayar. Wilayah demi wilayah mengisytiharkan kekuasaan mandiri dan membentuk kerajaan-kerajaan kecil. Pemerintahan pusat di kota diraja Tibet pula berganti dinasti. Ibarat kepingan-kepingan domino, segalanya run-tuh – meranapkan kegemilangan yang dibina selama hampir 200 tahun.

TERJEMAHAN
Aleksa Vučković. (10 Februari 2021). The History of the Tibetan Empire and Its Dazzling Rise to Prominence. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.