Sudah seminggu berlalu dan filem Mat Kilau masih menyilau. Baik pada jumlah kutipan mahupun liputan. Ini sekali gus memecahkan banyak stereotaip terutama tentang selera umum terhadap kandungan berunsur sejarah dan tentang betapa filem sejarah harus sifar salah.

Sebabnya? Lihat saja bagaimana ramai menyikapi filem ini sebagai suplemen jati diri, pemangkin kesatuan, dan jendela pengetahuan. Sampaikan; yang tidak kenal siapa Mat Kilau jadikenal, yang tidak pernah bertanjak jadi bertanjak, dan yang lama tidak berbangga dalam lingua franca boleh jadi bangga.

Bayangkan, kalau dah sampai Top Gun: Maverick yang pecah panggung itu pun selamba ditapau dan dialog-dialog jiwang daripada Marvel pun habis diganti dengan “Rokiah abang datang” – memang sepantasnya judul filem Mat Kilau diiringkan dengan kata ‘kebangkitan’. Kebangkitan pahlawan dan kebangkitan kesedaran.

Di mana, antara kesedarannya adalah Fattah Amin patut buat buku kedua berjudul 99 Kata Pujangga Awang. Sebab watak Awang memang ibarat diciptakan khas untuknya. Dan masa sama, nama Awang ini pula bukan nama sembarang dalam sejarah bangsa.

Kalau berminat untuk mendalami ilmu alam Melayu, anda dialu-alukan beli buku Lipur Lara Alam Melayu melalui https://shopee.com.my/Lipur-Lara-Alam-Melayu-i.238336777.21315815920

Ia satu nama yang dalam peribadinya tercantum kesetiaan Demang Lebar Daun, kefasihan Hang Tuah, kebijakan Tun Perak, dan keperkasaan Raden Wijaya. Ia satu nama yang bukanlah lahir dari darah raja atau insan ternama, tetapi sekadar seorang hamba biasa berusia remaja.

Memperkenalkan – Panglima Awang. Atau dunia lebih mengenalinya sebagai Enrique de Malacca. Walau ikutkan, tiada siapa pasti sama ada beliau benar-benar orang Melaka. Sebab ada pandangan kata beliau berasal dari Sumatera, Maluku, atau Filipina – yang mana semua ini masih terangkum di dalam Alam Melayu.

Di samping itu, nama aslinya juga tiada siapa tahu. Ini kerana ‘Panglima Awang’ sebetulnya adalah nama fiksyen yang digunakan oleh Harun Aminurrashid dalam novelnya. Manakala Enrique pula adalah nama Awang selepas beliau dibaptis menjadi Kristian. Justeru kata lain, latar belakang Awang memang langsung tidak diketahui.

Apa yang diketahui tentang hidupnya hanya bermula saat kejatuhan Melaka, yakni sekitar Ogos 1511. Masa itu, beliau masih berusia 12-16 tahun. Di mana sebagai penduduk Melaka,tentunya beliau turut menyaksikan bagaimana bandar itu ditakluki Portugis. Bahkan ada juga pendapat yang kata beliau turut mengangkat senjata memerangi penjajah. Namun benar tidak pendapat tersebut, tiada sumber dapat mengesahkan.

Catatan sekadar menceritakan betapa Awang menjadi hamba kepada Ferdinand Magellan. Lantas semasa Magellan berangkat pulang dari Melaka ke Lisbon pada Disember 1511, Enrique turut dibawa bersama. Sekali gus, bermulalah pengembaraannya mengelilingi dunia – dari Melaka, singgah ke Goa, lalu mengharungi Laut Hindi, kemudian tiba di selatan Afrika sebelum akhirnya mengharungi Atlantik dan sampai di Portugal pada Jun 1512.

Patung memorial Enrique the Black

Sebaik tiba di Lisbon, Awang dibaptis dan diberi nama Enrique. Semenjak itu, hubungannya dengan Magellan menjadi akrab. Bahkan, tidak keterlaluan untuk kata yang beliau adalah orang kanannya. Ini kerana Enrique memang tidak pernah berenggang dengan Magellan. Baik semasa menghadap dan memujuk Raja Manuel I supaya membiayai perlayaran merentasi Pasifik mahupun semasa Magellan berperang hingga tempang di Morocco.

Lebih kurang lima tahun juga mereka bersama di Lisbon – sebelum berpindah ke Seville pada 1517 gara-gara patah hati dengan raja sendiri. Kesetiaan Magellan lantas beralih kepada Sepanyol. Justeru, giliran Raja Charles V pula menjadi mangsa pujukan. Sepanjang pujukan tersebut dilakukan, Enrique turut dibawa dan dihadapkan.

Ini bagi membuktikan yang Magellan pernah sampai ke Timur, di samping meyakinkan Charles yang misi meredah Pasifik boleh berjaya dengan adanya kebijakan Enrique sebagai jurubahasa dan pemandu arah. Ikutkan, tidak pasti sama ada waktu itu Enrique sudah fasih berbahasa Sepanyol atau belum. Namun, catatan Antonio Pigafetta menyifatkan beliau mahir banyak bahasa – persis Hang Tuah yang pernah berdiplomasi hingga ke Ryukyu, India, dan Istanbul.

Permintaan Magellan akhirnya dikabulkan – sebahagiannya berkat menjadikan Enrique si anak Melayu ini sebagai modal… yang punya hebat penangannya, sampai Charles memperkenankan lima buah kapal iaitu San Antonio, Trinidad, Conception, Victoria, dan Santiago. Ini termasuk belanja keseluruhan yang bernilai 8,751,125 maravedi – yang kalau ikut hitungan hari ini, ia bersamaan $2,625,337 (RM11.5 juta). Yakni, empat kali ganda lebih besar berbanding biaya perlayaran Christopher Columbus.

Charles V taja sampai lima buah kapal untuk misi keliling dunia Magellan

Biaya yang besar seperti ini sememangnya munasabah. Sebab pada bahu Magellan terpikul tanggungjawab mencari laluan dari Pasifik ke Maluku, yang bagi Sepanyol, ia amat penting. Ini kerana laluan laut ke arah timur (melalui Tanjung Harapan dan Laut Hindi) sudah dikuasai Portugal. Jadi, mahu tidak mahu Sepanyol perlu menghabiskan misi Columbus yang tergendala di Caribbean.

Justeru pada 20 September 1519, rombongan Magellan yang berkekuatan 270 pun berangkat dari Seville menuju Amerika Tengah. Daripada sana, mereka kemudian menyusuri pantai hingga sampai ke bahagian terhujung Amerika Selatan. Di situlah ditemukan Selat Magellan yang menjadi jalan pintas antara pantai barat dan pantai timur Chile (sekali gus berfungsi sebagai penghubung antara Laut Atlantik dan Laut Pasifik).

Laluan ini sebetulnya memang mencabar. Tetapi apa yang lebih mencabar adalah pemberontakan yang berlaku dalam kalangan anak buah Magellan saat mereka tiba di San Julian. Di mana, tiga buah kapal sempat dirampas. Mujur, kesemuanya dapat direbut semula dan sentimen kebencian antara Portugis-Sepanyol dalam rombongan dapat dikendurkan.

Bagi Enrique, peristiwa ini ikutkan amat menguji kesetiaannya. Ini kerana ia menghidangkan peluang untuk beliau memilih sama ada mahu kekal sebagai hamba Magellan atau memihak kapten-kapten Sepanyol – yang pada masa itu masih bersih daripada dosa menjajah Alam Melayu dan justeru, barangkali lebih sudi membantunya membebaskan Melaka dari Portugis. Dalam keadaan sebegitu, Enrique memilih untuk terus mengimarahi semangat setia kawan.

Dan semangat tersebut dibalas oleh Magellan yang bukan setakat mewasiatkan supaya Enrique dimerdekakan dan dikurniakan 10,000 maradevi sebaik perlayaran tamat. Malah, dia turut memberikan gaji yang tinggi kepada Enrique sebagai jurubahasa. Iaitu sebanyak 1,500 maradevi sebulan. Yakni bersamaan $450 (RM2,000) – lebih tinggi berbanding gaji minimum hari ini.

Kemudian seakan tidak cukup dengan dua kelebihan itu, Enrique juga dianakemaskan oleh Magellan – di mana, beliau diberi makan jeruk buah quince di saat kelasi-kelasi lain menderita akibat kebuluran dan penyakit skurvi. Sampai ramai yang mati dan ada pula terpaksa makan tikus serta pelapik pelantar bagi mengalas perut.

Senarai sebahagian daripada 62 kelasi atas kapal Trinidad, termasuk Enrique

Kemesraan antara Enrique dan Magellan ini terbentuk hasil kesetiaan, kebijakan, dan sifat amanah yang dimiliki oleh Enrique sendiri. Hinggakan, beliau diberi kepercayaan untuk mengetuai diplomasi dengan raja-raja tempatan sebaik tiba di Filipina pada Mac 1521. Antaranya dengan raja Cebu bernama Humabon, yang memeluk Kristian bersama 800 orang rakyatnya.

Ini justeru menjadi faktor pembeza antara misi Columbus dan Magellan. Di mana tanpa Enrique, Magellan barangkali menghadapi kegagalan sama seperti Columbus. Terutama dalam bab komunikasi dan menjejak lokasi.

Apapun, akibat bersahabat dengan Humabon inilah Magellan terbunuh. Iaitu sewaktu menyerang Lapu-Lapu di Mactan pada April 1521. Sampai nyaris rombongannya terbubar di situ. Lebih-lebih selepas berlaku pertengkaran antara Enrique dan Duarte Barbossa (pengganti Magellan) yang membelakangi janji untuk memberi kemerdekaan.

Kami juga ada karya-karya fiksyen khas untuk para peminat pelbagai genre. – https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Pertengkaran tersebut lantas mendorong Enrique untuk berpakat dengan Humabon dalam membunuh habis anak-anak kapal Magellan, termasuk Barbossa. Hingga dilaporkan, hanya 27 orang sahaja terselamat termasuk Antonio Pigafetta dan Juan Sebastian Elcano – dua rakan karib Magellan. Mereka inilah yang meneruskan perlayaran ke Maluku dan dari Maluku, pulang ke Seville sekali gus menamatkan misi mengelilingi dunia pada September 1522.

Sambil itu, Enrique pula hilang dari sejarah. Tiada siapa tahu apa nasibnya selepas peristiwa di Cebu. Ada yang berpendapat beliau terus menetap dan membina keluarga di situ. Namun ada juga yang berpandangan beliau kembali ke Melaka – sekali gus menjadi anak Melayu pertama yang mengelilingi dunia.

RUJUKAN

Govindasamy, Murgan. (2022, 23 April). The tale of a hero from the high seas revisited at Ilham Gallery. BASKL.

Illani, Rai. (2019, 12 September). Panglima Awang aka Enrique Dikatakan Manusia Pertama Mengelilingi Dunia. Iluminasi.

Mohd Tamrin, Khazin et al. (2009). Enrique Melaka @ Panglima Awang sebagai Magellan Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rahim, Nasron Sira. (2015, 18 May). Siri Misteri: ‘Panglima Awang’ Melayu pertama keliling dunia. Berita Harian.

Wan Hashim Wan The, Profesor Emeritus. (2021, 30 April). 500 Tahun Pelayaran Mengelilingi Dunia, Panglima Awang Wajar Diiktiraf. Tinta Minda.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply