Selama bertahun-tahun, komuniti arkeologi dihantui satu soalan: di mana lokasi lubang punggung sebenar dinosaur? Untuk lubang punggung, ia ditemui pada spesimen Psittacosaurus buat kali pertama pada tahun lepas. Dan sekarang menerusi dinosaur sama, dinosaur juga diketahui mempunyai pusat!

Jika anda fikirkan kata-kata ini, “Eh, nanti dulu. Mustahillah dinosaur ada pusat,” anda bukan orang pertama yang mempersoalkan hal ini. Tetapi menerusi penemuan ini, ia merupakan kali pertama lubang pusat ditemui pada haiwan pra-Senozoik yang terdiri daripada burung, mamalia dan reptilia. Penemuan lubang pusat ini diterbitkan dalam jurnal BMC Biology baru-baru ini.

Pemuliharaan spesimen fosil Psittacosaurus ini amat penting untuk mendedahkan misteri lubang pusat dinosaur. Spesimen ini dikatakan ditemui di Liaoning, China pada 2002 dan kini disimpan di Institut Penyelidikan Senckenberg dan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Frankfurt. Dengan akses kepada spesimen berkenaan, ini membantu penulis kajian memeriksa bahagian abdomen fosil dengan lebih teliti.

Saintis membuat imbasan laser pada spesimen fosil Psittacosaurus yang ditemui di Liaoning pada 2002. Sumber: Thomas G. Kaye.

Menerusi imbasan laser pada spesimen fosil, mereka dapat melihat dengan jelas imej parut pada bahagian perut Psittacosaurus. Penulis kajian percaya fosil Psittacosaurus ini bukan berusia beberapa hari atau beberapa minggu tetapi semakin hampir mencapai kematangan seksualnya semasa ia mati. Tetapi itu turut membawa kepada teori dinosaur jenis ini mempunyai pusat untuk sepanjang hayat mereka.

Mungkin ada menganggap fakta ini mengejutkan tetapi burung dan reptilia moden juga mempunyai pusat. Cuma pusat mereka atau lebih tepat bekas parut kantung telur mereka akan hilang dalam tempoh beberapa hari atau minggu selepas mereka menetas. Tetapi bagi sesetengah yang lain seperti buaya dan burung merpati batu, kesan tersebut akan terus ada sepanjang hidup mereka.

Bagi mamalia dari manusia hinggalah kucing dan gajah, pusat terhasil apabila ia terputus dengan tali pusat semasa proses kelahiran. Bagi reptilia dan burung, fungsi kantung telur sama seperti tali pusat iaitu membekalkan nutrien dan oksigen kepada embrio dalam telur.

Selain itu, embrio turut disambungkan dengan satu lagi kantung iaitu alantois. Sebelum ia menetas, semua sambungan ini akan ditutup. Apabila haiwan ini menetas baik reptilia atau burung, ia akan meninggalkan kesan parut yang panjang pada bahagian perut mereka.

Kesan kantung telur dapat dilihat dengan jelas pada fosil Psittacosaurus selepas ia diimbas dengan laser. Sumber: Michael Pittman & Thomas G. Kaye

Sebelum dapatan kajian ini, ramai penyelidik dan saintis berspekulasi dinosaur juga mempunyai kesan parut pada perut mereka. Tetapi dengan dapatan pada Psittacosaurus, ia merupakan bukti pertama kewujudan pusat pada haiwan besar prasejarah itu. Disebabkan saiz sisik dan permukaannya yang halus, ia turut menunjukkan ia tidak terhasil akibat kecederaan fizikal atau penyakit. Dengan persamaan saiz parut dengan parut pada perut buaya, ini jelas menunjukkan itu merupakan pusat haiwan berkenaan.

Psittacosaurus merupakan sejenis dinosaur bipedal yang hidup pada permulaan Zaman Cretaceous atau 121 hingga 101 juta tahun lalu sekitar kawasan yang membentuk benua Asia hari ini. Terdapat 12 spesies psittacosaurus yang direkodkan pengkaji dinosaur menerusi fosil-fosil yang ditemui di Mongolia, China, Siberia dan Thailand.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Ia dikatakan mempunyai ekor yang panjang sama seperti seekor lagi dinosaur yang ditemui di China, Tianyulong. Psittacosaurus mempunyai tingkah laku yang rumit berkemungkinan dipengaruhi oleh saiz dan perkadaran otaknya. Dinosaur ini dikatakan aktif pada siang dan malam serta mempunyai deria bau dan penglihatan yang tajam.

Di sebalik penemuan pelik bin ajaib ini, ini bukan bermakna pencarian pusat dinosaur sudah berakhir. Ini kerana bagi mengesahkan dapatan kajian ini, lebih banyak fosil perlu dikaji. Ini kerana tidak semua dinosaur mempunyai kesan parut sama dengan Psittacosaurus. Justeru, dengan mengkaji semua fosil yang ada, tidak mustahil ia dapat menambah lagi pengetahuan komuniti saintifik bukan saja terhadap dinosaur tetapi terhadap haiwan-haiwan moden lain.

Nampak gayanya selepas ini, pengkaji dinosaur sibuklah mencari pusat prasejarah!

Nota kaki

alantois – kantung membran yang keluar dari bahagian posterior alimentari spesies vertebrat peringkat tinggi. Kebiasaannya, bertindak sebagai organ pernafasan, nutrien dan/atau perkumuhan.

bipedal – pergerakan menggunakan dua kaki seperti berlari dan berjalan.

Tianyulong – sejenis dinosaur yang hidup sezaman dengan Psittacosaurus pada awal Zaman Cretaceous. Ia termasuk dalam Kumpulan Jehol, kumpulan hidupan yang tinggal di timur laut China antara 133 hingga 120 juta tahun yang lalu.

RUJUKAN

Wong, C. (2022, 10 Jun). Some dinosaurs may have had the reptile version of a belly button. New Scientist.

Cassella, C. (2022, 10 Jun). At Least Some Dinosaurs Had Belly Buttons, Exquisite Fossil Just Revealed. Science Alert.

Gamillo, E. (2022, 13 Jun). First Dinosaur Belly Button Discovered in Fossil From China. Smithsonian Magazine.

Timmons, J. (2022, 9 Jun). Paleontologists Find First Known Dinosaur Belly Button. Gizmodo.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply