Misteri ialah sesuatu yang menjadikan dunia ini sangat menarik. Tanpa misteri, kehidupan manusia akan menjadi terlalu bosan. Misteri menjadikan sebuah kehidupan lebih dramatik dan epik. Misteri boleh jadi daripada perkara sekecil siapa yang mencuri kunci kereta kita kepada perkara sebesar apa sebenarnya rancangan Amerika Syarikat di sebuah kawasan terlarang seperti Area 51. Namun, antara misteri yang betul-betul menggamit minda penulis ialah berkenaan dengan kisah 9 orang pendaki yang hilang dalam satu malam ketika mendaki Gunung Ortoten.
Terletak di Banjaran Urais yang berada dalam Soviet Union ketika itu, peristiwa ini berlaku lebih kurang 50 tahun yang lalu pada tarikh 1-2 Februari. Misteri bermula dengan 10 orang sahabat sekawan daripada Intitut Politeknik Ural berpakat untuk mendaki Gunung Ortoten bersama. Asalnya kumpulan ini berjumlah 10 orang sebelum salah seorang daripada mereka jatuh sakit. Maka mereka bersepuluh ini pun memulakan perjalanan dengan menaiki trak daripada bandar Ivdel sebelum tiba di sebuah perkampungan kecil bernama Vizhal.
Gunung Ortoten yang dipilih mereka dipanggil sebagai Gunung Kematian oleh puak Mansi. Dalam bahasa minoriti puak Mansi yang menduduki kawasan pergunungan itu juga, Ortoten pula berbunyi seperti “jangan pergi ke sana.” Bahkan mereka mempunyai kisah misteri mereka tersendiri mengenai gunung ini. Kononnya 9 orang pemburu mereka pernah hilang ketika melalui kawasan pergunungan itu. Kebetulan pula, kumpulan 10 orang itu bertukar 9 apabila salah seorang pendaki bernama Yuri Yudin terpaksa ditinggalkan di Vizhai kerana kurang sihat.
Yuri Yudin ini mungkin akan bersyukur kerana penyakit yang tiba-tiba menyerangnya itu rupa-rupanya rahmat. Pada saat beliau terlantar sakit, 9 orang sahabatnya yang lain meneruskan perjalanan. Namun ketika 1 Februari, rebut salji yang teruk melanda membuatkan mereka terpaksa menghentikan pendakian dan memasang khemah.
Mereka dijadualkan untuk pulang pada 12 Februari, dan telah memaklumkan bahawa keadaan mereka selamat ketika ribut salji. Namun, selepas 12 Februari kumpulan 9 orang ini tidak kunjung tiba. Asalnya kerisauan tidaklah memuncak kerana memang dijangka akan lewat kerana cuaca teruk. Namun apabila selepas 20 Februari, kumpulan mereka ini tidak kembali dari pendakian, maka sebuah usaha mencari telah digerakkan selepas didesak oleh keluarga mangsa.
Ia bermula dengan pasukan sukarela pencari oleh pihak Institut Politeknik Ural. Namun, kumpulan ini gagal memaksa pihak polis untuk masuk campur sebelum pihak tentera menghulurkan bantuan seperti pencarian melalui helikopter dan pesawat ringan. Hanya 6 hari kemudian, pada 26 Febaruari barulah tapak perkhemahan kumpulan pendaki itu ditemui. Hanya tapak, tetapi tidak pemiliknya. Keadaan di tapak perkhemahan menimbulkan 1001 tanda tanya.
Ada kesan koyakan khemah dari dalam. Peralatan ski, makanan dan pakaian sejuk masih berada dalam khemah. Khemah pula diseliputi salji. Terdapat kesan tapak kaki seperti mencadangkan bahawa mereka meninggalkan khemah dengan berkaki ayam sejauh 500 meter daripada kawasan perkhemahan. Ia memberi gambaran bahawa kumpulan 9 pendaki itu seperti tergesa-gesa meninggalkan kawasan pekhemahan.
Nasib 9 orang itu diketahui kemudiannya bermula dengan penemuan 2 orang mayat pendaki lelaki tanpa baju sejuk ditemui mati di pinggir hutan akibat hipotermia. Kelihatan juga kesan unggun api dihidupkan memberi gambaran kepada kita bahawa mereka cuba bertahan, namun tidak berjaya. Tiga mayat lain ditemui di mana merangkumi seorang wanita antara mereka yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke khemah namun tidak berjaya. Empat pendaki lagi ditemui dua bulan kemudian dalam keadaan tubuh mereka tertimbus salji.
Terdapat pelbagai teori yang membincangkan mengenai apa yang terjadi. Ada yang mengatakan ia berpunca dari runtuhan salji. Bukti yang menunjukkan 9 pendaki tersebut tergesa-gesa meninggalkan tapak perkhemahan mencadangkan bahawa mereka sedang melarikan diri daripada runtuhan salji yang berlaku. Pemakaian yang tidak menepati piawaian untuk selamat dalam keadaan sejuk itu memberitahu bahawa kemungkinan besar ketika runtuhan salji berlaku, mereka sedang tidur lalu bangkit tanpa sempat bersiap apa-apa.
Lokasi penemuan mayat berdekatan dengan pinggir hutan menguatkan lagi teori ini kerana ia mencadangkan mereka cuba untuk bersembunyi di balik pokok-pokok. Namun, teori ini dibantah kerana tidak ada bukti kukuh bahawa berlakunya runtuhan salji berdekatan dengan tapak perkhemahan.
Ada pula yang mengatakan bahawa punca utama kepada tragedi ialah kerana serangan angin kabatic. Kabatic ialah serangan angin yang sangat jarang berlaku, namun bila ia berlaku, ia agak membinasakan. Teori ini diilhamkan dari sebuah peristiwa di Sweden yang menimpa 8 orang pendaki. Kebetulan keadaan bentuk muka bumi di sekitar tapak tersebut adalah sama seperti bentuk muka bumi insiden yang berlaku si Sweden pada tahun 1978.
Teori lain pula mengatakan bahawa ia adalah bentuk eksperimen untuk berkaitan dengan nukelar kerana kadar radiasi yang tinggi pada pakaian mereka dua kali daripada kadar normal manusia biasa. Ada pula yang mengatakan bahawa kumpulan pendaki ini diserang oleh makhluk seperti Yeti bernama Menk yang sangat terkenal dalam kepercayaan masyarakat Russia.
Terdapat sebuah rancangan dokumentari oleh Discovery Channel yang mempersembahkan premise bahawa pendaki ini dibunuh oleh Yeti. Mereka memaparkan cerita-cerita dari sukarelawan yang membuat pencarian tersempak dengan tapak kaki yang lebih luas dari tapak kaki manusia, atau bagaimana kecederaan yang ditemui pada tubuh mangsa datang dari kekuatan yang luar biasa, tidak mungkin tenaga seorang manusia.
Ada pula teori yang mengatakan apa yang terjadi pada mereka ialah akibat daripada infrabunyi yang dihasilkan oleh angin-angin yang bertiup di tempat kejadian. Infrabunyi kononnya mampu mempengaruhi kewarasan manusia yang terdedah kepadanya sehinggakan mereka bertindak luar logik akal. Konon juga berdekatan dengan situ merupakan tempat ujian letupan tentera Soviet yang telah membangkitkan 9 pendaki tersebut di tengah malam, membuatkan mereka dalam keadaan panik meninggalkan tapak perkhemahan sebelum mati kesejukan pada malam tersebut.
Adapun, apa yang berlaku pada 9 pendaki ini tetap meninggalkan kesan kepada kita semua meskipun punca sebenar kematian masih belum jelas. Betapa cerita ini mencapai tahap urban legend sehinggakan permainan video bergenre survival-horror yang bertajuk Kholat oleh syarikat permainan video Indie Poland yang memaparkan bagaimana protagonis cuba menyiasat apa yang berlaku kepada 9 mangsa ini, dengan menyusuri semula jejak mereka sebelum menemui rahsia tergempar apa yang berlaku kepada 9 mangsa ini. Tidak lupa juga, filem dan drama TV sama ada membuat kisah mengenai mereka, atau disebut beberapa kali dalam karya kreatif yang lain. Tetapi legasi mereka turut dikenang selain disemat dalam karya kreatif. Misalnya, nama laluan maut ini diambil sempena dengan nama ketua kepada ekpedisi tersebut, Igor Dyatlov yang berusia 23 tahun.
RUJUKAN:
Illani, Rai. (2019). Kisah 9 Orang Pendaki Hilang Dalam Satu Malam – Misteri Dyatlov Pass. Iluminasi.
Paoletti, Gabe. (2017). The Harrowing Mystery Of The Dyatlov Pass Incident. All That Interesting.
Friedlander, Emma. (2019). Russian Investigators Are Reopening the Dyatlov Pass Case. But What Is It?. The Moscow Times.
Bressan, David. (2019). Mystery At Dyatlov Pass. Forbes.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih