KERAJAAN Kubu telah menyaksikan aksi ‘pengimbangan kuasa’ dasar luar negeri yang paling dramatik semasa zaman kemaraan kekuasaan Barat di Nusantara. Ini kerana walaupun dalam sfera penguasaan Belanda (sepertimana perjanjian Anglo-Belanda 1824), Kerajaan Kubu telah berjaya ‘mengimbangi’ pengaruh Belanda dengan menjalinkan hubungan rapat dengan Inggeris, khususnya melalui Sir Stamford Raffles. Hal ini telah memberikan sedikit sebanyak pengaruh dan prestij kepada Kerajaan Kubu untuk menangkis pengaruh Belanda dalam pentadbiran tempatan.

Belanda tidak berpuas hati dengan dasar luar Kerajaan Kubu dan akhirnya menekan Kerajaan Kubu yang pada asalnya kaya dengan hasil dagangan hingga merana. Pada waktu ini ramai di kalangan keluarga Al-Aydrus telah berpindah keluar – khususnya ke Sarawak yang tidak berada di bawah naungan Belanda.

Akibat tekanan berlanjutan daripada Belanda, akhirnya Syarif Muhammad, Putera Mahkota Kerajaan Kubu dengan berat hati menerima penguasaan dan campurtangan Belanda dalam pemerintahan Kubu. Mendengar keputusan ini Syarif Alwi bin Idrus, adik kepada Syarif Muhammad telah menyatakan rasa tidak setuju atas kerakusan Belanda dan meninggalkan kota Kubu menuju Gunung Ambawang bersama rombongannya.

Dalam aksi dramatik yang menyaksikan penzahiran ‘small states’ menggunapakai ‘balance of power’ untuk meneruskan survival kerajaan, beliau mengibarkan bendera Union Jack di kawasan Belanda sebagai pernyataan menentang Belanda. Tindakan tersebut mendatangkan amarah Belanda, dan Syarif Alwi kemudian dikejar hingga sampai dan mendiami Sarawak yang pada ketika itu di bawah pemerintahan James Brooke.

Keturunan Syarif Alwi dan pengikut-pengikutnya ini akhirnya menjadi salah satu rumpun Hadhrami masyarakat Melayu Sarawak yang berpangkal nama Sayyid/Syed/Tuanku/Wan dan Sharifah, selain membawa nama keluarga Al-Aydrus/Edruce. Antara tokoh yang berkait langsung dengan salasilah keluarga Kerajaan Kubu di Sarawak adalah Yang Dipertuan Negeri Sarawak ke-2, Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Haji Othman. Beliau merupakan keturunan langsung (direct decendant) kepada Tuanku Othman bin Syarif Mokhsin bin Syarif Alwi bin Syarif Idrus, Raja Kerajaan Kubu.

Walaupun gagal memerdekakan Kerajaan Kubu daripada penjajahan Belanda, tindakan Syarif Alwi melarikan diri ke Sarawak dan berpihak dengan Brooke atas dasar ‘musuh kepada musuh saya adalah kawan saya’ (the enemy of my enemy is my friend) telah membantutkan hegemoni Belanda di Borneo. Drama imbangan kuasa juga turut berlaku di beberapa kawasan lain di kepulauan Borneo. Ini termasuklah tindakan pembesar-pembesar Melayu Sarawak di Bahagian Kuching di bawah Datu Patinggi Ali yang memilih untuk berpihak kepada Brooke bagi mengimbangi penindasan Pangeran Mahkota Brunei serta ancaman penjajahan dari Belanda yang sudah mula berinjak di tanah Borneo.

Sepertimana tindakan Temenggung Johor menandatangani perjanjian dengan Raffles bagi melindungi institusi pentadbiran tempatan, begitu jualah tindakan Datu Patinggi Ali dalam memilih Brooke, bukan untuk kepentingan peribadi tetapi sebagai survival institusi tempatan, iaitu institusi penguasa Sarawak yang terdiri daripada Datu Patinggi, Datu Temenggung, Datu Bandar dan Datu Imam. Bahkan, semasa James Brooke bercadang untuk menyerahkan Sarawak kepada pihak lain kerana kos pentadbiran yang tinggi – para pembesar Melayu telah membantah keputusan tersebut kerana sedar bahawa ‘direct rule’ oleh British, mahupun Belanda akan menghilangkan terus penguasaan pemimpin tempatan. Walaupun kuasa pembesar Melayu tidak sebesar zaman pra-Brooke, namun ianya akan terus hilang sekiranya Sarawak diperintah terus oleh British ataupun Belanda.

Percaturan Datu Patinggi Ali dan Syarif Alwi ternyata terbukti apabila sepanjang 100 pemerintahan Brooke; para pembesar tempatan yang mewakili institusi-institusi berbeza itu tadi mampu untuk bersuara mewakili komuniti tempatan. Misalnya, larangan menyebar agama Kristian di kalangan orang Melayu yang dikeluarkan oleh James Brooke serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi juga terpelihara sepanjang pentadbiran Brooke, walaupun para mubaligh Kristian berbilang mazhab dibenarkan untuk menyebarkan ajaran mereka kepada kaum-kaum lain di Sarawak. Ini berbeza sama sekali dengan pendekatan British Empire di Singapura yang terus menolak status agama Islam dengan Raffles bergiat aktif menggalakkan mubaligh mendekati orang Melayu. Masyarakat Sarawak juga sedikit sebanyak mempunyai ‘leverage’ ke atas Brooke melalui Council Negri, yang membolehkan mereka bernegosiasi tentang tindakan pemerintah.

Namun akibat perubahan zaman pada awal kurun ke-20, lanskap geopolitik mempunyai ‘leverage’ yang lebih tinggi ke atas pemerintahan Brooke berbanding pemimpin tempatan. Seperti yang ditakuti Datu Patinggi Ali pada tahun 1840, penguasaan golongan bangsawan Melayu dan status rasmi agama Islam musnah apabila Sarawak diserah sebagai Koloni kepada British pada tahun 1945.

Politik bukanlah sesuatu yang ‘straight forward’, lebih-lebih lagi apabila melibatkan imbangan kuasa atau ‘balance of power’. Maka janganlah dianggap orang seperti Datu Patinggi Ali ‘menjual negeri’, kerana percaturan politik pada masa itu berbeza dengan masa kini. Walaupun hasrat beliau cuma sampai ‘sekerat jalan’, iaitu sehingga zaman ‘Cession’, percaturan beliau boleh dianggap sebagai salah satu ‘masterpiece’ atau mahakarya dalam seni ‘imbamgan kuasa’.

Bagi yang berminat membaca lebih lanjut berkenaan strategi imbangan kuasa oleh pemimpin tempatan semasa zaman kedatangan Brooke, bolehlah cari naskhah ‘Power and Prowess’ tulisan Dr. John Walker sebagai permulaan. Beliau merupakan pensyarah politik antarabangsa di Defence Force Academy, Canberra, Australia dan juga penasihat strategik hubungan antarabangsa Australia. (Milner, yang menulis tentang konsep Kerajaan dalam kosmologi Melayu juga merupakan penasihat strategik hubungan antarabangsa Australia. Nampak tak betapa pentingnya sejarah Malaysia yang jarang kita belek?)

(Sejarah berkaitan rumpun Hadhrami Kerajaan Kubu di Sarawak pernah ditulis oleh BO dan diposting semula oleh TP dalam pautan tersebut:

https://m.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/426658867528144/?type=3

—————-

Bendera kuning berjata singa dikibarkan semasa penobatan Tuan Besar Raja Kubu Syarif Syahril pada 27 Ogos 2017. Pemilihan Raja dijalankan oleh Dewan Kesultanan (Council of the State) dan Anggota Senior dari kerabat yang menjabat jawatan Mufti/Qadhi (Ruling House).

P/s: kurang jelas sama ada ini merupakan ‘personal standard’ Raja ataupun bendera kerajaan.

-SN-

#KamekSayangSarawakBah!


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Syed Nizamuddin bin Sayed Khassim merupakan pegawai tadbir dan diplomatik berkelulusan Ijazah dalam Pentadbiran Awam (Masters in Public Administration) dari Universiti Malaya. Beliau juga turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Pentadbiran dari UiTM Sarawak.

Comments are closed.