NAMANYA tidaklah se-gah Kerajaan Kutai yang menjadi sumber rujukan ketamadunan masyarakat Dayak di Borneo kerana ia merupakan kerajaan kuno terawal yang diasaskan oleh mereka suatu waktu dahulu. Manakala kewujudan satu kerajaan yang diberikan nama Kerajaan Sekadau yang diasaskan oleh suku Dayak Mualang pula adalah sekitar awal abad ke 16 Masihi iaitu lokasinya terletak di Kabupaten Sekadau, Provinsi Kalimantan Barat, Borneo.

Bermulanya cerita mengenai kewujudan Kerajaan Sekadau adalah suatu waktu dahulu pernah ada satu rombongan yang diketuai oleh Dara Nante dan Singa Patih Barbai di Borneo.  Pada waktu itu rombongan tersebut sedang di dalam pencarian satu tanah suci masyarakat Dayak yang dinamakan Tampung Juah.  Dipercayai di Tampung Juah inilah kebanyakan daripada masyarakat Dayak yang bertaburan di Borneo berasal.  Dan dinyatakan salah seorang daripada ahli rombongan tersebut yang diketuai oleh Patih Bangi telah berpecah dari rombongan asalnya lantas membuka satu kawasan baru yang dinamakan Sekadau dan mendirikan kerajaannya sendiri.

Berdasarkan kepada penceritaan masyarakat setempat yang ada sekarang amat mempercayai bahawa wilayah Sekadau yang dikenali sekarang di Kalimantan Barat dibuka oleh Patih Bangi dan pengikutnya.  Dan menurut mereka terdapat dua versi penceritaan bagaimana Sekadau itu mendapat namanya. Jika kita menggodek dokumen sejarah lama ada menyatakan bahawa Sekadau itu mendapat nama dari sejenis pohon yang tumbuh meliar di sungai. Masyarakat tempatan menggelar pohon tersebut sebagai Batang Adau. Dek kerana lidah penutur masyarakat tempatan pada waktu itu daripada Batang Adau lama-lama ianya dikenali dengan nama Sekadau.

Untuk versi kedua bagaimana Sekadau mendapat nama adalah merujuk kepada satu cerita lagenda yang menjadi sastera lisan suku Dayak Mualang yang mana ianya ada kena mengena dengan tabiat Patih Bangi dan rombongannya tatkala menemui satu kawasan baru yang subur dan baik untuk dibuka sebagai satu penempatan kekal.  Dan setiap kali mereka menemuinya kawasan yang sesuai maka secara beramai-ramai mereka akan melaungkan satu perkataan iaitu “Baru Adau” yang bermaksud baru melihat di dalam bahasa standard.  Akhirnya kerana sering diulang-ulang sebutan dan pengaruh lidah penutur pada waktu itu dari “Baru Adau” menjadi “Sekadau”.

Kerajaan Sekadau Dibawah Pengaruh Hindu

Tiada bezanya cerita sejarah Kerajaan Sekadau dengan mana-mana kerajaan kuno yang pernah wujud di Borneo suatu waktu dahulu.  Ini kerana di awal penubuhannya sudah tentu mempunyai pengaruh Hindu di dalam sistem pemerintahannya dan begitulah juga Kerajaan Sekadau yang diasaskan oleh Patih Bangi yang meneruskan perjalanan ke hulu Sungai Kapuas sehingga membuka satu penempatan Dayak Mualang yang akhirnya mampu membina ketamadunan dengan sistem kerajaan yang unik.

Pengaruh keperibadian Patih Bangi yang digambarkan sebagai seorang jejaka tegap, tangkas bermain senjata serta tegas di dalam menentukan halatuju kerajaannya menyaksikan kerajaan dayak mualang ini amat digeruni oleh banyak kerajaan kuno yang pernah wujud di Borneo pada waktu itu.  Ketangkasannya mengetuai perang-perang perluasan wilayah atau perang kayau serta kecekapan dirinya bertingkah dengan senjata menjadi satu ingauan ngeri bagi ramai pahlawan dayak dari penempatan yang lain. Dari hanya sebuah desa akhirnya Sekadau telah mula melebarkan sayap perluasan wilayahnya sehingga mampu berdiri menjadi sebuah kerajaan dayak yang kuat pada masa itu.

Tatkala Patih Bangi meninggal dunia yang mana diceritakan kematiannya penuh tragis iaitu termakan racun oleh musuh di dalam selimut di dalam kerajaannya sendiri menyaksikan puteranya yang bernama Cuat dinaikkan menjadi pemerintah Sekadau.  Beliau memerintah dari tahun 1530 hingga 1550 yang kemudiannya diwarisi kepada Nang Manlang (1550-1570) dan seterusnya kepada Nang Lukis dari tahun 1570 sehingga ke tahun 1600 masihi.

 

Sekitar tahun 1600 Masihi, Kerajaan Sekadau diketuai oleh putera Nang Lukis yang bernama Abang Budang.  Pada waktu itu dikatakan sudah ada bibit-bibit perpecahan di dalam Kerajaan Sekadau atas banyak hal lebih-lebih lagi perebutan kuasa antara keluarga pemerintahnya.  Abang Budang tidaklah se gah pemerintah sebelumnya yang mampu meluaskan kuasa Sekadau kerana banyak usahanya tertumpu di dalam negeri lebih-lebih lagi memantapkan lagi keamanan dan politik keluarganya sendiri.

Kerajaan Sekadau Sebagai Kerajaan Islam

Kegemilangan Kerajaan Sekadau sebagai sebuah kerajaan yang gah dan makmur adalah ketika ia dibawah pemerintahan Pangeran Engkong.  Dan dinyatakan pada ketika itu sinar Islam sedang menyelinap di seluruh pelusuk bumi Borneo maka tidak terkecuali ke atas kerajaan ini apabila rajanya, Pangeran Engkong turut memeluk Islam.  Walaupun sudah mengamalkan ajaran-ajaran Islam di dalam sistem pemerintahannya dikatakan Kerajaan Sekadau tetap menghormati apa jua agama yang diamalkan oleh rakyatnya.  Malah mereka bebas untuk menjalankan upacara ritual mereka mengikut anutan kaharingan dan sebagainya.  Dek kerana adanya pemuafakatan ini maka Kerajaan Sekadau begitu makmur dan sentosa dengan bertunjangkan rakyatnya dari pelbagai bangsa dan agama.

Diceritakan Pangeran Engkong ini dikurniakan dengan 3 orang putera dan seharusnya putera sulungnya iaitu Pangeran Agong yang layak untuk mewarisi raja Sekadau namun begitu sejak dari awal lagi Pangeran Engkong mengetahui bahawa putera keduanya iaitu Pangeran Kadar lebih bijak untuk memerintah Kerajaan Sekadau. Apabila ayahandanya Pangeran Engkong meninggal dunia yang ditabalkan menjadi Raja Sekadau adalah Pangeran Kadar dan ini menyebabkan Pangeran Agong merajuk membawa diri sehingga ke Lawang Kuwari. Di Lawang Kuwari dikatakan Pangeran Agong hidup sendiri dengan masyarakat pribumi yang lain.

Sebaliknya putera yang bongsu iaitu Pangeran Senarong telah diamanahkan oleh Pangeran Kadar untuk menjadi penguasa di wilayah Belitang iaitu salah satu tanah jajahan Kerajaan Sekadau pada ketika itu. Dan adik yang bongsu ini merupakan seorang adinda yang taat kepada kakandanya dengan lebih menumpukan kemajuan wilayah Belitang yang agak mundur ketika itu menjadi antara daerah yang paling banyak perhasilan uftinya bagi Kerajaan Sekadau suatu waktu dahulu.

Perginya Pangeran Kadar menyahut seruan ilahi telah membenarkan Kerajaan Sekadau mempunyai seorang raja yang baru iaitu anakanda Pangeran Kadar sendiri yang bernama Pangeran Suma. Diceritakan Pangeran Suma ini adalah seorang yang pandai ilmu agama Islam kerana sejak di zaman remaja lagi telah dihantar untuk mempelajari selok belok agama Islam di Kerajaan Mempawah. Apabila beliau memerintah beliau telah memindahkan lokasi Kerajaan Sekadau ke Sungai Bara dan disanalah beliau telah mendirikan Masjid Sekadau yang menjadi simbol keutuhan agama Islam di bumi Sekadau suatu waktu dahulu.

Raja Sekadau, “Raja Boneka” Koloni Belanda

Di ketika pemerintahan Pangeran Suma ini syiar Islam di bumi Sekadau telah banyak memakmurkan Kerajaan Sekadau dan sekitarnya. Pada ketika inilah Belanda yang pada asalnya datang ke Sekadau untuk berniaga akhirnya mencampuri urusan pemerintahan Kerajaan Sekadau. Apabila Abang Tondong yakni anakanda Pangeran Suma naik takhta dengan gelaran Sultan Anum sudah ada suara-suara sumbang daripada pemerintahan Belanda di Sekadau pada masa itu.

Dan ia semakin rumit apabila Abang Ipong dinaikkan menjadi raja Sekadau akibat campurtangan daripada Belanda walaupun Abang Ipong bukanlah berasal dari susur galor raja Sekadau. Ini kerana putera mahkota iaitu Abang Usman masih kecil. Abang Usman adalah putera hasil perkahwinan Pangeran Suma dengan seorang puteri ketua adat suku Dayak Sekadau yang amat dihormati. Kerana tidak mahu anakandanya yang masih kecil diapa-apakan maka dibawanya Abang Usman kembali ke kampungnya di Nanga Taman hidup seperti rakyat biasa.

Sementara raja Sekadau berikutnya adalah Gusti Mekah yang menggelar dirinya Panembahan Gusti Mekah Kesuma Negara. Kerana Gusti Mekah ini mempunyai salsilah sebenar raja Sekadau maka beliau tidak begitu menyukai campurtangan Belanda di dalam sistem pemerintahan Kerajaan Sekadau. Maka apabila anakandanya Panembahan Gusti Ahmad Sri Negara naik takhta ianya tidak diterima oleh Belanda. Pada ketika itulah Belanda telah memainkan taktik kotor dengan menangkap kesemua kaum keluarga Panembahan Gusti Mekah tidak kira lelaki dan perempuan, tua ataupun muda dan mereka kesemuanya diasingkan ke Malang, Jawa Timur atas tuduhan menghasut para pembesar dan rakyat Sekadau melawan Belanda di Sekadau.

Sebagai raja boneka Belanda, diangkat pula Panembahan Haji Gusti Abdullah yang bergelar Pangeran Mangku. Namun begitu ketika itu ianya bukan bercorak raja lagi di dalam sistem pemerintahannya sebaliknya ianya dituruntaraf oleh Belanda sebagai Penguasa Sekadau sahaja. Kemudian diangkat pula Panembahan Gusti Akhmad dan seterusnya Gusti Hamid. Kesemua mereka ini hanyalah “raja boneka” Belanda tanpa ada apa-apa kuasa pun terhadap Sekadau pada masa itu.

Raja Sekadau Dihukum Pancung

Di ketika Perang Dunia kedua meletus, Kerajaan Sekadau pada masa itu diperintah oleh Gusti Kelip.  Semangat nasionalisme Gusti Kelip begitu tebal seperti juga pemerintah kerajaan-kerajaan di bumi Borneo pada masa itu.  Biarpun di dalam jumlah askar yang sedikit tidak sekalipun Gusti Kelip gentar dengan tentera-tentera Jepun yang ramai.  Satu komplot perang gerila telah diusahakan oleh Gusti Kelip dengan didokongi oleh beberapa orang pembesar serta rakyat jelata yang menyokongnya.

Namun akibat daripada pelan perang gerila itu sudah dibocorkan oleh orang dalaman istana Sekadau akhirnya Jepun tanpa menunggu lama telah menghantar segerombolan askar ke istana Sekadau lantas membawa Gusti Kelip dan mereka yang mendokonginya ke satu tempat rahsia.  Mereka ditangkap dan akhirnya dihukum pancung oleh pemerintahan Jepun tanpa bicara dan pusara pun tidak bertanda.

Jepun yang cuba memainkan peranannya di Sekadau telah mengangkat Gusti Adnan iaitu seorang pembesar Kerajaan Sekadau sebagai Raja Sekadau. Gusti Adnan bukanlah orang asal Sekadau sebaliknya beliau adalah rakyat di wilayah Belitang yang dikuasai oleh Gusti Kolen. Setelah Jepun menyerah kalah, Sekadau kekal diperintah oleh Gusti Adnan dengan dibantu oleh Gusti Kolen sebagai

Kerajaan Sekadau Dibubarkan

Di ketika banyak kerajaan-kerajaan di Kalimantan, Borneo yang dimansuhkan sistem pemerintahan berajanya pada awal tahun 1949 kerana di ketika itu bagi membenarkan sebuah republik yang bernama Republik Indonesia ditubuhkan, Kerajaan Sekadau masih lagi utuh sebagai sebuah kerajaan bercorak raja. Sehinggalah pada awal Jun 1952, barulah Kerajaan Sekadau dibubarkan dan kekal sebagai sebuah wilayah Republik Indonesia yang dinamakan Kabupaten Sekadau, Kalimantan Barat sehinggalah sekarang.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Sejarah Kerajaan Sekadau

http://ace-informasibudaya.blogspot.com/2011/03/sejarah-kerajaan-sekadau.html

  1. Kesultanan Dan Kerajaan Di Indonesia

https://sultansinindonesieblog.wordpress.com/kalimantan-4/sekadau-kerajaan-kal-barat-kab-sekadau/

  1. Melihat Jantung Indonesia Di Kabupaten Sekadau

https://www.merdeka.com/peristiwa/melihat-jantung-indonesia-di-kabupaten-sekadau.html

  1. Keraton Sekadau

http://syawalcueexs.blogspot.com/2013/08/kerajaankeraton-sekadau.html

  1. Istana Kaca, Pantulan Kisah Cikal Bakal Sekadau

http://www.suarapemredkalbar.com/berita/sekadau/2016/02/08/istana-kaca-pantulan-kisah-cikal-bakal-sekadau-bagian-pertama

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.