Baca tajuk ni baik-baik tanpa menyimpan seribu prejudis. Pertama, penulis mahu ingatkan bahawa ini bukanlah artikel keagamaan. Kedua, penulis juga mahu menegaskan bahawa artikel ini membicarakan mengenai jenis-jenis dunia dalam karya bergenre “post-apocalypse” yang sengaja penulis namakan sebagai “dunia-dunia selepas kiamat” bertujuan untuk click-bait. Bukanlah tujuan penulis menukilkan artikel ini untuk menyebarkan sebuah ajaran sesat.
Kepada yang tidak mengetahui, post-apocalypse bermaksud kehidupan selepas bumi melalui kehancuran total yang menjatuhkan tamadun atau menghumban tamadun ke kancah neraka. Karya-karya post-apocalypse biasanya membicarakan mengenai kehidupan dalam sebuah dunia selepas apokalips, kiamat atau kehancuran.
Artikel ini akan membicarakan mengenai jenis-jenis dunia selepas kiamat yang dipaparkan dalam kebanyakan karya kreatif seperti novel, komik, filem dan drama TV. Antara sebab kenapa karya seperti ini sangat mendapat sambutan di Barat adalah kerana betapa ia adalah bentuk escapism masyarakat yang dah terlalu letih dan menyampah dengan kehidupan mereka.
Yalah, hidup hanya untuk bayar bil harian dan hutang, terperangkap dalam rutin harian kerja yang membosankan sehinggakan mereka menyimpan impian di mana semua asas-asas dunia yang membelenggu mereka hari ni runtuh. Bila semua ni runtuh, tak payah nak bayar bil, pergi kerja, dan selesaikan hutang. Lantaklah tamadun hancur. Tapi mereka sampai nampak hidup masa tamadun hancur ni, sebagai survivor lagi menarik daripada hidup diaorang hari ni. Maka karya-karya post-apocalypse pun menjadi pilihan kebanyakan marhaen di Barat.
- Zombie Apocalypse
Kebanyakan karya yang berlatarkan dunia post-apocalypse biasanya akan bermain dengan dunia yang dipenuhi oleh manusia yang bertukar menjadi zombie. Zombie-zombie ini boleh jadi sama ada zombie yang berjalan longlai seperti mana dalam Resident Evil atau mampu memecut kelajuan maha dasyat seperti mana dalam permainan video Left 4 Dead.
Barangkali zombie yang dipaparkan cukup bijak untuk menggunakan senjata, atau masih lagi bebal meraung tak tentu pasal. Tentunya zombie ni sesuai dengan sifat semula jadi mereka, memburu daging untuk dimakan dan diratah. Organ seperti otak sudah tentu menjadi makanan kegemaran.
Dan manusia yang selamat daripada apa sahaja yang merubah manusia lain menjadi zombie, harus bertahan untuk terus hidup saat mereka menjadi mangsa kepada pemakan daging segar yang suatu masa dahulu pernah menjadi sahabat dan ahli keluarga mereka. Latar seperti ini terlalu banyak kali digunakan sehinggakan menjadi cliché dalam genre post-apocalypse. Contoh karya lain yang berlatarkan dunia seperti ini ialah The Walking Dead dan juga Train To Busan.
- Teknologi Gagal
Bayangkan esoknya anda bangun pagi, kemudian mendapati yang eletrik seluruh dunia dah tak berfungsi. Telefon bimbit anda nasib baik dah sempat dicaj untuk semalaman. Tapi mungkin bertahan untuk 1 hari dan selepas itu, hidup tanpa smartphone. Selepas tu, anda dapati bahawa alatan seperti televisyen, PC, dan semua mesin-mesin eletrik dah tak berfungsi. Lebih menakutkan, internet dah tak wujud! Tak dapatlah nak baca The Patriots kan hari-hari macam korang selalu buat? Kenapa jadi macam ni? Mungkin kerana serangan EMP?
Perlahan-lahan, atau sebenarnya dengan sangat pantas, tamadun yang sudah terbiasa dengan teknologi ini mula runtuh perlahan-lahan dan kehidupan manusia kembali menjadi barbaric atau gasar. Maka kebanyakan karya yang menjadikan dunia di atas sebagai premis cerita mereka berkisarkan bagaimana manusia mahu hidup dalam dunia di mana eletrik tidak lagi berfungsi. Karya yang paling penulis ingati meneroka dunia post-apocalypse seperti ini sudah tentu Revolution dan Dies The Fire.
- Nuclear Holocaust
Umat manusia berperang kerana tamakkan kuasa dan mahu meluaskan empayar. Dalam peperangan itu, kerana dipandu nafsu dan ego, akhirnya kedua-dua pihak, atau lebih dari satu pihak pun menggunakan senjata nuklear. Lantas, kesan daripada apa yang berlaku telah menghancurkan bumi menjadi padang jarak padang terkukur.
Ada kelompok manusia yang sempat hidup di bawah tanah, hidup di dalam bunker yang dibina untuk menahan senjata pemusnah nuklear sehinggalah memaksa si hero keluar dari buker tersebut, meneroka dunia di atasnya mungkin untuk mencari si ayah yang terpisah, atau juga pembunuh isterinya yang melarikan diri ke atas daratan.
Kepada yang tidak mengetahui, anda baru sahaja membaca premis untuk permainan video Fallout. Di atas daratan, rupa-rupanya ada manusia yang selamat dari bencana nuklear itu, hidup berlatarkan tamadun yang sudah hancur. Ada yang sudah bermutasi, ada pula yang kalis radiasi.
Cerita juga boleh jadi dengan bagaimana manusia sempat meninggalkan bumi ketika perang nuklear itu berlaku. Mungkin mereka tinggal di atas stesen angkasa, sampailah tempoh masa mereka merasakan bumi sudah sesuai didiami selepas kesan radiasi tamat.
Namun, sampai sahaja ke bumi, selain alam yang kembali pulih, mereka mungkin tersempak dengan sisa-sisa tamadun yang bertahan, lantas berlaku perebutan menguasai bumi yang baru pulih atau mereka mungkin tersempak dengan haiwan bumi yang menjadi raksasa, menakutkan dan memakan manusia kerana sudah bermutasi akibat radiasi. Sebenarnya anda sedang membaca premis untuk cerita bersiri The 100 dan filem After Earth.
Terdapat juga karya yang bermain dengan kesan selepas perang nuklear itu mengakibatkan nuclear winter yang membinasakan. Hanya beberapa orang yang imun kepada radiasi, sedang survive dalam nuclear winter. The Book Of Eli ialah filem yang bermain dengan premise ini.
- Perubahan Cuaca Yang Ekstrim
Bayangkan anda duduk di Malaysia. Keesokan harinya, salji turun bersepai-sepai sayu dari langit terbuka. Ehh sekejap… zaman ais dah datang? Kalau tidak, masakan salji boleh turun di Malaysia.
Bila ia berlaku, bayangkan bagaimana setiap bangunan di Malaysia runtuh menghempas jalan raya kerana tidak dibina untuk menampung berat salji seperti mana bangunan diluar sana. Padi-padi dan kepala sawit yang hanya sesuai dengan iklim khatulistiwa Malaysia mula mati dalam salji, sekaligus membunuh ekonomi dan negara dan membuatkan sumber makanan utama Malaysia berkurang lantas berlakunya kebuluran.
Itu belum dikira berapa banyak rakyat Malaysia yang mempunyai perapian dalam rumah mereka, atau memiliki baju sejuk yang mampu menahan suhu bawah takat beku. Selamat datang ke zaman ais baru, dunia di mana hanya kuat sahaja yang akan selamat. Karya yang bermain dengan premis zaman ais ialah seperti Snowpiercer dan juga novel tulisan penulis sendiri, Klimaks terbitan Buku Prima pada tahun 2017 dahulu. (Nak memiliki novel ini boleh buat tempahan di: https://www.karangkrafmall.com/klimaks)
- Makhluk Yang Lebih Superior Menguasai Dunia
Robot ciptaan manusia menjadi lebih bijak. Mereka mampu berfikir, bertindak dan bereaksi sehebat manusia. Ciptaan robot yang pada asalnya membantu manusia dalam banyak hal mula berfikir bahawa manusia ialah ancaman kepada dunia, alam atau diri mereka sendiri lantas mengambil keputusan untuk bangkit memberontak dan memperhambakan manusia.
Dalam premis cerita
yang lain pula, makhluk asing mula menakluk bumi. Makhluk asing ini menindas
manusia, memperhambakan mereka untuk pelbagai manfaat mereka. Cerita ini akan bermula atau berpaksikan premise
akhirnya dalam keadaan dijajah oleh makhluk asing atau robot dan AI yang bijak,
manusia bangkit melawan demi survival bangsa manusia. Contoh terbaik ialah Terminator untuk cerita post-apocalypse
manusia melawan robot dan Falling Skies.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih