“Kaum Khazar merupakan suatu kewujudan yang luar biasa pada zaman pertengahan. Dengan terdiri dari puak-puak nomad yang bersifat lasak, mereka memiliki segala kelebihan yang diperlukan oleh sesebuah kuasa membangun; pentadbiran yang tersusun, perdagangan yang luas dan mewah, dan pasukan tentera yang kuat. Pada zaman itu, zaman di mana kefanatikan dan kejahilan mendominasi dunia Eropah Barat, Khazar meraih kemasyhuran berkat keadilan dan sifat toleransinya.

 Orang-orang yang ditindas hanya disebabkan anutan agama berbondong-bondong berpindah ke Khazar. Bagaikan bintang yang bergemerlapan, ia menyinari ufuk dunia Eropah yang suram, dan kemudian sirna tanpa meninggalkan sebarang jejak kewujudan.” – Vasili V. Grigoriev, di dalam eseinya yang bertajuk “O dvoystvennosti verkhovnoy vlasti u khazarov” (1835), yang dicetak semula di dalam buku kompilasi tahun 1876 yang berjudul Rossiya I Aziya.

Khazar merupakan sebuah masyarakat separa-nomad yang bertutur dalam Turki. Mereka membentuk sebuah empayar perdagangan yang besar di wilayah utara Caucasus pada abad ke-7 Masihi. Merentas abad, mereka melebarkan kuasa hingga ke Ukraine, Crimea, selatan Russia, barat Kazakhstan dan barat laut Uzbekistan.

Syiling Khazar, kononnya ‘syiling Musa’, dari Spilling Hoard di Gotland Museum


ASAL-USUL YANG TIDAK JELAS

Asal-usul Khazar tidak dapat dipastikan secara jelas. Begitu juga dengan tarikh ketibaan mereka di wilayah Volga-Caucasus. Khazar dipercayai secara umum sebagai etnik Turki dan mungkin berhijrah ke kawasan tersebut dari Asia Tengah. Mereka turut dipercayai sebagai sebahagian daripada Empayar Hunnic yang berkuasa pada abad ke-5 Masihi; sebagai puak Akatzirs yang disebutkan oleh diplomat dan sejarahwan Byzantine yang bernama Priscus dari Panium.

Menjelang separuh kedua abad ke-6 Masihi, Khazar berada di bawah pemerintahan Khaganate Turki Barat. Apabila khaganate tersebut bubar pada pertengahan abad berikutnya, Khazar menubuhkan khaganate mereka yang tersendiri dengan men4kluk beberapa buah puak Bulgar, Caucasian dan Slavic yang berhampiran.

Khazar pada asalnya merupakan kaum yang hidup secara nomad. Setelah men4kluk puak-puak tersebut, mereka tetap meneruskan budaya bercucuk tanam di samping mengadaptasi gaya hidup secara tetap. Tambahan lagi, Khazar turut terlibat dalam aktiviti perdagangan, yang kelak membenarkannya berkembang menjadi sebuah empayar perdagangan yang kuat.

Benteng Khazar di Sarkel (Belaya Vyezha, Russia). Gambar dari atas berkenaan usaha eksvakasi yang dijalankan oleh M. I. Artamanov pada 1930an

 

P3RANG ARAB-KHAZAR

Tidak lama selepas penubuhan Khaganate Khazar, mereka terlibat dalam konflik dengan Kekhalifahan Rashidin. Sebelum kemangkatan Khalifah Umar pada tahun 644M, beliau sempat mengarahkan pasukan tenteranya agar berangkat ke arah utara memasuki Caucasus. Namun, hanya pada tahun 652/653 barulah berlaku pertempuran besar pertama di antara Khazar dan Arab yang berlangsung berhampiran kota Balanjar.

Khazar berjaya menangkis s3rangan pihak musuh dan komander Arab yang bernama Abd ar-Rahman ibn Rabiah terkorban di medan tempur. Pihak Arab melanjutkan pep3rangan mereka menentang Khazar dan s3rangan demi s3rangan yang mereka lancarkan pada akhirnya memaksa Khazar berundur jauh ke utara Caucasus.

Walau bagaimanapun, kemenangan-kemenangan awal yang diraih oleh Khazar ke atas Arab berjaya menghalang perluasan kuasa Kekhalifahan Rashidin ke utara, memasuki Eropah Timur.

Khazar mengekalkan hubungan yang mesra dengan kuasa besar lain pada waktu itu, iaitu Empayar Byzantine. Pada abad ke-7 Masihi, Khazar membekalkan bantuan ketenteraan kepada Maharaja Heraklius dalam kempennya memerangi Empayar Sassanid. Tambahan lagi, dua orang maharaja yang memerintah pada abad ke-8 iaitu Justinian II dan Constantine V, masing-masing mempunyai isteri berwarga Khazar.

Selain itu, kehadiran Khaganate Khazar juga secara tidak langsung berperanan melindungi Byzantine daripada ancaman puak nomad di utara Caucasus, memandangkan kedudukan Khazar menjadikannya sebagai wilayah penampan di antara dua kekuasaan tersebut.

Khazar mengalami pertumbuhan ekonomi menerusi aktiviti perdagangan yang dijalankan, berkat kelebihan geografi yang mereka miliki. Laluan timur-barat yang menghubungkan antara Timur Jauh dengan Empayar Byzantine, serta laluan utara-selatan yang menghubungkan antara puak-puak Slavic dengan Kekhalifahan Arab, masing-masing perlu melalui wilayah Khazar sekaligus menuntut mereka agar membayar cukai yang dikenakan ke atas kafilah-kafilah yang lalu-lalang. Hal ini memberikan sumbangan yang besar terhadap lonjakan ekonomi Khaganate Khazar.

Rus sedang memperdagangkan hamba dengan Khazar. Lukisan tahun 1913 berjudul “Perdagangan di Kem Slavik Timur” oleh Sergei Ivanov

KHAZAR MEMELUK AGAMA JUDAISM

Tidak dinafikan lagi bahawa Khazar sering berhubung dengan agama Kristian dan Islam menerusi pertembungan mereka dengan Byzantine dan Arab serta aktiviti perdagangannya dengan para pedagang dari kedua belah pihak itu. Pun begitu, Khazar tidak menganut kedua-dua agama itu secara rasmi.

Sekitar abad ke-8 Masihi, agama Judaism mula tersebar secara meluas dalam kalangan masyarakat Khazar berkat kemasukan kaum Yahudi ke wilayah itu. Pada permulaan abad ke-9 Masihi, Judaism mula diangkat sebagai agama rasmi Khaganate Khazar sekaligus menjadikannya sebagai zon neutral antara dua kekuasaan yang bersengketa, iaitu Byzantine-Kristian dan Arab-Muslim.

Walau bagaimanapun, Khazar mengamalkan sikap toleransi terhadap agama-agama lain dan penganut kepercayaan-kepercayaan lain dapat hidup dengan aman di bawah kekuasaan mereka.

Piring logam dengan simbol bintang berbucu enam dari Khanate Khazar,
kadangkala ditafsir sebagai Yahudi namun dilihat sebagai barang perbomohan atau pagan.
Bentuk bulat piring ini mungkin mewakili matahari, dan enam bucu itu pula
mungkin mewakili sinaran matahari


Menjelang abad ke-10, Khaganate Khazar mula mengalami kejatuhan. Di wilayah utara dan barat, sebuah lagi kaum beretnik Turki, iaitu Pechenegs, mula mendaki tangga kuasa. Tambahan lagi, puak-puak Slavik Timur kini bersatu di bawah kepemimpinan Kievan Rus.

Pada tahun 965 Masihi, Sviatoslav I yang merupakan Putera Mahkota Kiev bertindak melancarkan kempen memerangi Khazar. Beliau berjaya menewaskan mereka dan menamatkan kekuasaan Khaganate Khazar. Lebih menarik untuk dikongsikan, sehingga kini tidak dapat dipastikan sama ada bahasa Khazar masih kekal selamat ataupun tidak. Maklumat bertulis berkenaan mereka hanya didapati melalui sumber-sumber Byzantine dan Arab.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (29 Disember 2018). The Khazars: A Forgotten Medieval Empire that Ruled the Northern Caucasus. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/khazars-0011246


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.