Kerajaan Lama merupakan nama yang digunakan bagi merujuk kepada suatu zaman dalam sejarah Mesir purba yang bermula dari kurun ke-27 hingga kurun ke-22 Sebelum Masihi. Zaman ini dimulakan oleh Dinasti Ketiga dan berakhir pada era Dinasti Keenam.

Namun, Dinasti Ketujuh dan Kelapan kadangkala turut dianggap sebagai sebahagian daripada Kerajaan Lama. Zaman ini didahului oleh Zaman Dinasti Awal dan disusuli oleh Zaman Pertengahan Awal.

Zaman Kerajaan Lama paling menonjol dengan piramid-piramid yang dibangunkan pada tempoh itu, justeru turut meraihkannya nama lain, iaitu ‘Zaman Pembina-Pembina Piramid’. Apapun, piramid bukanlah satu-satunya sumbangan Zaman Kerajaan Lama pada sejarah Mesir purba. Banyak amalan dan konsep kehidupan mereka bertahan hingga ke zaman-zaman yang lebih terkemudian.

KERAJAAN LAMA

Istilah ‘Kerajaan Lama’ tidak pernah digunakan oleh masyarakat Mesir purba sendiri. Pada hakikatnya, istilah ini hanya diperkenalkan oleh sejarahwan pada kurun ke-19. Pengistilahan ini mencerminkan pandangan yang diterima secara meluas dalam kalangan ilmuwan pada masa itu, iaitu sejarah Mesir purba boleh dibahagikan mengikut zaman-zaman yang berbeza. Pembahagian antara zaman Kerajaan Lama dan zaman Dinasti Awal adalah berteraskan pada perbezaan seni bina dan impak yang diberikan oleh binaan-binaan monumental kepada masyarakat dan ekonomi Mesir purba.

Jika dilihat daripada sudut lain pula, kita dapat melihat bahawa firaun terakhir zaman Dinasti Awal dan dua firaun pertama dari zaman Kerajaan Lama masing-masing mempunyai kaitan dengan Ratu Nimaathap. Semasa era Khasekhemwy si raja terakhir zaman Dinasti Awal, Ratu Nimaathap disebut sebagai ‘Ibu Bagi Anak Raja’, dan menyandang gelaran ‘Ibu Bagi Raja Mesir Hulu dan Hilir’ pada era Djoser si raja pertama zaman Kerajaan Lama. Dalam kata-kata lain, ratu ini mungkin merupakan isteri kepada Khasekhemwu dan ibu kepada Djoser.

Tugu dan relif dari necropolis di Saqqara


DJOSER DAN KELAHIRAN PIRAMID-PIRAMID DI MESIR

Walaupun Djoser tidaklah dianggap sebagai firaun pertama bagi Dinasti Ketiga, tanpa dapat dinafikan beliau adalah firaun yang paling masyhur bagi dinasti tersebut. Djoser (atau dikenali sebagai Netjerikhet di zamannya) memerintah Mesir pada tahun 2667 hingga 2648 SM.

Takhta Mesir itu mungkin diwarisi daripada Sanakht, pemerintah pertama Dinasti Ketiga yang juga mungkin merupakan abang Djoser. Kalau bukan kerana inovasi teknologi pada seni bina di zamannya, Djoser mungkin akan hidup sebagai satu figura sejarah yang kabur, sama seperti pemerintah-pemerintah Dinasti Ketiga yang lain.

Djoser bertanggungjawab melaksanakan projek pembinaan struktur batu monumental terawal di Mesir – iaitu kompleks permakaman Djoser di Saqqara. Kompleks ini dibina menggunakan batu dan bukannya bata lumpur yang menjadi kelaziman pada era sebelum Djoser. Peralihan daripada penggunaan bata lumpur kepada batu ini tidak seharusnya dikreditkan kepada Djoser sahaja, tetapi juga kepada Imhotep si wazir firaun merangkap seorang arkitek dan tabib yang cekap.

Bahagian penting bagi kompleks permakaman Djoser ialah Piramid Bertingkat (atau turut dikenali sebagai Piramid Djoser), piramid pertama Mesir. Piramid ini pada asalnya merupakan sebuah makam mastaba, iaitu binaan yang lazim dibangunkan pada zaman Dinasti Awal. Makam jenis ini merupakan berbentuk segi empat tepat dan berbumbung rata, dengan setiap sisi cerunnya melengkung ke dalam. Dalam kata-kata lain, Piramid Bertingkat merupakan enam mastaba berlainan saiz yang ditimbunkan ke atas satu sama lain sehingga membentuk sebuah piramid yang setinggi 60 meter (196.9 kaki).

Piramid Bertingkat, yang dibina oleh firaun Djoser dan terletak di kompleks Saqqara

Tidak seperti mastaba-mastaba di zaman awal yang dibina menggunakan bata lumpur, Piramid Bertingkat diperbuat daripada bongkah batu kapur. Namun, bongkah-bongkah ini bersaiz kecil jika dibandingkan dengan bongkah yang digunakan pada era Dinasti Keempat. Secara keseluruhan, sebanyak 2.3 juta bongkah batu digunakan untuk membina Piramid Agung, dengan berat purata setiap bongkah adalah 2.5 tan. Tenaga manusia dan sistem yang rapi bagi membina Piramid Bertingkat dan kompleks permakaman besar ini mengisyaratkan bahawa pada era firaun Djoser, Mesir menikmati tempoh aman dan kemewahan.

SNEFRU DAN TIGA BUAH PIRAMIDNYA

Walaupun pembinaan piramid Mesir purba dimulakan oleh Djoser, piramid dalam bentuknya yang sebenar hanya wujud pada era Dinasti Keempat. Pemerintah pertama bagi dinasti ini ialah Snefru, yang dipercayai meraih kuasa setelah berkahwin dengan puteri firaun. Sama seperti Djoser, nama Snefru juga dikenang sebagai seorang pembina piramid. Namun, bilangan piramid yang dibina oleh Snefru bukan sebuah, tetapi tiga buah yang kesemuanya terletak di Dahshur.

Piramid pertama beliau ialah Piramid Meidum, yang pada mulanya dibina sebagai sebuah piramid bertingkat. Ketika piramid ini hampir siap, Snefru memerintahkan agar tingkat-tingkat piramid itu dipadatkan dengan batu dan seluruh strukturnya pula diselaputi dengan batu kapur, sekaligus membentuk piramid sebenar Mesir yang pertama. Namun, Piramid Meidum tidak stabil dan laisan luarnya yang lebih berat berbanding lapisan dalam mula menggelongsor jatuh. Struktur yang tinggal pada hari ini hanyalah teras tiga tingkat berbentuk petak.


Piramid Meidum merupakan piramid sebenar pertama binaan Mesir, terletak sejauh 62 batu (100 km) arah selatan dari Kaherah

Piramid seterusnya yang dibina ialah Piramid Bengkok. Struktur ini dianggap sebagai piramid pertama yang direka sebagai piramid sebenar sejak awal pembinaannya. Piramid ini kelihatan bengkok akibat perubahan darjah sudut sisi-sisinya sewaktu ia dibina. Pada mulanya, sisi-sisi Piramid Bengkok melengkung-condong pada sudut 60 darjah. Namun, darjah kecondongan ini dikurangkan kepada 55 darjah setelah menyedari kesilapan pada ukuran asal.

Sebagai susulan, tapak piramid perlu dibesarkan dan lapisan luar pula ditambah. Namun, perubahan ini masih belum mencukupi. Ketika pembinaan piramid mencapai ketinggian 45 meter (147.6 meter), jurubina sekali lagi menyedari kesilapan dalam membuat ukuran. Bagi mengelakkan struktur ini runtuh, mereka pun terpaksa mengurangkan beban pada bahagian bawah piramid di mana darjah kecondongan sekali lagi dikurangkan kepada 43 darjah.


Piramid Bengkok, yang dibina oleh firaun Snefru pada Zaman Kerajaan Lama, di mana ia berdiri megah di necropolis Dahshur di Kaherah, Mesir

Pengalaman membina dua buah piramid Snefru ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh jurubina Snefru dan dalam projek yang ketiga, mereka berjaya melakukannya dengan tepat. Piramid Merah, atau juga dikenali sebagai Piramid Utara, merupakan piramid ketiga yang dibina oleh Snefru.

Dengan ketinggiannya yang mencecah 105 meter (344.5 kaki), Piramid Merah merupakan piramid yang paling tinggi binaan Snefru. Ia juga merupakan piramid sebenar pertama yang dibina dengan jaya oleh masyarakat Mesir purba.

Piramid Merah meraih namanya daripada rona merah pada batu kapur yang digunakan bagi pembinaan bahagian terasnya. Namun apabila piramid ini siap dibina, ia diselaputi dengan batu kapur putih.

Walaupun kebanyakan selongsongnya telah pun hilang, sebahagian daripadanya masih terselamat dan kepingan-kepingan yang tinggal ini berupaya memberikan maklumat lanjut berkenaan piramid tersebut. Beberapa batu selongsong daripada piramid ini dihantar ke makmal untuk menjalani ujian pentarikhan dan melalui hasil yang diraih, ahli-ahli arkeologi dapat menganggarkan bahawa piramid ini disiapkan dalam tempoh kira-kira 17 tahun.

Piramid Merah adalah piramid tertinggi binaan Snefru dan ia bertempat di necropolis Dahshur di Kaherah

Walaupun Piramid Merah merupakan piramid tertinggi di antara ketiga-tiga piramid Snefru, ia hanyalah piramid ketiga tertinggi di antara kesemua piramid Mesir purba. Tentunya, keadaan ini banyak dipengaruhi oleh faktor kecondongannya, iaitu pada 43 darjah. Sebagai perbandingan, darjah kecondongan Piramid Agung yang merupakan piramid tertinggi Mesir purba (147 meter) adalah 51 darjah.

KEMUNCAK PEMBINAAN PIRAMID

Piramid Agung terletak di kompleks piramid Giza dan ia dibina oleh Khufu, pemerintah yang menggantikan Snefru merangkap firaun kedua bagi Dinasti Keempat. Tambah menarik, nama Khufu ada disebutkan oleh Herodotus dalam The Histories.

Menurut sejarahwan Yunani itu, Khufu yang dikenali dalam kalangan masyarakat Yunani sebagai Cheops, merupakan seorang pemerintah kuku besi. Dakwanya, Khufu “menutup kesemua rumah perlindungan, menghalang masyarakat umum melakukan sembah korban, dan memerintahkan agar seluruh rakyat Mesir mencurah khidmat padanya.”


Piramid Agung Giza atau Piramid Khufu (tengah), Piramid Khafre (kiri), Piramid Menkaure (kanan) dan Piramid Ratu-Ratu (paling hadapan)

Dalam Papirus Westcar (ditulis pada zaman Hyksos, namun ia hanya menyebut semula kisah yang mungkin ditulis pada Zaman Kerajaan Tengah) pula, Khufu disifatkan secara lebih positif. Lembaran ini memerincikan beliau sebagai seorang pemerintah yang bijak, dermawan, dan gemar mencari ilmu.

Walau apa pun jua keadaannya, Dinasti Keempat dianggap sebagai zaman kemuncak pembinaan piramid. Selain tiga buah piramid Snefru dan Piramid Agung Khufu, piramid-piramid Khafre dan Menkaure juga dibina pada zaman ini. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kepesatan ini adalah kukuhnya pemerintahan pusat pada waktu itu. Firaun-firaun dari dinasti ini berusaha seupaya mungkin bagi meneguhkan kedudukan mereka.

Antara pendekatan yang diambil adalah pemberian estes atau pemilikan tanah kepada para pegawai tinggi di seluruh Mesir. Tindakan ini bertujuan untuk mengelak dari terbentuknya pengaruh penguasa-penguasa tempatan. Pada masa yang sama, pengeksploitasian tanah secara intensif turut dapat digalakkan.

Selain faktor ini, Mesir juga sedang menikmati tempoh kestabilan dan keamanan politik yang agak panjang pada waktu itu. Mereka sama sekali tidak menerima ancaman serius oleh kuasa-kuasa luar. Firaun-firaun yang memerintah pula memegang kuasa mutlak. Dalam kata-kata lain, keadaan ini membolehkan sumber kekayaan mahupun tenaga manusia dikerahkan bagi melaksanakan projek pembinaan piramid.

Tujuan pembinaan sesebuah piramid itu sendiri tidak sekadar terhenti di situ (meneguhkan kedudukan firaun). Secara umum, piramid turut berfungsi sebagai pusat kultus bagi firaun-firaun yang telah meninggal dunia. Tradisi penyemadian kerabat diraja menuntut agar si mati dibekalkan dengan barang-barang keperluan bagi menempuh kehidupan sesudah mati, dan tradisi ini perlu dilakukan secara terus-menerus.

Sebagai contoh, kultus penyemadian Khufu terus diamalkan sehingga era Dinasti Ke-26. Secara tidak langsung, kultus atau tradisi sebegini turut menjadi mata pencarian buat sesetengah pihak, khususnya yang terlibat dalam tradisi berkenaan.

Kebanyakan barang ritual dan sembah korban yang diberikan tidak ditinggalkan begitu sahaja di altar atau meja korban. Sebaliknya, ia digunakan oleh para pendeta yang melaksanakan upacara tersebut atau jika tidak, diagihkan secara lebih meluas.

Walaupun pembinaan piramid tidak lagi menjadi satu agenda penting selepas berakhirnya Zaman Kerajaan Lama, konsep dan tradisi penyemadian kerabat diraja ini masih terus dipertahankan. Amalannya terus berlanjutan sehingga ke zaman-zaman terkemudian.

DINASTI KELIMA DAN PERUBAHAN SIGNIFIKAN DALAM TRADISI PEMBINAAN PIRAMID

Kemewahan dan kesenangan pada era Dinasti Keempat tidak berpanjangan. Era ini berakhir sekitar 2494SM dan digantikan oleh Dinasti Kelima. Beberapa perubahan ketara dapat dikesan sesudah memasuki era Dinasti Kelima ini. Sebagai contoh, piramid-piramid yang dibina pada era ini jauh lebih kecil dan tidak kukuh jika dibandingkan dengan piramid-piramid binaan Dinasti Keempat.

Piramid Userkaf (pengasas Dinasti Kelima) di Saqqara, misalnya, hanya memiliki ketinggian kira-kira 48 meter (157.5 kaki) dan pada hari ini, kebanyakan strukturnya hanya tinggal puing-puing runtuhan sahaja. Salah satu faktor perubahan ini adalah kekayaan pemerintah yang menyusut dengan ketara. Keadaan ini mungkin boleh dikaitkan dengan menyusutnya kuasa mutlak yang dipegang oleh firaun, di mana hal ini merupakan satu lagi perbezaan signifikan antara era Dinasti Keempat dan Dinasti Kelima. Firaun-firaun Dinasti Kelima perlu bersaing dengan dewa Ra (atau lebih tepat, pendeta-pendeta yang berkhidmat untuk dewa Ra).


Piramid Userkaf di Saqqara, yang saiznya jelas sekali jauh lebih kecil berbanding piramid-piramid yang dibina pada dinasti-dinasti awal

Ra muncul sebagai dewa penting pada era Dinasti Keempat. Sejak era Djedefra si pengganti Khufu, firaun-firaun Dinasti Keempat mula memakai gelaran ‘Putera Ra’. Walau bagaimanapun, hanya pada era Dinasti Kelima barulah kultus dewa Ra mencapai kemuncaknya. Firaun-firaun dari dinasti ini membina banyak kuil matahari untuk dewa berkenaan, yang sebahagiannya dihiasi dengan begitu mewah. Lantaran itu, pendeta-pendeta Ra pun meraih pengaruh yang besar di Mesir.

Kuasa firaun semakin dihakis oleh para pegawai tinggi. Berbeza dengan era Dinasti Keempat, para pegawai tinggi pada zaman Dinasti Kelima bukanlah daripada kerabat firaun sendiri. Dalam kata-kata lain, kuasa pemerintahan secara bertahap hilang dari tangan keluarga firaun dan jatuh ke tangan para nomarki, iaitu gabenor-gabenor wilayah.

BERAKHIRNYA ZAMAN KERAJAAN LAMA DAN LEGASINYA

Firaun terakhir bagi Zaman Kerajaan Lama yang dianggap signifikan ialah Pepi II, iaitu pemerintah kedua terakhir bagi Dinasti Keenam. Beliau menaiki takhta pada usia enam tahun, sekitar tahun 2278SM dan menurut sumber tradisi, memerintah selama 94 tahun. Piramid Pepi di Saqqara merupakan piramid Dinasti Kelima dan Dinasti Keenam yang paling besar, walau saiznya agak kerdil jika dibandingkan dengan piramid-piramid dari Dinasti Keempat. Piramid Pepi juga merupakan projek pembinaan monumental terakhir di Zaman Kerajaan Lama.

Walaupun pemerintahan Pepi berlangsung panjang, jelas sekali Mesir mengalami era kemunduran. Kerajaan Lama tumbang tidak lama sesudah kemangkatan Pepi. Firaun terakhir bagi Dinasti Keenam ialah Nitiqret, sementara nama kebanyakan firaun bagi Dinasti Ketujuh dan Kelapan hilang dari sejarah.

Kejatuhan Kerajaan Lama berpunca daripada beberapa faktor, termasuklah akibat hilangnya kuasa pusat, meningkatnya pengaruh nomarki, dan meningkatnya tekanan dan serangan kaum Nubia di selatan.

Tanpa dapat dinafikan, Kerajaan Lama merupakan zaman yang cukup mengagumkan dalam sejarah Mesir purba. Nama ‘Zaman Pembina-Pembina Piramid’ yang turut diberikan kepadanya juga dikira amat sesuai. Walau bagaimanapun, jatuhnya Kerajaan Lama ini bukanlah penamat bagi tamadun Mesir Purba.

Walaupun Zaman Pertengahan Awal yang menyusuli Zaman Kerajaan Lama sering dianggap sebagai zaman kemunduran, ia tetap mempunyai pencapaian yang tersendiri. Tambahan lagi, sejumlah tradisi dan idea dari Kerajaan Lama tidak luput dari sejarah, sebaliknya terus dikekalkan oleh para pemerintah dari dinasti-dinasti terkemudian.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (22 Mei 2020). The Old Kingdom of Egypt – Dynasties That Changed the World. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/old-kingdom-0013753


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.