Selalu kita tahu pasal anjing kepala banyak ni dalam mitologi Yunani pasal Cerebrus, anjing berkepala tiga. Tapi korang tahu tak dulu, ada tukang bedah gila dok cuba bedah dan wujudkan anjing berkepala dua?
Baru baru ini kita digemparkan dengan pembedahan transplantasi jantung babi kepada manusia. Walaupun penerimanya mati setelah dua bulan menerimanya, pembedahan ini memberi impak terhadap dunia perubatan tentang kaedah rawatan yang baru.
Hal ini taklah menghairankan dalam dunia sains. Untuk mewujudkan kaedah rawatan yang lebih baik, rawatan sebegini akan dibuat dan akan melalui fasa trial and error. Misalnya, penerima transplantasi jantung pada awalnya ramai yang tak mampu hidup lebih daripada 3 bulan.
Hanya selepas saintis menemui ubat anti-penolak organ barulah penerima organ dapat hidup lebih lama. Jadi, tak menghairankan kalau saintis dan ahli fisiologi yang cadangkan rawatan baru ni semua jenis gila-gila.
Contohnya, Barry Marshall yang sanggup telan kultur bakteria H. pylori semata mata nak buktikan bakteria itu yang cetuskan penyakit ulser perut. Kemudiannya, kita juga ada Vladimir Demikhov, tukang bedah USSR yang pernah buat transplantasi anjing berkepala dua.
Demikhov dilahirkan pada tahun 1916 di Yarizenkaia, Russia. Ayahnya meninggal semasa Perang Saudara Russia di antara pihak komunis dan Tsarist. Pada tahun 1934, Demikhov menyambung pelajarannya di Universiti Moscow dalam bidang biologi.
Bermula dari sinilah Demikhov memulakan eksperimennya berkenaan transplantasi organ. Haiwan kegemaran Demikhov dalam eksperimen ini ialah anjing. Malah, menurut keluarganya, Demikhov selalunya menyimpan anjing eksperimen di rumahnya supaya dapat dipantau selalu.
Pada tahun 1946, Demikhov berjaya membedah dan transplan organ jantung dan paru paru pada seekor anjing. Hal ini menjadikan Demikhov orang pertama yang berjaya buat pembedahan sebegini walaupun anjing itu hanya dapat hidup 9.5 jam sahaja.
Pembedahan transplan Demikhov yang seterusnya, setelah diubah suai untuk menjadi lebih efisien, mampu memanjangkan nyawa anjing eksperimennya hingga selama 30 hari. Pada tahun 1953, Demikhov melakukan pembedahan eksperimen yang seterusnya.
Pembedahan pintasan arteri koronari jantung. Walau bagaimanapun, pada waktu itu pembedahan pintasan arteri koronari dianggap sebagai mustahil pada zaman itu, dan ini menyebabkan ramai orang mengkritik usahanya.
Perkara ini kemudiannya menyebabkan jabatan di tempat Demikhov ini sahaja melakukan eksperimen pembedahan sebegini bukan sahaja di USSR, bahkan di dunia. Pada tahun 1954, Demikhov cuba untuk melaksanakan eksperimen gila yang seterusnya iaitu pembedahan transplan kepala.
Beliau cuba untuk transplan sebuah kepala anjing kepada anjing yang lain bagi menjadikannya anjing berkepala dua. Sebelum ini, sudah banyak kali pembedahan transplan kepala cuba dibuat oleh tukang bedah namun gagal. Namun disebabkan kegagalan ini, komuniti sains menjumpai cara dan bahan yang lebih berguna dan berpotensi tinggi untuk menjayakan pembedahan transplan.
Misalnya, Dr. Alexis Carrel memperkenalkan jarum halus dan juga benang yang sangat halus untuk menjahit semula urat darah yang terputus semasa proses transplan. Pada tahun 1908, Carrel dan Dr. Charles Guthrie melaksanakan pembedahan transplan kepala anjing yang pertama di dunia.
Namun begitu, disebabkan kepala anjing yang dicantumkan kepada anjing yang lain itu terbiar tanpa pergerakan darah selama 20 minit, maka eksperimen ini menemui kegagalan. Ini disebabkan kondisi anjing anjing tersebut menjadi teruk dan akhirnya dimatikan.
Sekalipun gagal, mereka berdua berjaya memenangi Hadiah Nobel dalam bidang fisiologi pada tahun 1912 berkenaan kajian mereka tentang transplan organ dan anggota lengan dan kaki.
Usaha eksperimen transplan kepala anjing ini kekal sepi hinggalah Demikhov memilih untuk menyambung eskperimen ini. Berbanding Carrel dan Guthrie, Demikhov melakukan pembedahan ini sambil memelihara laluan darah dan oksigen dalam kepala anjing penderma.
Seterusnya, kepala itu disambung pada bahu anjing penerima dengan urat darahnya disambung pada urat darah anjing penerima. Hasilnya, beliau berjaya mewujudkan anjing berkepala dua yang pertama di dunia yang mampu bergerak, melihat dan minum air.
Begitupun, anjing anjing ini hanya mampu hidup paling lama sekitar 29 hari sahaja sebelum mati. Dalam pembedahan transplan kepalanya yang lain, ada yang hanya mampu hidup beberapa hari sahaja. Punca kegagalan ini ialah faktor MHC (Major Histocompability Complex).
Sekiranya darah mempunyai jenis jenisnya dan akan menolak sekiranya tak sesuai, hal yang sama juga berlaku untuk organ seperti paru paru dan angggota badan seperti kepala. Oleh kerana tak sesuai, maka badan anjing penerima menolak kepala anjing penderma dan kedua duanya akhirnya meninggal kerana penolakan organ oleh MHC.
Di sebalik semua ini, pembedahan transplantasi paru paru dan jantung yang dibuat Demikhovlah yang paling berguna dalam dunia perubatan. Ekseprimen transplan kepala ini lah yang menyebabkannya menjadi terkenal.
Malah, kejadian ini menyebabkan tukang bedah terkenal, Christiaan Barnard tukang bedah pertama yang berjaya membuat transplan jantung ke jantung rasa tercabar dan cuba untuk membuat eksperimen transplan kepala anjing.
Bezanya, anjingnya hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja. Pada masa sama, ia turut mencetuskan kemarahan aktivis hak haiwan yang tak menyukai eksperimen ini tetapi diidolai pelajar perubatan yang memuji kegeniusan Barnard.
Walaupun eksperimen transplan kepala oleh Carrel, Guthrie, Demikhov dan Barnard semuanya gagal, kegagalan mereka inilah yang membawa kepada penemuan konsep pengimunotindasan atau ‘immunosuppression’. Ubat anti-penolak organ.
Pada dekad yang berikutnya, agen pengimunotindasan seperti azathioprine sudah pun ditemui dan mula digunapakai. Penggunaan agen ini akan melemahkan sel darah putih daripada menyerang organ dan menghalang daripada penolakan organ berlaku.
Walau bagaimanapun, ia juga datang dengan kos yang lain yakni pesakit akan lebih senang terkena penyakit kerana sistem imun mereka menjadi lemah. Namun begitu, ini cuma kos yang kecil jika dibandingkan dengan manfaatnya.
Buat pertama kalinya manusia boleh melakukan transplan organ dengan kebarangkalian hidup yang lebih tinggi berbanding dahulu. Dan sekiranya anda terlihat sahabat atau keluarga anda yang hidup dengan menerima organ transplan lain, ketahuilah bahawa semua ini takkan terjadi kalau bukan saintis gila seperti Demikhov dan rakan sejawatnya yang lain memilih untuk melakukan eksperimen gila ini.
RUJUKAN
Erika E (2015) Human head transplant proposed—how did we get here? http://phenomena.nationalgeographic.com/2015/05/05/human-head-transplant-proposed-how-did-we-get-here/. Accessed 1 September 2016
Guthrie CC (1912) Blood vessel surgery and its applications. Edward Arnold, London
Konstantinov, I. E. (2009). At the cutting edge of the impossible: a tribute to Vladimir P. Demikhov. Texas Heart Institute Journal, 36(5), 453.
Lamba, N., Holsgrove, D., & Broekman, M. L. (2016). The history of head transplantation: a review. Acta neurochirurgica, 158(12), 2239-2247.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih