“Awatlah hampa buat aku macam ini?”
Demikian keluhan bercampur sedih Tunku Abdul Rahman selepas dipaksa memijak Pancasila (simbol Indonesia) oleh sekumpulan pemuda yang berdemonstrasi terhadap Indonesia ketika kemuncak Konfrontasi (1963-1966).
Kata-kata Tunku menunjukkan sifat orang Melayu yang lembut, budiman dan mengelak konflik, atau kita panggil sebagai sifat “diplomatik”.
Berbeza sekali dengan seruan Sukarno untuk “ganyang” Malaysia:
“Semangat kita baja. Peluru kita banyak. Nyawa kita banyak. Bila perlu, satu-satu!”
Seruan yang menzahirkan sifat Bangsa Indonesia yang keras, tekad dan “confrontational”.
Dari zaman Srivijaya, Melaka hingga ke Pattani, Johor-Riau, tamadun Melayu merupakan pusat ekonomi pelabuhan. Selat Melaka yang berkedudukan strategik telah menarik pedagang-pedagang daripada Arab, India, China, Ryukyu malah Eropah.
Peranan kerajaan-kerajaan Melayu ialah sebagai orang tengah antara mereka yang berasal daripada berbagai-bagai pelusuk negara. Sekiranya berlaku pertengkaran, orang Melayu akan bertindak sebagai pendamai (mediator).
Trait sifat diplomatik seperti “sabar”, “cakap baik-baik” dan “jangan marah-marah” ditanam ke dalam diri orang Melayu. Gaya Bahasa Melayu yang penuh dengan kiasan dan ungkapan tidak langsung (indirect style) juga merupakan refleksi jati diri Melayu yang diplomatik.
Tamadun Jawa (yang mendominasi budaya dan politik Indonesia) pula merupakan tamadun penakluk. Pulau Jawa kurang strategik berbanding Selat Melaka, maka kerajaan-kerajaan Jawa seperti Singhasari dan Majapahit perlu menguasai Tanah Melayu dan Sumatra melalui pendekatan ketenteraan yang agresif. Semangat kepahlawanan ditanamkan ke diri orang Jawa agar mereka dapat meredah samudera dan membina empayar.
Perbezaan pendekatan dapat dilihat melalui perbandingan semangat penaklukan dalam Sumpah Palapa Gajah Mada (Majapahit) dan semangat pragmatisme dalam kata-kata Tun Perak (Melaka) yang berbunyi “daripada banyak seteru, baik banyak sahabat”.
Orang Melayu mengambil iktibar daripada sang pelanduk yang mengalahkan musuh yang lebih kuat (buaya, harimau) melalui kepintaran atau “cunningness”. Jadi kerajaan Melayu lebih menekankan taktik-taktik diplomasi seperti perundingan, pembinaan pakatan (alignment / alliance) dan imbangan kuasa (balance of power).
Kelebihan diplomasi ini membolehkan Malaysia mengharungi cabaran Konfrontasi. Kekuatan ketenteraan Malaysia ketika itu tidak setanding Indonesia. Selain bergantung kepada bantuan Komanwel, Malaysia membalas serangan Indonesia melalui “diplomatic blitz”. Tun Razak dengan tungkus lumusnya melawat berpuluh-puluh negara Afrika dan Asia dari 1963 hingga 1965 untuk dapatkan sokongan terhadap Malaysia.
Atas usaha diplomasi itu, propaganda Indonesia bahawa Malaysia ialah sebuah “projek neokolonial” berjaya dipatahkan. Malaysia diterima oleh komuniti antarabangsa dan dilantik sebagai anggota Majlis Keselamatan UN untuk tahun 1965, menjadi negara Asia Tenggara kedua selepas Filipina yang menganggotai Majlis Keselamatan. Satu tamparan besar kepada Sukarno. Malah keputusan Sukarno menarik Indonesia keluar daripada UN membuat Indonesia semakin dipulaukan.
Sukarno cuba meneruskan Konfrontasi dengan condong ke China. CONEFO (Conference of the New Emerging Forces) ditubuhkan pada Januari 1965 untuk mewujudkan “poros Jakarta-Peking-Pyongyang-Hanoi”. Ini satu tindakan ideologikal yang tidak mengambil kira prinsip “balance of power”, dan ia akhirnya memakan diri.
Negara-negara Dunia Ketiga yang selama ini menyokong Indonesia mula berubah sikap. Gamal Abdel Nasser, presiden United Arab Republic (Mesir dan Syria) minta Sukarno jangan “buli” Malaysia. India memberi jaminan bahawa ia akan “melindungi” Malaysia. Usul Indonesia-China untuk mengutuk Malaysia pada Persidangan Afro-Asia Jun 1965 digagalkan.
Diplomasi 1, Konfrontasi 0.
Diplomasi adalah kekuatan Malaysia. Bukan saja dalam hubungan antarabangsa malah segala aspek. Inilah jati diri kita yang membezakan kita daripada negara jiran dan juga kebanyakan negara di dunia. Generasi kini dan masa depan wajar meneruskan legasi ini.
Cuma yang sayangnya, keruntuhan jati diri menyebabkan generasi masa kini semakin hilang penghayatan seni diplomasi.
(dalam gambar: perjumpaan antara Tunku dan Sukarno di Tokyo pada Jun 1963. Suasana ketika itu tegang, maka Melan Abdullah (wartawan Utusan) minta mereka senyum. Lantas Tunku mencarut menyebabkan Sukarno meletus ketawa)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih