Penulis berbesar hati untuk menceritakan tentang seorang tokoh yang namanya sangat besar dalam persilatan Melayu di negara kita.
Tidak keterlaluan kiranya jika dikatakan peranan beliau dalam persilatan telah mencipta satu kebangkitan dikalangan masyarakat Melayu pada era 70an. Dan legasi peninggalan beliau masih diteruskan hingga sekarang.
Liku-liku perjuangan beliau dalam memartabatkan seni silat di Malaysia perlu dijadikan contoh dan tauladan agar generasi sekarang menghargai perjuangan beliau serta tokoh-tokoh yang lain.
Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Md. Hashim
Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Md. Hashim merupakan pengasas kepada perguruan Silat Seni Gayong. Beliau dilahirkan di Kampung Lake Garden Taiping pada 21 Ogos 1915 dan berketurunan Raja Bugis iaitu Daeng Kuning 7 bersaudara yang berhijrah ke Tanah Melayu.
Almarhum Dato’ Meor mula diajar silat oleh datuknya Syed Zainal Abidin Al Attas pada umur 12 tahun bersama dengan 40 orang rakan. Syed Zainal atau Tok Jenai merupakan pendekar Pahang yang terkenal menentang penjajah Inggeris bersama Allahyarham Mat Kilau dan Dato’ Bahaman. Tok Jenai kemudian berundur lalu tinggal di Taiping.
Setelah menamatkan pelajaran silat dari datuknya, beliau mula keluar merantau bagi mencari pengalaman baru. Almarhum Dato’ Meor terkenal sebagai seorang yang suka merantau. Beliau mula merantau ke Kedah ketika usianya 19 tahun dan menetap di rumah kakanya.
Ketika di perantauan banyak pengalaman baru yang beliau tempuhi. Ketika itu jugalah beliau dikhatamkan ilmu persiltannya oleh ‘orang ghaib’.
Peristiwa pengkhataman ini berlaku pada tahun 1936 ketika beliau keluar memburu bersama rakan di sebuah hutan wilayah Selatan Thailand.
Ketika kejadian beliau telah terpisah dari rakan-rakanya. Akibat keletihan beliau berehat dan tertidur di atas sebuah batu hampar besar berwarna hitam.
Beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang tua yang berpakaian hulubalang Melayu zaman dahulu. Dalam keadaan separa sedar beliau diajar dengan ilmu rahsia pendekar zahir dan batin. ‘Orang ghaib’ itu turut mengarahkan supaya Dato’ Meor mengadap Sultan yang memerintah negeri kelahirannya.
Selepas peristiwa itu Dato’ Meor telah kembali ke Taiping dan mengadap Sultan Perak seperti yang diamanatkan oleh ‘orang ghaib’ berkenaan. Dato’ Meor menghadap Sultan Perak Sultan Alang Iskandar di Istana Bukit Chandan untuk menyembah taat setia pada Sultan Perak.
Di Istana Bukit Chandan, Dato’ Meor mempersembahkan silatnya. Melihat kehebatan ilmu persilatan beliau, Sultan Perak berpuas hati dan berkenan untuk memberikan gelaran “Orang Sendo Perak” yang membawa maksud Orang Kuat Perak.
Sultan Perak kemudian berkenan mengambil Dato’ Meor sebagai anak angkat dan tinggal di Istana Bukit Chandan. Namun pada tahun 1938 Sultan Alang Iskandar telah mangkat dan Dato’ Meor balik semula ke kampung halamannya di Taiping.
Penghijrahan Dato’ Meor Ke Singapura
Pada tahun 1939 Dato’ Meor berhijrah ke Singapura untuk bekerja. Beliau bekerja di Navy Base sebagai mekanik sebelum bekerja di Gilman Barrack sebagai guru Kombat (Combat Instructor) untuk ahli-ahli Signal Corps British. Menjadikan Dato’ Meor orang Melayu pertama sebagai jurulatih kombat untuk Signal Corps.
Pada tahun 1942 berlakunya penaklukan Jepun di Singapura, Dato’ Meor diarahkan untuk meninggalkan Singapura dan berpindah ke Pulau Sudong. Mereka menetap di sana setelah diterima oleh penduduk tempatan.
Pulau Sudong merupakan sebuah pulau karang yang cuma berkeluasan 209 hektar dan ada perkampungan orang Melayu ketika tu. Kini Pulau Sudong telah dimiliki oleh Tentera Singapura kerana pulau ni sebahagian dari perairan Singapura.
Ketika di Pulau Sudong telah berlaku satu peristiwa penting dan bersejarah. Setelah seminggu Dato’ Meor dan keluarga tinggal di sana, mereka telah mendapat berita yang Tentera Jepun akan berlabuh di Pulau Sudong.
Orang kampung pulau tersebut mula bimbang dengan kehadiran tentera Jepun Mereka risaukan keselamatan terutama wanita dan kanak-kanak. Dato’ Meor diberi kepercayaan untuk melindungi pulau tersebut dan beliau bersetuju namun dengan syarat orang Pulau Sudong mesti kena masuk gayong.
Pada pagi 17 Februari 1942 ketika di rumah Penghulu Pulau Sudong, Dato’ Meor telah memperlimaukan 7 orang pemuda Pulau Sudong dan secara tak langsung mereka adalah orang terawal sebagai ahli Gayong.
Dato’ Meor telah merancang strategi. Beliau mengarahkan supaya semua wanita dan anak dara berlindung di rumahnya yang dah dibacakan doa dan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Rumah-rumah digeledah, dan ketika tiba di rumah Dato’ Meor alangkah terkejutnya tentera Jepun tu bila melihat perempuan-perempuan dalam rumah itu betukar menjadi hodoh dan buruk. Bertempiaran lari tentera Jepun meninggalkan Pulau Sudong.
Merebaknya Seni Silat Gayong ke Studio Jalan Ampas hingga ke Tanah Melayu
Pada tahun 1947 Dato’ Meor dan keluarganya telah kembali ke Singapura dan dipelawa bekerja di Malayan Secret Service. Tidak lama kemudian beliau telah bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah sebagai “mata-mata gelap” berpangkat sarjan.
Pada 23 Disember 1947, Dato’ Meor dikurniakan Pingat Keberanian oleh King George VI atas keberanian beliau menentang penjajahan Jepun dan juga jasa beliau ketika jadi jurulatih kombat untuk Signal Corps British.
(Nota: Penulis melihat sendiri watikah dari King George IV tetapi tidak dapat disiarkan atas permintaan Cikgu Sazali)
Pada tahun 1955 Silat Seni Gayong telah berkembang ke sekitar Singapura hingga ke Studio Jalan Ampas. Antara yang belajar Gayong adalah selebriti terkenal ketika itu seperti Nordin Ahmad dan Kasma Booty. Kasma Booty merupakan wanita pertama yang diuji berjalan atas bara api dan tangan dikelar dengan pisau.
Pada tahun 1961, Dato’ Meor telah bersara daripada polis. Sejak bersara, beliau menumpukan sepenuhnya pada pengembangan Silat Seni Gayong. Sebelum itu pada tahun 1959 Dato’ Onn Jaafar telah melamar diri untuk jadi ahli Gayong.
Dato’ Onn telah dilantik oleh Dato’ Meor sebagai Penasihat dan Waris Beradat Gayong. Dato’ Onn pula bertanggungjawab dalam merangka perlembagaan Gayong kerana Dato’ Onn ingin mendaftarkan Silat Seni Gayong di ROS sebagai sebuah pertubuhan.
Pada 22 Oktober 1963 ROS telah meluluskan pendaftaran Silat Seni Gayong sebagai sebuah pertubuhan yang kita kenal sekarang Iaitu Pertubuhan Silat Seni Gayong dengan nombor pendaftaran 361. Sejak itu Silat Seni Gayong bergerak sebagai sebuah pertubuhan, aktiviti Pertubuhan ini dapat berjalan secara sistematik dan secara tak lansung dapat berkembang pesat.
Dato’ Meor tidak berhasrat bawa Gayong ke Kedah bagi menghormati ramai Pendekar yang handal di Kedah
Sejak tahun 1957 lagi Tengku Kassim, Tengku Laksamana Kedah datang berjumpa dengan Dato’ Meor di Singapura bagi membawa Silat Gayong ke Kedah. Tetapi beliau menolak demi menghormati para Pendekar yang handal-handal di Kedah.
Begitulah sifat seorang pendekar. Saling hormat-menghormati namun titah Sultan juga perlu dijunjung. Beliau kemudian membawa rombongan seramai 43 orang dari Singapura ke Kedah bagi mempersembahkan Silat Seni Gayong pada Sultan Kedah di Sultan Abdul Hamid Sport Club.
Sejak diluluskan oleh ROS pada 1963 Dato’ Meor kemudian membawa Gayong ke Kedah. Mesyuarat Agong diadakan di Gurun Kedah dan Dato’ Meor sebagai Yang Di Pertua manakala abangnya Meor Abdul Aziz sebagai Naib Yang Di Pertua.
Pada tahun 1964 Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong berpindah dari Woodlands, Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah. Tetapi, upacara adat istiadat akan dijalankan di Ayer Kuning, Taiping. Pada tahun itu juga Gayong Perdana yang pertama telah diadakan di Stadium Darul Aman Alor Setar dan dirasmikan oleh Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Syah.
Pada tahun 1969 Dato’ Meor telah menetap di Ayer Kuning Taiping, ibarat “Sirih Pulang Ke Gangang”. Silat Seni Gayong semakin berkembang hingga ke Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Di Selangor Datuk Harun Hj Idris telah di angkat menjadi Imam Khalifah Selangor dan Dewan Belia Kampung Pandan menjadi pusat latihan Gayong yang terawal di Selangor.
Silat Seni Gayong diperkenalkan pada ATM sebagai Tempur Tanpa Senjata (TTS)
Pada tahun 1970 Balai Adat Pertubuhan Silat Seni Gayong (PSSGM) telah dibentuk di Ayer Kuning Perak. Setahun kemudian Balai Adat dan Pusat Latihan Tertinggi PSSGM dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Shah. Baginda bersetuju menjadi Penaung Agung Silat Seni Gayong Malaysia. Sultan Perak pernah bertitah:
”Silat Seni Gayong yang sentiasa berdiri tegak bersedia menghadapi sebarang cabaran. Beta berasa amat sukacita juga yang mana rakyat beta di negeri Perak khasnya dan rakyat Gayong keseluruhannya telah ditumpahkan oleh Mahaguru Silat Seni Gayong.”- Titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak selaku Penaung Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Atas jasa dan tokoh kepahlawanan Dato’ Meor telah dianugerahkan darjah kebesaran Dato’ Paduka Chura Simanjakini(DPCM) oleh Sultan Perak (membawa gelaran Dato’) dan Dato’ Meor pula menggelarkan Sultan Perak, Sultan Idris Syah dengan gelaran Sang Sapurba Negara.
Pada tahun yang sama juga Silat Seni Gayong telah diperkenalkan pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai tempur tanpa senjata.
“Di antara kebanyakan seni-seni mempertahankan diri ini, Angkatan Tentera telah memilih untuk mengakui dengan rasminya Silat Seni Gayong ini. Ajaran silat tanpa menggunakan senjata ini adalah difikirkan sangat penting dalam Angkatan Tentera” – Ketua Turus Tentera Darat Tan Sri Dato Ungku Nazaruddin.
Legasi Silat Seni Gayong
“Gayong juga bersendikan seni dan adat, adat di utamakan. daripada senilah kita akan memusnahkan musuh, apa itu Gayong iaitu Ga Alif Ya Wau Nga, genggam, angkat, yakin, waras, ngeri. Seni juga salah satu bisa dalam permainan Gayong kerana pukulan, sauk, tangkap-menangkap lompatan dari senilah kita akan dapat pelajaran Silat Seni Gayong” – Cikgu Sazali Dato Meor Abdul Rahman.
Cikgu Sazali adalah anak kepada Dato’ Meor Abdul Rahman, beliau adalah Pemegang Waris Amanah Mutlak Silat Seni Gayong selepas kakaknya Cikgu Siti Kalsom. Cikgu Sazali masih bergiat aktif dalam Pertubuhan Silat Seni Gayong selepas Dato’ Meor Abdul Rahman kembali ke Rahmatullah pada Jun 1991 akibat sakit tua.
Jasa dan pengorbanan Dato’ Meor Abdul Rahman harus dikenang. Beliau menjalani hidup sebagai seorang pendekar dengan cekal dan tabah sehingga Silat Seni Gayong berkembang ke serata dunia. Begitu juga Anak Gayong yang terkenal dengan disiplin yang tinggi dan sangat merendah diri.
“Pecah Gayong Di Dalam Dulang, Dulang Hanyut Di Lautan Tujuh, Pecah Gayong Perpecahan Sayang, Di satu Masa Kembali Berteguh”- Almarhum Dato’ Meor Abdul Rahman.
(Nota; Selain rujukan di internet, artikel ni merujuk nasihat dari Cikgu Sazali)
RUJUKAN:
Cikgu Sazali Dato Meor Abdul Rahman
Wisma Sendo Perak
Rujukan Gambar:
http://onnjadi.tripod.com/biografimahaguru.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih