Ketika Eropah diselubungi Zaman Gelap, China mengalami zaman mekar di era pemerintahan Dinasti Tang.
Teknologi cetakan kayu meraihkan mereka buku; sistem peperiksaan membuatkan pekerjaan di jabatan kerajaan turut terhidang kepada rakyat awam; penggunaan kertas tersebar ke seluruh Asia puisi, muzik dan lain-lain kesenian giat dipergalakkan
Dan Dinasti Tang berkemungkinan adalah tamadun yang menyaksikan penciptaan bunga api pertama!
Dinasti Tang adalah sebuah dinasti diraja China yang wujud pada kurun ke-7 hingga kurun ke-10 Masehi, dan menerima gangguan atau pencelahan pendek pada lewat kurun ke-7 dan awal kurun ke-8M.
Dinasti ini sering dianggap sebagai zaman keemasan dalam sejarah China, terutama dalam hal kesenian dan kebudayaan. Di zaman Dinasti Tang jugalah Buddhisme meraih tempat yang utuh dalam kalangan masyarakat China.
Namun, zaman emas ini tidak kekal buat selama-lamanya lanteran sejumlah pemberontakan.
Antaranya ialah apa yang berlaku pada separuh kedua kurun ke-9M membawa kepada pengakhiran dinasti ini lalu memunculkan zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan, zaman di mana China sekali lagi dihumban ke kancah perpecahan.
MAHARAJA-MAHARAJA AWAL DINASTI TANG
Dinasti Tang diasaskan oleh Li Yuan (juga dikenali sebagai Maharaja Gaozu bagi Dinasti Tang), seorang pegawai kerajaan yang berkhidmat untuk Dinasti Sui.
Maharaja kedua Dinasti Sui, iaitu Maharaja Yang secara tradisinya dianggap seorang seorang pemerintah tirani. Peribadinya itu mengakibatkan sejumlah pemberontakan meletus menjelang akhir pemerintahannya.
Pemimpin bagi salah sebuah pemberontakan tersebut adalah Li Yuan, yang bertindak mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja bagi sebuah dinasti baru, iaitu Dinasti Tang pada tahun 618M.
Pengumuman itu dilakukan sesudah menerima berita kemangkatan Maharaja Yang yang terbunuh dalam sebuah kejadian rampasan kuasa yang diketuai oleh Panglima Yuwen Huaji.
Namun, Dinasti Tang masih belum meraih penguasaan ke atas seluruh China pada waktu itu. Hal ini hanya dapat dicapai secara bertahap pada dekad seterusnya.
Zaman pemerintahan Maharaja Gaozu dikenang sebagai zaman yang gilang-gemilang. Beberapa sistem yang dilaksanakan sebelum ini oleh Dinasti Sui terus diamalkan dan sejumlah pembaharuan turut dilakukan demi meningkatkan taraf kehidupan masyarakat China.
Misalnya, sistem percukaian dan pengagihan tanah yang diamalkan oleh Dinasti Sui terus diterapkan. Tambahan lagi, undang-undang sedia ada disemak semula di mana beberapa penambahan hukuman diletakkan bagi kesalahan-kesalahan tertentu.
Maharaja malah menetapkan agar undang-undang tersebut dikemaskini setiap 20 tahun. Kod undang-undang yang digubal oleh Maharaja Gaozu ini digunakan oleh dinasti-dinasti selanjutnya, dan bahkan oleh negara-negara lain.
TIGA KEMATIAN DEMI MENJAMIN TAKHTA
Maharaja Gaozu digantikan oleh salah seorang puteranya, Li Simin (juga dikenali sebagai Maharaja Taizong bagi Dinasti Tang). Maharaja kedua ini menggulingkan bapanya dan membunuh dua orang saudaranya demi menjamin takhta Empayar China.
Walaupun tindakannya itu mungkin dianggap bertentangan dengan ajaran Confucian berkenaan ketaatan, Maharaja Taizong membuktikan dirinya sebagai seorang pemerintah yang sangat berkebolehan dan sering dianggap sebagai salah seorang maharaja terhebat dalam sejarah China.
Pada zaman pemerintahan Maharaja Taizong, Dinasti Tang berjaya memperluaskan kuasanya dari Vietnam utara di sempadan selatan hingga ke Korea utara di sempadan utara, dan sejauh Asia Tengah di sempadan barat.
Sejumlah pembangunan dan kemajuan teknologi dan budaya turut dilakukan semasa era pemerintahannya. Antara lain adalah teknologi cetakan kayu.
Malah, Maharaja Taizong turut dikenang lantaran polisinya yang mengamalkan toleransi beragama, di mana beliau membenarkan agama-agama asing seperti Kristian dan Buddhisme untuk bertapak di China.
GUNDIK YANG MENAMATKAN DINASTI TANG… DAN (BUAT SEMENTARA WAKTU) MEMBANGUNKAN SEBUAH DINASTI BARU
Pemerintah agung Dinasti Tang yang seterusnya adalah Wu Zetian, seorang gundik kepada Maharaja Taizong yang seterusnya menjadi gundik pertama bagi penggantinya, Maharaja Gaozong.
Kemudian, Wu Zetian bertindak menghapuskan Dinasti Tang dan menabalkan dirinya sendiri sebagai Maharani bagi Dinasti Zhou pada tahun 690M.
Namun, dinasti ini hanya berkuasa selama 15 tahun memandangkan Wu Zetian digulingkan dalam sebuah kejadian rampasan kuasa yang bertujuan mengembalikan kuasa Dinasti Tang.
Sama seperti dua orang maharaja Tang yang awal, Wu Zetian turut dikenang sebagai seorang pemerintah yang hebat.
Beliau memberikan banyak sumbangan penting terhadap sejarah China, antaranya seperti meningkatkan kedudukan Buddhisme, menaiktaraf sistem pendidikan dan menggalakkan kesenian.
PENAMAT ZAMAN KEEMASAN
Dinasti Tang benar-benar mencapai zaman kemuncaknya pada era pemerintahan Maharaja Xuanzong. Pada tempoh tersebut, ekonomi Tang berkembang pesat berkat aktiviti perdagangan yang berlangsung di sepanjang Laluan Sutera.
Kekayaan yang diperoleh ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembinaan. Sejumlah jalan dan bangunan pentadbiran serta kuil dibangunkan.
Dua orang penyair ulung China, iaitu Li Bai dan Du Fu turut hidup pada zaman pemerintahan Maharaja Xuanzong sekaligus mereka berdua ini memberikan sumbangan yang tiada tandingan dalam bidang kesenian.
Pada penghujung pemerintahan beliau, Pemberontakan An Lushan meletus di mana ia berpanjangan dari tahun 755 hingga 763M. Walaupun pemberontakan ini berjaya ditundukkan, Dinasti Tang tidak lagi sekuat dahulu.
Permulaan kepada kejatuhan Dinasti Tang juga berlaku pada era pemerintahan Maharaja Xuanzong, maharaja yang memerintah selama 43 tahun.
Apapun, dinasti ini terus memerintah China selama sekurun setengah sebelum berakhir pada tahun 908M, apabila maharaja terakhirnya, Maharaja Ai digulingkan oleh Zhu Wen.
Zhu Wen merupakan seorang bekas pemberontak yang menyerah diri kepada pasukan tentera Tang dan kemudiannya mendaki status sosial sehingga memegang tampuk pimpinan pasukan tentera kerajaan.
Berakhirnya Dinasti Tang mengakibatkan China dihumban sekali lagi ke dalam era huru-hara dan pergolakan, yang kali ini, dikenali sebagai era Lima Dinasti Dan Sepuluh Kerajaan.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (26 Mei 2018). The Tang Dynasty: The Arts Flourished, Family Ties Broke, and a Concubine Became Empress. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-important-events/tang-dynasty-arts-family-concubine-empress-021917
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih