Dinasti Umaiyyah dan Dinasti Abbasiyyah adalah dua nama yang tidak asing kepada umat Islam di seluruh dunia. Sejarah warna-warni umat Islam, pasti akan terkait dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang pemerintahan kedua-dua dinasti ini.

Prof. Dr Syeikh Yusuf Al Qaradhawi menyifatkan kerajaan Dinasti Umaiyyah sebagai Dawlah Al Futuhat wa at Ta’sis al Hadari (Kerajaan Pembukaan Islam & Permulaan Tamadun) manakala kerajaan Bani Abbasiyyah sebagai Dawlah Idzihar al-Ilm wa al-Hadarah (Kerajaan Perkembangan Ilmu & Tamadun).

Walaupun diawal pembentukan Dinasti Umaiyyah diselubungi dengan kontroversi, namun begitu inisiatif meluaskan wilayah Islam dilaksanakan dengan begitu gigih oleh khalifah-khalifah Dinasti Bani Umaiyyah.

Tokoh-tokoh pahlawan dan panglima perang yang terkenal pada masa itu adalah , kebanyakan adalah Musa Ibn. Nusair, Tariq Bin Ziyad, Abd Rahman Al Ghafiqi, Qutaybah Ibn Muslim Al Bahili, keluarga Al Hajjaj Yusuf Al Thaqafi dan lain-lain.

Umat Islam berjaya meluaskan sempadan wilayahnya dari Banjaran Gunung Pyreness disebelah barat hingga ke wilayah Sind, di sebelah Timur. Selain daripada itu, umat Islam telah mula menginjakkan kaki dan meluaskan pengaruh serta kekuasaan di Laluan Sutera dengan menguasai Lembah Ferghana pada tahun 714M. Wilayah umat Islam yang begitu besar, berada dibawah satu payung pemerintah sahaja iaitu Khalifah Dinasti Umaiyyah.

Malah Dinasti Umaiyyah pernah melancarkan s.era.ngan ke atas Kota Konstantinopel pada tahun 677M dan 716M tetapi mengalami kegagalan.

Selain dari penglibatan aktif khalifah-khalifah Dinasti Umaiyyah di dalam gerakan jihad menentang musuh melalui perluasan wilayah, para pemerintah Dinasti Umaiyyah juga mempunyai barisan khalifah yang warak dan teguh melaksanakan pemerintahan Islam.

Kebanyakan kita mengenali ketokohan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, tetapi ramai lagi khalifah Dinasti Umaiyyah yang warak dan serta alim. Cuma, imej pemerintahan Dinasti Umaiyyah dicemari dengan insiden-insiden dalam hubungan mereka dengan keluarga Ahlul Bait dan beberapa tindakan keras mereka menangani konflik dalaman seperti konflik lain seperti konflik yang melibatkan Abdullah ibn Zubair.

Tetapi, bukan Dinasti Umaiyyah sahaja mempunyai pertembungan dengan keluarga Ahlul Bait, tetapi pemerintah-pemerintah Dinasti Abbasiyyah juga mempunyai sikap yang sama, malah dilihat jauh lebih zalim.

Zaman pemerintahan Dinasti Abbasiyyah, diwarnai dengan peningkatan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang begitu luas. Khalifah-khalifah Dinasti Abbasiyyah amat cenderung dan meminati ilmu pengetahuan seperti Khalifah Al-Mahdi, Khalifah Harun Ar-Rasyid, Khalifah Al-Ma’mun dan lain-lain lagi.

Walaupun, zaman Dinasti Abbasiyah dikatakan, zaman perkembangan ilmu, tetapi, ia mempunyai kesan-kesan buruk yang tersendiri.

Kebanjiran ilmu-ilmu falsafah yang diterjemah dari karya-karya penulis dari Yunani dan India telah menyebabkan beberapa orang Khalifah Abbasiyyah menjadi penganut Mazhab Muktazilah yang tegar seperti Khalifah Al Ma’mun, Al Mu’tasim, dan Al Wathiq..

Tidak sedikit para ulama Ahl Sunnah Wal Jamaah menjadi mangsa kezaliman mereka, termasuk Imam Ahmad Bin Hanbal.

Selain daripada itu, zaman pemerintahan Dinasti Abbasiyah menyaksikan satu fenomena politik yang aneh dan tidak pernah terjadi dalam era pemerintah khalifah-khalifah sebelumnya. Berlakunya campurtangan dan pengaruh pelbagai pihak luar dalam urusan pemerintahan dalam institusi khalifah seperti penguasaan keluarga Al Barmaki, penguasaan oleh orang-orang Turki, Bani Buwaih dan Bani Seljuq.

Kelemahan-kelemahan para pemerintah Dinasti Abbasiyyah dalam mengawal dan mentadbir wilayahnya yang luas turut menyaksikan pembentukan kerajaan-kerajaan kecil seperti Tahiriyah, Saffariyah, Samaniyah, Sajidiyah, Ziyariyah dan lain-lain. Akhirnya Khalifah Abbasiyyah di Baghdad hanya menjadi lambang dan simbol legitimasi sahaja tanpa sebarang kuasa mutlak.

Malah ketika zaman (tahun 318H), terdapat tiga orang khalifah iaitu Khalifah Abbasiyyah di Bahgdad, Khalifah Fatimiyyah di Mesir dan Khalifah Umaiyyah di Andalusia. Perpecahan ini amat merugikan umat Islam dan mendedahkan umat Islam kepada ancaman musuh.

Akibatnya Tentera Salib berjaya menjejakkan kaki wilayah Syam dan berjaya menduduki satu demi satu kota-kota dibawah penguasaan umat Islam dan kemuncaknya Kota Baitulmaqdis berjaya ditakluk oleh Tentera Salib pada tahun 1099M.

RUJUKAN:

Pemerintahan Kerajaan Bani Umayyah – Tarikuddin B. Hj Hassan

Pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah – Tarikuddin B. Hj Hassan

Artikel dikirimkan oleh Burhanuddin Rao Putra untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.