Dinasti Liao adalah salah satu kerajaan asing yang bukan berbangsa Han (Cina) yang pernah memerintah sebahagian di utara China sekitar abad ke-10 dan ke-11 M.
Dinasti ini juga dikenali sebagai Empayar Khitan, yang dinamakan sempena satu kumpulan etnik yang memerintah. Dinasti Liao ditubuhkan rentetan kejatuhan Dinasti Tang, dan mengakhiri zamannya apabila ia dimusnahkan oleh suku Jurchens, yang kemudiannya menubuhkan Dinasti Jin (Agung).
SIAPA BANGSA KHITAN
Khitan adalah satu bangsa nomadik yang merupakan salah satu dari cabang bangsa Para-Mongolic dan bertutur bahasa Khitan yang banyak dipengaruhi bahasa Koreanic dan Turkik.
Mereka mendiami bahagian timur laut Asia. Kewujudan kumpulan etnik ini telah diketahui oleh masyarakat Cina Han sejak sekurang-kurangnya abad ke-4 atau 5 M. Walau bagaimanapun, hanya dengan tertubuhnya Dinasti Liao barulah Khitan mendapat tempat di dalam lipatan sejarah China.
Manakala antara abad ke-6 dan ke-9, Khitan berturut-turut didominasi oleh kuasa yang berbeza-beza, antaranya adalah Khaganate Turki Timur, Khaganate Uyghur, dan Dinasti Tang di China.
Masalah kritikal orang-orang Khitan ini ialah mereka tidak bersatu secara politik jika hendak dibandingkan dengan suku-suku Turkik, tetapi sering kali terlibat dalam konflik kuasa antara orang Turkik dengan kerajaan-kerajaan di China seperti Dinasti Sui dan Dinasti Tang.
Malahan kekuatan suku Khitan pada waktu itu dianggarkan hanya memiliki sekitar lebih kurang 43,000 orang tentera sahaja, itu pun sebahagiannya merupakan saki baki tentera Khaganate Turkik yang lama.
Jadi, bagaimana bangsa ini mampu menulis sejarah mereka sendiri? Siapa memainkan peranan utama menggerakkan perjuangan orang-orang Khitan? Kenapa mereka boleh sampai ke Asia Tengah?
PENGASASAN KERAJAAN KHITAN
Pengasas Dinasti Liao dikenali dengan nama Abaoji, dan beliau turut memiliki nama “sinicized” (nama dengan pengaruh budaya Cina), iaitu Yelü Yi, kemudian beliau kekal dikenali sebagai Maharaja Taizu dari Liao.
Pada awal abad ke-10 Masehi, Dinasti Tang telah dilanda konflik dari luar dan dalam hinggalah kejatuhannya pada tahun 907M, iaitu setelah maharaja yang terakhir, Maharaja Ai digulingkan.
Di bahagian tengah dan selatan China, negeri dan kerajaan-kerajaan kecil bangkit dan saling bertemp*r untuk mengambil alih kuasa hegemoni di Tanah Besar China. Zaman ini dikenali sebagai zaman Lima Dinasti Dan Sepuluh Kerajaan.
Apa yang menariknya, suku-suku Khitan tidak menerima sebarang cabaran sengit di utara, justeru, Dinasti Liao berjaya diasaskan dengan mudah oleh Abaoji tanpa halangan.
Secara tradisinya, tahun 907M dianggap sebagai permulaan empayar Dinasti Liao, walaupun ahli sejarah China lebih cenderung menganggap tahun 916M secara spesifik kerana tahun itu lah Abaoji secara rasmi telah mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja.
Sistem Pentadbiran Kerajaan Berkembar
Subjek utama kerajaan Dinasti Liao adalah suku Khitan dan kaum Cina Han. Oleh itu, para penguasa dan pembesar dinasti ini memutuskan untuk melaksanakan sistem dan wilayah pentadbiran secara berasingan dibawah satu mandat yang sama.
Di utara, kerajaan Liao ditubuhkan atas dasar kepentingan suku Khitan itu sendiri, memandangkan subjek utama mereka adalah kaum nomad. Di selatan pula, subjek mereka adalah sebahagian kaum Cina Han dan yang lain-lain secara umumnya.
Oleh itu, kerajaan di Selatan perlu banyak mengekalkan dasar dan polisi pentadbiran yang ditinggalkan dari zaman Dinasti Tang kerana kaum Han sudah terbiasa dengan sistem pentadbiran gaya Dinasti Tang.
Dari segi budaya, Dinasti Liao sangat kuat dipengaruhi oleh budaya kaum Cina Han. Sebagai contoh, di bawah pemerintahan Abaoji, akademi diraja yang dipanggil Guozijian ditubuhkan bagi tujuan pendidikan dan penyebaran ajaran Confucius.
Di samping itu, kelas pemerintahan Dinasti Liao juga menitikberatkan pengkajian tentang adat, falsafah, dan tradisi kaum Cina Han. Walau bagaimanapun, Khitan sedar bahawa terlalu banyak menyerap amalan dan budaya kaum Cina berpotensi mengikis identiti etnik mereka sendiri.
Oleh itu, bangsa Khitan berusaha untuk mengekalkan identiti mereka yang unik. Sebagai contoh, pemerintah Khitan tidak menggunakan sistem penulisan karakter cina Han, tetapi membentuk sistem penulisan yang berbeza untuk bahasa-bahasa utama mereka iaitu bahasa Khitan, Turkic, Uyghur dan Jurchen.
KEMUNCAK KEGEMILANGAN
Pada 960M, era Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan berakhir dengan penubuhan Dinasti Song di timur China. Hubungan antara Song dan Liao pada mulanya konsisten mengekalkan keamanan.
Walau bagaimanapun, hubungan ini merosot dari masa ke semasa, hinggalau akhirnya per*ng meletus di antara kedua-dua empayar tersebut ketika menjelang akhir abad ke-10M.
Konflik antara Dinasti Liao dan Dinasti Song diselesaikan pada tahun 1005 dengan menandatangani Perjanjian Chanyuan. Akibatnya, Dinasti Song terpaksa membayar ufti tahunan kepada pemerintah Dinasti Liao.
Salah satu faktor yang menyebabkan kejatuhan Dinasti Liao adalah persengketaan dalaman golongan kelas pemerintah. Beberapa golongan elit menyokong sistem pemilihan tradisional yang telah lama diamalkan bangsa Khitan, iaitu Maharaja Liao yang baharu dipilih melalui ketua-ketua suku yang dicalonkan.
Sementara sebahagian yang lain memilih sistem pewarisan takhta mengikut tradisi imperialis China iaitu dari diturunkan dari bapa kepada anak lelaki sebagai mematuhi konsep “mandat dari syurga”.
Perbezaan inilah yang akhirnya akan melemahkan Dinasti Liao dan ini memberi musuh-musuhnya peluang untuk menyusup masuk ke dalam pentadbiran, mengumpul kekuatan lalu menyer*ng mereka.
Dinasti Liao akhirnya dijatuhkan pada tahun 1125 oleh bangsa Jurchen, sekaligus menggantikan bangsa Khitan selaku kuasa hegemoni di utara China melalui penubuhan Dinasti Jin Agung
*AGUNG ialah istilah yang ditambah oleh sejarawan berikutan namanya yang sama dengan Dinasti Jin yang menjatuhkan Empayar Cao-Wei dan Dinasti Han selepas era Tiga Kerajaan.
ASIMILASI KERAJAAN KARA-KHITAI
Walau bagaimanapun, selepas kejatuhan Dinasti Liao di utara China, Yelü Dashi, salah seorang anggota dari keluarga diraja Dinasti Liao bersama-sama pengikutnya melarikan diri ke barat di Asia Tengah.
Dia bersama-sama penyokongnya telah membuka penempatan, bergaul dan berasimilasi dengan masyarakat tempatan, lalu memerintah sebuah kerajaan Turkik yang dikenali sebagai Empayar Kara-Khitai.
Namun legitimasi pemerintahan empayar tersebut dirampas oleh satu lagi suku nomad dari kaum Kazakh iaitu Naiman pada tahun 1211.
Sumber tradisional dari China, Parsi, dan Arab menganggap rampasan kuasa ini merupakan pengakhiran kepada Empayar Kara-Khitai, namun secara teknikalnya kerajaan itu tidak pernah jatuh sepenuhnya sehingga berlakunya penakl*kan Mongol pada 1218.
Kara-Khitai dianggap oleh sejarawan China, Jepun Korea dan Vietnam sebagai dinasti penerus budaya warisan China yang sah di Asia Tengah, oleh kerana itu walaupun di bawah penguasaan suku Kazakh Naiman yang diperintah oleh seorang putera Naiman bernama Kuchlug, mereka terus kekal dikenali sebagai Dinasti Liao Agung atau Dinasti Liao Barat didalam sumber penulisan China dan sekitarnya.
PENGASAS KARA-KHITAI
Empayar Kara-Khitai diasaskan oleh Yelü Dashi dengan gelaran dirajanya sebagai Maharaja Dezong. Beliau mengetuai suku nomad Khitan ke barat melalui sempadan Mongolia setelah kejatuhan dinasti Liao.
Suku Jurchen yang pernah menjadi subjek Khitan di bawah Dinasti Liao di China telah bersekutu dengan Dinasti Song dan bertindak menggulingkan pemerintah Liao.
Yelü merekrut suku Khitan dan suku-suku lain untuk membentuk pasukan tentera yang kuat, dan pada 1134 mereka berjaya menawan wilayah Balasagun dari pemerintahan Kara-Khanid Khanate, yang menandakan permulaan Empayar Kara-Khitai di Asia Tengah.
Angkatan tentera bangsa Khitan tidak lama kemudian disertai oleh 10,000 lagi askar dari suku Khitan yang sebelum itu menjadi subjek kepada pemerintah Kara-Khanid.
Tentera Khitan kemudiannya menakl*ki Kashgar, Khotan, dan Beshbalik. Khitan juga berjaya mengalahkan pasukan Kara-Khanid Barat di Khujand pada tahun 1137, dan secara tidak langsung memberi mereka kawalan penuh terhadap Lembah Fergana yang penting itu.
Mereka memenangi Pertemp*ran Qatwan setelah menentang tentera Kara-Khanid Barat dan tentera Empayar Seljuk pada 9 September 1141, hasilnya mereka berjaya membuka akses laluan untuk orang-orang Khitan menduduki dan mengawal wilayah Transoxiana.
Yelü Dashi pada asalnya berharap dapat menawan semula China utara dari dinasti Jin Agung dan mengembalikan wilayah yang pernah dikawal oleh Dinasti Liao. Walau bagaimanapun, tidak lama kemudian dia menemui titik kelemahan empayarnya dan dibandingkan dengan kekuatan Dinasti Jin, lalu melupakan hasratnya.
KONFLIK PEWARIS TAKHTA
Setelah kemangkatan Maharaja Dezong (Yelü Dashi), isterinya, Xiao Tabuyan (1143-1150) menjadi wakil pemerintah untuk anak mereka yang belum matang. Setelah itu, anak lelaki mereka Yelü Yilie, memerintah dari 1150 hingga 1163, kemudian digantikan oleh adik perempuannya, Yelü Pusuwan (1164-1177).
Yelü Pusuwan terlibat dalam skandal cinta terlarang kerana jatuh cinta terhadap adik lelaki suaminya sendiri, Xiao Fuguzhi. Mereka kemudian dihukum bun*h pada tahun 1177 oleh bapa suaminya, Xiao Wolila, yang kemudian mengangkat anaknya Yelü Zhilugu (1178-1211) sebagai maharaja.
Pentadbiran kerajaan ini mula dilemahkan oleh pemberontakan dan per*ng dalaman di antara wilayah-wilayah naungan mereka, terutamanya semasa tempoh-tempoh akhir sejarah Dinasti Liao Agung ini.
Sepanjang tempoh ini, empayar ini mula mengecil dari timur laut pada tahun 1175 apabila suku Naiman di timur Altai dan suku Turkik Kankali di utara Tasik Balkhash menyerahkan sebahagian wilayah timur laut kepada orang Jurchen.
Di bahagian barat pula terdapat banyak konflik dengan kerajaan Khwarezm yang melibatkan isu menolak pembayaran ufti tahunan, lebih menambahkan keadaan yang tenat, berlaku pula persaingan dalam mewarisi takhta.
Menjelang tahun-tahun terakhir Kara-Khitai dan kerajaan yang lain, mereka berkembang jauh ke selatan menghampiri Empayar Khwarezm, malangnya mereka akhirnya ditakl*k oleh Mongol pada 1220, dua tahun selepas Kara-Khitai sudah mula lemah.
Di selatan, orang-orang yang merupakan paksi penyokong kerajaan lama Kara-Khanid sering terlibat dalam pelbagai siri konflik ringan antara satu sama lain dengan orang-orang Kara-Khitai, Khwarezm dan Gurid.
KUDETA OLEH SUKU NAIMAN
Pada tahun 1208 sebelum kesemua kuasa-kuasa di Asia Tengah ini ditakl*k oleh Mongol, seorang putera dari suku Naiman bernama Kuchlug, melarikan diri dari tanah airnya selepas dikalahkan oleh Mongol.
Kuchlug dan pengikutnya diberikan perlindungan oleh Empayar Kara-Khitai, dan dibenarkan untuk berkahwin dengan anak perempuan Yelü Zhilugu.
Walau bagaimanapun, pada tahun 1211, Kuchlug memberontak, dan kemudian berjaya menawan Yelü Zhilugu. Zhilugu dibenarkan kekal sebagai pemerintah dengan kuasa yang terhad tetapi meninggal dunia dua tahun kemudian.
Kebanyakan ahli sejarah menganggap kem*tiannya sebagai penutup zaman kegemilangan Empayar Kara-Khitai.
Pada 1216, Genghis Khan menghantar Panglima Jebe bersama-sama sepasukan besar tentera Mongol untuk menangkap Kuchlug, menyedari akan nyawanya terancam, Kuchlug cuba melarikan diri, tetapi pada 1218, dia akhirnya ditangkap dan kepalanya dipenggal. Mongol berjaya menakl*ki wilayah-wilayah Kara-Khitai pada tahun 1220.
KESAN KEJATUHAN DINASTI LIAO AGUNG
Empayar Kara-Khitai diserap sepenuhnya ke dalam Empayar Mongol; apa yang menarik, sebahagian besar anggota tentera Kara-Khitai sebelum ini dari awal lagi telah menyertai tentera Mongol untuk memer*ngi Kuchlug.
Manakala pihak yang lain terutamanya sebuah kerajaan kota Khitan bernama Quthlug-Khanid yang diasaskan oleh Buraq Hajib, terselamat di Kirman dengan sukarela diserap sebagai negeri naungan Mongol, tetapi tidak lagi wujud sebagai entiti politik semasa pemerintahan Öljaitü dari Ilkhanate.
Pengaruh Kara-Khitai tersebar secara meluas di seluruh Eurasia sebagai sebahagian daripada tentera Mongol. Pada abad ke-14, mereka mula kehilangan identiti etnik mereka secara sistematik, namun kewujudan mereka pada hari ini masih boleh dijejak dan ditemui berdasarkan nama keturunan, suku atau mengkaji persempadanan mereka yang sejauh dari Afghanistan ke Moldova.
Hari ini suku-suku dari sub-etnik kaum Khitai masih hidup di utara Kyrgyzstan sebagai bangsa yang masih mengekalkan budaya hidup sebuah bangsa nomad, jauh lebih konservatif berbanding dengan bangsa Mongol hari ini yang hampir semuanya sudah dipengaruhi oleh budaya China.
RUJUKAN:
ANCIENT ORIGINS : An Intriguing Empire – The Lasting Impression of the Nomadic Liao Dynasty on Chinese Culture : https://www.ancient-origins.net/history/intriguing-empire-lasting-impression-nomadic-liao-dynasty-chinese-culture-008855
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih