Mungkin juga telah menjadi naluri dan fitrah manusia untuk menjadikan objek-objek di sekeliling mereka sebagai sebahagian daripada kehidupan yang bukan hanya sekadar alatan yang digunakan untuk aktiviti harian, tetapi sebagai satu simbol kepada suatu yang membawa makna yang mendalam.
Objek yang menjadi simbol itu kadang kala membawa memberikan makna yang positif dan ada juga yang memberikan makna negatif. Sangat menarik jika difikirkan bagaimana manusia secara umumnya tertarik untuk menjadikan haiwan, batu, pokok dan kayu, serangga, air, tanah, angin dan api sebagai simbolik dalam kehidupan mereka. Maka gabungan daripada elemen-elemen alam tersebut, wujudlah apa yang digelar sebagai tangkal.
Tangkal dan azimat dan apa sahaja perkataan atau nama yang menunjukkan istilah dan fungsi yang sama, iaitu objek yang (disangka) memiliki kuasa atau kebolehan untuk melindungi seseorang daripada marabahaya sama ada secara fizikal seperti rompakan, serangan, ragut atau secara abstrak iaitu gangguan jin dan makhluk halus. Ia telah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di seluruh dunia. Sama ada tangkal dan azimat benar-benar berkesan atau tidak, sebahagian masyarakat masih lagi bergantung kepadanya.
Sama ada anda pernah tahu atau tidak, dream catcher boleh dikategorikan sebagai tangkal dan azimat kerana sejarah penghasilan dan fungsinya memenuhi kriteria sebuah tangkal. Sejarah dream catcher boleh diteroka semula bermula di Amerika Syarikat dan Kanada, atau lebih tepat, di benua Amerika utara sebelum kedatangan penjajah Eropah ke situ. Amalan dan budaya bertangkal menggunakan dream catcher telah lama diamalkan oleh suku etnik asli atau penduduk asal Amerika sejak bertahun lamanya.
Namun, setelah penjajahan oleh Eropah dan berkembangnya Amerika sehingga ke hari ini, rakyat Amerika memandang dream catcher bukan hanya sekadar tangkal yang digunakan oleh etnik asli Amerika, bahkan sebagai sebahagian perhiasan tradisional yang juga diberikan sentuhan dan kreativiti moden. Lihat sahaja dalam laman Pinterest, begitu banyak variasi dream catcher yang telah dihasilkan di seluruh dunia.
Asal Usul Dream Catcher
Mengikut mitos yang selalu diceritakan oleh penduduk asli Amerika, dream catcher sebenarnya telah diberikan oleh Spider Woman atau dalam istilah orang asli Amerika, Asibikaashi, iaitu roh atau semangat labah-labah untuk menjaga kanak-kanak daripada mimpi buruk dan mendapat mimpi yang indah sahaja.
Sejak dari itu, penggunaan dream catcher telah pun menjadi sebahagian daripada budaya orang asli Amerika dan Kanada. Bermula tahun 1960-an, Gerakan Pan-Indian (Pan-Indian Movement) yang menyatukan semua etnik atau kumpulan orang asli yang berbeza-beza (Native America, First Nations, Inuit dan Metis) di bawah satu bumbung telah menggunakan dream catcher sebagai simbol kesatuan dan perpaduan antara etnik dan kaum orang asli Amerika.
Dream catcher pada asalnya dibentuk dengan beberapa elemen alam semula jadi iaitu:
- ranting kayu
- tali
- bulu burung atau lebih tepat bulu burung hantu
- biji manik
Ranting kayu dibentuk menjadi bulatan, manakala tali diikat pada bulatan ranting kayu seperti sarang labah-labah yang berfungsi untuk menapis mimpi buruk, kononnya. Bulu burung pula disangkut pada bahagian tepi bulatan ranting kayu dan dibiarkan menghala ke bawah. Adapun biji manik, ada yang disangkut bersama menemani bulu burung atau dilekatkan pada sarang labah-labah. Ia digantung di rumah – sama ada di pintu, tingkap dan katil dan sebagainya.
Namun, setelah dream catcher dikomersilkan sebagai kraf tangan orang asli Amerika, rekaan yang pelbagai dan penjualan yang rancak telah mendominasi Amerika. Ia telah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan orang Amerika hari ini walaupun mereka tidak tahu akan asal usulnya. Pada pendapat orang asli Amerika pula, pembudayaan melampau dalam penjualan dan perhiasan dream catcher ini dilihat sebagai tidak senonoh kerana kelihatan seperti menghina budaya asli dan asal orang asli Amerika.
Sisi negatif dream catcher
Sisi negatif dream catcher pula, ada sebahagian orang Amerika yang terlibat dengan kultus atau kumpulan ajaran sesat seperti gerakan New Age telah mempergunakan dream catcher sebagai sebahagian daripada simbolisme ajaran mereka. Sejauh mana penggunaan dream catcher dalam kultus dan ajaran sesat tidak dapat penulis pastikan.
Tinjauan penulis dalam laman YouTube berkenaan dream catcher ini, khususnya Amerika, penulis banyak temui beberapa komen negatif yang menceritakan tentang kesan buruk penggunaan dream catcher. Mereka menceritakan tentang bagaimana mereka selalu diganggu oleh makhluk halus sama ada secara sedar atau diganggu dalam mimpi atau ketika tidur. Setelah mereka membuang dream catcher daripada rumah atau bilik mereka, gangguan sedemikian hilang. Agak ironi, sepatutnya dan kononnya dream catcher berfungsi untuk menapis keburukan tetapi mengundang gangguan pula.
Dream catcher dan Dreamcatcher
Anda yang mungkin meminati muzik pop Korea atau K-pop, semestinya mengetahui nama kumpulan penyanyi perempuan iaitu Dreamcatcher yang dianggotai oleh tujuh orang di bawah seliaan agensi/syarikat yang dahulu dikenali sebagai Happyface Entertainment dan telah berubah nama kepada Dreamcatcher Company.
Kumpulan Dreamcatcher terkenal dengan genre antitesis mereka yang melawan arus perdana industri kpop iaitu mereka membawa genre rock dalam kebanyakan lagu mereka. Tidak terhenti setakat itu, tema yang digunakan dalam kebanyakan lagu Dreamcatcher adalah tema dan unsur yang dianggap gelap walaupun liriknya sama sahaja seperti kumpulan lain iaitu cinta (ada juga tema lain.) Mungkin juga ia bertepatan dengan nama kumpulan mereka iaitu Dreamcatcher yang memang diambil daripada mitos dream catcher. Lihat sahaja kulit album mereka yang sememang jelas menggunakan simbol dream catcher. Simbol dream catcher yang kadang-kala membawa unsur dan estetik kegelapan dan mistik disesuaikan dengan genre pop-rock mereka.
Dream catcher di Malaysia
Sejujurnya saya tidak tahu keberadaan dream catcher di Malaysia. Semestinya sekiranya ia telah masuk ke Malaysia, ia dijual sebagai perhiasan sahaja tanpa apa-apa unsur yang dikaitkan dengan mitos orang asli Amerika. Cuma, pada suatu ketika saya melayari review automatif tempatan (tak pasti sama ada kereta atau motosikal), di belakang pengacara ada sebuah kereta Proton Saga merah dan kelihatan pada cermin belakang ada tersangkut dream catcher. Itu sahaja dream catcher yang pernah saya lihat.
Anda mungkin pernah lihat di sekeliling anda?
RUJUKAN:
Brad Hagen. (2019). On dreamcatchers. Transmotion, 5(2).
Meaning of the DREAMCATCHER (Legends, Symbols, and Purpose of the Dream Catcher). Oleh Tribal Trade Co. Youtube.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih