MENGIMBAU ceritanya anak tempatan yang bangun memberontak bukanlah satu cerita biasa sebaliknya nama-nama seperti pahlawan Dol Said di Naning, Yamtuan Antah di Sungai Ujong, Dato Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan dan Abdul Rahman Limbong di Terengganu sememangnya antara ceritera kepahlawanan anak bangsa yang cukup gah di pengetahuan kita semua. Biar di dalam serba serbi kekurangan dengan hanya berbekalkan keris tersisip di pinggang, mereka tidak pernah undur melawan Inggeris yang ingin bermaharajalela di bumi kelahiran mereka.
Itu ceritanya kepahlawanan anak Melayu di Malaya suatu waktu dahulu dan mungkin ramai mengetahui bahawa di Sarawak juga tidak pernah kurang dengan cerita seperti ini. Si Bujang Berani, Rentap “Libau” telah membuktikan kepahlawanannya sewaktu berdepan dengan Brooke sehingga memaksa Brooke menghantar tiga ekspedisi untuk mengalahkannya itupun Rentap meninggal dunia akibat sakit tua tetapi tidak sekali ditangan Brooke pada waktu itu.
Dan di era Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni Mahkota Sarawak British pula menyaksikan sekumpulan anak tempatan yang berkobar jiwanya dengan semangat patriotisme tulen iaitu Rukun 13 telah mengatur strategi untuk menghalau seorang gabenor Inggeris yang baru dilantik yang bernama Sir Duncan George Stewart. Segala hal ini berpunca kerana tindakan Rajah Ketiga iaitu Sir Charles Vyner Brooke yang sudah muak memerintah mengambil keputusan membelakangi rakyat Sarawak dengan menyerahkan Sarawak kepada Koloni British pada tahun 1946.
Bermula dari detik itu juga suara-suara rakyat Sarawak tanpa mengenal bangsa dan agama, kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita telah kuat berkumandang di seluruh pelusuk Sarawak menyahut seruan dengan menyemarakkan demonstrasi Gerakan Anti-Penyerahan pada ketika itu. Namun biar cukup besar gerakan ini tetapi ianya tetap tidak berakhir dengan kejayaan total sehingga tiada jalan lagi melainkan pengorbanan darah perlu dilakukan bagi menunjukkan betapa seriusnya apa yang diperjuangkan selama ini.
Setelah puas mengatur strategi, akhirnya tanggal 3 Disember 1949 dipilih sebagai hari penuh bersejarah. Ini kerana pada hari itulah seorang gabenor Sarawak iaitu Sir Duncan George Stewart, seorang bangsa Inggeris yang baru sahaja dilantik punya kesempatan untuk membuat lawatan pertamanya ke Sibu, Sarawak. Tuan Gabenor yang baru sahaja menjawat jawatan lebih kurang dua minggu ini telah berkunjung ke Sibu dengan menaiki sebuah kapal persiaran dari Kuching, Sarawak.
Dek kerana ini lawatan pertama seorang berstatus Gabenor ke Sibu, maka sambutan cukup meriah disediakan untuk beliau. Pintu gerbang didirikan di kawasan berhampiran dengan Pelabuhan Sibu dan orang ramai serta murid-murid sekolah digembleng untuk memeriahkan suasana sambutan yang jatuh pada cuti hujung minggu. Banyak bangunan-bangunan kerajaan dihiasi dengan bendera-bendera Koloni Mahkota Sarawak British bagi menandakan Sibu, Sarawak sedang menerima kedatangan seorang pembesar pada masa itu.
Teruja dengan sambutan di luar dugaan rakyat Sibu, usai sahaja menghabiskan sarapan beliau di atas kapal persiaran yang sedang berlabuh di tengah Sungai Rajang dikatakan Tuan Gabenor tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kakinya buat kali pertama di daratan Sibu. Dengan segak berpakaian seragam serba putih penjawat awam Sarawak pada masa itu dengan topi yang tinggi itulah Sir Duncan mampir dengan menaiki sebuah perahu untuk ke Pelabuhan Sibu.
Hal pertama sebaik sahaja Tuan Gabenor menjejak daratan adalah menerima kawalan tabik hormat daripada anggota keselamatan Sarawak. Beliau kemudiannya mula berjabat tangan dengan beberapa tokoh pemimpin Sibu dengan diiringi oleh Residen dan setiausaha peribadi beliau iaitu T. St. J Dilks. Selesai beramah mesra dengan orang-orang kenamaan Sibu akhirnya beliau berjalan kaki dengan penuh bergaya menghampiri deretan murid-murid sekolah dan orang ramai yang berdiri di kedua-dua bahu jalan menuju ke pentas utama.
Boleh dikatakan jarak antara pelabuhan Sibu dengan pentas utama tidak jauh jadi tidak menjadi masalah untuk Tuan Gabenor hanya berjalan kaki menuju ke lokasinya. Dan segala hal mengenai jadual perjalanan ini telah pun dikenalpasti oleh Rukun 13 sebelumnya. Di satu selekoh dikatakan Rosli Dhoby bersama-sama dengan Morshidi Sidek sudah bersedia dengan segala hal yang perlu. Tiada masanya untuk rasa takut kerana misi dan visi harus diteruskan biar nyawa jadi taruhannya.
Di ketika orang ramai sedang berbahagia menyambut kedatangan seorang pembesar negeri pada sekitar jam 9.30 pagi itu iaitu di satu selekoh, Rosli Dhoby telah mula mengatur langkah. Beliau dengan tenang merapati rombongan Sir Duncan tanpa memperdulikan kawalan ketat anggota keselamatan yang sentiasa merapati perjalanan Tuan Gabenor tersebut.
Morshidi Sidek pula turut ada bersama tidak jauh daripada lokasinya Rosli Dhoby, rakan seperjuangan Rukun 13 beliau. Dengan berpura-pura mengambil gambar Tuan Gabenor itulah ditengah kelekaannya mendapat perhatian ramai, Rosli Dhoby menerjah dan seterunya meradak sebilah badek beracun langsung ke perut Sir Duncan Stewart. Maka terkulai layu seorang Gabenor Inggeris di tengah-tengah hiruk pikuk orang ramai yang panik melihat suasana berdarah di pagi Sibu.
Langsung keberadaan Tuan Gabenor dikenalpasti oleh anggota keselamatan yang bertugas. Secepat kilat juga beberapa orang anggota polis yang bertugas telah menangkap Rosli Dhoby yang cuba untuk meloloskan diri. Malah dikatakan Morshidi Sidek yang melihat bahawa Tuan Gabenor masih lagi bernyawa turut ingin membuat radakkan buat kali kedua tetapi beliau sempat ditangkap oleh anggota polis yang berada berhampiran dengan Tuan Gabenor yang sedang menahan kesakitan.
Sejurus selepas itu, Tuan Gabenor dikejarkan ke hospital Lou King Howe dan seterusnya diusulkan untuk mendapat pembedahan segera kerana lukanya cukup parah. Bukan radak sebarang radak kerana yang digunakan oleh Rosli Dhoby adalah sebilah badek yang dikatakan sudah disepuh racun oleh beliau pada malam sebelumnya. Racun itu sahaja sudah tentu memberi impak yang lebih berkesan pada setiap organ dalaman Tuan Gabenor pada masa itu.
Menurut sumber perubatan mengatakan luka yang dialami oleh Sir Duncan Stewart dikategorikan sebagai antara yang parah. Ada 15 luka-luka kesemuanya yang menembusi sehingga ke bahagian usus kecil beliau dan sedalam antara tiga ke tiga setengah inci setiap satu. Dek kerana kecederaan serius ini juga menyaksikan Tuan Gabenor diterbangkan ke Singapura seberapa segera malah ketika di dalam penerbangan turut dikatakan menerima perpindahan darah di udara pada masa itu.
Sementara itu, Rosli Dhoby dan Morshidi Sidek langsung tidak pernah menunjukkan rasa takut dengan himpitan anggota keselamatan sewaktu di bawa ke Balai Polis Sibu. Biar tangan digari dan diasak dengan pelbagai jenis soalan dan sikap kasar pegawai penyiasat, kedua-duanya langsung tidak pernah membuka rahsia tentang pakatan sulit mereka. Biar pecah perut tidak sekali pecah di mulut.
Akhirnya pada 10 Disember 1949, Sir Duncan Stewart menghembuskan nafasnya yang terakhir di Singapura yang mana menyaksikan gerakan mencari dan mengeledah mana-mana pihak yang bersekongkol dengan peristiwa berdarah pada tanggal 3 Disember 1949 sehingga ke lubang cacing. Pelbagai proses mahkamah terpaksa mereka hadapi sehinggalah pada tanggal 2 Mac 1950, pahlawan anak Sarawak iaitu Rosli Dhoby, Morshidi Sidek, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong dijatuhkan hukuman mati di Penjara Kuching, Sarawak.
Dek kerana fobia Inggeris atas kebangkitan semula anak Sarawak pada masa itu, keempat-empat mereka ini perkuburannya langsung tidak bertanda di Penjara Kuching sehinggalah satu proses dijalankan oleh Kerajaan Sarawak menentukan kesahihan perkuburan mereka sekitar tahun 1996. Akhirnya pada tanggal 2 Mac 1996, keempat-empat jenazah mereka waima hanya tanah dan sisa-sisa tulang sahaja diterbangkan ke Sibu, Sarawak iaitu tempat tanah tumpah mereka dan langsung disemadikan di Makam Pahlawan Sarawak berdekatan dengan Masjid Bahagian Sibu sekarang.
Detik peristiwa berdarah di Sibu pada tanggal 3 Disember 1949 ini menjadi saksi bahawa sesungguhnya pejuangan anak Sarawak menuntut kemerdekaan itu adalah sesuatu yang polos biarpun terpaksa bermandikan darah. Jangan pernah kita lupa tentang detik-detik peristiwa ini kerana ianya satu cerita sejarah yang begitu signifikasi dengan kita semua sebagai rakyat Sarawak.
Al-Fatihah kepada seluruh pahlawan Sarawak. Amin.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah
#HariMalaysia16September
Rujukan:
1. Buku: Rosli Dhoby; Merdeka Dengan Darah oleh Jeniri Amir, 2013 Kuching
2. Sejarah Rosli Dhoby
http://www.jiwabakti.com.my/sejarah-rosli-dhoby.html
3. Duncan George Stewart
http://www.britishempire.co.uk/maproom/sarawak/duncanstewart.htm
4. Pergi Tak Kembali, Rosli Dhoby Pejuang Kemerdekaan Sarawak
http://www.sarawakiana.net/2016/03/pergi-tak-kembali-rosli-dhoby-pejuang.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih