Anak saudara Maharaja Naruhito, Puteri Mako bakal melangsungkan perkahwinan dengan teman lelakinya Kei Komuro pada akhir tahun ini. Dan sebagai langkah di luar kebiasaan, pasangan itu tidak akan melangsungkan sebarang upacara tradisional untuk perkahwinan mereka itu.
Puteri kepada Putera Mahkota Fumihito itu turut membuat tawaran menolak pampasan sebanyak 150 juta yen (RM5.66 juta) sebagai ganti rugi kepada kehilangan status sebagai anggota kerabat diraja Jepun. Di bawah undang-undang Jepun ketika ini, anggota kerabat diraja wanita Jepun akan kehilangan status mereka bila berkahwin dengan rakyat biasa.
Sekiranya benar perkhabaran Mako berkahwin tanpa upacara-upacara tradisional Jepun, ini turut menjadikan baginda sebagai ahli kerabat diraja wanita pertama berbuat demikian dalam era pasca-Pe.ra.ng Dunia Kedua (WWII) negara itu. Dua upacara penting sebelum perkahwinan dilangsungkan ialah Nosai no Gi dan Choken no Gi.
Nosai no Gi ialah upacara tradisional di mana keluarga kedua-dua mempelai saling bertukar hadiah. Sementara Choken no Gi pula ialah upacara di mana pasangan mempelai menghadap maharaja dan maharani secara rasmi sebelum melangsungkan perkahwinan. Perkahwinan Mako dan Komuro, kedua-duanya berusia 29 tahun, sebelum ini terpaksa ditangguhkan selama dua tahun susulan pertelingkahan kewangan antara Komuro dengan ibu bekas tunangnya.
Ketika ini, kerajaan sedang menimbang sama ada wujud klausa perundangan untuk tidak memberi pampasan kepada ahli kerabat diraja wanita Jepun susulan permintaan luar biasa baginda. Ini berikutan pampasan tersebut dibiayai oleh hasil cukai negara itu.
Pemberian pampasan ini bertujuan untuk membantu ahli kerabat diraja wanita Jepun untuk menyesuaikan diri dengan dunia sebenar selepas berkahwin dengan orang biasa. Dan bagi mengelak salah faham dalam kalangan orang ramai, kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Istana Diraja mahu memberi platform kepada kedua-duanya menjelaskan pendirian mereka.
Komuro sekarang menetap di Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Fordham, New York. Beliau juga telah menduduki peperiksaan guaman negeri sama pada Julai lepas dan sedang menanti keputusan peperiksaan yang akan diumumkan pertengahan Disember ini. Jika Komuro berjaya melepasi peperiksaan itu, beliau dijangka akan bekerja di sebuah firma guaman tempatan.
Begitupun, reaksi kepada pengumuman perkahwinan Mako-Komuro disifatkan sebagai bercampur-campur. Walaupun ada yang meragui sama ada ia patut diteruskan atau tidak lebih-lebih lagi dengan pertelagahan kewangan membabitkan bakal menantunya, bagi Fumihito, kehendak puterinya itu harus dihormati. Malah, pada sambutan hari lahirnya pada November tahun lepas, baginda telah merestui perkahwinan mereka dan menghormati pilihan Mako sebagai ayahandanya.
Perkahwinan Mako-Komuro pada akhir tahun ini dijangka akan terus menyemarakkan perdebatan tentang kewajaran ahli kerabat diraja wanita memelihara status mereka walaupun selepas terus berkahwin. Adinda Mako, Putera Hisahito, 14, merupakan satu-satunya waris lelaki dalam kalangan generasinya yang dapat memainkan peranan sebagai pewaris takhta.
Mengikut undang-undang hari ini, hanya putera lelaki dari ahli kerabat diraja lelaki saja layak menaiki takhta sebagai Maharaja. Daripada 18 orang ahli kerabat diraja termasuk bekas Maharaja Akihito, 87, dan bekas Maharani Michiko, 86, 13 daripadanya merupakan wanita. Enam daripada mereka termasuk Mako masih belum berkahwin.
Melihat saiz kerabat diraja yang semakin mengecil, maka mana-mana pengganti Yoshihide Suga dari Parti Liberal Demokratik (LDP) dan sekutu mereka harus bersedia meminda undang-undang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kerabat diraja Jepun.
Komuro dan Mako bertemu pada 2012 semasa bergelar pelajar Universiti Kristian Antarabangsa, Tokyo. Kedua-duanya kemudian bertunang secara tidak rasmi pada 2017. Komuro kemudiannya menyambung pengajian ke New York pada Ogos 2018 susulan kontroversi pertelingkahan kewangan antara dirinya dengan ibu bekas tunangnya.
RUJUKAN:
Kyodo News. (2021). Japan’s Princess Mako to marry boyfriend Kei Komuro by year-end.
Sumber gambar: Kyodo News
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih