Isu waktu kerja terlalu lama ini bukan satu isu baru. Bukan sekali dua ianya dibangkitkan demi menjaga kebajikan pekerja dan menambahbaik soal produktiviti negara.
Walaupun sudah wujud usaha mengurangkan waktu bekerja bagi membolehkan pekerja lebih banyak meluangkan masa dengan keluarga dan mendapat lebih banyak rehat, tetapi di sesetengah tempat seperti Korea Selatan, masih ramai pekerja terperangkap di meja masing-masing kerana bekerja terlalu lama.
Justeru bagi mengurangkan rasa bosan dan pada masa sama memberi motivasi kepada mereka untuk terus bekerja, ada yang mengambil inisiatif menghias meja kerja mereka.
Bagi jurubank Lee Ju-hee, 35, sesiapa yang melihat meja kerjanya mendapati ia dipenuhi dengan warna merah jambu dari kipas mini hinggalah botol sabun cuci tangan. Sehinggakan papan kekunci komputernya turut diwarnakan dengan warna merah jambu.
Dia berkata, “Saya telah bekerja di sini selama enam tahun dan telah menghias meja saya sejak menyertai syarikat berkenaan. Setiap bulan, saya membelanjakan purata 30,000 hingga 40,000 won tetapi ia boleh mencecah 150,000 won jika saya melihat produk baru. Ia bukan satu jumlah yang besar dan saya merasa sangat seronok melihat semua barang ini di pejabat.”
Apa yang dilakukan Ju-hee ini merupakan sebahagian daripada gerakan menghias meja atau deskterior, satu fenomena di mana pekerja mengubah tempat kerja mereka seperti rumah mereka sendiri di negara yang mempunyai waktu bekerja paling panjang dalam kalangan negara-negara maju.
Walaupun Seoul sudah memotong had maksimum waktu bekerja daripada 68 jam kepada 52 jam, masih ramai yang terperangkap di meja kerja masing-masing. Ini diakui Ju-hee di mana kebanyakan masanya dihabiskan masa di pejabat berbanding berada di rumah. Justeru dengan hiasan dan warna pada meja kerjanya, ia dilihat memberi motivasi kepadanya untuk bekerja dalam suasana yang menyeronokkan dan selesa.
Terma deskterior ini semakin mendapat perhatian di laman media sosial Korea Selatan terutama membabitkan pekerja-pekerja muda.
Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan oleh Job Korea pada tahun 2017, 44% responden wanita dan 29.7% responden lelaki merasakan diri mereka sebagai deskterior.
Trend ini amat popular dalam kalangan generasi millennial dengan 44.6% responden berumur 20-an dan 36.5% responden berumur 30-an memilih trend ini berbanding 26.9% responden berumur 40-an.
Bagi pengurus jualan Rha Hye-young, 30, dia menghias meja kerjanya dengan patung-patung permainan yang diinspirasikan daripada filem-filem Hollywood. Dia berkata, “Bila saya dapat patung permainan yang baru, saya akan membawanya ke pejabat berbanding meletakkannya di rumah kerana lebih banyak masa saya dihabiskan di pejabat.”
Tambah Hye-young, menghias meja bukan sekadar menjadikan sesebuah meja kerja itu cantik tetapi menjadikannya lebih cekap bekerja. Baginya, meja kerja itu ibarat biliknya sendiri dan hiasan yang kreatif dilihat dapat membantunya berfikir lebih kreatif.
Dengan fenomena sebegini, tak sah jika ada yang menawarkan khidmat menyediakan produk khas untuk deskterior. Di Instagram sahaja, terdapat 5,000 akaun pengguna Korea Selatan yang memaparkan deskterior mereka.
Dan bagi pasukan pengiklanan, wujud satu ruang khas pengiklanan yang disasarkan kepada kelompok deskterior. Deskterior menurut pakar akademik bukan sekadar menjadikan pejabat lebih selesa dan mengurangkan tekanan tetapi mengubah cara pendekatan kerja pekerja terutama membabitkan orang muda.
Menurut Profesor Lee Hyang-eun dari Universiti Wanita Sungshin di Seoul, fenomena ini wujud daripada kecenderungan mencari ruang peribadi yang menenangkan di sebalik rutin jadual harian yang sibuk.
Dengan perubahan sebegini, deskterior sebenarnya menunjukkan generasi muda sedang cuba dan mengubahsuai ruang kerja tatkala Korea Selatan sedang berusaha menghadapi perubahan ini.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna kelompok konservatif menyukai apa yang dibawa deskterior. Bagi bos Ju-hee, mereka merasakan ia terlalu melampau. Tetapi bagi rakan-rakan lain terutama generasi muda, mereka menyukai pilihannya dan tahu ia takkan berganjak dalam masa yang terdekat.
Artikel ini boleh dibaca di ruangan The Outlook, portal kewangan dan ekonomi kami.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih