Empayar perniagaan sedang beralih. Perubahan zaman itu sedang berlaku. Banyak empayar perniagaan yang kekal statik pada marketing lama dan jenama lama dihukum oleh pengguna diluar sana.
Revolusi Industri Ke-4 sedang berlangsung. Senarai usahawan yang jadi jutawan adalah mereka yang manfaatkan e-commerce. Syarikat-syarikat yang mula bangun jadi gergasi adalah mereka yang perniagaan mereka berkitar sekitar revolusi industri keempat.
Kalau indikasi beberapa perusahaan tutup sebagai tanda ekonomi jatuh, saya minta maaf sebab makro-ekonomi tak berfungsi seperti itu. Pengangguran masih tahap terendah. KDNK makin menaik. Inflasi masih lagi di tahap yang sederhana. Hutang negara masih lagi terkawal. Makro-ekonomi juga tidak diukur berdasarkan testimonial anda seorang yang tidak sampai 1 peratus pun daripada populasi utama dunia dan negara. Jadi apa sebabnya perusahaan-perusahaan ini gulung tikar?
Kenaikan kos sara hidup memang berlaku memandangkan dengan kemunculan pelbagai benda baru seiring dengan perkembangan teknologi, sekaligus memperbanyakkan KEHENDAK yang perlu dipenuhi berbanding zaman-zaman sebelum ini. Tetapi kos sara hidup ini bukan masalah utama kepada kejatuhan semua perniagaan yang dulu pernah jadi gergasi. Ia tidak diulas dengan lebih mendalam.
Jawapannya ialah apabila muncul banyak kehendak, maka rakyat mula memilih kehendak mana yang mereka mahu penuhi berbanding kehendak lain. Dulu tak ada Astro, tak ada Internet, tak ada handphone mewah, malah kereta pun tidak banyak. Kehendak tidak sebanyak hari ini. Hari ini, benda yang tidak wujud 10 tahun yang lalu atau wujud tetapi dianggap sebagai barang mewah, kini seolah-olah jadi keperluan untuk setiap manusia.
Zaman revolusi industri ke-4, usahawan-usahawan yang mampu menyediakan dan menyakinkan barang yang mereka jual adalah kehendak yang paling diperlukan oleh rakyat di luar sana, maka usahawan ini yang naik jadi jutawan.
Mark Zuckerberg berjaya yakinkan bahawa Facebook satu kehendak yang diperlukan seluruh rakyat dunia. Jeff Bezos dari Amazon berjaya yakinkan bahawa kehendak paling utama di zaman ini ialah kehendak kita semua membeli-belah di laman portal atas talian, sambil tunggu pihak ini sendiri uruskan penghantaran dan sebagainya. Zaman internet melahirkan manusia jadi lebih pemalas. Jadi, pemalas itu digunakan sebagai lubuk utama pemilik Amazon membina kolam emasnya tersendiri. Sebab itu pernah satu detik, pengasas Amazon ini jadi orang paling kaya di dunia.
Atau zaman internet orang dah tak tengok televisyen lagi sebab ramai lagi suka marathon tv series atau layan movie dekat desktop dan laptop mereka. Lebih mudah dan fleksibel. Maka pemilik Netflix iaitu Reed Hastings menggunakan kesempatan ini menyediakan sebuah portal yang menyediakan tv series dengan kontent berkualiti. Filem juga boleh ditonton.
Anda boleh akses kesemua kandungan ini tanpa perlu muat turun ke dalam komputer anda, yang sudah tentu akan memakan data yang agak banyak, dan untuk memuatkan data seberat itu, anda perlu berbelanja untuk mendapatkan barang tertentu seperti hard disk, dan juga masa kerana terpaksa memuat turun fail yang agak besar sehingga memakan masa yang lama. Kemudahan ini melonjakkan Netflix dalam pasaran revolusi industri ke-4.
Hari ini, Youtube, Amazon dan banyak portal lain nak ikut jejak netflix sebab siaran televisyen untuk 10 atau 20 tahun di masa hadapan, secara peribadi bagi aku akan jadi sudah tidak relevan lagi. Syarikat-syarikat besar yang lain tak nak Netflix seorang sahaja menguasai pasaran. Maka ramai-ramai mula mewujudkan kandungan ala-ala Netflix termasuklah Youtube.
Aku sebagai pengguna VPN yang meletakkan IP Adress aku secara palsu beralamatkan di USA, aku mendapat akses percuma ke Youtube yang mula melakukan eksperimen siaran TV Online mereka tersendiri selama sebulan secara free-trial. Setakat ini hanya USA dan Kanada sahaja boleh melanggan kandungan ini di Youtube.
Sama juga macam industri buku. Di Malaysia mula nampak kesannya apabila kebanyakan rumah penerbitan mula gulung tikar. Faktornya pelbagai macam aku bincangkan dengan rakan-rakan aku.
Antaranya ialah sebab pasaran pembaca Malaysia tak berkembang. Orang yang membaca dan rajin membeli buku masih lagi komuniti kecil. Yang nak jual buku pada komuniti kecil ini ada puluhan malahan ratusan rumah penerbitan diluar sana. Jadi, ia adalah pasaran yang sangat tepu. Hanya yang terbaik dan sudah berjaya bina kepercayaan pada hati pembaca sahaja mampu tarik pembeli.
Minda masyarakat Malaysia pula tidak melihat buku sebagai sesuatu yang suci seperti masyarakat barat. Membaca bukan ritual harian mereka. Jadi, dengan kemunculan kehendak-kehendak yang baru dan tidak muncul sebelum ini semua, banyak yang mula meletakkan buku sebagai kehendak yang paling bawah untuk dipenuhi.
Mereka lebih gunakan duit untuk pastikan memiliki telefon mewah, menggunakan duit untuk dapat akses internet untuk main game dan sebagainya, atau mahu memenuhi definisi fesyen dan cantik masyarakat dunia, sehingga menghabiskan duit membeli produk-produk kecantikan di luar sana.
Betapa zaman internet ini, mendapatkan pengiktirafan dan perhatian orang adalah satu ketagihan, sebab itu betapa walau puluhan perusahaan yang jual produk kecantikan muncul, pasaran ini tidak menjadi tepu kerana semua orang mahu jadi cantik dan kacak, kemudian kecantikan itu akan jadi bahan riak untuk dipamerkan di alam maya. Beratus like di Facebook dan Instagram adalah lebih penting daripada ilmu dalam buku.
Mungkin kerana dua orang pengasas Wattpad sudah melihat trend ini pada industri buku, maka Allen Yau dan Ivan Yau mula mengasaskan Wattpad, di mana semua buku boleh dibaca percuma di sana. Sebab itu juga, Wattpad menerima pelaburan lebih 100 Juta Dollar pada tahun-tahun awal penubuhan portal ini.
Ya, di negara barat dimana budaya ilmu masih bercambah, orang tidak ada masalah meletakkan kehendak memiliki buku di tahap teratas hidup mereka kerana sudah menerima pencerahan yang diharapkan, yang dimana peradaban kita agak terlewat kerana penjajahan, pengkhianatan dan peperangan. Tetapi kita kena terima juga, generasi sedang berubah. Sebab itu orang tak agak-agak melabur puluhan juta untuk wattpad sahaja.
Ada kelompok masyarakat yang disasarkan oleh pemilik Wattpad, terutama pelajar sekolah. Hari ini, kebanyakan karya-karya novel di Wattpad (Malaysia) adalah tentang fan-fiction peminat K-Pop. Tetapi ada juga karya berkualiti untuk dihadam oleh kita semua. Dan banyak cara yang digunakan oleh wattpad untuk menarik orang menulis untuk mereka seperti membuat anugerah tahunan untuk penulis terbaik yang menukilkan maharkaya indah lagi percuma untuk pembaca diluar.
Mungkin atas faktor ini juga, Tesco telah mula memperkenalkan perkhidmatan membeli-belah di atas talian. Kalian boleh membeli dari rumah, memilih setiap barangan yang kalian mahukan, dan kemudian akan ada orang yang menghantar terus ke rumah. Tesco tahu kalau dia kekal di takuk lama, mungkin dia juga akan dihumban ke lubang yang sudah dikongsi oleh kebanyakan gergasi perniagaan lain di dunia. Mahu melawan pengaruh Ebay, Lazada, Amazon, Alibaba dan segala portal membeli belah atas talian, Tesco sedar bahawa Tesco harus menjadi seperti pesaing mereka.
Zaman sekarang, bukan Grab dan Uber sahaja yang sedang mengambil alih pasaran fizikal ke alam maya. Bukan pengusaha teksi sahaja yang mengalami masalah untuk berhadapan dengan revolusi industri ke-4 dan zaman maya ini, tetapi dari pengusaha buku, supermarket dan sebagainya. Zaman perubahan empayar perniagaan sedang berlangsung.
Orang nak layan muzik, mereka akan terus ke Spotify, tidak lagi bergantung pada kedai muzik dan album. Nak beli permainan video, Steam dan Origin tersedia kepada yang membeli. Tak perlu risau cd atau dvd rosak, atau juga hilang. Anda hanya perlu muat turun sahaja ia berulang kali yang kita mahukan. Tidak perlu bersusah payah nak ke mana-mana kedai video game lagi. Nak beli makanan, Foodpanda dah ada. Klik jer mana-mana restoran yang kita nak, dia akan datang bawak makanan yang ditempah depan rumah. Ini zaman semuanya di hujung jari.
Ya, di atas ialah antara jenis perniagaan yang sedang naik dan mencipta jutawan-jutawan. Di saat di bahagian lain, terdapat perusahaan yang gagal dan tertiarap di atas lantai, mereka pula sedang mendongak, mendapat manfaat daripada revolusi industri yang sedang berlaku.
Ingat, bukan selamanya Rom kekal menjadi kuasa besar dunia. Soviet yang pernah mengalahkan Nazi pun tidak wujud dah di dunia. Srivijaya dulu pernah menguasai seluruh Nusantara hanya kekal sejarah. Berubah atau kita juga akan jadi sejarah.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Terima kasih di atas perkongsian tuan. Dalam suasana politik kebencian dan saling menyalahkan.. Ada page The Patriots yang sudi memberi pencerahan dari sudut yang berbeza atau tidak salah saya sebutkan ‘pandangan lebih ilmiah’ berbanding apa yang ahli ahli politik sebarkan. Teruskan usaha, semoga masyarakat kita sedar apa yang berlaku sebenarnya dan bukan saling menyalahkan dan membenci antara satu sama lain. Semoga berjaya The Patriots!