Kaum Nabataea merupakan sebuah masyarakat yang menghuni Semenanjung Tanah Arab dan Levant Selatan pada kurun ke-3 Sebelum Masehi hingga tahun 106 Masehi, tahun di mana Kerajaan Nabataea ditakluk dan diserap menjadi wilayah naungan Empayar Rom. Masyhur dengan laluan-laluan perdagangan yang luas, Kerajaan Nabataea berkembang sebagai sebuah empayar yang sangat kaya dan mewah pada kurun pertama Masehi. Ibu kotanya, iaitu Petra, dikenali sebagai hub komersial yang amat maju.

Pada hari ini, kawasan yang dahulunya menjadi tapak kerajaan Nabataea dianggap sebagai lombong sumber arkeologi yang kaya. Petra adalah sebuah kota yang diukir daripada batu dan tapak-tapak semegah Kuil Al-Khazneh masih kekal terpelihara dengan keadaan yang hampir sempurna sehingga kini.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ilmuwan berupaya untuk menafsir inskripsi-inskripsi purba yang terdapat pada kota berkenaan. Keupayaan menafsir sebegini di samping penemuan-penemuan penting yang lain membawa maksud bahawa banyak pengetahuan tentang kemasyarakatan dan kebudayaan kaum Nabataea purba dan secara khusus, kehidupan di bandar Petra dapat diteroka oleh ilmuwan. Bahkan, hadir juga beberapa petunjuk yang menimbulkan persoalan tentang peranan wanita di bandar Petra – mungkinkah pada suatu masa dahulu, kaum wanita tidak hanya setara malah jauh lebih penting berbanding kaum lelaki?

Al-Uzza, dewi yang mewakili planet Venus (Zuhrah) dan mirip dengan Ishtar/Ashtart/Inanna, munul sebagai betyl (berhala mata) mahupun patung. Relif kuil di Khirbet et-Tannur, Jordan

AGAMA DI PETRA

Jauh sebelum agama Islam tersebar di Timur Tengah, kaum Nabataea mengamalkan fahaman pantheistik. Mereka menyembah dewata tempatan dan juga dewata yang diserap daripada kebudayaan masyarakat lain, antaranya seperti Isis dan Dionysus – mungkin mereka menemui dewa-dewa ini menerusi rangkaian perdagangan yang sangat meluas.

Panteon mereka yang luas ini merangkumi sejumlah dewi yang dianggap berkuasa. Walaupun terdapat banyak dewi penting yang dimuliakan seperti Allat dan Manat, terdapat salah satu dewi yang signifikan, dikenali sebagai al-‘Uzza. Namanya sendiri membawa maksud ‘yang paling berkuasa’. Al-‘Uzza dianggap sebagai bukti terkuat yang mengisyaratkan kedudukan kaum wanita Petra yang sangat dihormati.

Al-‘Uzza adalah dewi yang lazim dikaitkan dengan air, iaitu satu sumber penting bagi masyarakat yang hidup di padang pasir. Perkaitannya dengan sumber sepenting itu seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa al-‘Uzza adalah figura kunci dalam agama Nabataea. Tinggalan yang diperkirakan sebagai patungnya ditemui di seluruh Petra, terutama pada ukiran-ukiran kepingan batu betyls atau dalam bahasa sehari-hari, disebut sebagai ‘berhala mata’. Panggilan ini merujuk kepada ukiran ringkas berhala itu sendiri di mana mata pada wajahnya begitu menonjol.

Dewi al-‘Uzza – Imejnya ditemui pada ukiran kepingan batu yang dipanggil sebagai ‘betyls’ (berhala mata) di seluruh Petra

KUIL SINGA-SINGA BERSAYAP

Sepertimana berharganya berhala-berhala yang masih terpelihara sehingga ke hari ini, yang mana ia menjadi bukti bahaa pemujaan al-‘Uzza merupakan satu amalan yang meluas, begitulah juga keadaannya bagi tinggalan sebuah kuil besar yang dipercayai didedikasikan kepada al-‘Uzza yang masih boleh ditemukan pada hari ini di tengah-tengah Petra.

Ia merupakan sebuah binaan ulung dengan altar yang bersaiz besar lagi tinggi serta tiang-tiang yang dihiasi ukiran. Sebahagian ukiran tersebut menghadirkan ciri yang melahirkan nama bagi kuil berkenaan – iaitu Kuil Singa-Singa Bersayap.

Kuil Singa-Singa Bersayap, Petra, Jordan

Dalam runtuhan kuil ini, para arkeologis menemukan berhala mata sekaligus mengesahkan bahawa kuil ini mempunyai kaitan dengan al-‘Uzza dan mengisyaratkan bahawa ia merupakan tempat di mana ritual keagamaan dilangsungkan bagi memuja dan memuliakan dewi berkenaan. Mereka percaya bahawa paderi-paderi wanita menjadi sebahagian daripada kultus al-‘Uzza. 

Antara ritual yang diadakan ini melibatkan nyanyian, nyalaan setanggi dan bahkan penyembahan patung berhala. Pentas yang direka dengan penuh teliti pada kuil berkenaan membenarkan patung dewi itu terletak di satu tempat yang terselindung. Keadaan ini melahirkan satu upacara membuka hijab (selindung) berlangsungnya ritual keagamaan di kuil berkenaan.

BUKTI KEWUJUDAN DEWI-DEWI LAIN


Bukti bagi kewujudan dewi-dewi lain turut dapat ditemui di Petra. Di bawah merupakan sebuah relif yang diperkirakan imej Atargatis, dewi kesuburan.

Patung ini berasal dari kuil Nabataea di Khirbet Tannur. Atargatis, ‘Dewi Syria’ adalah dewi kesuburan tanaman

KEDUDUKAN WANITA DALAM MASYARAKAT NABATEA

Pemujaan, kemasyhuran dan kepentingan yang dimiliki oleh para dewi di seluruh kerajaan Nabataea dan malah, Petra sendiri menunjukkan bahawa kaum wanita memiliki kedudukan yang amat dihormati. Tambahan lagi, peranan signfikan yang dimainkan oleh paderi wanita dalam kultus penyembahan al-‘Uzza boleh menjadi bukti lanjut bahawa kaum wanita bukan sekadar dihormati, malah berupaya mencapai tingkat status yang sangat tinggi dalam masyarakat Nabataea. 

Bukti-bukti yang dimiliki setakat ini cukup untuk mengesahkan bahawa kaum wanita Nabataea mempunyai hak dan kelebihan yang jauh lebih besar berbanding kaum wanita di Eropah ataupun Rom pada zaman itu.
Pada tahun 1961, ahli-ahli arkeologi menemukan set lembaran yang tersimpan rapi selama hampir 2000 tahun di sebuah gua. Lembaran ini mendokumentasikan kuasa, pengaruh dan ketinggian darjat yang dimiliki oleh seorang wanita dalam masyarakat Nabataea.

Dicatatkan bahawa wanita ini adalah seorang yang sangat berpendidikan (celik huruf), memiliki tanah, dan harta-benda yang dikaitkan dengan raja Nabataea. Jelas daripada dokumen ini bahawa beliau merupakan seorang wanita merdeka yang memiliki pengaruh dan kekayaan yang sangat besar. Lembaran-lembaran tersebut menjadi bukti bahawa kaum wanita memiliki kedudukan dalam menentukan hak dan pemilikan harta.

Dewi Alat berdiri di atas seekor singa dan diapit oleh dua figura wanita, mungkin Manat dan al-‘Uzza

Ketika kali pertama ditemukan bukti yang menunjukkan bahawa kaum wanita memiliki nilai yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat, ia merupakan suatu pengetahuan yang amat mengejutkan. Namun berikutan banyaknya bukti yang dijumpai pada masa kini, hakikat tersebut sama sekali tidak lagi dapat dinafikan. 

Kuil, berhala mata, lembaran sejarah dan bahkan tapak-tapak yang diukir di lereng bukit – kesemuanya itu menunjukkan kepada kita bahawa pada suatu tempoh yang cukup panjang, kaum wanita di Petra memiliki kedudukan dan memainkan peranan yang tinggi lagi penting dalam kalangan masyarakat Nabataea. Malah, tidak keterlaluan jikalau ada yang berpendapat bahawa kuasa dan pengaruh mereka jauh lebih tinggi berbanding kaum lelaki di Petra mahupun Nabataea.

TERJEMAHAN DAN OLAHAN DARI:

Sarah P Young. (28 Januari 2019). Were the Women of Petra More Important Than the Men? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/women-petra-0011401


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.