Ketika melihatkan seorang likers mempersoalkan di manakah orang Melayu yang paling asli, bagi membuktikan bahawa orang Melayu bukanlah bangsa hybrid, bangsa ciptaan atau tidak wujud.

Maka dengan ini, saya merasakan perlunya untuk saya menjawab tohmahan beliau, dengan memaparkan sedikit info mengenai MELAYU PROTO atau orang asli di Malaysia ini.

Maka, kalau selepas ini ada di antara sesiapa yang nak mencari orang asli ini, bolehlah mencari suku-suku Melayu Proto di bawah.  Untuk pengetahuan semua, Melayu Deutro iaitu Melayu Moden pada hari ini adalah bersusur galur daripada Melayu Proto inilah.

1. Orang Laut

Orang Laut ialah salah satu dari kumpulan Melayu Proto yang mendiami kawasan pesisiran laut dan muara sungai. Mereka banyak terdapat di pesisiran pantai selatan Semenanjung Malaysia, timur Pulau Sumatera serta pulau-pulau dan muara sungai di Kepulauan Riau-Lingga, Kepulauan Batam, Pulau Tujuh dan Pulau Singapura.Di antara kelompok Melayu-Proto yang lain,mereka antara suku kaum yang paling rapat dengan saudara mereka di kalangan Melayu Deutro.

Kaum Orang Laut memiliki banyak persamaan dengan orang Melayu dari segi kebudayaan dan bahasa. Bahasa kaum ini dikenali sebagai bahasa Orang Laut yang merangkumi pelbagai jenis loghat suku. Mereka pada umumnya mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan.

Sejak dari dahulu lagi,Orang Laut telah menumpukan kesetiaan mereka kepada raja-raja Melayu dari Empayar Srivijaya. Malah selepas kejatuhan Srivijaya, mereka masih meneruskan kesetiaan mereka terhadap Parameswara iaitu raja Singapura Purba terakhir, yang kemudiannya bersama-sama membuka pusat perdagangan baru di Melaka. Ketika kerajaan Melaka mencapai zaman kegemilangannya, mereka merupakan pendukung utama kepada kejayaan dan kegemilangan kerajaan maritim tersebut.

Tugas mereka ketika zaman kegemilangan Melaka dahulu ialah sebagai pengawal kawasan sempadan laut, mengusir lanun-lanun, memimpin para pedagang ke pelabuhan yang ingin mereka tujui dan mengekalkan kekuasaan Melaka terhadap tanah jajahannya.Mereka mendapat kepercayaan yang penuh dari raja-raja Melaka kerana taat setia mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap keturunan raja Melaka.

Orang Laut pada zaman Melaka masih lagi meneruskan tumpuan kesetiaan mereka terhadap raja-raja Melaka yang dianggap sebagai pewaris mutlak Srivijaya.

Walaupun kesultanan Melaka akhirnya jatuh ke tangan Portugis, mereka masih lagi menumpukan taat setia kepada keturunan raja Melaka dan akhirnya membantu baginda mendirikan Kesultanan Johor.

Orang Laut terus berkhidmat kepada keturunan diraja Kesultanan Johor sehinggalah Sultan Mahmud Shah II (1685~1699) dibunuh dan digantikan oleh Bendaharanya,Tun Abdul Jalil.Mereka mengesyaki Bendahara terlibat dalam pembunuhan Sultan Mahmud tersebut dan akhirnya tidak mengiktiraf kekuasaan beliau sebagai sultan Johor dan meninggalkan Johor.

Peranan Orang Laut sebagai penjaga keamanan Selat Melaka mula digantikan oleh orang Bugis secara perlahan lahan pada kurun ke 18.

Orang laut terbahagi pada beberapa suku kecil yang lain.Tetapi di dalam artikel ini kami hanya membincangkan dua suku kecil Orang laut sahaja, iatu Orang Kuala dan orang Seletar.

a. Orang Kuala

Istilah ’Orang Kuala’ wujud disebabkan lokasi masyarakat itu sendiri yang kebanyakannya tinggal di kawasan kuala sungai dan persisiran pantai barat Johor. Mereka dipercayai berasal dari kepulauan Riau-Lingga dan kawasan yang berhampiran dengan pantai Sumatera.

Lokasi penempatan mereka terdapat di Kuala Rengit, Kuala Senggarang dan Tanjung Segenting dalam daerah Batu Pahat serta juga di Kuala Benut, Kuala Sungai Pontian dan Kukup di daerah Pontian, Johor.

Menangkap ikan merupakan salah satu daripada aktiviti ekonomi sara diri mereka. Namun demikian, terdapat juga pada masa kini mereka-mereka yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, pertanian malah bidang-bidang profesional yang lain. Raut wajah dan tingkah laku mereka lebih mirip kepada orang Melayu yang secara tradisinya menjadi jiran turun temurun mereka.

b. Orang Seletar

Orang Seletar atau ’Sea Gypsies’ pada awalnya merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai yang tinggal dalam rumah perahu, pulau, persisiran pantai dan kuala sungai. Kawasan utama pertempatan mereka adalah di sekitar pantai selatan Johor dan utara Singapura seperti di Kampung Bakar Batu, Johor Baharu.

Secara tradisinya mereka bergantung hidup kepada hasil laut. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berpindah randah. Walau bagaimanapun, perubahan dalam sosio ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Terdapat mereka yang mengusahakan kedai makanan laut (seafood).

Kini mereka tinggal dan menetap di kawasan penempatan yang lebih teratur dan tersusun di persisiran pantai selat Johor.

2. Orang Kanaq

Orang Kanaq merupakan rumpun bangsa Orang Asli yang paling kecil jumlah populasinya. Penempatan utama mereka adalah di Kampung Sungai Selangi, Mawai, daerah Kota Tinggi, Johor. Mereka dikatakan berasal daripada kepulauan Riau, Indonesia yang melarikan diri akibat dari ancaman tentera Belanda. Bahasa pertuturan mereka seakan orang Melayu dengan lenggok bahasa yang agak kasar.

3. Jakun

Penempatan utama mereka adalah di kawasan pantai Pahang, Rompin, Pekan dan Johor Utara. Kebanyakan dari mereka masih mengamalkan kepercayaan animisme yang dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Mereka kuat berpegang kepada pantang larang yang diamalkan sejak lama dahulu.

4. Semelai

Rumpun bangsa Semelai menghuni kawasan Pahang Tengah iaitu di Tasik Bera, Sungai Triang, Paya Besar dan Paya Badak hingga melebar ke sempadan Negeri Sembilan iaitu di Sungai Serting, Sungai Lui dan Ulu Muar. Mereka memiliki wajah serta fizikal mirip orang Melayu Deutro. Mata pencarian mereka ialah mencari hasil hutan dan juga berladang.

5. Temuan

Temuan merupakan rumpun bangsa keempat besarnya dalam hierarki kaum Orang Asli. Penempatan mereka hampir keseluruhannya terdapat di negeri Selangor (kecuali daerah Kuala Langat), Melaka, Negeri Sembilan, Temerloh, di Pahang dan juga Muar di Johor. Suku-suku Temuan di Negeri Sembilan mengamalkan adat pepatih di mana keistimewaan Batin adalah selaku salah seorang daripada ahli dalam perlantikan Undang.

Bacaan Lanjut:

Profesor Madya Dr. Rohani Mohd Yusof dan Puan Noor Hasnoor Mohamad Nor. Bahasa Orang Asli Melayu Proto: Bahasa Atau Dialek Melayu. Universiti Malaya

Geneticist clarifies role of Proto-Malays in human origin: https://www.malaysiakini.com/news/187435#ixzz4hPLLh35b

-HE-


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply