Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Kronikel Dunia

Empat Pelindung Alam Menurut Mitologi Cina

Sedang
asyik diri ini membelek dan menyelak manga atas talian bertemakan perang zaman
saudara Jepun Meiji, terserempak pula dengan lukisan seekor harimau putih
berbelang hitam yang diangkat menjadi nama unit tentera yang sedang bertempur
itu. Unit yang dikatakan itu ialah unit Byakkotai (白虎隊) atau dalam bahasa Melayu dipanggil,
Unit Harimau Putih.

Unit
ini dibarisi oleh 305 Samurai Aizu yang berumur belasan tahun, bertempur bagi
pihak Keshogunan Tokugawa yang terus diasak hebat oleh pihak Maharaja. Tidak
semena-mena, timbul rasa ingin tahu dalam lubuk hati ini mengenai asal-usul
harimau tersebut. Bagaimana pula dengan cerita unit Byakkotai itu? Mungkin
dalam artikel yang lain.

Manga Byakkotai Seibu Kaitakutan

Selain
itu, teringat pula kisah novel fantasi Cina popular yang bertajuk ‘I Shall Seal
the Heavens’. Satu novel yang sangat menarik dan menggoncang jiwa raga bagi
mereka yang meminati cerita fantasi dan mitologi Cina. Apa yang menarik ialah,
ada satu karakter dalam novel ini yang bernama Patriarch Reliance. Karakter ini
merupakan seekor kura-kura yang mengangkut sebuah bandar di atas cengkerangnya.
Ketepikan dahulu logiknya di situ. Nama pun novel fantasi. Dalam cerita ini, kura-kura
ini membantu watak protagonis dalam meningkatkan kebolehannya memperdayakan
orang lain.

Baru
sebentar tadi, terbaca pula mengenai kewujudan satu pintu pagar abad ke-8 yang
digelar Suzakumon di bandar purba Nara. Bandar Nara ini pernah menjadi ibu
negara Jepun pada suatu masa dahulu, jauh lebih awal daripada Kyoto dan Tokyo.
Bayangkan, sebuah pintu pagar yang dibina 1300 tahun yang dahulu, sudah tentu
mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi.

Suzakumon di Dataran Hiroba, Nara

Selepas penat menggeledah maklumat yang bersepah di internet, rupanya Suzakumon ini diilhamkan daripada seekor makhluk berupa burung berapi. Makhluk ini saling tak tumpah seperti burung Phoenix dalam filem dan novel Harry Potter walaupun ada sedikit perbezaan dari segi konsep.

Jadi,
apa kena mengena dengan Empat Pelindung Alam? Sebenarnya, ketiga-tiga haiwan
yang telah disebutkan sebelum ini merupakan ahli dalam kumpulan Empat Pelindung
Alam yang akan dihuraikan sebentar sahaja lagi.

Baik, dalam mitologi Cina dan kepercayaan purba kala masyarakat Asia Timur (yakni, termasuklah Jepun, Korea dan Vietnam), terdapat empat makhluk mistik yang digelar Si Xiang ataupun Empat Simbol. Empat Simbol ini berasal daripada ilmu kaji buruj bintang dan astronomi Cina purba.

Empat Simbol ini pula diwakili oleh empat makhluk yang bertindak sebagai pelindung alam. Makhluk-makhluk ini ialah Naga Biru dari alam Timur, Burung Vermilion dari alam Selatan, Harimau Putih dari alam Barat dan Kura-Kura Hitam dari alam Utara.

Pada tahun 1987, kulit cengkerang dan tulang yang membentuk imej Naga Biru dan Harimau Putih telah dijumpai di suatu kawasan perkuburan di Henan, China. Tulang tersebut dipercayai berasal dari zaman Neolitik iaitu lebih kurang 6000 tahun yang lalu. Penemuan ini adalah salah satu bukti kepada kewujudan kepercayaan Empat Simbol sejak zaman dahulu kala lagi.  

  • Burung Vermilion – Pelindung Alam Selatan

Ilustrasi Burung Vermilion. Mengingatkan kepada filem Mockingjay betul?

Burung Vermilion ataupun nama lainnya,
Suzaku, Zhu Que, Chuchue ditugaskan sebagai pelindung bahagian Selatan,
khususnya angkasa raya Selatan. Suzaku ialah seekor burung gergasi yang
berwarna merah, menjadikan api sebagai elemen utamanya. Selaku salah satu
figura mitologi dalam kepercayaan Taoisme (yang banyak mempengaruhi bidang
mitologi Cina keseluruhannya), Suzaku berkuasa dalam daerah Selatan. Keempat-empat
pelindung ini adalah figura penting dalam kepercayaan Taoisme.

Selain mempunyai dan menjadi lambang
kepada unsur api, Suzaku juga sinonim sebagai lambang musim panas (summer) dan planet Marikh. Menariknya,
Suzaku mewakili nilai kesopanan (propriety)
serta berupaya mengawal haba dan api. Agak ironik sebenarnya di situ kerana api
selalu dikaitkan dengan sifat panas baran dan bukannya kesabaran. Jauh sekali
kesopanan. Mungkin juga falsafahnya di sini ialah, disebabkan api itu sendiri
ialah sifat semula jadi Suzaku, maka sifat panas baran itu sudah berjaya
dikuasai sepenuhnya. Bak kata peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa.

Permainan Final Fantasy Type-0: Bendera Negara Rubrum yang diinspirasikan daripada Suzaku.

Berdasarkan apa yang pernah dinyatakan di atas mengenai Nara, hakikatnya, pintu pagar Suzakumon juga berada di ibu kota purba Jepun seperti Fujiwara-kyo dan Heian-kyo. Begitu signifikan sekali kepercayaan mitologi ini sehingga dibina oleh Maharaja Jepun purba di setiap ibu kota mereka. Selain nilai kesopanan, Suzaku juga menjadi simbol kesetiaan (fidelity), tekad (will), kebaikan (kindness) dan kebangsawanan (nobility).  

  • Harimau Putih – Pelindung
    Alam Barat

Harimau
putih atau nama alternya, Byakko dan Baifu ditugaskan sebagai pelindung
bahagian Barat. Makhluk Byakko yang berupa seekor harimau putih ini mempunyai
kebolehan mengawal unsur angin. Acap kali 
juga Byakko dikaitkan dengan unsur besi, musim luruh (autumn) dan planet Zuhrah.

Byakko dalam Permainan Megami Tensei

Dalam
mitos terdahulu, harimau putih ini berperanan sebagai pengawal and pemelihara
sesuatu tempat atau individu. Selalunya, tempat atau individu tersebut
mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kepercayaan Taoisme. Sebagai contoh,
tapak persemadian panglima perang atau makam orang-orang besar, pemerintah
dulu-dulu selalunya mesti ada kepingan atau sebatian besi yang diletakkan di
atas kubur tersebut. Tidak kurang daripada itu, akan dibuat pula upacara
keagamaan menyembah dewa harimau.

Byakko
juga menjadi lambang kepada keberanian (bravery)
dan kebenaran (righteousness). Hari
berganti hari, makhluk harimau putih ini semakin lama semakin popular pula
apabila diadaptasi ke dalam permainan video, drama dan filem. Permainan bersiri
Final Fantasy merupakan satu contoh baik yang bukan sahaja kerap menggunakan
watak persis Byakko, namun watak-watak lain yang persis Burung Vermilion,
Kura-Kura Hitam dan Naga Biru. Anime klasik seperti Yu Yu Hakusho juga secara
tidak langsung ada menceritakan tentang keempat-empat pelindung ini.

  • Naga Biru – Pelindung
    Alam Timur

Naga Biru atau nama lainnya Seiryu,
Shoryu dan Chinron merupakan makhluk mitologi yang bertugas menjaga kedaulatan
alam Timur. Seiryu kelihatan seperti seekor naga yang berwarna hijau kebiruan.
Naga Biru ini mewakili unsur kayu/bumi, musim bunga (spring) dan planet Musytari. Kebolehannya? Mengawal hujan.

Tugu Seiryu di Kiyomizu-dera

TDi samping itu, Naga Biru juga manifestasi kepada kekuatan yang tiada tandingan (unrivaledstrength), kekuasaan (power), kemewahan (luxury), kreativiti, kebengisan (ferocity) dan kebajikan (benevolence). Di Kuil Kiyomizu, Kyoto khususnya, setiap tahun akan diadakan satu festival untuk meraikan, memperingati dan memuliakan Seiryu. Ada legenda yang mengatakan bahawa Naga Biru ini pernah minum pada air terjun yang berada di kuil tersebut. Begitu besarnya reputasi Seiryu dalam kalangan masyarakat tempatan di sana.

Bendera Dinasti Qing

Kalau di China pula, Naga Biru merupakan salah satu identiti negara. Pada tahun 1889, Dinasti Qing telah mereka cipta dan menggunakan bendera kebangsaan yang baru. Bendera tersebut ialah bendera Naga Kuning (黃龍旗). Kita dapat lihat seekor Naga Biru yang berlatarbelakangkan warna kuning diraja. Di hadapan mulut naga tersebut ialah sebiji mutiara merah yang membawa makna kekayaan, kemewahan dan tuah. Jangan terkejut kerana bendera ini ialah bendera kebangsaan pertama China.

  • Kura-Kura Hitam –
    Pelindung Alam Utara

Kura-Kura
Hitam atau nama lainnya, Genbu, Xuan Wu, Genten Jotei dan Showan’u merupakan
pelindung alam bahagian Utara. Berbeza dengan tiga makhluk mitologi sebelum
ini, Genbu ialah gabungan antara kura-kura dan juga seekor ular. Bayangkan
kura-kura yang mempunyai ekor, dan ekor itu ialah ular. Itulah Genbu.
Kadangkala, Genbu juga disamakan dengan Chimera, iaitu sejenis makhluk mitologi
juga.

Genbu

Genbu
mewakili unsur air, musim salji dan planet Utarid. Warnanya ialah hitam. Genbu
menjadi simbol kepada ilmu pengetahuan, keluhuran (purity), umur yang panjang, keabadian (immortality), keseimbangan Yin dan Yang dan serba boleh (versatility). Apa yang menarik bagi
kura-kura hitam ini banyak berfokus kepada pemberian nama, dan kisah
asal-usulnya. Bagi namanya, Genbu sebenarnya membawa maksud, ‘Pahlawan
Hitam/Misteri’ dan bukannya kura-kura hitam. Hal ini kerana, kura-kura dalam
bahasa Cina digunakan sebagai satu ejekan oleh masyarakat di sana.

Seterusnya,
Genbu selalu dikaitkan dengan tenaga Yin, iaitu tenaga kegelapan dan
keperempuanan. Pelindung Utara ini juga disembah sebagai Dewa Bulan dalam
masyarakat purba. Cengkerang Genbu pula diumpamakan sebagai baju perisai lantas
dianggap sebagai Dewa Pahlawan. Bukan itu sahaja, cengkerang kura-kura itu
sebenarnya menjadi simbol kepada Bumi dan Syurga. Mereka percaya bahawa separuh
bawah cengkerang mewakili Dunia dan separuh atas cengkerang (yang berkubah)
mewakili Syurga. Selain daripada yang dikatakan tadi, cengkerang juga merupakan
salah satu alatan yang wajib ada dalam membuat ramalan masa depan (divination).

Patriarch Reliance; Genbu

Oleh
yang demikian, perlulah diingatkan bahawa kepercayaan Taoisme merupakan salah
satu kepercayaan mistik yang popular di China suatu masa dahulu sebaris dengan
kepercayaan lain seperti Legalisme dan Confucianisme. Kesimpulannya, pengaruh
Taoisme dan kepercayaannya bukan sahaja telah memberi impak besar kepada
perkembangan astronomi purba, malahan norma masyarakat itu sendiri khususnya di
Asia Timur pada suatu masa dahulu.

Rujukan

Byakko. (2019). Retrieved March 28, 2019,
from http://yokai.com/byakko/

Do You Know These 4 Mythical Beasts
Guarding Japan’s Cardinal Directions? (2017, March 17). Retrieved March 28,
2019, from https://jpninfo.com/105654

Genbu. (2019). Retrieved March 28, 2019,
from http://yokai.com/genbu/

Seiryū. (2019). Retrieved March 28, 2019,
from http://yokai.com/seiryuu/

Suzaku. (2019). Retrieved March 28, 2019,
from http://yokai.com/suzaku/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet