Ada apa dengan dapur pada zaman Mesir purba? Pernahkah anda terfikir bagaimanakah rupa keadaan dapur yang digunakan pada zaman Mesir purba? Dan bagaimana pula dengan makanan yang dihasilkan oleh masyarakat Mesir purba pada waktu itu? Marilah bersama-sama dengan saya untuk menyelusuri kembali rahsia di sebalik dapur masyarakat Mesir purba dan menyingkap corak pemakanan mereka pada zaman tersebut.

Struktur dapur Mesir purba

Masyarakat Mesir purba hidup di dalam rumah-rumah yang dibina daripada bata (mudbrick), di mana struktur setiap satu rumah berkenaan berbeza-beza mengikut status sosial mereka. Antara jenis rumah yang ditemui pada waktu itu adalah rumah dengan sembilan bilik dengan ruang tamu pada bahagian tengah dan bilik penyimpanan yang khusus untuk menyimpan bahan makanan.

Selain itu, terdapat juga rumah-rumah khusus yang dibina untuk buruh, pekerja, para artis dan tukang, yang mana kebanyakan rumah tersebut terdiri daripada ruangan resepsi (reception), bilik menunggu, tangga menuju ke bumbung, bilik tidur dan ruangan dapur. Malah, ada sesetengah daripada rumah tersebut turut mempunyai bilik di bawah tanah bagi tujuan penyimpanan makanan.

Bahagian dapur bagi rumah masyarakat Mesir purba ini kebiasaannya terletak pada bahagian belakang rumah di mana bahagian bumbungnya ditutup dengan menggunakan ranting pokok atau jerami bagi melindungi daripada panas matahari dan memudahkan pengaliran asap memasak. Bagi rumah yang berbentuk villa, ruangan dapurnya adalah secara sepenuhnya berada di bahagian luar rumah. Bilik simpanan gandum dan bijirin juga terletak hampir dengan kawasan dapur, yang mana kadangkala bilik ini berada pada bahagian bumbung dengan menaiki tangga.

Struktur asas bagi dapur Mesir purba ini biasanya mempunyai sebuah dapur atau pembakar (oven) yang diperbuat daripada tanah liat dan dua jenis batu untuk mengisar bijirin. Dua batu ini dinamakan rehy iaitu dua batu yang berat yang diletakkan di atas satu sama lain, yang mana batu yang paling atas mempunyai lubang pada bahagian tengahnya berfungsi untuk mengisar bijirin bagi menghasilkan tepung untuk roti. Pada suatu sudut yang lain di ruang dapur ini pula terdapat suatu besen atau bekas khas untuk menguli tepung doh. Ruangan dapur Mesir purba ini juga mempunyai periuk dan kuali untuk memasak serta bekas (tempayan) simpanan air.  

Peralatan memasak di dapur Mesir purba

Apa yang menarik mengenai masyarakat Mesir purba ini ialah mereka menggunakan tanah yang subur yang didapati pada tebing sungai Nil bagi menghasilkan barangan tembikar untuk keperluan asas mereka. Malah, yang paling utama adalah pembuatan tempayan atau tong daripada tanah liat yang berfungsi sebagai tempat penyimpanan cecair dan bahan makanan. Pelbagai jenis peralatan memasak dihasilkan sendiri, antaranya ialah periuk dengan dua pemegang untuk memasak, pinggan mangkuk, kuali, bakul untuk mengisi makanan serta pisau.

Pelbagai jenis tempayan pada zaman Mesir purba

Berdasarkan catatan sejarah dan tinggalan yang ditemui, didapati terdapat banyak perkakas tembikar yang dihasilkan oleh masyarakat pada waktu itu, dengan beberapa jenis bekas yang digunakan bagi pelbagai fungsi, malah terdapat juga gelas wain, cawan, goblet, jag berbeza untuk susu, bir dan wain serta bekas-bekas untuk simpanan bahan kosmetik dan ubat-ubatan. Bentuk-bentuk peralatan dan perkakasan yang dihasilkan juga sangat unik dan bentuk yang biasa ditemui ialah panjang dan tinggi.

Makanan dan minuman zaman Mesir purba

Sumber makanan pada zaman Mesir ini adalah pelbagai dan masyarakat pada waktu itu begitu bijak dalam memanfaatkan berbagai-bagai jenis ikan, sayur-sayuran, daging dan buah-buahan bagi menjadi makanan harian mereka. Diet ruji bagi kebanyakan orang Mesir purba tidak kira sama ada mereka daripada golongan kaya atau miskin ialah roti, yang diperbuat daripada pelbagai jenis bijirin. Manakala bir pula menjadi asas bagi minuman harian mereka.  

Tepung yang dihasilkan daripada pelbagai jenis bijirin ini akan dicampurkan dengan yis, garam, rempah, dan kadangkala bersama telur dan mentega bagi menghasilkan roti. Tepung ini dihasilkan untuk kegunaan harian dan masyarakat Mesir purba tidak menyimpannya. Roti yang dihasilkan ini boleh mengandungi sayur-sayuran atau buah-buahan seperti kurma dan madu untuk memaniskannya. Orang Mesir purba menggunakan istilah ta bagi roti asas yang mereka hasilkan dan ia biasanya dibuat di rumah-rumah persendirian. Kebanyakan roti pada zaman Mesir purba ini berbentuk nipis (seperti lempeng nipis) yang pada hari ini dipanggil sebagai roqaq atau kesra roheifa. Beberapa jenis roti yang dihasilkan pada zaman Mesir purba ialah:

  • t-hedj, iaitu roti putih berbentuk kon yang biasanya dibuat untuk upacara penyembahan atau pengorbanan
  • roti berbentuk separa bulat
  • roti berbentuk silinder yang menyerupai kek atau Swiss roll
  • roti lotus yang diperbuat daripada lotus

Kurma merupakan buah kebiasaan masyarakat Mesir purba dan buah-buahan lain yang ditemui pada waktu itu ialah anggur, delima, plum dan buah tin. Orang Mesir purba juga mahir dalam menghasilkan produk tenusu seperti keju dan mentega, malah mereka turut berkebolehan dalam menghasilkan ekstrak daripada minyak seperti bijan dan castor.

Makanan dan status sosial Mesir purba

Dalam hierarki masyarakat Mesir purba, jenis makanan yang diambil oleh setiap individu boleh menunjukkan status sosial mereka. Dalam hierarki paling bawah, iaitu golongan yang paling miskin, makanan ruji yang diambil oleh mereka ialah roti dan bir, serta beberapa jenis sayur-sayuran biasa yang mudah untuk mereka temui. Sekiranya mereka mengambil daging, itu biasanya kerana mereka mempunyai sebuah kebun haiwan kecil dan bukannya perladangan yang besar seperti golongan kaya.

Bagi golongan pertengahan atau dipanggil sebagai kelas pekerja yang terdiri daripada pekerja pembinaan dan buruh, makanan yang diambil oleh mereka adalah berbeza mengikut jenis pekerjaan yang mereka jalankan. Ia boleh terdiri daripada ikan dan daging, beberapa jenis sayuran, buah-buahan serta makanan asas iaitu roti dan bir. Bagi golongan yang berada pada hierarki paling atas, iaitu golongan kaya, mereka mempunyai banyak pilihan makanan yang boleh diambil, meliputi pelbagai jenis ikan, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, pelbagai jenis roti serta pai. Malah, minuman pilihan bagi golongan atasan ini ialah wain. Wain ini biasanya diperbuat daripada anggur, malah ada juga yang menghasilkannya daripada buah delima dan buah tin.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, masyarakat Mesir purba digambarkan sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai sistem dan struktur dapur yang lengkap dengan pelbagai peralatan yang digunakan bagi tujuan memasak. Makanan ruji mereka ialah roti, manakala minuman asas mereka ialah bir. Jenis makanan yang diambil adalah berbeza mengikut kelas sosial yang dimiliki dan setiap golongan mempunyai cara tersendiri dalam menikmati makanan mereka.

Rujukan

Civitello, L. (2008). Cuisine and Culture: A History of Food and People (Second Edi). New Jersey: John Wiley & Sons, Inc.

Hassan-Wassef, H. (2004). Food habits of the Egyptians: Newly emerging trends. Eastern Mediterranean Health Journal, 10(6), 1–18.

Magda, M., & Amr, H. (2010). The Pharaoh’s Kitchen: Recipes from Ancient Egypt’s Enduring Food Traditions (1st Edition). Cairo, Egypt: The American University in Cairo Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.