Selepas Malaysia merdeka pada tahun 1957, banyak perubahan dapat dilihat terjadi kepada pelbagai bidang. Bidang penulisan turut tidak terkecuali dalam melalui anjakan paradigma ekoran kemerdekaan yang telah dicapai. Jika pada zaman pendudukan Jepun, segala dikawal dan dicatu oleh Jepun, kebebasan yang diperolehi seolah-olah telah mambuka jalan baharu bagi pengarang pada zaman tersebut untuk terus berkarya selepas merdeka. Memasuki dekad 60-an, dunia penulisan tanah air mula mengalami perubahan besar.

Berbanding dengan dekad sebelumnya, penulisan novel pada abad ini dilihat merupakan antara yang terbaik dengan jumlah penerbitan novel sebanyak 238 buah judul telah diterbitkan. Beberapa buah mahakarya juga telah diterbitkan oleh penulis-penulis mapan dengan memaparkan reality kehidupan masyarakat di pedalaman sebagai fokus utama dalam setiap penceritaan. Antara judul yang telah menjadi novel signatur bagi dekad 60-an ialah Salina (1961) dan Sungai Mengalir Lesu (1967) oleh Sasterawan Negara (SN) A. Samad Said. Kemerdekaan yang dikecapi telah membuka ruang dan peluang bagi para penulis untuk terus berkarya dan menghasilkan novel-novel yang berkualiti.

Realisme Menguasai Penulisan

Kemerdekaan yang dicapai masih lagi baharu. Kadar kemiskinan masih lagi tinggi dengan pendapatan bagi setiap keluarga di pedalaman bergantung kepada hasil tani yang tidak tentu harganya. Kemelaratan yang menjadi kebiasaan di pedalaman ini seolah-oleh tersorok daripada pengetahuan penduduk di bandar. Keadaan ini mendorong beberapa penulis cuba membawakan penderitaan ini kepada masyarakat bandar. Penderitaan dan kemiskinan digalurkan dalam novel yang seterusnya membuka persepsi kepada penduduk bandar mengenai kemiskinan yang masih berleluasa di sebalik kemerdekaan yang telah dikecapi.

Gaya penulisan sebegini turut dikenali sebagai realisme, iaitu penulisan berdasarkan keadaan yang sebenar berlaku di sekeliling penulis. Penulis menggambar kembali keadaan yang berkalu dengan menambahkan watak dan disesuaikan dengan situasi yang diperhatikan bagi memahamkan pembaca terhadap situasi yang berlaku di sekeliling penulis. Karya yang berperanan sebegini antaranya Srengenge (1973) oleh Shahnon Ahmad dan Angin Timur Laut (1974) yang dikarang oleh S. Othman Kelantan.

Sumber: Goodreads

Adakah masyarakat di pedalaman sahaja digambar di dalam novel dekad ini? Sudah tentulah tidak, masyarakat bandar juga digambarkan dalam beberapa novel popular seperti Menteri (1967) dan Perdana (1969) nukilan Shahnon Ahmad, Salina (1961) karya A. Samad Said serta Konserto Terakhir (1971) oleh Abdullah Hussain. Novel-novel ini sarat dengan isu masyarakat yang hidup melarat dengan pendapatan yang rendah dan terpaksa berhadapan dengan masalah dan ujian demi kelangsungan hidup. Kelangsungan di samping azam untuk mencapai impian banyak diselitkan dalam narasi.

Isu Sosial dalam Penceritaan

Novel-novel pada dekad ini sarat dengan isu social yang cuba diketengahkan oleh penulis dengan harapan sesuatu boleh dilakukan bagi mengatasinya. Novel Salina sebagai contoh, memaparkan kisah tentang seorang wanita yang terpaksa melacurkan diri demi menyara anak-anaknya kerana kesusahan yang dialami selepas perang dan suaminya turut menjadi korban perang. Novel Angin Timur Laut oleh S. Othman Kelantan memaparkan masyarakat nelayan di Pantai Timur yang masih mengamalkan amalan  membuang ancak bagi mengelakkan sebarang bala sebelum turun ke laut.

Sumber: http://ulasbuku.blogspot.my/2011/02/senarai-karya-s-othman-kelantan.html

Isu-isu ini diketengahkan sebagai cara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Benda yang bertentangan daripada norma sebaiknya dielakkan dan dihindarkan serta mengangkat nilai yang baik untuk melahirkan masyarakat yang baik dan terpuji. Pada zaman itu, hanya bahana bacaan seperti novel yang menjadi unsur hiburan bagi kebanyakan masyarakat dan isu dalam novel yang diselitkan mampu dicerna oleh para pembaca.

Faktor Perkembangan

Dekad pascamerdeka menunjukkan kemajuan yang begitu ketara, bukan hanya disebabkan kemerdekaan yang membuka banyak peluang bagi penuolis untuk bebas berkarya, namun terdapat beberapa lagi faktor yang menjadi pemangkin bagi perkembangan novel pada dekad itu.

Penganjuran saembara menulis novel telah melahirkan ramai penulis-penulis daripada golongan awam. Novel-novel daripada sayembara ini akan diterbitkan dan menjadi sasaran utama untuk dibaca. Sayembara penulisan ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan antara novel popular daripada sayembara ini adalah Salina karya A. Samad Said dan Lingkaran (1965) oleh Arena Wati.

Penubuhan Persatuan Penulis Nasional (PENA) pada tahun 1961 turut membawa peningkatan kepada dunia penulisan pada dekad itu. PENA berperanan dengan menghimpunkan para penulis dan membantu daripada segi penerbitan novel di samping mengadakan pertandingan penulisan bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam penulisan. Institusi ini turut mengadakan diskusi mengenai penulisan, novel, dan isu yang berkaitan dengan sastera bagi merancakkan lagi gelanggang sastera tanah air.

Kerajaan turut memainkan peranan dengan memperkenalkan dasar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dengan menggiatkan penerbitan mana-mana bahan termasuklah novel dalam bahasa Melayu. Inisiatif ini telah menggiatkan lagi penerbitan novel-novel dalam bahasa Melayu dan mengembangkan lagi industri perbukuan pada era itu.

Apa yang boleh disimpulkan di sini adalah, dekad pascamerdeka terutama dekad 60-an dan 70-an menunjukkan perkembangan yang begitu pesat bagi novel Melayu. Kemerdekaan yang dicapai telah mengubah segalanya termasuklah bagi dunia penulisan, para penulis lebih bebas untuk melontarkan pendapat mereka tentang isu yang berlaku di sekeliling mereka. kita turut boleh melihat betapa novel memainkan peranan sebagai wadah bagi penulis untuk memaparkan kesusahan, kesulitan, penderitaan, dan kemiskinan penduduk di pedalaman dan di bandar di samping isu social yang berlegar.

Rujukan

Nota kuliah Novel Melayu

Kemunculan Novel dalam Sastera Moden Indonesia dan Malaysia: Satu Kajian Perbandingan oleh A. Wahab  Ali (2012)

Sastera Teras Negara Bangsa

Warna Sari: sastera Melayu moden


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alumni Persuratan Melayu UKM. Eksekutif Halal (diiktiraf Majlis Profesional Halal JAKIM). Membawa pembaca untuk menduga dunia fiksi Melayu moden yang sarat dengan liku dan penuh hikmah. Warga Kuala Lumpur yang berdarah asli Kelantan.

Comments are closed.