Dunia kecerdasan buatan (AI) dikejutkan dengan kemunculan DeepSeek, sebuah inovasi dari China yang kini menjadi perbualan hangat di seluruh dunia.
Dalam masa beberapa hari selepas dilancarkan, DeepSeek bukan sahaja menyaingi gergasi AI seperti OpenAI, tetapi turut menyebabkan kejatuhan nilai saham Nvidia sehingga USD 600 bilion, kejatuhan dalam tempoh satu hari terbesar dalam sejarah Wall Street.
Persoalannya, adakah ini petanda bahawa China akhirnya berjaya menyaingi dominasi teknologi AI Amerika Syarikat? Atau sekadar satu fenomena sementara?
[DeepSeek: Apa Yang Membuatkan Ia Berbeza?]
DeepSeek bukan sekadar chatbot biasa. Large Language Model (LLM) ini dikatakan mampu menandingi, malah dalam beberapa aspek mengatasi model yang dibangunkan oleh OpenAI seperti ChatGPT.
Namun, kejayaan sebenar DeepSeek bukan hanya terletak pada keupayaannya, tetapi bagaimana ia dibangunkan.
Kebanyakan AI maju di dunia memerlukan cip semikonduktor kelas atasan seperti yang dikeluarkan oleh Nvidia untuk berfungsi dengan optimum.
Namun, China kini berada dalam perang teknologi dengan Amerika Syarikat di mana sekatan eksport ke atas cip berprestasi tinggi telah menyukarkan syarikat China untuk mengakses teknologi ini.
Tetapi DeepSeek berjaya mencipta kejutan. Ia berjaya dibangunkan dengan kos yang jauh lebih rendah (sekitar USD 6 juta berbanding ratusan juta oleh OpenAI) dan mendakwa tidak menggunakan cip Nvidia kelas tertinggi.
Ini mencetuskan panik di pasaran saham kerana ia menafikan anggapan bahawa teknologi AI tercanggih hanya boleh dibina dengan cip paling mahal.
[Geopolitik AI: China Mengubah Peraturan Permainan]
Kejayaan DeepSeek membawa implikasi besar dalam geopolitik teknologi. Sejak sekian lama, Washington mengawal landskap teknologi dengan mengehadkan akses kepada cip dan teknologi strategik melalui sekatan eksport.
Mereka beranggapan bahawa sesiapa yang menguasai cip semikonduktor, menguasai perlumbaan AI.
Namun, DeepSeek menunjukkan bahawa kawalan ini boleh dielakkan dengan strategi yang bijak iaitu menggunakan sumber terbuka (open-source) dan teknologi yang lebih murah.
Jika kaedah ini terbukti berkesan, ia boleh membuka jalan kepada negara-negara lain untuk membangunkan AI tanpa bergantung kepada teknologi Amerika Syarikat. Ini bermakna, dominasi AS dalam teknologi AI mungkin tidak lagi sekuat dahulu.
Dengan kejayaan ini, China bukan sahaja boleh mengecilkan jurang teknologi dengan AS, tetapi juga melemahkan pengaruh sekatan ekonomi dan teknologi yang dikenakan ke atasnya.
[Bagaimana Reaksi Dunia Terhadap DeepSeek?]
Kemunculan DeepSeek telah mencetuskan pelbagai reaksi di peringkat global, khususnya dalam kalangan pemimpin politik dan industri teknologi.
Di Amerika Syarikat, kejutan terbesar berlaku di pasaran saham apabila syarikat-syarikat teknologi mengalami kejatuhan drastik.
Saham Nvidia kehilangan nilai sebanyak USD 600 bilion dalam tempoh sehari, manakala syarikat-syarikat lain seperti Microsoft, Google dan Broadcom turut mengalami kerugian yang ketara.
Hal ini berpunca daripada kebimbangan bahawa DeepSeek telah membuktikan bahawa AI berkuasa tinggi boleh dibangunkan tanpa kebergantungan terhadap cip mahal dan eksklusif, sekali gus menggugat monopoli yang selama ini dipegang oleh syarikat-syarikat gergasi AS.
Di pihak kerajaan Amerika Syarikat, kehadiran DeepSeek dilihat sebagai ancaman terhadap dominasi AI mereka. Presiden Donald Trump menyifatkan kejayaan DeepSeek sebagai satu “wake-up call” bagi syarikat-syarikat AS untuk melipatgandakan usaha dalam pembangunan AI.
Sebagai tindak balas, kerajaan AS mengumumkan pelan bernilai USD 500 bilion untuk membangunkan infrastruktur AI dalam usaha memastikan mereka tidak ketinggalan dalam persaingan ini.
Washington juga sedang mempertimbangkan langkah-langkah sekatan baharu yang lebih ketat terhadap syarikat-syarikat China bagi menghalang perkembangan pesat AI negara itu.
Sementara itu, negara-negara sekutu Amerika Syarikat turut memantau perkembangan ini dengan penuh berhati-hati.
Misalnya, Australia telah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna DeepSeek memandangkan syarikat teknologi China sering dikaitkan dengan kawalan ketat oleh kerajaan Beijing.
Kebimbangan utama adalah mengenai potensi akses kerajaan China terhadap data peribadi pengguna di luar negara seperti yang pernah berlaku dalam kontroversi TikTok.
Beberapa negara lain juga dijangka akan mengenakan sekatan terhadap penggunaan DeepSeek terutama di kawasan yang sensitif terhadap isu keselamatan siber.
Di China pula, kejayaan DeepSeek diraikan sebagai satu kejayaan besar dalam industri teknologi negara itu.
Media tempatan menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti keupayaan China untuk berdikari dalam pembangunan AI dan sebagai kemenangan dalam persaingan teknologi dengan Amerika Syarikat.
Presiden Xi Jinping sebelum ini telah mengisytiharkan AI sebagai salah satu keutamaan negara dan kejayaan DeepSeek memberikan Beijing alasan yang kukuh untuk terus mempercepatkan pembangunan teknologi dalam negara tanpa bergantung kepada teknologi Barat.
Bagaimanapun, tidak semua pihak di China bersikap optimistik terhadap kejayaan DeepSeek. Beberapa penganalisis berpendapat bahawa model AI ini masih bergantung kepada cip Nvidia yang diperoleh sebelum sekatan eksport AS dikuatkuasakan.
Ini menimbulkan persoalan sama ada kejayaan DeepSeek benar-benar bebas daripada teknologi Barat atau sekadar memanfaatkan sumber yang telah dikumpulkan lebih awal.
Jika DeepSeek masih memerlukan cip AS untuk beroperasi pada tahap tertinggi, maka sekatan lebih ketat pada masa depan mungkin akan menghalang perkembangannya.
[Siapa Liang Wenfeng? Genius Di Sebalik DeepSeek]
Pengasas DeepSeek, Liang Wenfeng kini menjadi bintang dalam dunia AI. Beliau bukan berasal dari latar belakang tradisional Silicon Valley, sebaliknya mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan sebagai pengasas hedge fund High-Flyer.
Pada tahun 2021, beliau mula mengumpulkan ribuan cip Nvidia sebelum sekatan AS berkuat kuasa, satu langkah strategik yang akhirnya membantu pembangunan DeepSeek.
Bagi Liang, China perlu berhenti sekadar menjadi “pengikut” dalam AI dan mula menjadi “pemimpin”.
Namun, ada persoalan yang masih belum terjawab. Sejauh mana DeepSeek benar-benar bebas daripada cip dan teknologi Barat? Atau adakah kejayaannya hasil daripada stok cip Nvidia yang telah dikumpulkan lebih awal?
Ini masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati industri.
[Deepseek Takut Nak Bersuara?]
Satu perkara yang tak boleh dinafikan ialah DeepSeek beroperasi dalam sistem yang dikawal ketat oleh kerajaan China terutama dalam isu-isu sensitif politik dan sejarah.
Meskipun AI ni mampu berikan jawapan tepat dalam pelbagai bidang seperti matematik, sains, dan teknologi, ia didapati menapis atau mengelak daripada menjawab soalan mengenai topik kontroversi yang dianggap sensitif oleh kerajaan China.
Persoalannya, adakah ini kelemahan DeepSeek dalam menyaingi ChatGPT atau strategi Beijing dalam mengawal naratif global AI?
Tidak seperti ChatGPT dan AI Barat lain yang memberi kebebasan kepada pengguna untuk bertanya pelbagai jenis soalan, DeepSeek mempunyai batasan yang sangat jelas.
Ia menolak untuk menjawab soalan berkaitan beberapa topik utama yang sering menjadi bahan sekatan dalam negara China.
Antara soalan yang gagal dijawab oleh DeepSeek termasuk:
“Apa yang berlaku pada 4 Jun 1989 di Tiananmen Square?”
“Kenapa Xi Jinping sering dikaitkan dengan Winnie-the-Pooh?”
“Apa yang berlaku kepada Hu Jintao pada tahun 2022?”
“Apa itu Umbrella Revolution?”
Bagi soalan-soalan ini, DeepSeek memberikan jawapan standard, “Maaf, itu di luar skop saya. Mari kita bincangkan perkara lain.”
Sebaliknya, ChatGPT dan Gemini (Google AI) memberikan jawapan yang lebih terbuka.
Misalnya, ChatGPT memberikan konteks sejarah tentang Tragedi Tiananmen Square 1989, di mana ribuan pelajar dan rakyat China berkumpul untuk menuntut reformasi politik sebelum tentera dihantar untuk menyuraikan protes dengan keganasan.
DeepSeek langsung tidak membenarkan perbincangan mengenainya, mencerminkan sekatan maklumat yang dikenakan oleh kerajaan China terhadap rakyatnya sendiri dan dunia luar.
Selain itu, ketika ditanya tentang status Taiwan, DeepSeek dengan tegas menyatakan bahawa “Taiwan adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba dan sebarang usaha untuk memisahkannya akan gagal.” Ini selaras dengan dasar “One-China Policy” yang dipegang oleh kerajaan China.
Sebaliknya, ChatGPT memberikan jawapan yang lebih seimbang dengan menerangkan perspektif kedua-dua pihak melalui pandangan China serta hujah Taiwan yang melihat dirinya sebagai sebuah negara merdeka secara de facto.
Namun, netizen menemui cara untuk “menipu” sistem ini dengan menggunakan leetspeak, yang kadangkala memaksa DeepSeek untuk memberikan maklumat yang disekat.
[DeepSeek vs OpenAI, Siapa Akan Menang?]
Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada DeepSeek akan benar-benar mengatasi ChatGPT dan AI Barat lain dalam jangka masa panjang. Tetapi, apa yang pasti, kejayaan ini telah mengubah landskap AI dunia.
Jika DeepSeek mampu berkembang lebih jauh tanpa bergantung kepada teknologi AS, ia boleh membuka era baharu dalam pembangunan AI yang lebih inklusif dan mampu milik.
Namun, jika didapati ia masih bergantung kepada teknologi AS (seperti cip Nvidia), maka pengaruh Washington dalam AI masih belum dapat digugat sepenuhnya.
Apapun, perlumbaan AI antara AS dan China kini memasuki fasa yang lebih sengit dan dunia hanya boleh menunggu serta melihat siapa yang akan mendominasi teknologi masa depan.
___
Dulu, China kuasai dunia dengan Jalan Sutera. Kini, ia bangkit semula dengan AI seperti DeepSeek! Adakah naga sudah terjaga?
Nak faham keagungan tamadun China? KITAB TAMADUN CINA ada jawapannya! Dapatkan segera sempena Jualan Tahun Baru Cina!
https://s.shopee.com.my/AUecfOGpBh
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih