Edo atau Tokyo menjadi latar tempat Rurouni Kenshin bersesuaian dengan statusnya ibu kota baru Jepun mengggantikan Kyoto. Ia mendapat status sedemikian bersesuaian dengan pemulihan kuasa Maharaja Meiji sekaligus menjadi permulaan kepada era pemodonen Jepun. Tetapi sebelum bergelar ibu negara, ia sudah menjadi kota penting terima kasih kepada penglibatan Ieyasu Tokugawa.
Pada tahun 1590, Toyotomi Hideyoshi mengarahkan Tokugawa yang memerintah di satu kawasan yang dipanggil Nagoya agar berpindah ke wilayah Kanto. Beliau akur dengan perintah tuannya dengan berpindah ke satu perkampungan kecil yang dipanggil Edo. Ia terletak di bahagian atas serokan di mana ia terkumpul dalam satu kawasan tanah yang sempit.
Selepas bergelar Shogun pada 1603, antara perkara pertama yang dilakukan ialah mengatasi isu kesempitan ruang di Edo. Bagi mengatasi masalah ini, kawasan serokan diisi dengan tanah yang diambil dari Bukit Kandayama yang terletak di utara Istana Maharaja. Kawasan itu hari ini dikenali sebagai kawasan Marunouchi-Yurakucho, Tokyo.
Bagi Istana Maharaja pula, ia didirikan di atas tapak Istana Edo yang pernah menjadi kediaman Keshogunan Tokugawa. Istana ini dilengkapi dengan parit di luar dan dalam bahagian istana sebagai jaringan keselamatan terhadap pihak musuh. Ia boleh diakses melalui rangkaian terusan yang digali bagi memudahkan proses pengangkutan barang.
Perlahan-lahan, Edo mula muncul sebagai kota penting di Jepun. Salah satu faktor yang menyumbang pertumbuhannya ialah penguatkuasaan sistem sankin-kotai. Sankin-kotai ialah satu sistem di mana para daimyo harus tinggal bergilir di wilayah mereka dan Edo selang setahun.
Amalan ini mula diperkenalkan oleh Toyotomi sebagai cara menjamin kesetiaan para daimyo ketika itu. Para daimyo diarah meninggalkan waris atau pasangan mereka di Istana Osaka atau mana-mana istana berhampiran sebagai tebusan. Ia kemudiannya diteruskan oleh Tokugawa di mana waris atau pasangan diarah tinggal di Edo sementara daimyo-daimyo ini pulang ke wilayah yang ditadbir mereka.
Semasa menetap di Edo, para daimyo akan tinggal di rumah-rumah agam besar di tanah dalam dan sekitar Istana Edo serta tanah tinggi di sebelah barat kota berkenaan. Bagi memenuhi keperluan penduduk terutama para daimyo, aktiviti perdagangan dan perniagaan giat dijalankan. Walaupun tidak dinyatakan angka rasmi penghuni kota ketika itu, sejarawan menganggarkan lebih sejuta orang menghuni Edo pada abad ke-18. Ini menjadikannya sebagai antara kota terbesar di dunia ketika itu.
Satu kawasan utama Edo ialah Nihonbashi. Nihonbashi dinamakan sempena sebuah jambatan yang dibina pada tahun 1603. Kawasan ini amat sibuk kerana di sinilah terletaknya permulaan lima laluan utama kota iaitu Tokaido, Nakasendo, Nikku Kaido, Koshu Kaido dan Oshu Kaido. Selain digunakan sebagai laluan keluar masuk pengembara dari seluruh negara, ia turut digunakan sebagai laluan golongan bangsawan.
Bagi golongan miskin, kawasan perumahan mereka terletak di kawasan shitamachi yang terletak di bahagian rendah tebing sungai. Disebabkan kedudukan rumah yang kecil dan rapat, keba.ka.ran dianggap sesuatu yang normal di Edo. Sehinggakan ada yang berseloroh a.p.i dan perga.du.han merupakan faktor ‘tarikan’ orang ke kota berkenaan.
Tetapi ia bukan lagi menjadi bahan ketawa selepas Keba.ka.ran Besar Meireki yang tercetus pada musim sejuk 1657. Keba.ka.ran itu menyaksikan lebih 60% Edo mus.na.h dijilat a.p.i termasuk kuil-kuil, rumah-rumah agam daimyo dan ahli rombongan mereka, jambatan-jambatan dan Istana Edo.
Selepas peristiwa itu, shogun ketika itu Iemitsu Tokugawa mengarahkan semua rumah agam dan istana milik ahli-ahli puak yang berkait dengan Tokugawa diro.bo.hkan. Ia kemudiannya diganti dengan kandang-kandang kuda, padok dan taman-taman herba yang berperanan sebagai penghadang a.p.i.
Sebagai ganti kepada tanah-tanah yang diambil, para daimyo ditempatkan di timur Honjo dan Fukagawa yang terletak di seberang Sungai Sumida. Selain rumah-rumah agam mereka, kuil-kuil turut didirikan di situ. Sementara golongan marhaen pula di Tama dan Mitaka yang terletak di sebelah barat. Menerusi tindakan Iemitsu, ia secara tidak langsung meluaskan lagi sempadan Edo dan menjadikannya sebagai sebuah kota metropolis.
Tidak lama selepas kejatuhan Keshogunan Tokugawa pada pertengahan abad ke-19, kerajaan Meiji aktif menggerakkan agenda pemodenan Jepun. Satu cara untuk mempercepatkan agenda pemodenan ialah merekrut ramai pakar seperti jurutera dan arkitek serta meletakkan mereka dalam pelbagai agensi kerajaan dan universiti. Ini bertujuan untuk melatih warga Jepun tentang teknologi terkini ketika itu dan idea-idea dari Barat.
Antara aspek pemodenan terawal yang diperkenalkan di Tokyo selepas ditukar nama oleh pentadbiran Meiji ialah pembinaan landasan keretapi. Landasan ini menghubungkan Shinbashi, Tokyo ke Yokohama di bawah pemantauan seorang jurutera British bernama Edward Morel pada 1872.
Sementara bangunan batu-bata pertama didirikan di Tokyo ialah bangunan Kementerian Kehakiman Jepun. Bangunan itu dibina pada tahun 1895 dan direka oleh dua arkitek Jerman iaitu Hermann Ende dan Wilhelm Böckmann. Ia dibina di atas tapak rumah agam Uesugi milik para daimyo yang pernah memerintah wilayah Yonezawa. Kini, ia dikenali sebagai Bangunan Kerajaan Pusat No. 6.
Bagi Mitsubishi pula, mereka berangan mahu mendirikan sebuah kawasan kewangan setaraf dengan daerah kewangan London, Britain. Bagi menjayakan usaha itu, sejumlah besar tanah di hadapan Istana Diraja dibeli oleh Mitsubishi daripada pihak kerajaan. Selain itu, mereka turut mengupah arkitek Josiah Conder untuk menghasilkan reka bentuk bangunan bersesuaian dengan visi mereka itu.
Conder bertanggungjawab menghasilkan rekaan bangunan pejabat moden pertama di Marunouchi iaitu Bangunan Mitsubishi No. 1. Dari situ, lebih banyak bangunan pejabat yang dibina daripada batu-bata berwarna merah sehingga ia mendapat jolokan Blok London. Mitsubishi No. 1 kemudiannya diro.bo.hkan pada 1968 sebelum dibina semula pada 2009 agar berperanan sebagai muzium. Ia kini dikenali sebagai Muzium Mitsubishi Ichigokan.
RUJUKAN:
Nippon.com. (2018). Growth of a Great City from the Seeds of Ieyasu’s Edo. Diambil dari https://www.nippon.com/en/views/b08802/growth-of-a-great-city-from-the-seeds-of-ieyasu%E2%80%99s-edo.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih