Artikel ini saya tulis sebaik sahaja selepas menonton sebuah filem bertajuk ‘Mal Mol E’ yang dihasilkan berdasarkan kisah sebenar tentang revolusi orang Korea dalam usaha menggabung dan membukukan kesemua perkataan Hangul semasa era penaklukan Jepun di Korea.
Sebelum itu, saya pernah juga menonton cerita ‘The Professor and The Madman’ yang berkisar pada isi yang sama seperti ‘Mal Mol E: The Secret Mission’, cuma yang ini lebih menumpu kepada perjuangan bahasa Inggeris sekitar Zaman Pencerahan.
Sebelum mengulas tentang ‘Mal Mol E’, saya ceritakan serba-sedikit tentang filem ‘The Professor (James Murray) and The Madman (Dr. William)’ terlebih dahulu. Filem ini mengisahkan tentang seorang Profesor yang fasih bertutur dalam 10 buah bahasa, salah satunya adalah bahasa Arab.
Profesor tersebut melawat Oxford dalam usahanya untuk menerbitkan sebuah kamus Inggeris yang pertama di dunia. Sebelum itu, beliau terlebih dahulu ditemu-duga oleh seorang professor lain serta beberapa orang kenamaan di dalam sebuah perpustakaan.
Profesor pertama tadi menceritakan tentang niatnya. Namun, orang-orang kenamaan di dalam perpustakaan tersebut memandang usaha beliau sebagai suatu yang mustahil. Hal ini kerana sebelum ini mereka juga telah cuba melakukan hal yang serupa tetapi ia berakhir dengan kegagalan. Walau bagaimanapun, kesepakatan berjaya dicapai dan mereka memberikan tempoh masa kepada profesor tersebut untuk menyiapkan kamus yang dimaksudkan.
Dalam melaksanakan tugasnya itu, profesor tersebut mencadangkan supaya masyarakat di seluruh Britain menghantar surat yang mengandungi perkataan-perkataan berbahasa Inggeris berserta maksudnya. Cadangan ini dipersetujui dan orang ramai pun mula menghantar surat kepada si profesor dan pembantu-pembantunya.
Begitulah kisah bermulanya usaha membuku dan menerbitkan kamus Inggeris yang pertama. Namun sebelum itu, mereka juga perlu berhadapan dengan jalan buntu apabila si profesor dan rakan-rakannya tidak dapat menemui maksud sebenar bagi perkataan ‘Art’. Di samping itu, terdapat juga beberapa masalah lain di mana beberapa patah perkataan Inggeris yang terdahulu tidak lagi digunakan pada masa-masa terkemudian.
Dipendekkan cerita, usaha si profesor itu sampai ke pengetahuan seorang doktor di Amerika iaitu The Madman. Si doktor ini kemudiannya menyuruh orang ramai membuka semua buku Inggeris lama dan yang baru untuk mencari maksud-maksud perkataan di sebaliknya. Usaha ini berhasil mengumpulkan sejumlah perkataan Inggeris yang bermula dari abjad A lantas ia dihantar kepada si Profesor.
Jerih-perih si profesor dan The Madman pada akhirnya terlunas apabila mereka berhasil mencetak dan menerbitkan Kamus Inggeris pertama di dunia, atau dikenali sebagai Oxford English Dictionary Edition One. Terdapat berbagai liku yang perlu dihadapi oleh mereka berdua, terutama dalam usaha membebaskan The Madman daripada penjara akibat jenayahnya menembak mati seorang mangsa.
Sambil itu, perjuangan menghasilkan kamus dalam filem ‘Mal Mol E’ lebih menyebakkan kerana mereka perlu melakukannya secara rahsia tanpa pengetahuan Ketua Askar Jepun yang berpangkalan di Korea. Keadaan lebih mendebarkan kerana askar-askar Jepun dengan kejam memaksa rakyat Korea meninggalkan bahasa kebangsaan mereka dan mengamalkan bahasa Jepun.
Arahan tersebut paling ketara dilaksanakan di sekolah-sekolah Korea yang hanya membenarkan penggunaan bahasa Jepun. Jika arahan tersebut diingkari, mereka akan diseksa. Kisah berkenaan era ini pernah juga ditayangkan di dalam salah sebuah episod rancangan realiti TV Korea yang bertajuk ‘Infinite Challenge’.
Dalam episode berkenaan, para pengacara sempat menyampaikan kisah seperti yang dipaparkan oleh ‘Mal Mol E’ secara lengkap. Malahan, mereka turut bercerita bagaimana semasa Korea meraih kemerdekaan, mereka entah bagaimana dapat menemui sebuah salinan akhir tulisan Hangul di Stesen Kereta Api Seoul.
Andai kata salinan tersebut tidak ditemui, sudah tentu sukar untuk masyarakat Korea menghasil dan menerbitkan kamus mereka tersendiri, kamus yang menghimpunkan kesemua perkataan berbahasa Korea. Betapa dalam Mal Mol E, tidak hanya dikisahkan bagaimana tertindasnya bahasa Korea, tetapi juga bagaimana bentuk perjuangan mereka sehingga menitipkan salinan terakhir itu di stesen api tersebut.
Pada akhir filem ‘Mal Mol E’ disertakan sebuah pesanan, “Negara Korea mungkin satu-satunya negara di dunia yang dapat memulihkan dan membukukan semula perkataan-perkataan dalam tulisan bahasanya selepas Perang Dunia ke-2.”
Kedua dua filem ini dalam era tahun yang berbeza, cerita ‘The Professor and the Madman’ dalam era tahun 1875 – 1900 an. Manakala ‘Mal Mol E’ tahun 1933 – 1942.
Jika direnungkan kedua-dua filem ini dan mengaitkannya dengan bahasa Melayu itu sendiri, sudah tentu sedikit-sebanyak akan membuatkan kita berduka. Setelah negara kita ini dijajah oleh British, perlahan-lahan penggunaan tulis Jawi terhakis dari budaya masyarakat kita.
Lunturnya penggunaan tulisan tersebut membuatkan identiti bahasa kita tidak lagi kelihatan unik lantaran peralihan sistem penulisan kepada tulisan rumi – tidak seperti Korea yang masih boleh berbangga dengan Hangul atau Jepun dengan Hiragana.
Lebih malang lagi, ada juga sebahagian yang mencampur-adukkan penggunaan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam percakapan seharian dan catatan-catatan di media sosial. Pendapat saya,jika hendak bercakap Bahasa Melayu itu cakaplah dalam bahasanya yang sepenuhnya melainkan sepatah dua kata dalam Bahasa Inggeris dan jika hendak bercakap menggunakan Bahasa Inggeris bercakaplah dengan menggunakan bahasa itu sepenuhnya.
Menonton kedua-dua filem tersebut juga membuatkan kita terkenang pada pejuang bahasa kita, iaitu Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Za’ba. Betapa beliau bertungkus-lumus menyusun tatabahasa dan ejaan bagi Bahasa Melayu di sambil menulis sejumlah buku berkaitan Bahasa Melayu, di samping menulis sebanyak 30 buah buku.
Walaupun beliau beberapa kali disekat penulisannya oleh penjajah British.Ini tidak menghalang beliau untuk meneruskan usahanya dalam memperjuangkan bahasa bangsanya. Andai episod hidup beliau ini difilemkan, sudah tentu ianya lebih menyentuh hati kerana lebih dekat di hati kita – filem yang menyemarakkan semangat kita untuk memartabatkan Bahasa Melayu dengan penuh bangga.
Artikel kiriman Nur Alia untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih