Satu lagi pencapaian membanggakan buat Malaysia ialah apabila dua pelajar muda, Mohamed Aqil Azmi dan Zad Chin Qi Qi bakal ke Kolej Harvard, sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang terkenal di seluruh dunia. Kelab Harvard Malaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pelajar itu akan menjadi sebahagian daripada kelas sarjana bagi tahun 2024.
Menurut kenyataan itu, Mohamed Aqil, 20, anak kelahiran Shah Alam, Selangor bakal mengambil jurusan Matematik dan Falsafah manakala Zad Chin, 20, pelajar perempuan dari Ipoh, Perak merancang mengambil jurusan Sains Komputer dan Pengajian Sosial.
“Kedua-dua pelajar pada masa ini sedang mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin, Selangor. Mohamed Aqil dan Zad Chin akan memulakan pengajian peringkat sarjana mereka apabila Kolej Harvard dibuka semula bagi tahun akademik yang baharu,” tambah kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu, terdapat sejumlah 40,248 permohonan untuk memasuki kelas pengajian Kolej Harvard bagi tahun 2024, namun hanya 1,980 pelajar diterima masuk dengan hanya 10.8% daripada mereka ialah pelajar antarabangsa. Untuk rekod, kali terakhir pelajar Malaysia diterima masuk ke Harvard adalah pada tahun 2017.
Tetapi bagi dua pelajar ini, berita tersebut sukar dipercayai mereka. Kedua-duanya mengambil sedikit masa untuk memproses signifikan berita tersebut kepada masa depan mereka.
“Sehingga hari ini, saya masih rasa tidak percaya dan menganggapnya seperti satu mimpi yang jadi nyata” itulah kata Zad sebaik mendapat berita berkenaan. Dia mendapat berita berkenaan menerusi kiriman emel memaklumkan diterima masuk ke kolej berkenaan pada 13 Disember tahun lalu.
Menurutnya, secara peribadi, dia terkejut dengan tawaran itu kerana tidak meletakkan harapan tinggi ketika mengemukakan permohonan. Zad menambah, “Sejak di tingkatan empat lagi, saya sudah memasang impian untuk ke Harvard kerana reputasinya yang baik. Lagipun, saya gemar menonton filem Harry Potter dan sangat tertarik dengan ruang makan di kolej berkenaan hingga mengimpikan untuk belajar di situ.
“Walaupun rasa agak mustahil, tetapi saya tetap mencuba nasib dengan membuat permohonan, tak sangka pula diterima, malah disebabkan terlalu terkejut, saya semak semula kiriman emel itu sehingga 20 kali.”
Tambah penerima biasiswa Yayasan Khazanah itu lagi, “Saya sangat terharu dengan kiriman ucapan yang diterima. Saya bukan datang daripada keluarga senang dan diharap kisah saya memberi inspirasi kepada mereka yang mempunyai cita-cita untuk menyambung pengajian di Kolej Harvard atau di mana saja.
“Tiada yang mustahil untuk rakyat Malaysia melakukannya. Terima kasih juga kepada Yayasan Khazanah kerana tanpa pembiayaan diberi, belum tentu saya berpeluang ke sana.” Selepas tamat pengajian, Zad bercadang untuk menceburi bidang Realiti Maya (VR) dan Kecerdasan Buatan (AI).
Bagi Mohamed Aqil pula, dia juga tidak menyangka permohonannya untuk menyambung pengajian di Kolej Harvard diterima. Tetapi anak bongsu daripada tiga beradik itu akan memanfaatkan peluang yang diberi sebaik mungkin.
It’s been 5 months since I got the offer but that moment at 8 a.m. on a Friday when I sujud syukur and cried after checking my email still sticks in my mind as one of the most surreal moments of my life hahaha. Alhamdulillāh
???????????? https://t.co/cJOO2PCc1f — ‘Aqīl (@aqilazme) May 20, 2020
“Saya ada menghantar permohonan menyambung pengajian di universiti lain tetapi pilihan pertama adalah Kolej Harvard. Permohonan itu dihantar November tahun lalu dan rasa tidak percaya tetapi gembira apabila menerima kiriman emel memaklumkan terpilih sebagai penuntut. Rasa teruja untuk belajar di bawah bimbingan profesor terkemuka dan kelompok individu pintar dari seluruh dunia,” katanya.
Pelajar yang mendapat biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2018 itu ketika ini berhubung dengan penuntut Malaysia bagi mendapatkan gambaran mengenai suasana pembelajaran dan cara hidup sebagai persediaan sebelum mendaftar masuk di kolej itu.
“Saya sepatutnya mendaftar masuk di kampus pada 31 Ogos depan tetapi belum ada kata putus daripada universiti sama ada pengajian diteruskan atau ditangguhkan kerana Covid-19. Urusan permohonan visa juga belum dilakukan dan buat masa ini, saya hanya menghabiskan masa di rumah dengan keluarga,” tambahnya lagi.
Selain bertanya tentang aspek kehidupan di Harvard, Mohamed Aqil juga sedang sibuk mengumpul, menterjemah dan menulis sebuah tafsiran kritis berkenaan Hamzah Fansuri, sasterawan dan ulama Melayu terkenal abad ke-16.
Take a sec to spotlight these 2 amazing young persons who beat the odds & got coveted spots in Harvard College Class of 2024! So, so proud of Aqil & Zad. Confirmation that our youth in Malaysia are our greatest treasure. Please share their story to inspire other young Msians! pic.twitter.com/MXx4jqfa74
— Nadiah Wan (@lapetitemaligne) May 20, 2020
Ahli Kelab Harvard Malaysia merangkap CEO Hospital Thomson Kota Damansara, Nadiah Wan memberitahu beliau amat kagum dengan kaliber yang ditunjukkan Zad dan Mohamed Aqil selepas bertemu dengan mereka secara peribadi.
Beliau menambah, “Mohamed Aqil dan Zad mengagumkan kami semasa sesi temuduga berlangsung dengan perasaan ingin tahu intelektual, kematangan, keazaman dan keinginan memberi kesan positif kepada masyarakat.
“Kami percaya mereka bukan saja meraih manfaat yang banyak dari peluang yang wujud di Harvard. Bahkan, mereka bakal menjadi penyumbang signifikan kepada komuniti Harvard.”
RUJUKAN:
Bernama. (2020). Dua pelajar Malaysia bakal ke Harvard. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/691520/dua-pelajar-malaysia-bakal-ke-harvard
Muharam, Redzuan. (2020). 20 kali semak emel dari Kolej Harvard. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/05/581495/20-kali-semak-emel-dari-kolej-harvard
Mei Zi, Tan. (2020). Two Malaysians accepted to prestigious Harvard University, beat more than 38,000 applicants. Malay Mail. https://www.malaymail.com/news/life/2020/05/21/two-malaysians-accepted-to-prestigious-harvard-university-beat-more-than-38/1868333
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih