Anda makan sandwich hari ini? Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beratus ribu manusia di seluruh dunia juga turut menikmati sandwich pada setiap hari. Malah, masyarakat di Amerika sendiri secara puratanya telah menikmati hampir 200 sandwich seorang pada setiap tahun. Apa istimewanya kepingan roti yang bernama sandwich ini? Adakah keistimewaannya terletak pada inti sandwich tersebut? Atau pada jenis rotinya?

Oxford English Dictionary telah meletakkan definisi sandwich sebagai ‘suatu jenis makanan yang terdiri daripada dua keping roti yang mempunyai inti di antara keduanya, dimakan sebagai suatu hidangan ringkas’. Jelas sekali berdasarkan definisi ini, konsep sandwich adalah begitu mudah, iaitu dua keping roti dengan apa jua inti di dalamnya. Namun, tahukah anda sejarah di sebalik kepingan sandwich ini?

Sejarah Sandwich

Sandwich, meskipun hanya didefinisikan sebagai suatu makanan ringkas dengan dua keping roti berinti, namun, ia mempunyai sejarah yang panjang untuk dirungkaikan. Sejarah sandwich yang pertama direkodkan adalah pada sekitar 100 tahun sebelum Masehi apabila Hillel the Elder, seorang rabbi dan pemimpin Yahudi yang terkenal telah mencampurkan bahan-bahan seperti kekacang, epal, rempah-ratus bersama wain dan meletakkan campuran bahan-bahan ini di antara dua keping roti (matzohs atau flat bread). Beliau menikmati makanan ini sebagai satu cara bagi memperingati kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat Yahudi pada waktu itu. Peristiwa ini telah dianggap sebagai kali pertama bagaimana sandwich mula diperkenalkan, meskipun nama rasmi sandwich masih belum digunakan pada waktu itu.

Beratus-ratus tahun selepas itu, ketika Zaman Pertengahan, iaitu pada sekitar abad ke-6 hingga abad ke-16 Masehi, masyarakat telah menggunakan kepingan roti sebagai pinggan atau tempat untuk meletakkan makanan mereka yang lain. Sayur-sayuran dan daging diletakkan di atas kepingan roti tersebut dan mereka menjamah hidangan itu dengan menggunakan tangan. Ini telah direkodkan dalam sejarah sebagai pertama kalinya sandwich jenis terbuka digunakan dan masyarakat pada waktu itu memanggilnya sebagai trenchers.

Sejarah sebenar nama sandwich bermula pada abad ke-18 Masehi, dengan seorang aristokrat Inggeris yang bernama John Montagu, iaitu Earl of Sandwich yang keempat pada waktu itu. Sandwich sebenarnya merupakan nama sebuah bandar yang terletak di wilayah Kent, bahagian tenggara England. John Montagu telah mewarisi gelaran Earl of Sandwich ini daripada datuknya, iaitu Edward Montagu (Earl of Sandwich ketiga) pada tahun 1729, dan beliau hanya berusia 10 tahun pada ketika itu.

John Montagu sewaktu zaman perkhidmatannya sebagai First Lord of Admiralty, iaitu antara tahun 1748 hingga 1751, begitu gemar berjudi. Meskipun mempunyai hobi berjudi, namun Montagu masih dianggap sebagai seorang ahli politik yang rajin dan berdedikasi terhadap tugasnya. Berbalik kepada kegemarannya berjudi, Montagu sanggup menghabiskan masa berjam-jam di meja judi dan tidak akan berganjak meskipun untuk menikmati makanan. Disebabkan beliau tidak ingin meninggalkan meja judinya, maka Montagu sering meminta tukang masaknya untuk membawakan makanan agar dia dapat menikmatinya di meja judi tersebut. Makanan yang sangat digemari olehnya adalah roti, namun, Montagu turut dikenali sebagai seorang yang cerewet, dan beliau telah meminta tukang masaknya untuk meletakkan kepingan daging di antara dua keping roti bakar. Bagi Montagu, hidangan ini mengenyangkan dan ia juga memudahkan dirinya tanpa perlu bergerak daripada tempat perjudiannya.

Hidangan ini kemudiannya menjadi semakin terkenal, kerana ramai orang mula melihat bagaimana Montagu menikmati dua keping roti bersama kepingan daging tersebut, dan terdapat banyak permintaan untuk mendapatkan roti seperti Sandwich (Earl of Sandwich) itu. Montagu juga sebenarnya telah mendapat banyak idea untuk inti roti yang menjadi kegemarannya itu ketika melawat kawasan Mediterranean di mana beliau menyaksikan bagaimana masyarakat Greek dan Turki meletakkan kepingan keju di atas roti yang mereka makan. Beliau telah membawa pulang idea ini dan menjadikan sandwich semakin digemari oleh masyarakat England.

Di Amerika Syarikat, sandwich pertama kalinya telah diperkenalkan pada tahun 1840 oleh Elizabeth Leslie, melalui buku masakannya, iaitu Directions for Cookery. Di dalam buku ini, Elizabeth telah menulis resepi sandwich ham, yang sesuai untuk dijadikan hidangan makan tengah hari atau makan malam. Sandwich ham ciptaan Elizabeth ini diperbuat daripada sekeping roti nipis yang telah disapu mentega bersama sedikit mustard, dan ham sebelum digulung atau dimakan begitu sahaja.

Pada sekitar 1900-an, sandwich mula terkenal di Amerika Syarikat dan menjadi antara makanan penting dalam kalangan masyarakatnya. Pelbagai lapisan masyarakat menggemari sandwich kerana ia mudah untuk disediakan dan sesuai untuk kanak-kanak serta orang dewasa. Tidak lama selepas itu, hamburger telah dicipta oleh Louis Lassen, seorang pemilik restoran di Connecticut, yang memperkenalkan kepingan daging goreng di antara kepingan roti bulat.

Pada 3 November setiap tahun, Hari Sandwich akan disambut sebagai memperingati bagaimana Earl of Sandwich, John Montagu telah mencipta roti yang menjadi kegemaran dunia ini, dan tarikh ini merupakan tarikh lahir kepada Montagu.

Kesimpulan

Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis sandwich yang telah dicipta dengan pelbagai jenis nama yang berbeza. Walau apa jua inti, jenis roti, sayuran dan sos yang digunakan untuk setiap jenis sandwich yang berbeza ini, namun asasnya tetap sama, seperti yang pernah dimakan oleh Earl of Sandwich, iaitu dua kepingan roti, dengan kepingan daging di antara keduanya. Nikmatilah sandwich mengikut apa sahaja selera yang anda ingini!

Rujukan

Avey, T. (2013). Discover The History of Sandwich. Retrieved October 8, 2018, from http://www.pbs.org/food/the-history-kitchen/history-sandwich/

Rupp, R. (2015). Unpacking the Stacked History of the Sandwich. Retrieved October 7, 2018, from https://www.nationalgeographic.com/people-and-culture/food/the-plate/2015/05/15/unpacking-the-stacked-history-of-the-sandwich/%0A%0A

Russo, S. (2010). The Encyclopedia of Sandwiches: Recipes, History and Trivia for Everything Between Sliced Bread. Philadelphia: Quirk Books.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.