Kita tahu serangan Jepun ke atas Pearl Harbor pada bulan Disember 1941 merupakan satu serangan berani mati yang mengejutkan Amerika Syarikat. Serangan pada 7 Disember 1941 itu menyebabkan Amerika Syarikat memutuskan menyertai Perang Dunia Kedua (WWII) dan turut membawa kepada perancangan Serangan Tokyo atau Serangan Doolittle. Perancang di sebalik serangan ini ialah seorang juruterbang terkenal bernama Leftenan Kolonel James ‘Jimmy’ Doolittle, juruterbang paling berani yang pernah diketahui Komander Udara Tentera, Jeneral Henry ‘Hap’ Arnold.
Jika dibandingkan dengan kempen pengeboman tentera Bersekutu di Jerman atau kempen pengeboman di Vietnam, kempen ini dilihat memberi kesan psikologi kepada Jepun berbanding Nazi Jerman atau Vietnam. Dan semua ini berkait rapat dengan momentum perang. Ini kerana pada ketika itu, Jepun sudah berada di hadapan dengan menawan sebahagian rantau Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik serta mengancam kedudukan pertahanan Amerika di Filipina dan Australia. Bagi Amerika, mereka memerlukan apa saja kejayaan untuk menaikkan semula moral dan mengembalikan momentum di pihak mereka. Dan ini yang memberi idea kepada Presiden Franklin Delano Roosevelt: menyerang Jepun dengan kempen pengeboman sebagai tindak balas.
Namun ia mengundang satu masalah dari segi logistik. Jika nak gunakan pesawat pengebom berat seperti B-17, mereka tiada akses kepada pangkalan udara yang berhampiran dengan Jepun. Filipina hanya menanti masa tumbang jadi pesawat sebegitu sudah tidak boleh digunakan berikutan di luar jarak penerbangan. Jika melancarkan pesawat dari kapal pengangkut, ia mengundang masalah lain. Pesawat yang terbang dari situ hanya boleh terbang dalam jarak 250 batu dan dengan ancaman angkatan laut Jepun, perkara terakhir bagi Tentera Laut ialah meletakkan kapal-kapal pengangkutnya menjadi sasaran pihak Jepun.
Solusi kepada semua permasalahan ini ialah menggunakan pesawat udara baru B-25B Mitchell dan melancarkannya dari kapal pengangkut pesawat. Namun ia mengundang masalah baru, jika mereka perlu mendarat, pendaratan perlu dibuat di padang terbang dan bukan kapal pengangkut pesawat mereka. Selain itu, untuk memastikan ia boleh berlepas dari kapal pengangkut, pesawat B-25B ini juga perlu dikurangkan berat dan diisi penuh dengan minyak. Dari situ, kumpulan pesawat ini akan berlepas beberapa ratus batu dari perairan Jepun, mulakan kempen pengeboman dan mendarat di China. Semasa mendarat, juruterbang-juruterbang ini diingatkan menghafal ayat ini dalam Bahasa Mandarin, “Lusha hoo metwa fugi.” (Saya orang Amerika). Mereka juga perlu belajar mengenalpasti siapa rakan dan siapa musuh sebaik berada di bumi China. Doolittle memberi kemungkinan kurang dari 50% saja peluang juruterbang yang terlibat selamat.
Pada bulan April 1942, kumpulan ini bertolak terdiri daripada dua kapal pengangkut (USS Hornet dan USS Enterprise), tiga kapal kruzer berat (USS Salt Lake City, USS Northampton, USS Vincennes), satu kapal kruzer ringan (USS Nashville), lapan kapal pemusnah (USS Balch, USS Fanning, USS Benham, USS Ellet, USS Gwin, USS Meredith, USS Grayson dan USS Monssen) dan dua kapal tangki (USS Cimarron dan USS Sabine). Mereka bergerak tanpa menghidupkan radio. Pada tengah hari 17 April, kapal-kapal tangki minyak mengisi semua kapal sebelum bergerak ke sebelah timur diiringi oleh kapal-kapal pemusnah. Sementara kapal-kapal pengangkut dan kruzer terus menuju ke barat dengan kelajuan 20 knot dengan harapan sampai ke tempat perlancaran di timur perairan Jepun. Bagaimanapun pada awal pagi 18 April, pergerakan mereka dikesan sebuah bot peronda Jepun, Nitto Maru yang memberitahu akan serangan mengejut ke atas negara Matahari Terbit itu. Walaupun berjaya memberi amaran kepada kepimpinan tertinggi di Tokyo, bot tersebut karam ditembak USS Nashville. Kapten Nitto Maru memilih bunuh diri berbanding membiarkan dirinya ditawan sementara lima daripada 11 krew diselamatkan dan ditahan oleh krew Nashville.
Sedar kehadiran mereka sudah dihidu oleh Jepun, Doolittle dan kapten USS Hornet, Kapten Marc Mischer mengarahkan serangan dilakukan walaupun tahu ia 10 jam lebih awal dari jangkaan waktu operasi dan 170 batu dari tempat pelancaran asal. Bagi pihak Jepun pula, mereka segera menggerakkan angkatan kapal yang bertanggungjawab menyerang Pearl Harbor mengubah haluan dari Lautan Hindi kembali ke perairan Jepun. Mereka menyangka kapal-kapal ini tidak akan berada dalam lingkungan mereka sehingga 19 April, sekaligus memberi peluang untuk mereka menyerang dan mematikan ancaman kumpulan serangan Doolittle.
Namun sebaliknya yang berlaku. Antara jam 8.00 pagi hingga 9.00 pagi, 16 pesawat B-25B berlepas dari USS Hornet dan tiba di pesisir pantai Jepun lima jam kemudian. Para petani dan nelayan menyangka kumpulan yang diketuai sendiri Doolitlle ini merupakan pesawat Jepun dan melambai ke arah mereka. Dengan cuaca cerah, kebanyakan pesawat pengebom mensasarkan Tokyo yang dilihat luas dan sama seperti Los Angeles. Doolittle mensasarkan sebuah kilang senjata besar dan menggugurkan empat bom yang menyebabkan kilang tersebut terbakar. Seorang lagi juruterbang mensasarkan sebuah pangkalan tentera laut besar di Yokohama dan mengugurkan beberapa butir bom di situ. Walaupun diserang bertubi-tubi oleh meriam anti-pesawat, juruterbang tersebut berjaya melarikan diri dan menjerit dalam radio, “Kita dapat bom kapal pengangkut mereka (Ryuho)!”
Mereka menyangka dengan serangan sebegini, pasti mereka akan menjadi sasaran pesawat-pesawat Zero Jepun tetapi itu tidak berlaku. Walaupun pihak Jepun cuba menggerakkan beberapa pesawat untuk memintas mereka, tiga pesawat Ki-27 ‘Nate’ berjaya ditembak jatuh kumpulan tersebut sementara siren serangan udara Jepun hanya dibunyikan selepas serangan berakhir. Dan Perdana Menteri Jepun, Hideki Tojo juga boleh saja menjadi sasaran Doolittle apabila pesawatnya hendak mendarat di sebuah padang terbang kecil. Bagaimanapun, pesawat beliau tidak melepaskan sebarang tembakan. Sementara USS Enterprise dan USS Hornet dalam perjalanan pulang ke Amerika, mula memintas isyarat dari Radio Tokyo yang menyiarkan berita serangan tersebut. Sorakan kedengaran dalam kalangan krew di mana ia menunjukkan Amerika kembali membalas apa yang dilakukan Jepun ke atas Pearl Harbor beberapa bulan sebelumnya.
Kumpulan pengebom kemudian berkumpul di Laut Jepun dan terbang menuju ke sebelah barat. Tiada siapa yang berjaya ditembak dan apa yang perlu dilakukan ialah mendarat di padang terbang di wilayah yang dikuasai China. Masalah timbul apabila mereka perlu mendarat pada waktu malam dan ini diburukkan dengan keadaan cuaca buruk. Dengan penglihatan kabur dan kehabisan minyak, ditambah dengan tiada isyarat pendaratan untuk menunjukkan padang terbang, ia satu situasi mencemaskan. Satu-satunya pilihan Doolittle ialah meneruskan penerbangan sampai pesawat kehabisan minyak dan terjun dalam keadaan gelap dan hujan. Satu demi satu juruterbang dan krew terjun dari pesawat masing-masing. Dan ajaibnya, hanya tiga saja yang terbunuh semasa mendarat. Lapan lagi berjaya ditawan oleh pihak Jepun di mana tiga daripadanya dihukum bunuh sementara baki diseksa dan dihukum penjara seumur hidup.
Pelbagai anekdot tentang bagaimana mereka terselamat semasa berada di China. Doolittle mendarat di kawasan sawah padi di mana ia dibaja dengan najis manusia. Beliau cuba menyebut lusha hoo metwa fugi di beberapa rumah tetapi tiada siapa yang memahami apa yang dikatakan. Seorang juruterbang berjaya mendarat di atas sebatang pokok dan sebelum turun, menyalakan sebatang rokok. Selepas membebaskan dirnya dan menyambung merokok, juruterbang tersebut kemudian melemparkan puntung tersebut ke tanah. Siapa sangka rokok yang dibaling itu memberi petanda ia sebenarnya sebuah gaung dengan kedalaman seribu kaki dan pokok itu sebenarnya menyelamatkannya daripada terus jatuh. Seorang lagi juruterbang yang terselamat cuba memanaskan badan dengan berlindung dalam satu kotak kayu panjang di sebuah bangsal. Lelaki tersebut terkejut kerana kotak kayu itu sebenarnya sebuah keranda mengandungi mayat seorang lelaki tua Cina.
Doolittle dan krewnya kembali dipertemukan keesokan harinya. Kebanyakan mereka diberi perlindungan dan dibawa lari oleh warga China dengan pelbagai cara pengangkutan seperti beca, basikal, keldai dan kereta lembu ke tempat selamat di bawah kawalan tentera Amerika. Semua yang berjaya pulang diraikan sebagai wira. Sementara berita serangan berani itu disiarkan di radio dan akhbar serata dunia, sekaligus menaikkan semula moral tentera Bersekutu. Dan serangan itu juga sebenarnya membantu perancang-perancang strategi tentera mendapatkan maklumat penting yang akhirnya mengubah haluan perang memihak kepada Amerika dan pihak Bersekutu. Sebelum misi Doolittle, pihak tentera laut Jepun tidak menggunakan radio semasa berkomunikasi sekaligus mengecewakan pemecah-pemecah kod Amerika kerana hanya mendapat 10% maklumat. Tetapi selepas serangan tersebut, ia menyebabkan radio dibanjiri dengan pelbagai mesej kod yang membantu pihak Amerika memecah kod mereka dalam tempoh beberapa minggu.
Maklumat-maklumat ini yang kemudian membantu pihak Amerika menang di Midway sebulan kemudian dan memberi peluang kepada Amerika meneruskan momentum perang untuk pihak Bersekutu. Selepas kembali ke pangkalan Pasukan Udara Tentera, Doolittle mendapati Arnold dan Ketua Staf Tentera, Jeneral George Marshall sudah menunggu beliau. Doolittle diberitahu beliau akan ke Rumah Putih untuk bertemu dengan Roosevelt. Bimbang akan kegagalan serangan itu akan menyebabkannya diheret ke mahkamah tentera, Doolittle bertanya, “Untuk apa?” Marshall menjawab, “Dia mahu memberi kamu Pingat Kehormatan (Medal of Honor).” Selain diberi pingat, beliau turut mendapat kenaikan pangkat sebagai Brigadier Jeneral.
Tetapi harga yang dibayar pihak China amat mahal. Bersambung…
SUMBER
- Peck, Michael. (2017). National Interest. 30 Seconds Over Tokyo: How the Doolittle Raid Doomed the Japanese Empire. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/30-seconds-over-tokyo-how-the-doolittle-raid-doomed-the-20197?page=show
- Groom, Winston. (2017). National Geographic. Trained in Secret, These Fearless Pilots Retaliated for Pearl Harbor. https://news.nationalgeographic.com/2017/04/doolittle-raiders-anniversary-world-war-two-history/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih