Disebabkan berita tentang dunia selari (parallel universe) sedang hangat diperkatakan sehari dua ini walaupun sekadar hipotesis (tak jumpa bukti lagi seperti yang dicanang oleh media), mahu berkongsi bagaimana idea ini boleh muncul. Kenapa tiba-tiba ahli fizik boleh terfikir tentang idea dunia selari ini?
Dalam satu syarahan pada tahun 1952 di Dublin, Erwin Schrodinger pernah berseloroh idea yang dia bagi amaran awal-awal “kedengaran gila”. Beliau berkata persamaan gelombang Schrodinger yang membolehkannya menang Hadiah Nobel menggambarkan dunia yang banyak (multiverse).
Kalau kita biasa dengar persamaan Schrodinger, automatik kita akan teringat dengan mekanik kuantum. Apa kaitan mekanik kuantum dengan dunia selari dalam topik ini? Jadi, kita kena kenal dulu secara dasar konsep mekanik kuantum.
Fenomena kuantum amat pelik & unik. Ia hanya berlaku pada skala yang amat kecil. Katakanlah kucing dalam dunia kuantum. Kucing boleh mempunyai dua kewujudan, sama ada ia hidup ataupun mati. Tapi dalam dunia kuantum pelik sikit, kucing boleh hidup & mati dalam masa yang sama.
Dalam fizik, fenomena cahaya adalah yang paling popular. Cahaya boleh menjadi dua keadaan saja, sama ada ia bersifat gelombang ataupun bersifat zarah. Tetapi di peringkat kuantum, ia boleh jadi kedua-duanya sekali dalam masa sama sebelum dicerap.
Schrodinger pernah mengusulkan analogi bagi menggambarkan mengarutnya (absurd) dunia kuantum. Kalau kita letakkan kucing dalam sebuah kotak bersama sebotol racun, kita takkan tahu sama ada kucing itu mati ataupun hidup sebab botol racun kebarangkaliannya untuk pecah adalah 50/50.
Jadi, sebelum kotak dibuka, kita takkan tahu keadaan kucing tersebut. Jadi, mengikut teori kuantum, kucing itu berada dalam keadaan superposisi (superposition) iaitu mati dan hidup dalam masa yang sama selagi mana kotak itu tidak dibuka untuk kita cerap.
Apabila kita cerap, keadaan kuantum (quantum state) akan runtuh – maksudnya fenomena kuantum sudah tidak berlaku lagi. Kita tahu sama ada kucing itu berada dalam keadaan hidup ataupun mati.
Jadi, apa kaitan dengan dunia selari dalam hal ini?
Akibat dunia kuantum merupakan dunia paling teras dan asas, ramai ahli fizik cuba nak tafsirkan realiti dunia kita berdasarkan dunia kuantum. Hakikat realiti sebenarnya macam mana? Kenapa boleh jadi banyak keadaan dalam satu masa? Jadi, pelbagai tafsiran dibuat oleh ahli fizik berkenaan hakikat realiti. Maka, muncullah pelbagai mazhab dan aliran berkenaan tafsiran dunia kuantum ini.
Mazhab atau tafsiran paling dominan ialah aliran Copenhagen yang dibangunkan oleh Neils Bohr dan Werner Heisenberg. Aliran ini ditentang oleh Albert Einstein kerana sukar untuk beliau menerima hakikat yang probabilistik.
Salah satu tafsiran tersebut ialah teori kewujudan dunia selari. Tafsiran ini diusulkan oleh Hugh Everett dalam tesis kedoktorannya.
Katakanlah, selepas kita cerap, kucing itu hidup. Itu keadaannya (state). Keadaan kucing yang mati itu telah melahirkan dunia baru. Dengan kata mudah, kita buka kotak, kita tengok kucing itu masih hidup. Jadi, kucing itu tidak mati di dunia kita. Tetapi ia mati di dunia lain. Dunia lain itu terbentuk selepas kita cerap ataupun buka kotak tersebut untuk melihat keadaan kucing tersebut.
Jadi, begitulah idea awal dalam dunia saintifik mengenai dunia selari. Kemudian, di masa-masa mendatang telah banyak teori dunia selari diusulkan.
1. Ada hipotesis mengusulkan bahawa, dunia selari itu wujud di alam semesta lain. Kita ada alam semesta kita sendiri yang mempunyai keluasan trilion tahun cahaya & alam ini bertebing. Di luar tebing itu ada alam semesta lain sama seperti alam kita. Mempunyai hukum fizik yang sama tetapi manifestasinya berbeza.
2. Ada juga hipotesis wujudnya dunia selari tetapi mempunyai pemalaran fizikal berbeza. Contohnya, pemalar Planck bernilai 6.62 × 10^-34, tidak boleh lebih, tidak boleh kurang, kalau tidak, alam ini akan hancur ataupun tidak wujud terus.
Tetapi wujudnya dunia selari lain yang mempunyai pemalar Planck berbeza. Mempunyai pemalar graviti semesta yang berbeza, mempunyai pemalar Boltzmann yang berbeza. Unik gila kan.
3. Ada juga hipotesis dunia selari itu ialah dunia matematik platonik. Idea ini asal usulnya daripada Plato tetapi dikembangkan oleh Max Tegmark. Hipotesis ini mengusulkan bahawa terdapat dunia matematik sempurna di luar sana yang memberikan pancaran kepada dunia kita. Wujudnya dunia kita kerana dunia matematik tersebut.
Dunia matematik itu lebih sempurna dan dunia fizikal hanyalah bayangan daripada dunia matematik tersebut.
4. Alam ini terlalu luas dan ada hipotesis menyatakan bahawa alam ini mungkin tidak terbatas (infinity) luasnya. Jadi, dalam jarak yang amat jauh, mungkin wujudnya Bumi seperti Bumi kita dan wujudnya anda di Bumi tersebut. Bumi ini mungkin ada banyak dan anda pun ada banyak!
5. Ada juga hipotesis kitaran abadi. Mungkin kita pernah hidup sebelum ini. Selepas itu kita mati, alam ini pun mati. Kemudian, berlaku lagi Big Bang, alam lahir semula. Kemudian, kitaran ini berulang lagi dan lagi. Kita mungkin tak pasti berapa banyak kali dah kita hidup dan mati. Konsep dunia selari ini amat pelik juga.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih