Drama ini merupakan antara drama genre saeguk atau sejarah yang paling saya minati selain daripada drama Six Flying Dragons dan Mirror of the Witch. Drama 30 episod ini pada dasarnya berlatarkan pemerintahan Raja Yeonsan yang terkenal dengan kekejamannya pada zaman dinasti Joseon serta kisah Hong Gil Dong (lakonan Yoon Kyunsang) yang dianggap sebagai Joseon Robin Hood pada ketika itu. Hong Gil Dong yang dipaparkan melalui drama ini merupakan antara pemberontak yang menentang kezaliman Raja Yeonsan. Hong Gil Dong di dalam drama ini juga mempunyai kekuatan luar biasa yang dikaitkan dengan mitos Mighty Child yang dikatakan boleh membawa malapetaka kepada Joseon sekiranya dibiarkan hidup sehingga dewasa.

Saya selalu tertarik dengan kisah sebegini, suatu konsep “from zero to hero” yang banyak dipaparkan dalam K-drama, sama seperti saya tertawan dengan Baker King Kim Takgu, Bridal Mask dan Neighborhood Lawyer Jo. Kisah figura terkenal Hong Gildong telah banyak dipaparkan dalam K-drama dan K-movies, namun interpretasi yang dipaparkan melalui drama Rebel ini cukup menarik dan berbeza daripada drama dan filem-filem sebelumnya. Hong Gil Dong yang sebenarnya adalah merupakan watak dalam novel karya Heo Gyun, yang bertajuk Hong Gildongjeon atau Kisah Hong Gil Dong. Heo Gyun menulis novel ini pada pertengahan zaman dinasti Joseon sebagai suatu refleksi untuk mengubah sistem kasta dalam masyarakat pada masa itu dan memerangi rasuah yang berleluasa dalam sistem politik.

Hong Gil Dong di dalam drama Rebel bukanlah sesiapa, dia merupakan anak kedua kepada seorang hamba, An Mo Gae (lakonan hebat Kim Sang Joong), yang berkhidmat dengan keluarga Jo sejak kecil. An Mo Gae seorang yang bijak meski buta huruf dan dia seorang yang sanggup berjuang apa sahaja demi keselamatan keluarganya. Watak abang Hong Gil Dong, Gil Hyeon, merupakan seorang yang cerdik (malah lebih cerdik daripada anak tuannya sendiri), berjaya memasuki istana sebagai pegawai diraja dan akhirnya belot lalu menyertai perjuangan Hong Gil Dong bersama pengikut mereka yang lain. Gil Hyeon merupakan antara watak yang paling saya sukai dalam drama ini, dia seorang bijak mengatur strategi dan kerana kepandaiannya telah membawa kepada kejatuhan seorang raja. Jang Noksu juga antara watak menarik dalam drama ini, dia dikatakan mengubah nama asalnya GongHwa kepada Jang Noksu kerana ingin memasuki istana dan tidak ingin tertindas lantaran dirinya yang bergelar gisaeng.

Kisah perjuangan Hong Gil Dong yang memerangi perbezaan kasta dan membantu rakyat dengan caranya tersendiri berlanjutan sehingga mencetuskan kemarahan Raja Yeonsan. Itu yang diterjemahkan dalam drama ini, Hong Gil Dong sebagai seorang pencuri, di mana dia telah mencuri rakyat daripada sang Raja. Rakyat menyanjungnya sebagai seorang hero, namun di sebalik kekuatan seorang Hong Gil Dong, dia masih seorang lelaki yang biasa. Kasih sayangnya terhadap adik-beradiknya serta para sahabatnya, serta cintanya terhadap isterinya, Ga Ryung, hampir membuatkan Hong Gil Dong hampir berputus asa daripada matlamat asalnya demi rakyat Joseon.

Raja Yeonsan dalam drama ini, pada saya diterjemahkan dengan cara yang unik oleh Kim Jiseok. Raja Yeonsan sememangnya seorang raja yang kejam, namun kekejaman itu digambarkan bermula daripada jiwanya yang memberontak kerana kurang dihormati oleh para pembesar akibat statusnya sebagai putera kepada Permaisuri yang terbuang. Pemberontakannya atas sebab kurangnya kasih sayang, kesunyian dan kurang dihormati membawa kepada kezalimannya. Pada saya, Raja Yeonsan dalam drama Rebel ini adalah contoh tragis seorang raja yang tidak ingin menjadi raja, namun akibat kuasa yang dimilikinya, dia menyalahgunakan kuasa demi memuaskan perasaannya yang memberontak. Sama seperti dalam drama 7 Days Queen, saya simpati dengan Raja Yeonsan, raja yang pada saya mempunyai masalah psikologi yang serius kerana latar belakang dan kisah zaman kanak-kanaknya.

Apa yang boleh dikutip daripada drama ini? Banyak, terlalu banyak momen-momen yang membuatkan saya tersentak dan terfikir sejenak. Kisah kesetiaan dan ikatan persahabatan para pengikut Hong Gil Dong yang dianggap seperti adik-beradiknya sendiri, isterinya yang setia yang sanggup mengorbankan nyawanya demi suami, dan juga kasih sayang antara adik-beradik Hong Gil Dong yang menyentuh hati.

Babak paling diingati? Tentunya sewaktu Hong Gil Dong terpaksa membuat pilihan antara menyelamatkan isterinya atau berjuang demi para pengikut dan rakyat yang setia kepadanya. Dia sanggup memanah isterinya sendiri kerana menjaga keselamatan rakyat yang berjuang bersamanya. Drama ini secara keseluruhannya memberi definisi apa itu perjuangan dan persahabatan. Kedua-dua Hong Gil Dong dan Raja Yeonsan adalah contoh pemberontak (Rebel), namun dalam konteks yang berbeza dan pengakhiran yang berbeza. Bagaimana semangat pemberontakan itu dapat disalurkan, sama ada dengan cara yang positif, atau negatif sehingga memakan diri sendiri. Pada saya,kisah ini adalah kisah yang masih wujud sehingga ke hari ini. Setiap kita punyai jiwa yang memberontak demi sesuatu yang masih belum kita capai, tapi, dengan usaha yang gigih dan semangat yang berterusan, kita pasti akan dapat mencapainya suatu hari nanti meski dengan segala dugaan dan halangan yang datang.

RUJUKAN

  1. World Digital Library, Tale of Hong Gildong https://www.wdl.org/en/item/4166/
  2. The Rebel https://en.wikipedia.org/wiki/The_Rebel_(South_Korean_TV_series)

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.