Rantau Nusantara terutama Malaysia tidak pernah sunyi dari melahirkan para ulama yang menabur bakti kepada ummah. Siapa tidak kenal ulama seperti Tok Kenali, Sheikh Ahmad al-Linggi, Sheikh Abdullah Fahim dan Datuk Dr Haron Din.
Tetapi bagi sosok tubuh ini, beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai Felo Kolej Worcester, Oxford dan pensyarah Pusat Islam di Pengajian Islam, Fakulti Teologi, Universiti Oxford. Individu yang saya maksudkan ialah Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak, Dato Dr Afifi al-Akiti.
Dr Afifi merupakan anak jati Batu Gajah, Perak dan dilahirkan pada tahun 1976. Kedua-dua ibu bapanya terlibat dengan profesion sebagai guru. Selepas mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah di Selangor, Dr Afifi menyambung pengajian di beberapa institusi pondok dan madrasah di Indonesia, Maghribi dan Syria. Setelah itu, beliau menyambung pengajian di Queen’s University di Belfast di mana pada tahun 2001, Dr Afifi mendapat anugerah pelajar terbaik dari universiti berkenaan. Selepas menamatkan pengajian di Belfast dengan mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang sejarah sains dan falsafah Scholastic, beliau meneruskan pengajian di Oxford.
Semasa di Oxford, Dr Afifi mendapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Falsafah Arab Pertengahan sebagai cendekiawan Clarendon pada tahun 2008. Tesisnya yang dikenali sebagai korpus Madnun mendapat pujian ramai kerana mengenalpasti dan mengelaskan secara sistematik kumpulan tulisan falsafah filsuf Islam terkenal, Imam al-Ghazali. Tesis ini memerlukan beliau mengkaji 50 manuskrip Arab Zaman Pertengahan. Selain membantu para cendekiawan mengenali sumber baru ini, tiga jilid kajian ini turut mempersembahkan edisi kritis kerja teknikal dan terkini berkaitan dengan korpus berkenaan, manual metafizik dan falsafah alam yang dikenali sebagai Major Madnun.
Melihat kepada hasil kerja sebegini rupa, tidak hairanlah mengapa Oxford mahu beliau terus kekal di situ bukan saja sebagai pensyarah pada usia 34 tahun tetapi juga sebagai Felo KFAS untuk Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford. Ini kerana selain dikenali sebagai ahli teologi, Dr Afifi juga merupakan seorang ahli falsafah dalam kedua-dua bidang terutama berkaitan dunia Islam dan tamadun Barat. Ini ditambah dengan kefasihannya bertutur dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis. Ini menjadikan beliau anak Melayu pertama dilantik sebagai salah seorang tenaga pensyarah di salah sebuah universiti yang paling berprestij di dunia.
Tetapi satu perkara yang benar-benar mengharumkan namanya sebagai seorang ulama Melayu yang hebat ialah fatwa Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians (dalam Bahasa Arab, tajuknya ialah Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil). Fatwa ini dikeluarkan Dr Afifi beberapa hari selepas insiden serangan bom di London pada 7 Julai 2005. Ia sebagai respon kepada kenyataan pemimpin kumpulan militan Syria, al-Muhajiroun yang menggelar perampas-perampas pesawat serangan 11 September sebagai ‘Magnificent 19’ dan mendakwa walaupun umat Islam yang tinggal di Barat tidak dibenarkan memerangi kerajaan mereka, perkara tersebut tidak terpakai kepada umat Islam yang tinggal di tempat lain.
Ini ditambah dengan kenyataan pemimpin kumpulan itu, Omar Bakri Muhammad yang menuduh London melanggar perjanjian mereka dengan umat Islam dengan menguatkuasakan undang-undang anti-keganasan dan menahan suspek pengganas untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan. Baginya, itu sudah cukup bagi mereka mengisytiharkan perang terhadap pihak kerajaan. Namun, kenyataan dangkal ini diselar oleh Dr Afifi yang menyifatkan seruan sebegitu hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan Islam sahaja dan bukan individu seperti Omar Bakri. Bahkan, beliau menyifatkan mana-mana orang Islam yang terbabit dalam serangan pengganas termasuk serangan bom bunuh diri bukan saja tidak dianggap syahid dan wira, bahkan dianggap sebagai pembunuh.
Fatwa yang dikeluarkan ini mendapat sambutan ramai bila ia disiarkan dalam talian. Berikutan populariti fatwa itu, ia kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku oleh Aqsa Press (Birmingham) dan Warda Publications (Hellenthal, Germany) pada September 2005. Setahun kemudian, fatwa Defending the Transgressed muncul dalam The State We Are In, satu koleksi pandangan dan fatwa yang dikeluarkan oleh para ulama dunia Islam lain termasuk Sheikh Hamza Yusuf dan Sheikh Abdullah Bayyah. Edisi ketiga fatwa berkenaan diterbitkan pada tahun 2009 sebagai sebahagian daripada siri Syarahan Amnesty Oxford 2006 bertajuk War Against Terror. Ia sudah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Jerman, Bahasa Sepanyol dan Bahasa Albania.
Melihat prestijnya sebagai seorang ulama Melayu yang disegani di Timur dan Barat, maka tidak hairanlah mengapa Sultan Perak yang ketika itu bergelar Raja Muda Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melantiknya sebagai Ahli Dewan Penasihat Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak pada tahun 2010. Pada tahun 2011 dan 2012, Dr Afifi dikurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) dan Darjah Dato’ Paduka Cura Si-Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato. Dan pada tahun lepas, Sultan Nazrin dengan sukacitanya memasyhurkan beliau sebagai pembesar negeri Perak dengan gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak.
Banyak pandangan beliau yang menarik yang harus kita soroti:
1. “Salah satu nasihat para ulama Nusantara ialah percaya bahawa adat resam masyarakat tempatan harus menjadi asas syariah. Jika perkara ini tidak diambil endah atau diketepikan begitu saja, ia akan mengundang masalah. Justeru, kita perlu mencari keseimbangan antara tradisi Islam dengan budaya tempatan. Dan amat penting bagi kita merasa yakin dengan budaya kita sendiri. Masyarakat akan mula mengimport budaya luar sekiranya mereka tidak ada keyakinan terhadap akar budaya sendiri. Dan kita sebagai umat Islam di Nusantara bahawa kita juga kaya dengan nilai tradisi dan budaya tempatan.”
2. Dr Afifi melihat Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) harus disertai umat Islam kerana relevan untuk semua peringkat termasuk golongan ulama kerana revolusi yang berlaku ini merangkumi semua aspek ilmu termasuk dalam bidang pengajian Islam. Tambahnya, bermula daripada revolusi industri pertama hingga IR 4.0 hari ini, ciptaan yang dihasilkan oleh Henry Ford, Thomas Edison dan Tim Berners-Lee berjaya mengubah dunia yang seterusnya dapat menyenangkan umat manusia. Beliau kemudiannya memetik satu hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar r.a, bahawasanya Nabi s.a.w ditanya seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah SWT?” Baginda menjawab: “Orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bermanfaat buat manusia lain.” (Riwayat Tabrani)
Beliau menambah dengan melihat kepada perspektif dunia, individu seperti mereka ini bertepatan dengan hadis berkenaan kerana ciptaan mereka yang memberi manfaat kepada manusia. Tambahnya, “Kita harus meletakkan diri dalam golongan yang dicintai oleh Allah s.w.t dengan melakukan sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.” Selain itu, Dr Afifi turut menyeru kepada orang ramai terutama golongan akademik agar tidak terikat dengan disiplin ilmu masing-masing dan berusaha mendalami disiplin ilmu lain. Beliau memetik nama Imam al-Ghazali yang berjaya menguasai banyak disiplin ilmu semasa hayatnya.
3. Selepas menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2017, Dr Afifi mengesyorkan pihak kerajaan agar menghantar lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendalami Pengajian Islam ke peringkat tertinggi. Beliau berpandangan pendekatan tersebut dilihat dapat memartabatkan kedudukan agama Islam dan menaikkan imej orang Islam. Menerusi inisiatif ini, lebih ramai ulama dapat dilahirkan di rantau Nusantara sekaligus dapat menyumbang perkembangan Islam di tempat lain termasuk Eropah.
Beliau menambah, “Kerajaan jangan hanya hantar pelajar yang mengaji Islam, mereka yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM. Ini antara satu stereotaip yang berlaku kepada kebanyakannya tenaga pengajar Islam ketika ini. (Mereka) yang tak dapat semua A, mengambil bidang Pengajian Islam, (sedangkan) ramai yang dapat semua A, belajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan. Kita amat memerlukan ulama yang berwibawa dan intelektual pada masa ini.”
4. Industri halal dan pembiayaan perdagangan Islam perlu disatukan untuk meningkatkan aktiviti perdagangan Islam global. Dr Afifi yang turut berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maybank Islamik berkata, “Potensinya sangat jelas bahawa terdapat peluang besar dalam industri halal dan kewangan perdagangan Islam memandangkan hanya 1.5% sumbangan perdagangan Islam di seluruh dunia pada 2016.” Beliau menambah bank-bank Islam sudah mula bersuara yang mahukan ia dilaksanakan dalam bidang perdagangan kerana pihak kawal selia dan kerajaan perlu menggubal polisi-polisi yang menggalakkan syarikat multinasional untuk memenuhi keperluan kepatuhan.
Tambahnya, “Menurut satu laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2014, ia secara jelas menyebut polisi budaya pematuhan halal pada semua peringkat harus digubal yang bermaksud keperluan mengintegrasikan industri dengan kewangan Islam. Dan itu seharusnya menjadi langkah seterusnya. Saya fikir ia menjadi tanggungjawab agensi-agensi kerajaan seperti Halal Industry Development Corp Sdn Bhd (HDC) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memacu projek ini ke hadapan.” Beliau menambah, “Jika anda melihat angka 1.5%, itu bermakna potensi pertumbuhan itu sangat besar seperti potensi pembiayaan sukuk dan itu masih belum lagi direalisasikan.”
RUJUKAN:
1. Ismail, Ashwad. (2017). Adakah kita Arab? Tidak. Adakah kita Muslim? Ya. – Dr Afifi Al-Akiti. Astro Awani. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/adakah-kita-arab-tidak-adakah-kita-muslim-ya-dr-afifi-al-akiti-161701
2. Musa, Asliza. (2018). Dr. Afifi Al-Akiti dimasyurkan pembesar negeri. Utusan Malaysia. https://www.utusan.com.my/berita/nasional/dr-afifi-al-akiti-dimasyurkan-pembesar-negeri-1.781112
3. Shamsuddin, Mohd Aizat. (2018). Umat Islam perlu perluas bidang ilmu, inovasi bermanfaat. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2018/12/514743/umat-islam-perlu-perluas-bidang-ilmu-inovasi-bermanfaat
4. Parzi, Mohd Nasaruddin. (2017). Pelajar cemerlang perlu dalami bidang agama. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/357390/pelajar-cemerlang-perlu-dalami-bidang-agama
5. Obat2U. (2015). Biodata Syeikh Dr Afifi al-Akiti. http://as-suhaime.blogspot.com/2015/05/biodata-syeikh-dr-afifi-akiti.html
6. Yusop, Siti Haliza. (2019). Usah mudah tolak, haramkan adat dan budaya Melayu. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/02/533455/usah-mudah-tolak-haramkan-adat-dan-budaya-melayu
7. Utusan Malaysia. (2019). Satukan industri halal, pembiayaan perdagangan Islam. https://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/satukan-industri-halal-pembiayaan-perdagangan-islam-1.875897
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih