Snow White and the Seven Dwarfs atau judul Bahasa Melayunya, ‘Puteri Salju dan Tujuh Orang Kerdil’ merupakan salah sebuah kisah dongeng yang paling masyhur di dunia. Ramai dalam kalangan kita membesar dengan kisah dongeng Snow White ini – kisah berkenaan seorang puteri jelita yang diracuni ibu tirinya dengan memakan buah epal beracun lalu beliau yang terbaring pengsan ditemani oleh tujuh orang kerdil dan kemudian, berkahwin dan hidup bahagia bersama seorang putera tampan.
Begitulah secara ringkas premis dan perjalanan cerita dongeng Snow White yang kali pertama diterbitkan oleh Jakob dan Wilhelm Grimm pada tahun 1812 sebagai sebahagian daripada koleksi kisah rakyat Eropah lama dengan judul Schneewittchend und die sieben Zwerge. Kemudian pada tahun 1937, Walt Disney menerbitkan filem animasi Snow White yang berhasil melonjakkan pengaruh kisah dongeng itu dalam budaya pop sehingga mencapai tingkat kemasyhuran sebagaimana yang disandangnya pada hari ini.
Seperti kebanyakan kisah rakyat yang dihimpunkan oleh Grimm bersaudara (Grimm’s Fairy Tales), kebanyakan pengkaji mempercayai bahawa Snow White and the Seven Dwarfs telah pun wujud dan bahkan mungkin memiliki asal-usul semenjak zaman pertengahan lagi. Pun begitu, tiada kata muktamad dalam kalangan pengkaji berkaitan sumber inspirasi bagi kisah Scnewwittchend und die sieben Zwerge. Walau bagaimanapun, premis teras bagi penceritaan kisah dongeng ini dispekulasikan memiliki kemungkinan inspirasi berupa beberapa elemen seperti kisah rakyat, kehidupan figura sejarah dan juga simbolisme kebudayaan setempat. Artikel ini akan cuba membahaskan Snow White dari perspektif sedemikian.
RINGKASAN KISAH DONGENG PUTERI SALJU DAN TUJUH ORANG KERDIL
Sebelum meneruskan penulisan, molek kiranya kita hidangkan serba-sedikit ringkasan tentang kisah Snow White ini sebagai pengimbau memori. Kisah Snow White and the Seven Dwarfs memerihalkan tentang seorang puteri yang dilahirkan sebagai jelitawan dan berkulis mulus sehingga dinamakan sebagai ‘Salju Putih’ (Snow White).
Selepas kemangkatan ibundanya, ayahanda Snow White mengahwini seorang wanita yang jahat. Lantaran cemburu dengan kejelitaan yang dimiliki oleh Snow White, ibu tirinya mengarahkan seorang pemburu untuk membawanya ke hutan dan membunuhnya di sana.
Pun begitu, si pemburu bersimpati dengan Snow White lantas membebaskannya. Kemudian, Snow White hidup bersama tujuh orang kerdil di sebuah pondok di dalam hutan sebelum diracuni oleh ibu tirinya yang menyamar sebagai nenek tua yang menghadiahkannya sebiji epal beracun. Dengan serta-merta, Snow White pun pengsan tidak sedarkan diri. Ketujuh-tujuh orang kerdil itu menyangka beliau sudah meninggal dunia. Lalu, mereka pun menghasilkan keranda yang diperbuat daripada kaca.
Pada suatu hari, seorang putera tampan kebetulan melalui kawasan itu dan terlihat Snow White terbaring kaku di dalam keranda kaca. Langsung sahaja beliau jatuh hati kepada si jelitawan itu. Ketika mengangkut keranda tersebut, tak semena-mena keranda itu terjatuh lantas epal beracun itu pun terkeluar dari tekak Snow White dan langsung sahaja beliau kembali sedar dan pulih seperti sediakala. Kemudian, si putera meluahkan rasa cintanya dan mereka berdua pun hidup bahagia buat selama-lamanya. (Ayat terakhir ni sangat penting dan tidak boleh ditinggal bagi kisah dongeng)
INSPIRASI DARIPADA KISAH-KISAH RAKYAT
Menurut sumber-sumber bacaan yang diambil sebagai rujukan, premis penceritaan Snow White and the Seven Dwarfs yang kita kenali pada hari ini sebenarnya hadir dalam sekitar 400 buah variasi kisah dongeng di dunia. Variasi paling masyhur yang dijadikan sebagai dasar kepada penghasilan Snow White and the Seven Dwarfs berasal-usul daripada Snowdrop, sebuah kisah yang terkandung di dalam Hikayat Kanak-Kanak Dan Keluarga karya Grimm bersaudara. Kemudian, versi ini diolah dengan format yang lebih santai sehingga diadaptasikan ke dalam animasi Walt Disney.
Sementara itu, Snowdrop sendiri merupakan sebuah kisah yang digarap menerusi penggabungan sejumlah kisah yang lain. Antaranya seperti The Young Slave; Gold-Tree and Silver-Tree; Maria, The Wicked Stepmother and The Seven Robbers, dan juga The Crystal Coffin.
Untuk dibedah dengan lebih lanjut, kisah Gold-Tree and Silver-Tree memperlihatkan seorang raja yang mempunyai seorang permaisuri bernama Silver-Tree dan seorang puteri bernama Gold-Tree. Pada suatu hari, si ibu dan puteri berpergian ke sebuah lurah yang di sana terdapat sebuah perigi yang menempatkan seekor ikan ajaib.
Dalam kesempatan itu, Silver-Tree iaitu si permaisuri bertanyakan kepada ikan ajaib itu adakah dirinya wanita paling cantik di dunia. Namun, sang ikan menjawab bahawa bukan beliau, akan tetapi si puteri, Gold-Tree itulah wanita yang paling cantik di dunia.
Hal ini membangkitkan kemarahan Silver-Tree yang langsung sahaja bersumpah untuk mogok dari menjalani kehidupan normal selagi tidak dapat memakan hati dan jantung Gold-Tree. Hasratnya itu diluahkan kepada suaminya. Sebaik sahaja mengetahui niat jahat permaisurinya itu, si raja terus mengahwinkan Gold-Tree dengan seorang putera supaya si puteri dapat dibawa pergi jauh demi keselamatannya. Tidak cukup begitu, si raja malah memperdaya Silver-Tree dengan memberikannya jantung dan hati haiwan untuk dimakan.
Menerusi kisah rakyat ini, kita dapat melihat kewujudan beberapa elemen teras dalam Snow White and the Seven Dwarfs iaitu penampilan puteri yang jelita, ibu tiri yang jahat, dan suatu benda ajaib sebagai pemaklum wanita tercantik di dunia.
Inspirasi bagi premis penceritaan yang seterusnya pula dapat dilihat di dalam kisah Maria, the Wicked Stepmother and the Seven Robbers. Premis penceritaan yang dimaksudkan di sini adalah Snow White dihalau dari rumah, dibawa ke hutan dan diarahkan agar dibunuh sebelum kemudiannya bertemu dengan tujuh orang kerdil. Diceritakan di dalam kisah rakyat ini bahawa Maria dihalau oleh ibu tirinya yang jahat. Lalu, beliau meredah hutan tebal sebelum menemukan sebuah pondok yang dihuni oleh tujuh orang perompak.
Kehadirannya disambut baik oleh mereka yang membenarkan beliau untuk tinggal bersama di pondok tersebut asalkan Maria membantu memasakkan makanan dan mengemas pondok itu untuk mereka. Namun tatkala ibu tiri Maria dapat tahu yang beliau masih hidup, terus sahaja dihadiahkannya sebentuk cincin sumpahan yang berupaya mengakibatkan maut kepada si pemakainya.
Amat mirip bukan penceritaannya dengan Snow White and the Seven Dwarfs? Kemiripan, atau lebih tepat, sumber inspirasi ini dilengkapkan lagi menerusi kisah rakyat berjudul The Crystal Coffin yang menghadirkan salah satu elemen terakhir dalam penceritaan Snow White iaitu ‘keranda kaca’.
INSPIRASI DARIPADA KEHIDUPAN DUA ORANG PUTERI
Selain kisah-kisah rakyat yang dikongsikan di atas, para pengkaji turut berpendapat bahawa Snow White ini dihasilkan dengan inspirasi daripada sekurang-kurangnya dua orang wanita yang hidup di dalam lembaran sejarah iaitu Margarete von Waldeck dan Maria Sophia von Erthal. Mana satu yang benar-benar menjadi sumber inspirasi kepada watak Snow White tidak dapat disebutkan secara pasti, namun kedua-dua nama inilah yang muncul apabila dibicarakan tentang sumber inspirasi bagi watak utama kisah dongeng berkenaan. Untuk melihatnya dengan lebih lanjut, mari kita telusuri riwayat hidup mereka secara ringkas.
Sejarahwan yang mengusulkan Margarete von Waldeck sebagai inspirasi kepada karakter Snow White di dalam Grimm’s Fairy Tales adalah Eckhard Sander menerusi kertas kerja tahun 1994 yang berjudul, ‘Schneewittchen: Marchen oder Wahrheit? (Puteri Salju: Adakah Ianya Sebuah Kisah Dongeng?). Margarete von Waldeck dilahirkan pada tahun 1533 sebagai puteri kepada Philip IV, seorang bangsawan Jerman. Pada usia 16 tahun, beliau dipaksa oleh ibu tirinya yang bernama Katharina agar berpindah ke Wildungen, Brussel. Seperti Snow White, hubungan antara Margarete dan ibu tirinya tidak berjalin dengan mesra.
Ketika berada di Wildungen, Margarete berkahwin dengan seorang putera yang kelak ditabalkan sebagai Philip III Sepanyol. Namun, hubungan ini tidak direstui oleh ayah dan ibu tiri Margarete atas faktor-faktor politik. Margarete kemudiannya meninggal dunia secara misteri pada tahun 1554 ketika berusia 21 tahun. Kebanyakan sumber mendakwa bahawa beliau mati akibat diracun. Eckhard Sander cuba memperkukuhkan dakwaan ini dengan melampirkan bukti berupa wasiat Margarete yang ditulis dengan begitu cakar ayam sejurus sebelum kematiannya – suatu hal yang mengisyaratkan bahawa Margarete cuba menurunkan wasiat walaupun berkeadaan sedang menerima kesan daripada racun.
Cuma berbeza dengan premis di dalam kisah dongeng, pembunuh Margarete sama sekali bukanlah ibu tirinya memandangkan Katharina telah pun meninggal dunia sebelum kematian Margarete.
Selain elemen hubungan yang renggang antara ibu tiri dan si puteri yang membawa kepada pengusirannya, kisah hidup Margarete ini turut memperlihatkan kehadiran ‘watak kerdil’. Dicatatkan bahawa ayahanda Margarete memiliki beberapa lombong tembaga dan mengupah kanak-kanak untuk bekerja sebagai buruh dan pelombong.
Kehidupan miskin dan melarat yang melanda mereka pada masa itu mengakibatkan ramai daripada mereka meninggal dunia pada usia yang muda. Bagi yang berumur panjang pula, mereka terpaksa mengalami pertumbuhan tubuh yang terbantut dan menjadi kerdil akibat kekurangan nutrisi di samping terpaksa melakukan kerja-kerja fizikal yang sangat berat.
Sebahagian sejarahwan tidak berkongsi idea tentang Margarete von Waldeck sebagai sumber inspirasi kepada watak Snow White. Antara pengkaji yang berpendirian sebegini adalah Dr Karlheinz Bartels dan rakan sepasukannya dari Lohr, Bavaria di mana mereka mengusulkan Maria Sophia von Erthal sebagai calon inspirasi.
Maria Sophia yang dilahirkan di Lohr am Main, Bavaria pada 15 Jun 1729 (pendapat lain menyebut 1725) adalah anak kepada seorang pemilik tanah bernama Putera Christoph von Erthal bersama isterinya, Baroness von Bettendroff. Menurut Dr Karlheinz Bartels, bapa Maria Sophia mungkin bukanlah seorang raja. Tetapi, beliau dilayan oleh masyarakat setempat selayak seorang bangsawan atau kerabat.
Hal ini bersesuaian dengan pekerjaan Christoph sebagai duta bagi archbishop di Mainz di mana profesion ini menuntut beliau bergaul dengan para raja dan maharaja di Eropah. Merincikan keperibadian Maria Sophia, memoir keluarganya menyebutkan beliau sebagai, “bidadari (simbol) belas-kasih dan kebaikan” dan (beliau adalah seorang yang) “bersikap dermawan terhadap golongan miskin. Hati dan fikirannya sentiasa tercurah kepada maslahat orang awam.”
Pada tahun 1743, Maria Sophia kehilangan ibu kandungnya. Bapa beliau kemudiannya berkahwin dengan Claudia Elisabeth Maria von Venningen yang mempunyai dua orang anak menerusi perkahwinannya yang terdahulu. Oleh kerana, itu, Claudia lebih cenderung mendahulukan anak kandungnya berbanding anak tiri seperti Maria Sophia. Hal sebeginilah yang mencambahkan bibit konflik antara mereka berdua.
Dr Karlheinz Bartels turut merincikan bahawa tidak lama selepas perkahwinan antara Philipp dan Claudia, Philipp memberikan kepada isterinya itu sebuah hadiah berupa sebingkai cermin setinggi 1.6 meter yang dipenuhi dengan pelbagai hiasan. Cermin ini dipercayai dihasilkan di syarikat milik Philipp sendiri pada tahun 1720. Pada hari ini, cermin tersebut boleh dilihat di Muzium Spessart, sebuah muzium yang dahulunya menjadi kediaman keluarga Maria Sophia, dikenali sebagai Istana Lohr, Mainz.
Walau bagaimanapun, Maria Sophia tidak mengalami hidup yang seindah Snow White atau paling tidak, Margarete (yang sempat berkahwin dengan kekasih hati) apabila beliau ditimpa kemalangan sehingga menjadi buta sebelum meninggal dunia pada tahun 1796 di usia 71 tahun. Kerandanya disimpan di sebuah gereja yang terletak di Bamberg. Namun ketika gereja itu diruntuhkan, keranda beliau dibawa ke sebuah hospital yang ditubuhkan oleh saudara Maria Sophia sendiri. Kerana tersebut sekali lagi berpindah pada tahun 1970an dan dipelihara oleh sebuah keluarga tempatan sebelum kemudiannya diserahkan kepada Muzium Diocesan di Bamberg.
Seperti Margarete, kisah hidup Maria Sophia turut menampilkan kehadiran ‘orang-orang kerdil’ yang juga memiliki perkaitan dengan perlombongan – bandar perlombongan Bieber yang terletak di barat Lohr.
INSPIRASI BERBENTUK SIMBOLISME SETEMPAT
Para pengkaji juga berpendapat bahawa sebahagian elemen penting di dalam Snow White and the Seven Dwarfs adalah simbolik kepada sesebuah kebudayaan atau signifikasi bagi sesebuah tempat. Hal ini berfungsi sebagaimana yang disebutkan oleh rakan penulis di dalam artikel Moana di mana filem animasi tersebut menampilkan elemen seperti ayam, khinzir, kelapa, tatu dan lain-lain sebagai simbol identiti bagi sesebuah masyarakat.
Bagi Snow White and the Seven Dwarfs, simbol-simbol ini boleh dilihat pada epal beracun, orang kerdil dan juga keranda kaca. Simbolisme orang kerdil sudah pun disebutkan sebelum ini di mana ia berkemungkinan adalah simbol kepada monopoli perlombongan di bandar yang memiliki kaitan dengan kedua-dua figura sejarah penginspirasi Snow White – iaitu Margarete (Waldeck) dan Maria Sophia (Bamberg).
Begitu juga dengan keranda cermin di mana hasil-hasil pertukangan kaca merupakan sektor yang masyhur di wilayah Lohr. Jika dilihat menerusi kisah rakyat Gold-Tree and Silver-Tree pula, cermin ajaib di dalam Snow White and the Seven Dwarfs memiliki kemiripan dengan ikan magis yang menghuni perigi di lurah tempat anak-beranak itu berkunjung.
Malahan, sebahagian sumber turut menyelitkan simbolisme falsafah pada elemen cermin ajaib tersebut di mana mereka menyebutkan bahawa cermin boleh dikaitkan dengan sifat megah diri dan cemburu yang ada pada kaum wanita. Hal ini kerana menerusi cermin, kaum wanita dapat melihat kecantikan diri. Seiring meningkatnya usia, mereka cenderung enggan memperakui hakikat bahawa kecantikan tersebut turut luntur bersama umur. Kemudian, keengganan tersebut dilanjutkan pula dengan kecemburuan terhadap kecantikan yang dimiliki wanita-wanita lain yang lebih muda. Bukankah begitu yang berlaku kepada ibu tiri Snow White?
Berkenaan epal beracun pula, Dr. Karlheinz Bartels mengaitkannya dengan tumbuhan beracun yang terdapat banyak di Lohr, kampung halaman Maria Sophia. Sumber lain pula cuba mengaitkannya dengan legenda Yunani purba berkaitan Eris, si Dewi Perselisihan. Dikisahkan bahawa beliau memperoleh sebiji Epal Emas. Lalu, Eris menulis frasa ‘kepada si jelitawan’ pada epal tersebut dan melontarnya kepada para dewi yang sedang berkumpul di dalam majlis perkahwinan Peleus dan Thetis. Tindakan itu kemudiannya mengakibatkan berlaku perselisihan dalam kalangan dewi.
PENUTUP
Menerusi kisah-kisah yang dikongsikan di atas, kita dapat melihat bahawa kisah dongeng Snow White and the Seven Dwarfs yang sangat sinonim dengan kebanyakan daripada kita ini pada hakikatnya digarap oleh Grimm bersaudara dengan begitu banyak (kemungkinan) sumber inspirasi yang berupa budaya, sejarah dan simbolisme yang menjadi identiti bagi sesebuah masyarakat.
Kemudian, ia mengalami proses pengolahan daripada pakar penceritaan kontemporari sebelum diadaptasikan oleh sebuah produksi terkemuka, iaitu Walt Disney menjadi sebuah animasi tontonan kanak-kanak di seantero dunia.
Betapa proses penyampaian identiti dan budaya kepada generasi baru yang cukup panjang, begitu memakan masa – berasal-usul dari kisah-kisah rakyat di Zaman Pertengahan, kemudiannya dihimpun dan digarapkan oleh Grimm bersaudara pada 1812 menjadi Schneewittchend und die sieben Zwerge dan seterusnya diolah oleh Andrew Lang supaya lebih santai bagi tontonan kanak-kanak sebelum akhirnya, diadaptasi oleh Walt Disney pada tahun 1937.
Setinggi-tinggi kesyukuran dirasakan oleh penulis apabila produksi tempatan turut menggembleng tenaga menempuh proses serupa dalam membawakan elemen-elemen budaya setempat ke peringkat antarabangsa, terutama menerusi filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Boboiboy The Movie 2 yang dikeluarkan pada tahun ini.
RUJUKAN
Cleo Egnal. (n.d.). Was There A
Real-Life Inspiration For Snow White? Ranker.
https://www.ranker.com/list/real-life-inspiration-for-snow-white/cleo-egnal
Jonna Gillan. (12 Oktober 2015).
Exploring the True Origins of Snow White and the Seven Dwarfs. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/exploring-true-origins-snow-white-and-seven-dwarfs-004150
LJ Charleston. (n.d.). The true story of
Snow White, the mirror and the evil queen. News.
https://www.news.com.au/lifestyle/real-life/true-stories/the-true-story-of-snow-white-the-mirror-and-the-evil-queen/news-story/cfcb91c0a151f309f9f151d49c0f01ed
Marilia
Pezzato. (5 Februari 2017). Who Was Snow White? When Old Stories and Real Women
Combine. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends-europe/who-was-snow-white-when-old-stories-and-real-women-combine-007497/page/0/1
Nadine DeNinno. (6 Januari 2012). Is
Snow White Real? A Look Back Into The Life Story of Countess Margarete Von
Waldeck. IB Times.
https://www.ibtimes.com/snow-white-real-look-back-life-story-countess-margarete-von-waldeck-701110
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih