Apabila diminta nama-nama penguasa unggul sejarah, tentunya Peter the Great, Genghis Khan dan Constantine I akan berlegar di minda. Sebenarnya, ketiga-tiga pengaruh besar ini tidak mungkin mampu menandingi seorang lagi penguasa daripada Asia Tengah, atau lebih tepat lagi, Uzbekistan.

Muzium Amir Temur dibuat dengan seni bina indah demi penguasa ini. Tanpa leluhur bangsawan yang menjaminkan, wawasan dan cita-cita tinggi merupakan aset terbesar dimiliki Temur. Tawanan hampir sama dengan bilangan Alexander the Great menyaksikan Temur terlibat dalam konflik bersama Dinasti Tughlag (Kesultanan Delhi), Ming, Mongolia dan Uthmaniyah.

Cuma apa yang sering menjadi tanda tanya, bagaimana kehebatan ini boleh dilakukan, seketika Temur cacat.

Kecacatan Temur bukanlah satu propaganda musuh. Temur pernah dipanah di bahagian kaki dan tangan kanannya. Sejak hari itu, baginda terpaksa mengusung kaki kanannya dengan bahu kiri yang meninggi. Inilah realiti disebalik popularitinya. Pada 1941, kumpulan anthropologi Soviet diketuai Mikhail Gerasimov mendapati tulang paha Temur tercantum dengan tempurung lututnya. Baginda juga didapati tanpa jari manis dan kelingking kanan.

Satu lagi kisah menyeramkan berkenaan dengan Mikhail Gerasimov. Ia akan dibentangkan di penghujung artikel.

Akibat kecacatan ini, nama Temur the Lame (Tamerlane) diberikan, satu bahan cemuhan dan hinaan. Tetapi apabila kuda-kuda angkatannya menggegarkan tanah, seluruh dunia menyaksikan balasan pedih kepada setiap penghinaan itu. Kecacatan baginda tidak menjadi penghalang, meskipun landskap politik Asia Tengah sewaktu hidupnya berkisar dengan konsep tangan cokmar diraja mestilah mengusung pedang sewaktu bertempur.

Sebelum permulaan Dinasti Temur, kedaulatan Asia Tengah merupakan milik cebisan titik peluk Genghis Khan, iaitu Khan Chagatai. Apabila Kurga, pemusnah Volga Bulgaria, dibunuh, perebutan kuasa tercetus yang dihentikan setelah Tughlugh Timur, Khan Moghulisan, menyerang kawasan itu. Perkara ini menyaksikan Temur dinobatkan sebagai ketua suku Barlas.

Sentiasa melihat dirinya sebagai pengganti Genghis Khan, perkahwinannya bersama wanita berdarah daging Genghis Khan membuka peluang kemaraan. Tanpa status khan atau khalifah, Temur mendirikan emiriyahnya sendiri. Dari sini, Amir Temur menghabiskan 35 tahun akan datang dengan konflik dan ekspedisi peperangan.

Kemangkatan Abu Said (Dinasti Ilkhanid) membuka pintu kepada Amir Temur ke Dunia Parsi. Herat, Khorasan, dan Isfahan merupakan bandar-bandar yang ditawan. Hampir seluruh Parsi ditundukkan dalam tempoh masa 4-5 tahun sahaja. Yang menyerah kalah dilayan baik. Isfahan pada awalnya menyerah, kemudian memberontak dan membunuh pengutip-pengutip cukai Amir Temur. Mereka diberikan balasan yang dahsyat oleh Amir Temur. Ibaratkan Genghis Khan bangun semula, 28 menara dibina untuk menampung 1,500 kepala setiap satu. Taktik ini dimaksudkan agar dapat menghamburkan ketakutan supaya integrasi emiriyah Temur dimudahkan, walaupun hampir 200,000 nyawa dicabut Malaikat Izrail as.

Salah satu kempen ketenteraan yang harus diingati ialah bersama Tokhtamysh Khan, keturunan Genghis Khan yang menguasai Ulus Jochi dan Khan Kipchak. Pada mulanya, Amir Temur dan Tokhtamysh Khan bertelingkah demi Khwarezmia dan Azerbajian. Tetapi kempen Tokhtamysh di Rusia menundakan konfrontasi yang meledak selepas Tokhtamysh cuba menawan Azerbajian.

Peperangan Temur-Tokhtamysh menyaksikan Ryazan dibakar dan Moscow diserang. Dan akhirnya, Tokhtamysh Khan ditewaskan di Sungai Terek (pada hari ini, Georgia), menandakan detik terakhir Ulus Jochi kerana destinasi Amir Temur seterusnya ialah ibu kota Sarai, yang diteruskan lagi ke Astrakhan.

Konflik terhebat Amir Temur ialah bersama Uthmaniyah. Seluruh Semenanjung Anatolia dijadikan medan Temur-Bayezid-Nasarudin. Bangsa Turki memihak kepada Amir Temur setelah baginda mengisytiharkan kedaulatannya. Armenia dan Georgia diserang: seramai 60,000 orang dijadikan tebusan. Amir Temur turun ke Baghdad pula. Baginda mengarahkan setiap tentera wajib menjinjing dua kepala manusia. Tentera-tenteranya ketakutan sehingga berpakat membunuh tebusan agar selamat daripada kemurkaan amir mereka.

Sultan Bayezid ditewaskan di Ankara (1402) dan mangkat dalam tahanan. Dalam fikiran Amir Temur, pihak yang layak menguasai Anatolia ialah Seljuk sahaja, menyandarkan logik itu dengan pengurniaan kedaulatan Seljuk daripada Empayar Mongolia. Seperti yang dikatakan, Amir Temur memandang dirinya sebagai pengganti Genghis Khan. Sesungguhnya pandangan ini direalisasikan. Ke mana Amir Temur bergerak, sepanjang perjalanan itulah dihiasi (pihak Temur) atau digelumangi (musuh Temur) kehebatannya.

Amir Temur mangkat sewaktu berperang menentang Dinasti Ming. Berkongsi nasib Empayar Mongolia, Emiriyah Temur terhumban dalam perebutan kuasa tiga segi. Amir Pir Muhammad tidak disokong semua. Tahun kemangkatan Amir Temur (1405) menyaksikan tiga amir dalam satu masa – Pir Muhammad, Khalil Sultan dan Shahrukh Mirza.

Dua kali Pir Muhammad terpaksa berdepan dengan sepupunya, Khalil Sultan, yang akhirnya mengundang kekalahan. Enam bulan selepas itu, menterinya sendiri membunuhnya. Walaupun kehilangan seorang pencabar, ia tidak memberikan Khalil Sultan manfaat kecuali perlepasan beban sahaja. Shahrukh Mirza tidak sesekali akan berundur sebagai pencabar. Dan Khalil Sultan tidak disukai ramai di Samarkand. Golongan bangsawan membenci isterinya, yang merupakan “penguasa sebenar”. Kebuluran yang tercetus membuatkan Khalil Sultan lagi dibenci.

Ketandusan jalan penyelesaian, Khalil Sultan mencari bekas mentornya – Khudaidad Hussein. Tanpa disangka, Khudaidad akan mengkhianatinya, dan akhirnya Khalil Sultan menyerah kalah apabila isterinya ditawan Shahrukh Mirza. Tidak kisah kotor atau tidak taktik ini, Shahrukh Mirza menang tanpa pencabar dan menerajui Emiriyah Temur buat 38 tahun akan datang.

Namun bencana perpecahan tidak sembuh. Ia sekadar menanti masa yang sesuai, seperti yang boleh dibayangkan sesiapa – kemangkatan Amir Shahrukh Mirza. Perpecahan kedua ini mencerminkan kekejaman yang luar biasa. Amir Shahrukh Mirza digantikan putera sulungnya, Ulugh Beg, seorang amir berkemahiran astronomi dan matematik.

Sepanjang hayatnya, Amir Ulugh Beg menumpahkan titik peluh sainsnya dalam kawah ilmu Asia Tengah. Kerana baginda, Samarkand dan Bukhara dijadikan pusat kebudayaan dan ilmu Asia Tengah. Samarkand juga mempunyai balai cerap terbaik Dunia Islam pada masa itu. Namun, Amir Ulugh Beg dikelilingi musuh daripada darah dagingnya sendiri. Di Balkh, baginda mengetahui anak saudaranya sedang menuntut takhta Emiriyah Temur. Tetapi percaturan ini tidak berpihak kepada baginda. Baginda ditentang putera sulungnya pula.

Terkunci dalam perang saudara, Amir Ulugh Beg yang hebat dalam bidang ilmu bertemu ajal melalui pengkhianatan besar. Baginda dipancung atas perintah puteranya semasa dalam perjalanan ke Mekah. Terpisahnya kepala Ulugh Beg daripada bahu menandakan pengakhiran Emiriyah Tmeur, sekaligus menggelapkan legasi hebat individu yang membuktikan dunia bahawa kecacatan tidak bererti kesudahan. Semasa kempen ketenteraan Amir Temur, seramai 17 juta orang dianggarkan terkorban.

Baginda bukan seorang calang-calang penguasa. Tetapi sama ada baginda boleh dikaitkan dalam Perang Dunia Kedua, itu haruslah disandarkan persepsi masing-masing. Di keranda Amir Temur terdapat tulisan:

“Sesiapa yang membuka keranda beta akan membebaskan seorang penguasa yang jauh lebih menggerunkan berbanding beta!” – Amir Temur.

Menariknya, pada hari yang sama Mikhail Gerasimov membuka keranda Amir Temur, Adolf Hitler melancarkan serangan paling besar dalam sejarah manusia keatas Kesatuan Soviet.

Menarik juga, Kesatuan Soviet mematahkan serangan Nazisme di Stalingrad, antara tanda paling awal kekalahan Jerman, apabila Amir Temur dimakamkan semula berdasarkan upacara pengebumian Islam.

Bolehkah Amir Temur dikatakan terlibat dalam Perang Dunia Kedua?

— AFDS —


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply