Sepanjang lipatan sejarah manusia, ada saja undang-undang pelik dikuatkuasakan. Contoh undang-undang sebegini ialah larangan memakai sut perisai di Parlimen England atau buat panggilan antarabangsa di Korea Utara. Tetapi satu masa dahulu, wujud undang-undang yang menghukum orang hodoh di Amerika Syarikat!
Orang hodoh di sini merujuk kepada orang kelainan upaya (OKU). Perlu diingat, pada abad ke-19, status dan penampilan fizikal individu saling berkait antara satu sama lain. Antara kawasan yang meluluskan undang-undang tidak berperikemanusiaan itu ialah San Francisco menerusi Undang-Undang Menghalang Kerja Minta Sedekah dan Menghalang Orang Tertentu Daripada Muncul di Jalanan dan Tempat Awam 1867.
Di setiap negeri Amerika Syarikat, perkataan yang menggambarkan kehodohan seperti jijik dan cacat menjadi sebahagian daripada ordinan negeri. Walaupun berbeza dari segi bahasa undang-undangnya, kesemuanya bertujuan menghalang aktiviti meminta sedekah dan menghalang penyangak hodoh daripada berada di jalanan.
Dalam sesetengah kes, undang-undang ini mendapat sambutan orang awam kerana menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka. Ini amat ditekankan semasa Chicago menggubal undang-undang sebegini pada 1881.
Tetapi ironinya, pada akhir tempoh sama undang-undang ini diluluskan, minat orang ramai terhadap pertunjukan orang pelik juga memuncak. Pertunjukan orang pelik di sini ialah pertunjukan di mana penghibur-penghibur yang mempunyai ciri unik seperti wanita berjanggut atau kembar siam menghiburkan pengunjung. Mereka terlupa sesetengah penghibur unik ini juga sebenarnya OKU.
Semasa ia diperkenalkan pada 1881 oleh James Peevey, pada awalnya peminta sedekah hanya dikenakan denda antara $1 hingga $50 atau dihantar ke Rumah Orang Miskin Cook County. Pengecualian hanya diberi kepada veteran tentera yang kehilangan anggota badan semasa peperangan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Bagaimanapun, sejak itu, memo Peevey telah dibahas dan disemak berulang-kali. Semakan tersebut telah memperincikan kategori hodoh dan mengenakan pelbagai larangan termasuk larangan mendapatkan pekerjaan tertentu.
Dengan memperkenalkan semua sekatan ini, ia menjadikan undang-undang tersebut sebagai undang-undang paling kejam di AS. Undang-undang ini tidak membezakan siapa peminta sedekah yang bersikap pemalas atau tidak dapat mencari pekerjaan. Bagi mereka, semua ini sama saja dan perlu dikenakan hukuman.
Apa yang lebih memilukan ialah tatkala golongan veteran terus mendapat pembelaan, OKU yang datang dari pelbagai latar belakang dan pekerjaan terus menderita. Tidak seperti hari ini di mana pekerja mendapat sokongan selepas mengalami kemalangan di tempat kerja, itu tidak berlaku pada ketika itu.
Pekerja yang cedera semasa bekerja langsung tidak mendapat sokongan dan terpaksa bergantung kepada diri sendiri untuk terus hidup. Matlamat undang-undang ini mudah: selagi mana anda bekerja, anda dianggap bernilai. Tetapi jika tidak, anda akan dianggap hodoh dan terpinggir.
Satu lagi sebab undang-undang hodoh diperkenalkan ialah pemimpin-pemimpin masyarakat ketika itu tidak tahu cara membantu golongan terpinggir. Jika dihantar ke rumah-rumah kebajikan, mereka berkemungkinan didera dengan aspek kebajikan mereka terabai. Lantas, dengan menggubal undang-undang sebegini, selagi mana mereka tidak berada di jalanan, selagi itu tiada keperluan untuk membantu.
Hanya selepas Perang Dunia Pertama (WWI) di mana ramai veteran pulang berstatus OKU, barulah persepsi orang terhadap OKU berubah. Secara perlahan-lahan, undang-undang yang mendiskriminasi OKU tidak lagi dikuatkuasakan atas sebab politik. Tetapi sesetengah undang-undang hodoh ini terus wujud sehingga abad ke-20 termasuk di San Francisco.
Kes terakhir membabitkan undang-undang hodoh ini timbul di Omaha pada 1974. Seorang polis mahu menahan seorang lelaki tidak berumah tetapi tiada cara untuk berbuat demikian. Selepas meneliti kod undang-undang kawasan berkenaan, dia menahan lelaki itu atas kesalahan berimej hodoh.
Tetapi apabila lelaki itu cuba dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan berkenaan, hakim menanyakan satu soalan pedas kepada pendakwa. Soalan tersebut berbunyi, “Apakah tahap piawaian sebenar untuk kehodohan? Apakah ini bermakna jika anak-anak jiran saya yang mempunyai rupa aneh mahu bertanyakan sesuatu, apakah mereka juga perlu ditahan?”
Malu dengan soalan yang diajukan, pihak pendakwa memilih untuk tidak meneruskan pendakwaan dan lelaki tidak berumah itu dibebaskan. Sejak itu, tiada lagi anggota penguatkuasa di AS yang cuba menahan individu atas kesalahan rupa hodoh.
Menjelang 1974, kebanyakan undang-undang hodoh dimaksudkan. Semasa undang-undang ini dimansuhkan di Chicago pada tahun sama, seorang ahli politik menyifatkan undang-undang ini seolah-olah kembali ke Zaman Kegelapan – satu era kemunduran bagi warga Barat.
Walaupun undang-undang hodoh telah dimansuhkan, hak-hak OKU terus dinafikan. Selama bertahun-tahun, hak mereka diperjuangkan termasuk lebih banyak kemudahan di tempat awam. Akhirnya, ia direalisasikan menerusi kelulusan Akta Orang Kelainan Upaya AS pada 1990.
RUJUKAN
Greiwe, E. (2016, 24 Jun). How an ‘ugly law’ stayed on Chicago’s books for 93 years. Chicago Tribune.
Dowd, K. (2020, 2 Mac). San Francisco once pioneered America’s cruelest legislation: Ugly laws. San Francisco Gate.
Gershon, L. (2021, 3 September). The Ugly History of Chicago’s “Ugly Law”. JSTOR Daily.
Gupta, R. (2022, 4 Mei). America’s Ugly ‘Ugly Laws’. Amusing Planet.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih