Baru-baru ini ada seorang penceramah bebas memohon sumbangan orang ramai hanya untuk membina kubah masjid yang berharga hampir setengah jutaan ringgit. Hal itu mendapat begitu banyak reaksi daripada warganet ataupun nerakazen. Ada juga yang menentang atas dasar kos terlalu tinggi dan kubah sangat tidak praktikal dengan cuaca negara kita. Tapi ada juga yang menyokong penuh pembinaan kubah atas dasar itu adalah simbolisme Islam. Malah masjid tanpa kubah dianggap seperti wanita tanpa buah dada.
Persoalannya sekarang ini betul ke kubah itu adalah simbolisme Islam dan dari mana kubah berasal? Binaan berasaskan kubah ini sudah wujud sejak zaman prasejarah lagi. Hal ini dapat dibuktikan apabila binaan seumpama itu ditemukan di Mezhirich, Ukraine yang berusia setikar 19,280 – 11,700 sebelum masihi. Malah orang Thule di kawasan artik Kanada telah membina kubah menggunakan sejak 13,000 tahun sebelum masihi. Walau bagaimanapun, kubah yang wujud pada kebanyakan masjid hari ini berasal daripada seni bina Mesopotamia.
Kenapa tamadun Mesopotamia boleh terfikir nak bina kubah pula?
Tamadun Mesopotamia terletak di kawasan yang kekurangan kayu dan nak buat bumbung macam biasa memang sukar. Berbekalkan kearifan tempatan, orang Mesopotamia mula membina kubah sebagai atap bangunan mereka menggunakan bata dan lumpur. Kegunaan utama kubah pada ketika itu adalah untuk melindungi orang Mesopotamia daripada panas dan hujan.
Lama kelamaan, seni bina kubah ini mula diadaptasi oleh orang Parsi seawal era Empayar Achaemenid. Namun kubah hanya dibina menggunakan khemah untuk majlis-majlis khas sahaja dan tidak bersifat kekal. Apabila orang Parsi mula menubuhkan Empayar Sasanid barulah mereka membina kubah bersifat kekal melalui runtuhan istana Istana Ardashir dan Ghal’eh Dokhtar di Fars, Iran.
Bermula sejak itu, kubah menjadi antara seni bina rasmi orang Parsi biarpun mereka agak kerap bertukar empayar. Malah apabila empayar warisan Monggol mula bekerajaan di Parsi seperti Ilkhanate dan Timurid, mereka tetap beradaptasi dengan kubah untuk dijadikan sebagai atap bangunan. Walau bagaimanapun, kubah masih belum lagi disinonimkan dengan Islam biarpun Ilkhanate dan Timurid merupakan kerajaan Islam.
Tapi bilakah kubah menjadi seni bina Islam?
Semuanya bermula apabila leluhur Uthmaniyyah iaitu Seljuk mula mengadaptasi kubah sebagai atap masjid abad ke-11 sehingga abad ke-12 hasil pengaruh daripada Parsi. Buktinya, Masjid Alâeddin merupakan antara masjid berkubah terawal yang dibina oleh orang Turki. Menjelang abad ke-14 sehingga abad ke-15, orang Turki mula terdedah dengan kubah gaya Byzantine apabila Uthmaniyyah telah menakluk keseluruhan kota di sekitar Konstantinopel.
Setelah semua kota ditakluk terdapat beberapa gereja telah ditukarkan kepada masjid dengan mengekalkan seni bina asal dan sedikit pengubahsuaian. Buat pengetahuan semua, kubah telah wujud di Byzantine ataupun Rom semenjak abad pertama masihi. Buktinya beberapa binaan kubah orang Rom seperti Minerva Medica dan Pantheon dapat dilihat sehingga ke hari.
Kemasukan agama Kristian ke dalam empayar Rom telah membuatkan hampir keseluruhan gereja mula menerima kubah. Maka tidak pelik ketika era itu, anda akan ternampak bangunan berkubah yang milik lambang salib. Malah sehingga ke hari ini juga anda boleh melihat pemandangan seumpama itu terutamanya di Rusia.
Kemuncaknya adalah dengan penaklukan Konstantinopel dan pertukaran fungsi Aya Sophia kepada masjid, orang Turki telah mula membina masjid sendiri menggunakan kubah. Sebagai empayar Islam yang besar, tindak-tanduk Uthmaniyyah sentiasa menjadi ikutan kerajaan Islam lain walaupun cuba mengadaptasi kubah gereja ke dalam masjid. Bermula sejak itu pembinaan masjid berasaskan kubah gereja mula tersebar di setiap pelusuk dunia Islam.
Senang cerita, kubah yang kita anggap sebagai simbolisme Islam pada hari ini sebenarnya adalah atap gereja ketika era Byzantine.
Jawapannya adalah ya dan tidak.
Hal ini kerana kubah merupakan seni bina yang bersifat universal dan wujud dalam pelbagai tamadun. Bermula dari Red Indian di Amerika sehingga ke Tamadun China, kesemuanya miliki binaan kubah yang tersendiri.
Kesimpulannya, kita tidak boleh beranggapan kubah adalah hak milik Islam semata-mata sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk membinanya. Paling molek sekali, binalah masjid yang selesa dan sesuai dengan cuaca di sesebuah tempat.
RUJUKAN:
Bhattacherjee, S. (n.d). Evolution of domes in architecture. Rethinking The Future.
Gamm, N. (2014, Januari 11). The dome – symbol of power. Daily News.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih