Damsyik, yang terletak di barat daya Syria merupakan salah sebuah bandar di dunia yang paling lama diduduki manusia. Bandar ini terletak di oasis padang pasir, tepatnya di anak-anak bukit kawasan timur banjaran Anti-Lebanon.
Selain itu, bandar Damsyik juga terletak hanya kira-kira 80km (49.7 batu) arah timur dari pantai timur Mediterranean. Kawasan ini dipercayai telah pun dihuni seawal milenium ke-7 Sebelum Masehi, walaupun penubuhan kota Damsyik berlaku pada suatu masa sekitar milenium ke-3SM.
SEBUTAN-SEBUTAN AWAL TENTANG DAMSYIK
Sejak ribuan tahun, Damsyik sentiasa menjadi rebutan dan dikuasai oleh pelbagai tamadun. Antaranya seperti tamadun Aramaean, Assyria, Achaemenid, Yunani, Nabatea, Rom, Umayyah, Mongol, Turk dan juga Perancis. Kebanyakan tamadun ini meninggalkan monumen-monumen yang masih boleh disaksikan sehingga ke hari ini.
Salah satu sebutan terawal yang memerihalkan bandar ini boleh didapati pada tablet atau inskripsi-inskripsi Ebla. Sejarahwan berpendapat bahawa kaum Amorites yang hidup pada kurun ke-18SM merujuk Damsyik sebagai Dimaski. Sebutan lain bagi kota itu turut ditemui di dalam Batu-Batu Bersurat Amarna di mana ia dipanggil sebagai Dimashqa. Nama Inggeris yang digunapakai pada hari ini iaitu Damascus pula diperkirakan mengambil sumber daripada sebutan versi Yunani.
Di antara kesemua monumen-monumen bersejarah yang wujud di Damsyik pada hari ini, antara yang paling menonjol adalah tinggalan daripada zaman Islam yang merupakan salah satu fasa paling terkemudian bagi kota Damsyik. Zaman ini bermula pada tahun 635M, tiga tahun selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad di mana pada waktu itu, Damsyik mula dikuasai oleh umat Islam. Damsyik kemudiannya meraih kegemilangan yang lebih tinggi pada tahun 661M apabila ia dijadikan sebagai ibu kota bagi pemerintahan Dinasti Umayyah yang baru sahaja ditubuhkan.
MONUMEN-MONUMEN BERSEJARAH DI DAMSYIK
Salah sebuah monumen bersejarah yang ditinggalkan oleh dinasti berkenaan adalah Masjid Jamek Umayyah, yang juga dikenali sebagai Masjid Jamek Damsyik. Masjid ini merupakan salah sebuah masjid paling besar di dunia. Di samping itu, masjid tersebut juga merupakan salah sebuah tapak penunaian solat yang paling tua buat umat Islam.
Sebelum terbinanya masjid ini, kawasan tersebut merupakan tapak kepada sebuah gereja Kristian yang didedikasikan kepada St. John the Baptist (Nabi Yahya dalam agama Islam). Hubungan antara tapak binaan dan insan keramatKristian itu dikekalkan oleh Umayyah, menerusi sebuah makam yang terletak di dalam masjid yang dikatakan menyimpan kepala mulia milik insan tersebut.
Walau bagaimanapun, gereja Kristian tersebut bukanlah binaan keramat pertama yang didirikan di tapak berkenaan. Sebenarnya, gereja itu sendiri diubah daripada sebuah kuil Rom yang didedikasikan kepada Dewa Jupiter. Kuil berkenaan didirikan semasa pemerintahan Maharaja Rom yang bernama Theodosius I.
Kesan runtuhan gerbang barat kuil Rom itu masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pun begitu, ia bukanlah satu-satunya kesan tinggalan dari zaman Rom. Antara tinggalan kurang-tampak lain yang diwariskan oleh tamadun Rom di bandar Dmasyik adalah pelan bandar.
Ketika bahagian barat Syria dikuasai oleh Rom hasil daripada usaha penaklukan yang dilakukan oleh Pompey, bandar Damsyik direka semula secara keseluruhan mengikut pelan binaan piawai bagi bandar-bandar Rom.
Hal ini boleh dikesan pada Bandar Lama Damsyik yang pelan binaannya masih mengekalkan bentuk segi empat tepat. Begitu juga dengan Decumanus (paksi atau menara timur-barat) dan juga Cardo (paksi atau menara utara-selatan). Ciri-ciri sebegini dianggap sebagai elemen utama bagi mana-mana bandar yang berada di bawah kekuasaan Rom.
KRISIS BESAR MELANDA DAMSYIK
Walaupun bukti-bukti sejarah berbentuk fizikal terawal yang ada pada bandar Damsyik berasal dari zaman Rom, bandar berkenaan dipercayai pernah dihuni oleh bangsa Yunani. Bandar ini dikuasai daripada Achaemenid oleh Alexander the Great. Selepas kemangkatan penakluk agung itu pada tahun 323SM, Damsyik menjadi titik konflik di antara Dinasti Seleucid dan Dinasti Ptolemy, yang kedua-duanya merupakan pengganti Alexander.
Walaupun bandar ini seringkali bertukar tangan di antara kedua-dua kuasa besar ini, kebudayaan Hellenistik masih kekal diamalkan oleh masyarakat tempatan. Pada tahun 85SM, tiba pula giliran tamadun Nabatea untuk mengambil alih kepemimpinan ke atas Damsyik sekaligus pengaruh Yunani pun berkurangan dengan pantas. Sejarahwan berpendapat bahawa terdapat sejumlah ketamadunan yang berkemungkinan pernah menduduki kawasan Damsyik sebelum zaman Achaemenid, antaranya seperti Empayar Neo-Babylonia di bawah pemerintahan Nebuchadnezzar, tamadun Assyria, dan juga Kerajaan Israel di bawah pemerintahan Raja Daud (King David).
Kini, bandar Damsyik mungkin menghadapi salah satu krisis paling besar sepanjang sejarah penubuhannya. Perang saudara di Syria yang terus berkecamuk bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat setempat, tetapi juga mengancam keselamatan monumen-monumen bersejarahnya. Seperti kebanyakan tapak-tapak purba di Syria yang lain, Damsyik juga menghadapi ancaman bahaya di masa kini.
Pada tahun 2013, UNESCO meletakkan Damsyik ke dalam Senarai Warisan Dunia Yang Diancam Bahaya. Diharapkan supaya kesemua monumen bersejarah yang berada di Damsyik dapat kekal terpelihara dan selamat dalam menghadapi krisis berkenaan – terus berdiri kukuh sebagai bukti kepada kekayaan sejarah bandar berkenaan.
DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:
Wu Mingren. (13 Januari 2016). Damascus: The Ancient City that was Fought Over by Numerous Civilizations is Facing its Biggest Crisis Today. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/damascus-ancient-city-was-fought-over-numerous-civilizations-facing-its-biggest-020698
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih