Empangan Ma’rib merupakan sebuah binaan zaman purba yang amat mengagumkan, berlokasi di bahagian tengah Yaman. Empangan ini merupakan salah sebuah contoh seni bina batu-batuan terbaik di Semenanjung Tanah Arab.

Kisah-kisah tempatan menyebutkan bahawa empangan itu telah pun digunakan selama berabad-abad. Namun, kefungsian empangan ini terhenti akibat dilubangi oleh segerombolan tikus.

Empangan Ma’rib, juga dikenali sebagai Empangan Besar Ma’rib digunakan untuk menyimpan air di samping berperanan besar dalam sistem pengairan masyarakat sekitar selama ratusan tahun. Pada abad ke-6M, empangan ini runtuh walaupun sebahagian temboknya masih berdiri sehingga ke hari ini. Sebauh empangan baru dibina pada abad ke-20M berhampiran dengan lokasi empangan purba itu.

Rekaan semula Empangan Ma’rib yang dilakukan oleh Universiti Calgary dan American Foundation for Anthropology

KERAJAAN YANG MEMBINA EMPANGAN INI

Pada milenia pertama Sebelum Masihi, Ma’rib berperanan sebagai ibu kota Kerajaan Saba, sebuah kerajaan pra-Islam yang berlokasi di barat laut Semenanjung Arab. Kaum Saba merupakan sebuah kumpulan masyarakat Semitik yang hidup di wilayah selatan Semenanjung Arab setelah berhijrah dari utara pada tarikh yang tidak diketahui.

Kerajaan ini meraih kekayaan berkat kedudukannya di laluan perdagangan rempah, tempat pertukaran barangan eksotik dari Timur ke Barat. Ekonomi Kerajaan Saba sangat bergantung pada laluan tersebut sampaikan apabila para kafilah berhenti dari berkunjung ke sana pada abad ke-6SM disebabkan penemuan laluan baru, ekonomi Saba pun mengalami keruduman. Apapun, kerajaan tersebut terus wujud sehingga abad ke-3M apabila ia ditakluk oleh Kerajaan Himyar.

Empangan Ma’rib dikatakan telah dibina pada abad ke-8 atau 7 Sebelum Masihi. Menurut inskripsi-inskripsi yang ditemui, empangan ini dibina oleh seorang pemerintah yang bernama Sumhu’ Alay Yanuf dan puteranya, Yatha’ Amar Bayyin. Namun, sekumpulan ahli arkeologi dari Jerman melakukan kerja-kerja ekskakvasi di salah sebuah kawasan berhampiran empangan ini dan menemukan bukti bahawa monumen tersebut telah pun wujud sekitar milenia ke-2 SM lagi.

Apapun, Empangan Ma’rib ini memainkan kefungsian yang sangat penting dalam kelangsungan Kerajaan Saba memandangkan ia merupakan nadi bekalan air kepada para penduduknya.

Inskripsi pada Empangan Ma’rib

BINAAN YANG MENGAGUMKAN

Empangan Ma’rib terdiri dari batu-batuan asas yang besar di samping dinding tanah yang ditampal dengan batu dan kerikil di kedua-dua belah sisinya. Dinding-dinding tersebut memiliki ketinggian sekitar 15 meter (49.21 kaki) dan ketebalan di bahagian tapaknya pula dianggarkan 60 meter (196.85 kaki). Binaan empangan ini memanjang sehingga 720 meter (2362.2 kaki) jauh, merentasi Lembah Dhana, dari bahagian utara gunung Balaq hingga ke bahagian selatannya.

Semasa kelangsungan dua musim di antara bulan April dan Ogos, hujan turun mencurah di bahagian timur dan mengalir masuk ke Lembah Dhana. Empangan ini berfungsi menghentikan pengaliran air tersebut – menghindarkan kejadian banjir dan menyimpan bekalan air tersebut untuk kegunaan akan datang. Saluran air turut ditambah di kedua-dua belah hujung Empang Ma’rib sekaligus membolehkan air yang terkumpul itu untuk dialirkeluarkan dan mengairi tanaman-tanaman di kawasan berhampiran.

Merentas abad, Empangan Ma’rib ini melalui sejumlah pembaikian dan pengubahsuaian. Empangan ini sangat penting bagi masyarakat yang hidup di kawasan tersebut. Oleh kerana itu, kerja-kerja penyelenggaraannya terus dilakukan walaupun setelah ketumbangan Kerajaan Saba di tangan Kerajaan Himyar.

Namun, tugas-tugas pembaikian tersebut menjadi semakin sukar kerana teknik baik-pulih yang digunakan oleh masyarakat Saba purba untuk menyelenggara empangan telah hilang seiring peredaran masa. Empangan ini mengalami kerosakan pada tahun 450M dan 542M. Dalam kedua-dua kejadian itu, Kerajaan Himyar berupaya membaikinya. Namun pada tahun 570M, empangan itu pecah buat kali ketiga dan terakhir.

Faktor yang mengakibatkan kerosakan tersebut masih diperdebatkan oleh para penyelidik. Sebahagian berpendapat bahawa ia diakibatkan oleh kejadian gempa bumi sambil pendapat lain mengatakan bahawa hujan lebat yang bercucuran di empangan tersebut yang mengakibatkannya pecah. Namun, kisah rakyat tempatan menyebutkan faktor yang agak pelik dan mengejutkan – segerombolan tikus besar menggigit tapak empangan berkenaan sekaligus menghasilkan lubang pada Empangan Ma’rib, membawa kepada kerosakan binaan tersebut.

Tinggalan daripada Empangan Ma’rib yang masih kekal sehingga ke hari ini adalah gerbang saluran airnya. Keadaannya yang masih utuh berdiri menjadi bukti yang mengesahkan keunggulan kemahiran para jurutera Kerajaan Saba di zaman silam. Pada tahun 2015, runtuhan ini mengalami kerosakan akibat serangan udara yang berlaku semasa kelangsungan konflik di Yaman.

Empangan Ma’rib sebelum dan selepas kehancuran pada tahun 2015

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.