Bila kita dengar nama Doctor Zhivago, pasti kita akan terbayang lakonan mantap pelakon Mesir, Omar Sharif sebagai Doctor Zhivago. Filem berdasarkan novel tulisan penulis dan sasterawan Rusia, Boris Pasternak ini diarahkan oleh David Lean dan berjaya memenangi lima Anugerah Akademi. Namun di sebalik semua itu, tahukah anda, suatu ketika dahulu di mana Kesatuan Soviet, buku ini menjadi senjata propaganda Agensi Perisikan Pusat (CIA)?

Bila kita membaca novel atau menonton filem ini, wujud persamaan antara watak fiksyen tersebut dengan penciptanya, Pasternak. Lahir pada tahun 1890, Pasternak seperti Zhivago masih mempunyai mentaliti masyarakat lama Moscow yang ada kelas, satu perkara yang tidak disukai masyarakat kontemporari Soviet. Selain itu, banyak ciri dalam novel tersebut ditolak rejim ketika itu termasuk semangat beragama dan menolak idea-idea sosialis dan komunisme. Ini mengakibatkan cubaan beliau untuk menerbitkannya di sana ditolak. Namun itu tidak menghalang sekumpulan penulis luar termasuk seorang pencari novel Itali bernama Sergio D’Angelo menyerahkan karya beliau kepada seorang penerbit Itali bernama Giangiacomo Feltrinelli. Pada November 1957, Doctor Zhivago diterbitkan dalam Bahasa Itali walaupun wujud cubaan dari Soviet dan Parti Komunis Itali.

D’Angelo menceritakan dalam bukunya, The Pasternak Case tentang pertemuannya dengan penulis tersebut di sebuah koloni penulis di luar Moscow pada Mei 1956. Apabila beliau dan rakan-rakan penulis lain datang, ketika itu, Pasternak sedang bersiap untuk menjaga taman kecilnya. Bila melihat kehadiran mereka, beliau menghampiri mereka sambil tersenyum, membuka pintu taman itu dan bersalaman dengan mereka. Selepas beliau menunjukkan manuskrip tersebut kepada D’Angelo, Pasternak berkata, “Moga ianya tersebar ke seluruh dunia.” Beliau menambah setelah menyedari risiko dipenjarakan atau dibunuh sekiranya berbuat demikian, “Kamu semua dijemput untuk melihat saya menghadapi pasukan penembak.” Seminggu selepas itu, D’Angelo terbang ke Berlin Timur bersama manuskrip tersebut dan menyerahkan secara peribadi kepada Feltrelli, di mana dari situ beliau menandatangani kontrak penerbitan dengan Pasternak.

Figure 1: Pasternak sedar risiko ditahan atau dihukum bunuh bila menyerahkan manuskrip Dr. Zhivago kepada D’Angelo tetapi beliau meneruskannya agar semua orang tahu keadaan sebenar di Soviet.

Bagaimana CIA boleh terlibat? Setahun selepas buku tersebut diterbitkan, rakan sejawat mereka dari Britain menghantar dua gulung filem mengandungi gambar-gambar muka surat buku tersebut ke Langley. Berikutan itu, divisyen Soviet Rusia memulakan misi menerbitkan semula novel tersebut dalam bahasa asalnya iaitu Bahasa Rusia, menyeludup masuk buku tersebut melepasi Tirai Besi dan diberi kepada penduduk-penduduk Soviet. Dalam catatannya, ketua divisyen, John Maury menulis, “Mesej kemanusiaan terkandung dalam novel tersebut seperti hak privasi dan rasa hormat terhadap orang lain tanpa mengira fahaman politik atau sumbangan kepada negara dilihat mencabar etika pengorbanan Soviet seseorang kepada sistem komunis.” Operasi tersebut diluluskan oleh Lembaga Koordinasi Operasi di bawah seliaan Majlis Keselamatan Kebangsaan dengan syarat sebarang bentuk pembabitan Amerika Syarikat dalam buku tersebut tidak kelihatan.

Langkah pertama dalam penerbitan buku ini ialah berhubung dengan agensi perisikan Belanda, BVD. Melalui kerjasama dua agensi ini, mereka mewujudkan sebuah tempat penerbitan buku untuk kulit keras di The Hague. Pada September 1958, buku-buku yang diterbitkan ini dibawa ke stesen-stesen dan aset-aset agensi di Eropah Tengah. Salinan buku ini dibawa ke destinasi seperti Frankfurt, Berlin, Munich, London dan Paris tetapi kebanyakannya dibawa ke Brussels. Brussels dipilih kerana pada tahun tersebut, bandar itu dipilih sebagai tuan rumah Pesta Dunia 1958. Namun tindakan tersebut menimbulkan kemarahan Feltrelli dan beliau mengancam menyaman syarikat penerbitan tersebut. Untuk mengelak potensi skandal, CIA mengambil keputusan mencetak sendiri buku tersebut.

Berikutan itu, Belgium mengeluarkan visa kepada 16,000 pelawat dari Kesatuan Soviet yang menghadiri pesta tersebut. Pesta ini menunjukkan pameran-pameran dari 43 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Soviet. Walaupun CIA tidak dapat memberi buku tersebut semasa pameran berlangsung, mereka masih lagi ada helah untuk menjayakannya. Melalui sekumpulan warga Rusia berfahaman Roman Katolik, mereka mewujudkan sebuah perpustakaan kecil di pameran Vatican. Di sinilah, mereka memberi salinan buku ini secara rahsia kepada warga Soviet, sesetengah daripada mereka mengoyakkan kulit buku untuk menyembunyikan buku yang dianggap bahan larangan di sana.

Sebulan selepas itu, populariti buku tersebut mencapai tahap yang lebih tinggi apabila Pasternah diberi Anugerah Nobel dalam Kesusasteraan. Pihak Soviet berang kerana menganggap anugerah ini satu bentuk provokasi terhadap negara mereka. Berikutan itu, Moscow memaksa Pasternak menolak anugerah tersebut. Bagi CIA pula, anugerah Nobel ini merupakan suntikan moral kepada usaha propaganda mereka. Jika ada yang mengatakan mereka mempengaruhi anugerah tersebut, tiada sebarang bukti dan dokumen yang telah dinyahsulit yang membawa kepada perkara tersebut.

Pada Julai 1959, Langley telah menerbitkan edisi mini Doctor Zhivago sebanyak 9,000 buah di bawah nama samaran Societe D’Edition et D’Impression Mondiale. Melalui syarikat palsu ini, 2,000 buku tersebut dibawa ke Vienna, Austria sempena Festival Remaja dan Pelajar Dunia untuk Keamanan dan Persahabatan. Sementara baki 7,000 buku tersebut diedarkan melalui aset atau ejen yang mempunyai hubungan langsung dengan pelancong dan pegawai Soviet di sebelah barat. Berdasarkan statistik, 10 juta buku ini telah diedarkan ke seluruh negara blok Komunis.

Bagi Pasternak sendiri, walaupun dianggap sebagai penjenayah di mata mereka tetapi di mata orang ramai dan peminat sastera, beliau seorang wira di hati mereka. Buktinya, apabila beliau meninggal dunia pada usia 70 tahun akibat kanser paru-paru, ribuan orang menghadiri majlis pengebumiannya. Karyanya hanya diterbitkan secara rasmi pada tahun 1988 semasa era reformasi Mikhail Gorbachev, tiga tahun sebelum Tirai Besi runtuh.

Jika anda rasa Doctor Zhivago menjadi mangsa larangan rejim, beberapa buku lain turut menjadi mangsa. Antaranya buku George Orwell yang bertajuk Nineteen Eighty-Four di mana buku tersebut kebangkitan dan kejatuhan rejim totalitarian dan sosialis. Begitu juga dengan buku Mikhail Bulgakov yang mensatirakan keadaan masyarakat Soviet ketika itu iaitu The Master and Margarita. Buku Alexander Solzhenitsyn yang menceritakan kehidupan banduan di gulag atau kem buruh paksa Soviet bertajuk The Gulag Archipelago turut menerima nasib sama seperti Doctor Zhivago. Buku Solzhenitsyn diterbitkan di Barat pada 1973 tetapi diterbitkan di sana secara rasmi pada 1989, dua tahun sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet.

SUMBER

1. Pruitt, Sarah. (2014). History.com. CIA Used ‘Dr. Zhivago’ As Cold War Weapon. http://www.history.com/news/cia-used-dr-zhivago-as-cold-war-weapon

2. Vennard, Martin. (2014). BBC. How the CIA secretly published Dr Zhivago. http://www.bbc.com/news/magazine-27942646


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.