Donald Trump menjadi presiden Amerika pertama yang menjadikan negara orang Islam sebagai destinasi lawatan sulung. Sesuatu yang agak ironik memandangkan ramai menganggap Trump “anti-Islam”.
Trump tidak anti-Islam, namun Trump juga tidak mesra Islam; Trump bukan Wahabi, pada masa yang sama juga bukan Syiah. Trump hanya bertindak atas kepentingan negara (“national interest”) Amerika. Begitu juga dengan Raja Salman yang bertindak atas kepentingan negara Saudi.
Lawatan Trump ke Saudi adalah untuk memperbaiki dan memperkukuhkan hubungan strategik Amerika-Saudi yang sedikit terjejas semasa pemerintahan Obama dan untuk mengaut untung jualan senjata bernilai US$ 110 bilion. Bagi Saudi pula, kehadiran Amerika dan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab-Islam-Amerika kali ini memberi peluang untuknya menonjolkan diri sebagai pemimpin “Blok Sunni” berlawanan dengan Blok Rusia-Iran-Syria dalam peperangan terhadap Daesh (atau ISIL atau ISIS).
Sejak 5 tahun kebelakang, pembelian senjata oleh Saudi melonjak sebanyak 200%, kebanyakannya daripada Amerika. Saudi membeli senjata untuk membendung pengaruh Iran yang semakin meningkat. Saddam Hussein yang selama ini bertindak sebagai benteng Iran dijatuhkan oleh Bush pada tahun 2003, membuka ruang kepada perluasan kuasa Iran, lagi-lagi dengan penubuhan kerajaan pro-Iran di bawah Nouri al-Maliki pada tahun 2006. Iran dapat mewujudkan lingkup pengaruh (“sphere of influence”) bernama Bulan Sabit Syiah (“Shia Crescent”) yang menyambungkan Iran, Iraq, Syria dan Hezbollah di Lubnan.
“Arab Spring” juga membuka satu lagi pintu kepada perluasan pengaruh Iran, yang lebih dekat dengan Saudi. Saudi tidak teragak-agak untuk menekan kebangkitan rakyat Bahrain pada tahun 2011, kerana kelahiran demokrasi di Bahrain berisiko membentuk kerajaan pro-Iran (majoriti rakyat Bahrain adalah Syiah). Itu juga menjadi sebab Saudi bercampur tangan di Yaman sejak tahun 2015 untuk menghalang Syiah Houthi menguasai Yaman. Malah kawasan Qatif di sebelah timur Saudi juga didominasi Syiah. Dilema keselamatan (“security dilemma”) antara Saudi dan Iran juga menyebabkan Saudi dan Negara-Negara Teluk mengambil pendekatan proaktif untuk mengusirkan Bashar Assad agar dapat mewujudkan sebuah negara Sunni sebagai ”buffer zone” antara Iran, Iraq dan Hezbollah di Lubnan.
Dengan itu, sidang kemuncak kali ini berfungsi untuk menghantar isyarat (“signal”) kepada Rusia-Iran-Syria bahawa Saudi masih bersatu dengan Amerika dalam “Perang Dingin Baru” Saudi-Iran ini. Berbeza dengan Obama yang cuba berbaik-baik dengan Iran (walaupun tidak secara sepenuhnya) melalui perjanjian nuklear P5+1, sikap Trump yang memusuhi Iran serta tindakannya menyerang Syria pada awal April menjadikan Trump sangat popular di kalangan Saudi dan negara-negara Teluk yang lain.
Trump juga memerlukan sokongan Saudi dan Negara-Negara Teluk supaya tidak didominasi oleh Rusia-Iran-Syria dalam isu Daesh. Ini merupakan kesinambungan daripada serangan Trump ke atas Syria dan penghantaran kapal perang ke Semenanjung Korea, untuk mengekalkan momentum percaturan Trump.
“Perang Dingin” Saudi-Iran menjadikan kerjasama pan-Islam seperti D8 (yang diterajui oleh Erbakan pada 1990-an) yang boleh memajukan maslahat umat sedunia semakin jauh untuk dikecapi. Puncanya adalah kehilangan keseimbangan kuasa (“balance of power”) di antara kuasa-kuasa serantau (Iran dan Saudi) yang membawa kepada dilema keselamatan dan seterusnya perlumbaan senjata.
Apakah peranan Malaysia? Lawatan PM kali ini bukanlah untuk bercampur tangan dalam urusan Timur Tengah tetapi lebih kepada kepentingan Malaysia terutamanya dalam menangani ancaman Daesh. Tidak kira setuju atau tidak dengan Saudi, penglibatan Malaysia adalah rasional dan praktikal dalam usaha anti-terorisme. Lagi pun, Pak Jokowi pun sertai, takkanlah kita mahu menyepi diri?
Itulah sadisnya keadaan umat Timur Tengah di zaman negara bangsa (“nation-state”) yang bertindak semata-mata atas kepentingan negara. Perkara ini bermula sejak zaman Lawrence of Arabia lagi: perpecahan sesama umat Islam memberi ruang kepada manipulasi oleh kuasa-kuasa besar. Tapi, apakah kudrat kita?
Bacaan Lanjut:
Mackenzie Tyler & Anthony M. Boone, Rivalry in the Middle East: Saudi Arabia and Iran (2012).
Randall G. Turner, Balance of Power Theory, Implications for the U.S., Iran, Saudi Arabia, and a New Arms Race (2008).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
Ahlan wa sahlan