Zaman pemerintahan Kangxi (1661-1722) dan cucunya iaitu Qianlong (1735-1796) merupakan zaman yang di kenali sebagai Era Kemakmuran China dengan kestabilan politik dalaman (selepas Revolusi Tiga Wilayah), kekayaan ekonomi, kemuncak kekuasaan negara, ketenteraan yang hebat, serta kebudayaan dan kesusasteraan Cina.

MAHARAJA KANGXI (1661-1722)

Gambar 1: Potret Maharaja Kangxi ketika berumur 45 tahun

Maharaja Kangxi, nama peribadi Xuanye lahir pada 4 Mei 1654 di Kota Larangan merupakan maharaja keempat Dinasti Qing yang memerintah selama 61 tahun, merupakan maharaja yang paling lama memerintah dalam sejarah China yang memerintah secara rasmi (cucunya Maharaja Qianlong merupakan pemerintahan paling lama secara tidak rasmi).

Beliau di akui sebagai maharaja teragung Dinasti Qing apabila zaman pemerintahannya berjaya menyelamatkan Qing daripada jatuh ke tangan puak pemberontak orang Han yang melancarkan revolusi gergasi iaitu Revolusi Tiga Wilayah, menghapuskan saki baki penyokong Ming iaitu Kerajaan Dongning di Taiwan, menumpaskan pemberontakan Mongol di utara China, mengalahkan Empayar Tsar Rusia dalam Pengepungan Albazin di Sungai Amur, dan mengembangkan saiz empayar.

  1. Sejarah Awal

Merupakan anak ketiga Shunzhi hasil perkahwinan dengan Maharani Xiaokang, Xuanye menaiki takhta kerajaan ketika berumur 8 tahun selepas kematian ayahandanya iaitu Maharaja Shunzhi dan menukar nama Maharaja Kangxi yang bermaksud “kedamaian harmoni”. Walaupun baginda merupakan maharaja tetapi kuasa sebenar bukan berada di tangan baginda, sebaliknya berada di tangan penguasa wilayah atau Regent, dan neneknya iaitu Maharani Xiaozhuang.

Empat orang penguasa wilayah iaitu Sonin, Suksaha, Ebilun, dan Oboi yang berperanan dalam menentukan hala tuju kerajaan sewaktu Maharaja Kangxi masih kanak-kanak. Ketika itu maharaja hanya sekadar nama sahaja tetapi tidak berkuasa dalam menguruskan hal ehwal negara. Menjelang tahun 1669 ketika maharaja berumur 15 tahun, baginda mula menunjukkan sifatnya yang sebenar sebagai seorang maharaja apabila bertindak menangkap Oboi dan Ebilun yang di lihat semakin berkuasa setelah kematian Sonin dan Suksaha. Baginda mula mengetuai semua hal ehwal negara dan menngukuhkan kuasanya sebagai maharaja China yang sebenar.

  1. Politik

Baginda memperkenalkan sistem yang dikenali sebagai Sistem Peringatan Istana yang bertujuan untuk memperkukuhkan kuasa politiknya sebagai maharaja tanpa ada ancaman dari mana-mana pihak. Baginda akan melantik pegawai yang dipercayai dalam urusan sistem tersebut tanpa dapat di hidu mana-mana pihak.

  1. Ketenteraan

Pencapaian ketenteraan terbesar ketika pemerintahan Maharaja Kangxi ialah menumpaskan pemberontakan Revolusi Tiga Wilayah pimpinan tiga orang gabenor wilayah Qing yang berbangsa Cina iaitu Wu Sangui, Shang Zhixin, dan Geng Jingzhong, serta bantuan ketenteraan daripada Kerajaan Dongning di Taiwan. Pemberontakan bermula pada akhir tahun 1673.

Pada peringkat awal, puak pemberontak berjaya menguasai seluruh selatan China dengan kekuatan ketenteraan seramai 650,000 yang melebihi jumlah tentera Dinasti Qing. Dinasti Qing yang semakin terdesak terpaksa mengerah secara paksaan orang-orang Han untuk menjadi tentera Qing di bawah sayap tentera Green Standard Army, hasilnya Qing berjaya membina kekuatan tentera seramai 900,000. Walaupun berlaku peperangan sengit dengan pemberontak, akhirnya pasukan Qing berjaya mengalahkan pemberontak dan menumbangkan Dinasti Zhou yang di asaskan oleh Wu Sangui dengan menakluk kota Kunming pada tahun 1681.

Kemudian Dinasti Qing mara ke arah Taiwan yang merupakan tempat saki baki penyokong Ming yang masih ada yang menubuhkan Kerajaan Dongning, dan berjaya menakluk pada tahun 1683.

Dinasti Qing pimpinan Maharaja Kangxi juga berhadapan dengan ancaman bangsa Mongol di utara China. Bangsa Mongol yang terdiri daripada pelbagai puak membentuk beberapa kerajaan-kerajaan kecil yang ada sebahagiannya menjadi naungan kepada Qing dan ada yang tidak. Pada tahun 1675, bangsa Mongol dari puak Chahar pimpinan Abunai bertindak menyertai Revolusi Tiga Wilayah menentang kerajaan Qing kerana enggan menjadi negeri naungan kepada Qing tetapi berjaya di tumpaskan kerajaan Qing dan hampir semua puak Chahar di bunuh beramai-ramai.

Kemudian, pada tahun 1687, bangsa Mongol puak Dzungar pimpinan Galdan Boshugtu Khan bertindak menyerang Mongol puak Khalka yang merupakan negeri naungan Qing akibat berlaku beberapa salah faham antara kerajaan kecil tersebut. Qing bertindak balas dengan menyerang kerajaan Mongol Dzungaria dan berlakunya Perang Qing-Dzungaria Pertama yang berlangsung antara tahun 1687-1697 di menangi oleh Qing yang turut mengorbankan Galdan Boshugtu Khan. Pada tahun 1717, Dzungar menyerang dan menakluk Tibet, dan pada tahun 1720, Maharaja Kangxi menghantar tenteranya menakluk Tibet daripada puak Mongol Dzungar dan berjaya menawannya dalam perang yang di kenali sebagai Perang Qing-Dzungaria Kedua. Dengan itu, Tibet jatuh ke tangan Qing dan kekal di jajah Qing hingga tahun 1912.

Pada tahun 1673, Maharaja Kangxi berperanan dalam menyelesaikan kemelut perang Vietnam antara Dinasti Trinh dengan Dinasti Nguyen. Hasil usaha Kangxi, mereka berjaya mencapai genjatan senjata yang berlangsung selama 101 tahun sehingga 1774.

Maharaja Kangxi juga terlibat dengan konflik sempadan di utara China yang melibatkan Empayar Tsar Rusia. Dalam Pertempuran Albazin 1681-1686, pasukan Qing berjaya menghancurkan Tsar Rusia, dan berjaya menguasai wilayah tersebut.

  1. Ekonomi

Ekonomi China ketika pemerintahan Maharaja Kangxi semakin berkembang akibat pertambahan penduduk yang di manfaatkan melalui kutipan cukai. Hasil pertanian juga semakin bertambah selepas politik negara kembali stabil selepas tahun 1680’an.

  1. Sosial

Pemerintahan Maharaja Kangxi memperlihatkan campuran budaya rakyat Cina melalui fahaman Confusius dengan budaya Manchu. Baginda menitik beratkan pembelajaran Confusius dengan mengekalkan peperiksaan imperial setiap tiga tahun sekali. Baginda telah menulis sendiri sejarah Dinasti Qing dan memperkenalkan Kamus Kangxi yang mempunyai lebih 40,000 karakter. Pada tahun 1705, atas arahan baginda, syair-syair zaman Dinasti Tang yang mengandungi kira-kira 49,000 lirik berjaya di terbitkan yang di kenali sebagai Quan Tangshi.

Baginda turut mempunyai hubungan baik dengan Barat dalam usaha mengeksport teknologi Barat dan ilmu pengetahuan ke negara China terutamanya bidang astronomi. Peta pertama dari lukisan orang Barat berjaya di hasilkan. Baginda juga menjadi maharaja China pertama yang bermain alat muzik Barat.

  • Hubungan dengan Kristian

Pada peringkat awal, hubungan maharaja dengan mubaligh Kristian juga berlangsung dengan baik apabila maharaja membenarkan mubaligh Kristian menyampaikan agama mereka ke negara China dan turut di beri perlindungan. Tetapi di sebabkan perbezaan budaya dan larangan serta kutukan sesetengah mubaligh Kristian terhadap upacara tradisi Cina yang bercanggah dengan ajaran Kristian menyebabkan Maharaja Kangxi melarang misi Kristian di China.

  • Hubungan dengan Islam

Hubungan Qing dengan Islam pada asalnya berlaku ketegangan akibat daripada pemberontakan umat Islam di wilayah Gansu pimpinan Milayin dan Ding Guodong yang taat setia kepada Dinasti Ming. Pemberontakan yang berlaku ketika zaman pemerintahan ayahandanya iaitu Maharaja Shunzhi meninggalkan permusuhan dan rasa curiga Qing terhadap umat Islam terutamanya etnik Cina Hui. Selepas pemerintahan Maharaja Kangxi, baginda lebih bersifat toleransi terhadap semua penganut agama termasuk umat Islam. Akhirnya ulama Islam berjaya menghasilkan satu badan sastera yang di namakan “Han Kitab” sebagai panduan kepada muslim yang turut di hormati dan di kagumi oleh Maharaja Kangxi.

MAHARAJA QIANLONG (1735-1796)

Gambar 2: Potret Maharaja Qianlong ketika di usia senja

Maharaja Qianlong dilahirkan pada 25 September 1711 merupakan maharaja Dinasti Qing yang ke enam dengan nama asalnya ialah Hongli. Baginda merupakan anak kepada Maharaja Yongzhen dan cucu kepada Maharaja Kangxi. Baginda memerintah secara rasmi dari 18 Oktober 1735 hingga 9 Februari 1796 selepas baginda bersara daripada menjadi maharaja akibat sakit tua. Walaupun telah bersara tetapi baginda tetap memegang kuasa tertinggi kerajaan sebagai Maharaja Emeretus sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1799. Dengan itu menjadikan baginda sebagai maharaja paling lama memerintah dengan berkuasa mutlak dalam sejarah negara China iaitu selama hampir 64 tahun!.

Semasa pemerintahan baginda secara rasmi selama 60 tahun, empayar Dinasti Qing mencapai kemuncak kekuasan dan kemakmuran dengan saiz empayar yang luas serta kestabilan politik dalam negara. Sebagai ketua tentera, baginda turut menyertai kempen-kempen ketenteraan bagi meluaskan empayar dalam siri 10 Kempen Besar Qing.

Tetapi di akhir pemerintahan baginda menyaksikan negara China mengalami kemerosotan akibat pertambahan penduduk yang pesat akibat kestabilan politik yang memberi kesan kepada bekalan makanan, rasuah semakin berleluasa, dan berlaku boros dalam kalangan pegawainya. Selain itu, masalah kewangan juga timbul akibat siri gerakan 10 Kempen Besar Qing tersebut.

  1. Sejarah Awal

Ketika remaja, Hongli (nama asal Qianlong) sudah menunjukkan kehebatannya dalam seni mempertahankan diri dan kesusasteraan Cina. Beliau seorang yang agak pintar dan mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan Maharaja Kangxi. Selain itu, beliau juga suka berburu. Hal ini menyebabkan beliau menjadi kegemaran Maharaja Kangxi dan Yongzheng untuk bakal menjadi seorang maharaja.

Selepas ayahandanya menjadi maharaja pada tahun 1722, beliau di lantik menjadi Putera Bao Berpangkat Pertama iaitu jawatan bukan maharaja yang tertinggi dalam kerajaan. Ramai dalam kalangan pegawai kerajaan juga menyukai Hongli sebagai pengganti maharaja.  Sebelum kemangkatan Maharaja Yongzhen, baginda telah menulis nama pengganti tempat baginda di dalam sebuah kotak. Kotak itu hanya di buka selepas kemangkatan baginda, dan tiba masa pengisytiharan pengganti maharaja, nama di kertas tersebut di baca di hadapan seluruh keluarga di raja dan pegawai kerajaan. Seperti di jangka, nama Hongli tertulis di kertas tersebut lantas mengangkat beliau menjadi maharaja baru Dinasti Qing dengan nama di raja Qianlong yang bermaksud “keunggulan yang berpanjangan/berkekalan”

Sumbangan Dalam Politik dan Ketenteraan

Era pemerintahan Maharaja Qianlong terkenal dengan perluasan wilayah Dinasti Qing dan peperangan di sempadan negara. Baginda turut menjalankan kempen-kempen ketenteraan melawan musuh politiknya sepanjang 60 tahun pemerintahan baginda. Kempen ketenteraan tersebut di kenali sebagai 10 Kempen Besar Qing. Artikel mengenai kempen ini akan di tulis dalam artikel berasingan secara lebih terperinci.

Maharaja Qianlong juga berpendapat bahawa Dinasti Qing juga harus di rujuk sebagai Empayar China atau negara China walaupun mereka bukan dari bangsa Cina iaitu orang Han. Bagi baginda, Han tidak boleh di rujuk sebagai China kerana negara China mempunyai pelbagai etnik di dalamnya. Mengikut tradisi orang Han (orang Cina), mana-mana empayar China hanya boleh berkuasa ke atas wilayah China sahaja, tidak boleh menakluk negara-negara lain yang bukan dari orang Cina, sebagaimana Dinasti Ming.

Dengan alasan “China” bukan untuk orang Cina sebaliknya merangkumi pelbagai etnik, ini merupakan alasan Qianlong untuk menguasai wilayah Turkestan Timur, Mongolia, dan Tibet yang bukan berbangsa Cina. Sebab itu Empayar China ketika Dinasti Qing merupakan empayar China kedua terbesar dalam sejarah China selepas Dinasti Yuan (Yuan merupakan dinasti Mongol, bukan Cina sebab itu saiz Dinasti Yuan besar merangkumi negeri-negeri sekitar Tanah Besar China)

Selain itu, maharaja Qianlong juga ingin menjenamakan semula istilah sayap tentera elit mereka iaitu Bannerman (Eight Banner atau Lapan Panji). Pada asalnya sayap Bannerman merupakan tentera yang terdiri daripada etnik Manchu sahaja, kemudian selepas Qing menguasai China, terdapat juga ramai orang-orang Cina menganggotai sayap Bannerman. Manakala tentera Ming yang berpaling tadah menyertai Qing di kenali sebagai tentera Green Standard.

Selepas Maharaja Qianlong menjadi maharaja, baginda mahukan identiti Bannerman hanya di anggotai oleh orang Manchu sahaja sebagaimana ketika di awal penubuhan Bannerman yang ingin menyatukan etnik Manchu oleh Nurhaci dan Hongtaiji. Manakala orang Cina Han pula menganggotai tentera Green Standard. Baginda mahukan Bannerman kekal sebagai budaya warisan Manchu tanpa ada orang lain menyertainya. Dengan itu, istilah Bannerman lebih merujuk kepada Manchu Bannerman, manakala orang-orang Cina kekal dengan sayap Green Standard Army.

Sumbangan Dalam Budaya dan Falsafah

Maharaja Qianlong sangat menititberatkan soal kebudayaan dan identiti empayar Qing dalam pemerintahannya. Baginda berusaha memelihara imej dan maruah etnik Manchu dengan baginda sendiri telah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyatnya dengan mengurangkan sebarang bentuk diskriminasi ke atas etnik yang lain. Memandangkan ketika di awal pemerintahan Dinasti Qing, wujud sentimen anti-Manchu yang meluas dalam kalangan orang-orang Cina menyebabkan kedudukan Dinasti Qing tidak selamat, oleh itu, baginda berusaha untuk menjaga kebajikan dan perasaan rakyatnya yang majoriti orang Cina. Dengan itu, bagainda telah menerbitkan semula sebuah buku yang menceritakan tentang sejarah, keturunan, budaya, dan bahasa Manchu bagi tatapan setiap rakyatnya supaya mengenali bangsa Manchu dengan lebih dekat dalam sudut positif. Baginda turut memberi penekanan kepada menjaga rakyatnya di wilayah yang baru di takluk seperti di Tibet dan Asia Tengah dengan memberi kebebasan beragama dan mengamalkan budaya masing-masing.

Selain itu, baginda juga menghargai karya-karya lama sejarah China dan fahaman Confusius, lukisan-lukisan lama, puisi kuno, buku-buku sastera, barang-barang antik dengan memelihara khazanah warisan fahaman tersebut dengan mengumpulnya dan menjadikannya koleksi khazanah warisan kerajaan. Khazanah tersebut yang banyak di musnahkan akibat peperangan dan pertukaran dinasti telah di jaga sepenuhnya oleh Maharaja Qianlong dalam usaha menghargai sejarah dan khazanah China. Baginda turut melantik beberapa orang pegawai berbangsa Cina dan Manchu bagi menguruskan hal tersebut.

Baginda juga terkenal sebagai seorang ahli sastera yang hebat dan berjaya. Baginda sukakan puisi dan penulisan sastera dan telah di rekodkan bahwa sepanjang pemerintahannya, terdapat kira-kira 40,000 puisi dan 1,300 karangan telah di tulis oleh baginda. Antara karangannya ialah “Record of the Ten Completions” yang berkaitan dengan 10 Kempen Besar Qing. Selain itu, kebanyakan surat-surat yang di tulis juga menggunakan bahasa Cina bagi menghormati warisan budaya Cina. Baginda juga mahir dalam bahasa Mandarin, Mongol, dan turut mempelajari bahasa Uyghur dan teks tulisan bahasa-bahasa tersebut.

Kecintaan baginda terhadap ilmu pengetahuan dan falsafah di buktikan melalui Projek Empat Harta Karun (Siku Quanshu) iaitu satu projek menjilidkan dan mencetak segala falsafah, kesusasteraan China, penyuntingan, dan penterjemahan dengan mengumpulkan sekumpulan ahli falsafah Cina bagi menjalankan projek tersebut. Hasilnya, 36,000 jilid buku telah di terbitkan dengan 3,450 karya yang lengkap yang dibuat oleh kira-kira 15,000 ahli falsafah seluruh China.

Selain itu, projek tersebut juga memusnahkan karya-karya yang bersifat anti-Manchu atau yang bersifat memberontak kerana baginda bimbang rakyat akan terpengaruh dan bangkit memberontak pemerintahan baginda. Dengan itu, karya-karya tersebut yang di lihat mempunyai nilai yang tinggi tidak di musnahkan sebaliknya di ubah suai menjadi lebih baik dan berkualiti.

Selain itu, baginda juga turut menghargai falsafah dan ilmu pengetahuan dalam agama Buddha di Tibet dengan berusaha mengkaji dan menghafal sendiri karya-karya tersebut. Bagi menghormati sumbangan falsafah Buddha Tibet, baginda telah menukarkan Istana Harmoni menjadi kuil Buddha Tibet dengan menjadikannya sebagai pusat pembelajaran dan penyebaran ilmu pengetahuan bagi agama tersebut.

Sumbangan Dalam Seni Beni dan Pembangunan Lahiriah

Selain daripada meminati karya, falsafah, dan kesusasteraan, baginda juga seorang yang minat terhadap seni bina dan projek pembangunan yang indah. Buktinya, baginda telah meluas dan membesarkan Istana Lama Musim Panas di wilayah Rehe dan menjadikannya sebagai pusat bagi wilayah Mongolia yang di tawannya, dan kemudian menukar nama kepada Istana Musim Panas. Saiz Istana Musim Panas juga 5 kali lebih besar daripada Kota Larangan itu sendiri. Baginda turut melantik beberapa orang mubaligh Kristian dari Barat untuk memberi sumbangan idea dalam membina senibina Eropah dalam Istana Musim Panas tersebut.

Selain itu, baginda turut membina beberapa buah villa yang indah di sekitar kawasan pergunungan di sekitar Beijing. Dan turut membina menara masjid di Xinjiang bagi menghargai jasa dan sumbangan orang-orang Uyghur yang menghormati Dinasti Qing.

Sosial

Maharaja Qianlong bertindak melancarkan proses migrasi orang-orang Han yang sebelumnya hanya berada di Tanah Besar China sahaja. Semasa pemerintahan baginda, ramai orang-orang Han di tempat ke wilayah Mongol Dzungaria selepas berjaya mengalahkan Kerajaan Dzungaria untuk memajukan ekonomi kawasan tersebut. Selain itu, orang-orang Han juga ramai berhijrah ke wilayah Manchuria bagi menjalankan aktiviti pertanian dan mengelakkan berlakunya kepadatan penduduk di Tanah Besar China. Menjelang akhir pemerintahan Maharaja Qianlong, orang-orang Han sudah melebihi orang Manchu di wilayah Manchuria. Dan statistik sekarang menunjukkan etnik Manchu yang mendiami wilayah Manchuria atau sekarang wilayah Haelongjiang, Jilin, dan Lioning hanya sekitar 7 juta orang atau 6.4% sahaja daripada 110 juta orang penduduk di tiga wilayah tersebut.

Selain itu, akibat keamanan di Tanah Besar China sepanjang 60 tahun pemerintahan baginda menyebabkan saiz penduduk China bertambah secara mendadak dari kira-kira 140,000,000 kepada kira-kira 300,000,000 orang di akhir abad ke-18.

Turun Takhta

Pada Februari 1796, ketika berumur 85 tahun, Maharaja Qianlong secara suka rela melepaskan takhta kerajaan kepada anaknya iaitu Yongyan (kemudiannya memakai gelaran Maharaja Jiaqing) yang ketika itu berumur 36 tahun. Baginda berbuat sedemikian kerana ingin menghormati datuknya yang memerintah selama 61 tahun, dan baginda tidak mahu memerintah secara rasmi melebihi tempoh pemerintahan datuknya. Walaupun melepaskan jawatan sebagai maharaja Dinasti Qing, tetapi baginda sebenarnya masih lagi berkuasa dengan memakai gelaran Maharaja Emeretus atau Maharaja Bersara. Manakala anaknya hanyalah sebagai simbol sahaja.

Selepas menyerahkan takhta kepada anaknya, baginda bersemayam di Istana Kehidupan Panjang (Istana Ningshou) yang di bina khas untuk baginda di akhir persaraannya sebagai maharaja, istana tersebut kemudiannya di kenali sebagai Taman Qianlong. Maharaja Qianlong mangkat pada awal tahun 1799 ketika berumur 87 meninggalkan empayar yang luas dan makmur.

RUJUKAN

The Editors of Encyclopædia Britannica. “Qing dynasty”. Encyclopædia Britannica. Retrieved 12 March 2018.

Emperor Kangxi – The Emperor Who Reigned for the Longest Period in Chinese History”. Cultural China

Maxwell K. Hearn and Madeleine Zelin, Consultants. The Kangxi and the Qianlong Emperor. Project Mcah Columbia.

Skoggard, Ian A. (1996). The Indigenous Dynamic in Taiwan’s Postwar Development: The Religious and Historical Roots of Entrepreneurship. M.E. Sharpe. ISBN 9781563248467. OL 979742M

Guy, R. Kent (October 1987). The Emperor’s Four Treasures. Harvard University Press. p. 167. ISBN 978-0-674-25115-1.

Perdue, Peter C. (2005). China Marches West: The Qing Conquest of Central Eurasia. Cambridge, Mass.; London, England: Belknap Press of Harvard University Press.

Dunnell, Ruth W.; Elliott, Mark C.; Foret, Philippe; Millward, James A (2004). New Qing Imperial History: The Making of Inner Asian Empire at Qing Chengde. Routledge. ISBN 978-1134362226.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.