Masyarakat luar Johor terutamanya pasti tidak mengenal Kampung Sungai Telur. Malahan orang Johor sendiripun menganggap kampung itu sama sahaja seperti desa lain.
Namun begitu, ada sesuatu yang unik mengenai Kampung Sungai Telor berkemungkinan kita semua tak tahu. Kalau nak tahu boleh soroti artikel ini.
Kampung Sungai Telor merupakan antara kampung tradisional yang masih lagi wujud di daerah Kota Tinggi.
Kampung ini mula dibuka pada sekitar tahun 1940-an dan terletak di tebing Sungai Johor.
Pada asalnya, tempat ini diberi nama sebagai Kampung Asam Gelugor. Nama ini dipilih kerana terdapat begitu banyak pokok asam gelugor di kampung tersebut.
Apabila pegawai pejabat tanah datang ke kampung itu, secara tidak sengaja penduduk setempat telah memberikan nama Kampung Sungai Telor.
Tahukah anda, kampung ini mendapat nama apabila seorang penduduk tempatan telah tersesat di dalam hutan hingga terjumpa sebuah istana usang.
Penduduk itu telah mengelilingi istana tersebut dan menemui ribuan telur di belakang istana. Penduduk itu akhirnya melarikan diri kerana berasa sungguh aneh dan seram dengan kejadian tersebut.
Oleh itu, lahirlah nama rasmi Kampung Sungai Telor yang mengambil peristiwa terbabit sebagai inspirasi.
Menurut ketua kampung, tempat itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu kota pertama Kesultanan Johor Lama yang dipimpin oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II.
Baginda yang juga merupakan anakanda kepada Sultan Mahmud Syah telah ditugaskan bersama barisan tentera untuk mencari negeri baru.
Tapak Kampung Sungai Telor atau Kota Pekan Tua dianggap sebagai strategik kerana terletak di tebing Sungai Johor dan jauh dari muara.
Kedudukan tersebut juga dapat melindungi Kota Pekan Tua daripada diserang oleh gerombolan soldadu Portugis. Di Pekan Tua juga terdapat sebuah kubu yang diberi nama Kota Kara.
Kubu ini dilengkapi dengan istana yang mengandungi balairung ser, balai besar, balairung kedua, penanggah, balai gendang, balai penghadap, masjid, pasar dan rumah rakyat jelata di sekeliling luar pagar istana.
Walaubagaimanapun, soldadu Portugis yang diketuai oleh Estavo De Gama telah membumihanguskan Kota Pekan Tua pada tahun 1535 masihi.
Semuanya berpunca daripada keterlanjuran Portugis yang telah membunuh ketua orang Melayu di Melaka lantas mencetuskan rasa tidak puas hati Kesultanan Johor Lama.
Johor Lama membalas kembali perbuatan tersebut tersebut dengan membunuh utusan Portugis yang bertandang ke Pekan Tua.
Serangan Portugis ini telah menyebabkan baginda terpaksa berundur ke Sayong. Semenjak daripada itu, baginda telah menjadikan Sayong sebagai ibu kota Johor Lama.
Akhirnya Kota Pekan Tua ditinggalkan sehinggalah dibuka kembali pada tahun 1940-an sebagai sebuah kampung.
Kesan-kesan arkeologi bagi membuktikan kampung ini sebagai lokasi sebenar Kota Pekan Tua amat sukar untuk diperolehi.
Menurut penduduk tempatan, mereka hanya berjaya menjumpai batu nisan lama yang berbentuk gaya Aceh di pinggir kampung.
Artifak itu dijadikan bukti keberadaan Kota Pekan Tua di kampung tersebut.
Jika aktiviti arkeologi diteruskan, mungkin kita akan menemui sesuatu yang sangat berharga bagi negeri Johor atau mungkin juga sebuah kubu pertahanan batu.
Namun begitu, aktiviti arkeologi di kampung tersebut seolah-olah hidup segan mati tidak mahu.
Sehingga kini, pelawat daripada luar sukar untuk mempercayai bahawasanya Kampung Sungai Telur merupakan Ibu Kota pertama Kesultanan Johor Lama.
Oleh itu, arkeologi dan ekskavasi perlu dipergiat untuk mendapatkan maklumat mengenai Pekan Tua.
RUJUKAN:
Norliah Binti Abdullah & Jaafar Binti Jambi. (2017). Pusat-pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Johor membina penempatan awal orang Melayu di sepanjang Sungai Johor. Jurnal Peradaban, 10, 38-61.
Majlis Daerah Kota Tinggi. (n.d) Sejarah Kota Tinggi. Dipetik daripada https://www.mdkt.gov.my/ms/pelawat/sejarah-kota-tinggi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih