Kira-kira seribu tahun yang lalu, sebuah dewan minum Viking berdiri megah di Skaill Farmstead, Westness, Pulau Rousay yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Orkney dan Shetland. Walaupun dibina pada kurun ke-10M, dewan tersebut dipecayai mula digunakan secara meluas oleh golongan elit Viking sekitar dua kurun kemudian, iaitu 800 tahun dahulu.

Menurut pengamatan terhadap puing-puing runtuhan yang masih tersisa pada hari ini, bangunan tersebut dianggarkan berukuran sepanjang 43 kaki (15m) dan dibina menghadap ke arah laut. Pada awal Ogos lalu, dewan minum kurun ke-10 ini ditemui oleh sepasukan penyelidik dari University of Highlands and Islands Archaeology Institute (UHIAI) dengan dibantu oleh sejumlah pelajarnya dan, lebih menarik perhatian, penduduk pulau Rousay itu sendiri.

Kerja-kerja ekskavasi di tapak yang dianggap sebagai kompleks pertanian silam itu telah pun dijalankan oleh pasukan penyelidik selama bertahun-tahun dalam rangka mempelajari tabiat pemakanan, amalan pertanian dan perikanan masyarakat di sana, sebelum usaha tersebut membawa kepada penemuan gundukan-gundukan tembok batu yang diyakini sebagai dewan minum golongan elit Viking.

Keyakinan ini secara khusus disandarkan kepada nama ‘Skaill’ itu sendiri yang merupakan sebuah perkataan berbahasa Norse yang boleh diterjemahkan sebagai ‘dewan’. Di samping itu, pada ruangan dalam dewan purba ini turut ditemukan sejumlah artifak seperti pemintal bulu haiwan dan rumput yang diperbuat daripada tulang, dan juga serpihan sikat tulang. Begitu juga dengan bangku-bangku batu yang terdapat di sepanjang tembok bahagian sisi dewan tersebut, selain bongkah batu yang dipercayai dibawa dari wilayah utara Shetland.

Pandangan udara dewan minum Viking berkenaan

“Kami telah berjaya menemukan sebuah dewan minum di Skaill, di mana dewan ini berupaya memberikan peluang yang julung-julung kali buat para penyelidik melakukan kajian terhadap tabiat pemakanan di rantau tersebut sejak ribuan tahun lamanya. Tambahan lagi, siapa tahu kalau-kalau Earl Sigurd juga pernah duduk di salah sebuah bangku batu di dalam dewan ini sambil meminum arak?” ujar Dan Lee, pengarah-bersama projek arkeologi tersebut dalam kenyataannya yang dipetik oleh media The Scotsman.

Penyelidikan arkeologi yang dijalankan oleh pasukan ini merupakan sebahagian daripada projek Landscapes of Change – Archaeologist of the Rousay Clearances and Westness Estate, dengan Dan Lee dan Dr. Ingrid Mainland bertugas sebagai pengarah projek secara bersama.

Kerja-kerja penggalian masih sedang dijalankan di tapak Skaill Farmstead

Selain daripada seni bina dan artifak-artifak yang ditemukan di dewan minum purba ini, perkara yang lebih utama yang diperoleh oleh para penyelidik menerusi ekskavasi di tapak Skaill Farmstead ini adalah data berkenaan pemakanan, pertanian dan perikanan masyarakat Norse lama di wilayah tersebut. Memerincikan kepentingannya, Dr. Ingrid Mainland menyebutkan bahawa data-data tersebut membolehkan mereka melihat perubahan tradisi dalam ketiga-tiga aspek tersebut pada era pendudukan Norse hinggalah kurun ke-19, kurun di mana tapak tersebut mula ditinggalkan.

Jika dilihat daripada sudut sejarah pula, Norse pernah menguasai pantai utara Scotland meliputi Kepulauan Utara Orkney dan Shetland sehingga kurun ke-15 (1468M) dan berupaya melebarkan pengaruhnya sehingga ke Kepulauan British. Banyak perkataan berbahasa Norse lama digunakan di kepulauan tersebut dan sehingga ke hari ini, saki-baki petempatan mereka masih boleh ditemui di beberapa tempat seperti Twatt, Kirkwall dan sudah semestinya, Skaill.

Malahan, daerah Westness tempat dewan ini ditemui juga pernah disebutkan di dalam Saga Orkneyinga, iaitu sebuah hikayat kurun ke-13 yang memerihalkan sejarah Orkney, Kepulauan Shetland serta hubungan keduanya dengan Norway. Tapak yang digali dan diselidiki oleh ahli-ahli arkeologi ini terus dihuni dari zaman Norse sehinggalah ketika ia ditinggalkan pada pertengahan kurun ke-19.

Lokasi Skaill Farmstead di Pulau Rousay

Sebagai kepilan nota, istilah Norse kebiasaannya digunakan untuk merujuk masyarakat Scandinavia zaman pertengahan, termasuklah kebudayaan dan juga bahasa pertuturan mereka. Dalam kurun demi kurun yang berlalu, mereka terus-menerus berlayar meninggalkan tanah air mereka untuk meneroka tempat baru di mana mereka jadikannya sebagai tapak petempatan mereka. Antara lain kaedah yang digunakan oleh mereka adalah menerusi penyer4ngan dan pengkolonialan wilayah tempatan, justeru meraihkannya sebutan masyhur ‘Viking’.

Kepulauan Orkney secara khusus dihuni oleh mereka sejak kurun ke-8 lagi, dan sejarahnya di sana terus berlangsung sehingga kurun ke-15 dan tapak yang menempatkan dewan minum Viking yang dimaksudkan di dalam artikel ini terus dihuni sehingga pertengahan kurun ke-19.

Berikutan statusnya yang sangat kaya dengan sejarah, maka tapak arkeologi Skaill Farmstead ini dibuka untuk kunjungan orang ramai yang berhajat untuk melawat atau melihat sendiri kerja-kerja ekskavasi yang masih sedang dijalankan. Lebih daripada itu, dewan minum ini juga tidak jauh berbeza dengan dewan-dewan Norse lainyang terdapat di Orkney dan wilayah-wilayah lain di Scotland sekaligus penemuan ini menambahkan lagi monumental warisan sejarah Viking di bumi Scotland.

RUJUKAN

Ashley Cowie. (7 Ogos 2019). Viking Drinking Hall Unearthed on Orkney Provides ‘Unparalleled’ Insights Into Chieftain’s Life. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/viking-hall-0012407

Dianne Apen-Sadler. (6 Ogos 2019). Archaeologist unearth drinking hall in Orkney that could have been home to powerful 12th Century Viking chieftain. Dailymail.
https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-7327353/Archaeologists-unearth-drinking-hall-Orkney-home-12th-Century-Viking-chieftain.html

Laura Geggel. (8 Ogos 2019). 1100-Year-Old Viking ‘Beer Hall’ Discovered. But It Was Only for the Elites. LiveScience.
https://www.livescience.com/viking-drinking-hall-scotland.html

Natasha Ishak. (9 Ogos 2019). 1100-Year-Old ‘Beer Hall’ For the Viking Elite Discovered in Scotland. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/viking-beer-hall

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.