Sabtu, 17 Oktober 202617 Okt 2026
Ikon Negara

Dr Afifi Al-Akiti: Ulama Melayu Yang Berkhidmat Di Oxford

Rantau Nusantara terutama Malaysia tidak pernah sunyi dari melahirkan para ulama yang menabur bakti kepada ummah. Siapa tidak kenal ulama seperti Tok Kenali, Sheikh Ahmad al-Linggi, Sheikh Abdullah Fahim dan Datuk Dr Haron Din.

Tetapi bagi sosok tubuh ini, beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai Felo Kolej Worcester, Oxford dan pensyarah Pusat Islam di Pengajian Islam, Fakulti Teologi, Universiti Oxford. Individu yang saya maksudkan ialah Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak, Dato Dr Afifi al-Akiti.

Dr
Afifi merupakan anak jati Batu Gajah, Perak dan dilahirkan pada tahun 1976.
Kedua-dua ibu bapanya terlibat dengan profesion sebagai guru. Selepas
mendapat  pendidikan awal di beberapa
sekolah di Selangor, Dr Afifi menyambung pengajian di beberapa institusi pondok
dan madrasah di Indonesia, Maghribi dan Syria. Setelah itu, beliau menyambung
pengajian di Queen’s University di Belfast di mana pada tahun 2001, Dr Afifi
mendapat anugerah pelajar terbaik dari universiti berkenaan. Selepas menamatkan
pengajian di Belfast dengan mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang sejarah
sains dan falsafah Scholastic, beliau meneruskan pengajian di Oxford.

Semasa
di Oxford, Dr Afifi mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Falsafah Arab
Pertengahan sebagai cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya yang
dikenali sebagai korpus Madnun mendapat pujian ramai kerana mengenalpasti dan
mengelaskan secara sistematik kumpulan tulisan falsafah filsuf Islam terkenal,
Imam al-Ghazali. Tesis ini memerlukan beliau mengkaji 50 manuskrip Arab Zaman
Pertengahan. Selain membantu para cendekiawan mengenali sumber baru ini, tiga
jilid kajian ini turut mempersembahkan edisi kritis kerja teknikal dan terkini
berkaitan dengan korpus berkenaan, manual metafizik dan falsafah alam yang
dikenali sebagai Major Madnun.

Melihat
kepada hasil kerja sebegini rupa, tidak hairanlah mengapa Oxford mahu beliau
terus kekal di situ bukan saja sebagai pensyarah pada usia 34 tahun tetapi juga
sebagai Felo KFAS untuk Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford. Ini
kerana selain dikenali sebagai ahli teologi, Dr Afifi juga merupakan seorang
ahli falsafah dalam kedua-dua bidang terutama berkaitan dunia Islam dan tamadun
Barat. Ini ditambah dengan kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa seperti
Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis. Ini menjadikan
beliau anak Melayu pertama dilantik sebagai salah seorang tenaga pensyarah di
salah sebuah universiti yang paling berprestij di dunia.

Tetapi
satu perkara yang benar-benar mengharumkan namanya sebagai seorang ulama Melayu
yang hebat ialah fatwa Defending the Transgressed by Censuring the Reckless
against the Killing of Civilians (dalam Bahasa Arab, tajuknya ialah Mudafi’
al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil). Fatwa ini dikeluarkan
Dr Afifi beberapa hari selepas insiden serangan bom di London pada 7 Julai
2005. Ia sebagai respon kepada kenyataan pemimpin kumpulan militan Syria,
al-Muhajiroun yang menggelar perampas-perampas pesawat serangan 11 September
sebagai ‘Magnificent 19’ dan mendakwa walaupun umat Islam yang tinggal di Barat
tidak dibenarkan memerangi kerajaan mereka, perkara tersebut tidak terpakai
kepada umat Islam yang tinggal di tempat lain.

Ini
ditambah dengan kenyataan pemimpin kumpulan itu, Omar Bakri Muhammad yang
menuduh London melanggar perjanjian mereka dengan umat Islam dengan
menguatkuasakan undang-undang anti-keganasan dan menahan suspek pengganas untuk
satu tempoh yang tidak dinyatakan. Baginya, itu sudah cukup bagi mereka
mengisytiharkan perang terhadap pihak kerajaan. Namun, kenyataan dangkal ini
diselar oleh Dr Afifi yang menyifatkan seruan sebegitu hanya boleh dikeluarkan
oleh kerajaan Islam sahaja dan bukan individu seperti Omar Bakri. Bahkan, beliau
menyifatkan mana-mana orang Islam yang terbabit dalam serangan pengganas
termasuk serangan bom bunuh diri bukan saja tidak dianggap syahid dan wira,
bahkan dianggap sebagai pembunuh.

Fatwa
yang dikeluarkan ini mendapat sambutan ramai bila ia disiarkan dalam talian.
Berikutan populariti fatwa itu, ia kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku
oleh Aqsa Press (Birmingham) dan Warda Publications (Hellenthal, Germany) pada
September 2005. Setahun kemudian, fatwa Defending the Transgressed muncul dalam
The State We Are In, satu koleksi pandangan dan fatwa yang dikeluarkan oleh
para ulama dunia Islam lain termasuk Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Abdullah
Bayyah. Edisi ketiga fatwa berkenaan diterbitkan pada tahun 2009 sebagai
sebahagian daripada siri Syarahan Amnesty Oxford 2006 bertajuk War Against
Terror. Ia sudah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Jerman,
Bahasa Sepanyol dan Bahasa Albania.

Melihat
prestijnya sebagai seorang ulama Melayu yang disegani di Timur dan Barat, maka
tidak hairanlah mengapa Sultan Perak yang ketika itu bergelar Raja Muda Perak,
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melantiknya sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama
Islam  dan Adat Istiadat Melayu Negeri
Perak pada tahun 2010. Pada tahun 2011 dan 2012, Dr Afifi dikurniakan Darjah Paduka
Mahkota Perak (PMP) dan Darjah Dato’ Paduka Cura Si-Manja Kini (DPCM) yang
membawa gelaran Dato. Dan pada tahun lepas, Sultan Nazrin dengan sukacitanya
memasyhurkan beliau sebagai pembesar negeri Perak dengan gelaran Orang Kaya
Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak.

Banyak
pandangan beliau yang menarik yang harus kita soroti:

1.
“Salah satu nasihat para ulama Nusantara ialah percaya bahawa adat resam
masyarakat tempatan harus menjadi asas syariah. Jika perkara ini tidak diambil
endah atau diketepikan begitu saja, ia akan mengundang masalah. Justeru, kita
perlu mencari keseimbangan antara tradisi Islam dengan budaya tempatan. Dan
amat penting bagi kita merasa yakin dengan budaya kita sendiri. Masyarakat akan
mula mengimport budaya luar sekiranya mereka tidak ada keyakinan terhadap akar
budaya sendiri. Dan kita sebagai umat Islam di Nusantara bahawa kita juga kaya
dengan nilai tradisi dan budaya tempatan.”

2.
Dr Afifi melihat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) harus disertai umat Islam
kerana relevan untuk semua peringkat termasuk golongan ulama kerana revolusi
yang berlaku ini merangkumi semua aspek ilmu termasuk dalam bidang pengajian
Islam. Tambahnya, bermula daripada revolusi industri pertama hingga IR 4.0 hari
ini, ciptaan yang dihasilkan oleh Henry Ford, Thomas Edison dan Tim Berners-Lee
berjaya mengubah dunia yang seterusnya dapat menyenangkan umat manusia. Beliau
kemudiannya memetik satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a, bahawasanya
Nabi s.a.w ditanya seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang
paling dicintai Allah SWT?” Baginda menjawab: “Orang yang paling dicintai Allah
ialah orang yang paling bermanfaat buat manusia lain.” (Riwayat Tabrani)

Beliau
menambah dengan melihat kepada perspektif dunia, individu seperti mereka ini
bertepatan dengan hadis berkenaan kerana ciptaan mereka yang memberi manfaat
kepada manusia. Tambahnya, “Kita harus meletakkan diri dalam golongan yang
dicintai oleh Allah s.w.t dengan melakukan sesuatu yang dapat memberi manfaat
kepada manusia lain.” Selain itu, Dr Afifi turut menyeru kepada orang ramai
terutama golongan akademik agar tidak terikat dengan disiplin ilmu
masing-masing dan berusaha mendalami disiplin ilmu lain. Beliau memetik nama
Imam al-Ghazali yang berjaya menguasai banyak disiplin ilmu semasa hayatnya.

3.
Selepas menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017, Dr
Afifi mengesyorkan pihak kerajaan agar menghantar lebih ramai pelajar yang
cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendalami Pengajian Islam ke
peringkat tertinggi. Beliau berpandangan pendekatan tersebut dilihat dapat
memartabatkan kedudukan agama Islam dan menaikkan imej orang Islam. Menerusi
inisiatif ini, lebih ramai ulama dapat dilahirkan di rantau Nusantara sekaligus
dapat menyumbang perkembangan Islam di tempat lain termasuk Eropah.

Beliau
menambah, “Kerajaan jangan hanya hantar pelajar yang mengaji Islam, mereka yang
tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Ini antara satu stereotaip yang
berlaku kepada kebanyakannya tenaga pengajar Islam ketika ini. (Mereka) yang
tak dapat semua A, mengambil bidang Pengajian Islam, (sedangkan) ramai yang
dapat semua A, belajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan. Kita amat
memerlukan ulama yang berwibawa dan intelektual pada masa ini.”

4.
Industri halal dan pembiayaan perdagangan Islam perlu disatukan untuk meningkatkan
aktiviti perdagangan Islam global. Dr Afifi yang turut berkhidmat sebagai Pengarah
Bebas Bukan Eksekutif Maybank Islamik berkata, “Potensinya sangat jelas bahawa
terdapat peluang besar dalam industri halal dan kewangan perdagangan Islam
memandangkan hanya 1.5% sumbangan perdagangan Islam di seluruh dunia pada 2016.”
Beliau menambah bank-bank Islam sudah mula bersuara yang mahukan ia
dilaksanakan dalam bidang perdagangan kerana pihak kawal selia dan kerajaan
perlu menggubal polisi-polisi yang menggalakkan syarikat multinasional untuk
memenuhi keperluan kepatuhan.

Tambahnya,
“Menurut satu laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2014, ia secara
jelas menyebut polisi budaya pematuhan halal pada semua peringkat harus digubal
yang bermaksud keperluan mengintegrasikan industri dengan kewangan Islam. Dan
itu seharusnya menjadi langkah seterusnya. Saya fikir ia menjadi tanggungjawab
agensi-agensi kerajaan seperti Halal Industry Development Corp Sdn Bhd (HDC) di
bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memacu projek ini ke hadapan.” Beliau
menambah, “Jika anda melihat angka 1.5%, itu bermakna potensi pertumbuhan itu
sangat besar seperti potensi pembiayaan sukuk dan itu masih belum lagi
direalisasikan.”

RUJUKAN:

1.
Ismail, Ashwad. (2017). Adakah kita Arab? Tidak. Adakah kita Muslim? Ya. – Dr
Afifi Al-Akiti. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/adakah-kita-arab-tidak-adakah-kita-muslim-ya-dr-afifi-al-akiti-161701

2.
Musa, Asliza. (2018). Dr. Afifi Al-Akiti dimasyurkan pembesar negeri. Utusan
Malaysia. https://www.utusan.com.my/berita/nasional/dr-afifi-al-akiti-dimasyurkan-pembesar-negeri-1.781112

3.
Shamsuddin, Mohd Aizat. (2018). Umat Islam perlu perluas bidang ilmu, inovasi
bermanfaat. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/12/514743/umat-islam-perlu-perluas-bidang-ilmu-inovasi-bermanfaat

4.
Parzi, Mohd Nasaruddin. (2017). Pelajar cemerlang perlu dalami bidang agama.
Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/357390/pelajar-cemerlang-perlu-dalami-bidang-agama

5.
Obat2U. (2015). Biodata Syeikh Dr Afifi al-Akiti. http://as-suhaime.blogspot.com/2015/05/biodata-syeikh-dr-afifi-akiti.html

6.
Yusop, Siti Haliza. (2019). Usah mudah tolak, haramkan adat dan budaya Melayu.
Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/02/533455/usah-mudah-tolak-haramkan-adat-dan-budaya-melayu

7.
Utusan Malaysia. (2019). Satukan industri halal, pembiayaan perdagangan Islam. https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/satukan-industri-halal-pembiayaan-perdagangan-islam-1.875897

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet