Dua tiga hari ini tular dengan satu resepi baru yang dimuatnaik di pelbagai media sosial, iaitu resepi kopi dalgona. Ya, ejaannya adalah dalgona, bukan dolgona, dogolna atau dolgano. Jadi, apa istimewanya kopi dalgona ini?

Artikel ini sebenarnya bukanlah ingin menceritakan tentang resepi tular kopi dalgona ini. Tetapi, artikel ini akan mengupas serba sedikit berkaitan dengan dalgona itu sendiri, iaitu sejenis gula-gula klasik Korea. Anda akan dibawa untuk mengenali sejarah dan cara pembuatan dalgona ini, dan apakah persamaannya dengan gula-gula tradisional dari negara yang lain.

Kisah dalgona

Nama dalgona ini sebenarnya datang daripada perkataan Dalgoona (달구나) yang membawa erti manis. Dalgona ini juga turut dikenali sebagai ppopgi, namun ada sedikit perbezaan dari segi bahan yang digunakan oleh kedua-duanya. Malah, dalgona terlebih dahulu popular dalam kalangan masyarakat berbanding ppopgi yang muncul selepasnya.

Dalgona adalah antara pemanis mulut yang dijual di jalanan, bersama-sama pemanis mulut yang lain seperti hotteok (호떡) iaitu penkek manis dan bungeo-ppang (붕어빵) iaitu roti/pastri berbentuk ikan. Setiap kali menjelangnya musim sejuk, pemanis mulut seperti hotteok dan dalgona ini menjadi antara makanan popular dan dijual di hampir setiap jalanan di Korea Selatan.

Dalgona boleh dianggap sebagai makanan yang dekat di hati rakyat Korea, makanan jiwa yang menjadi kenangan buat kebanyakan daripada rakyatnya. Suatu masa dahulu, dalgona sering dijual di jalanan, dengan kanak-kanak dan remaja akan berkumpul untuk membelinya dengan harga yang sangat murah.

Para penjual dalgona ini biasanya adalah pakcik-pakcik tua yang membuat sendiri dalgona di hadapan kanak-kanak yang mengerumuninya. Kanak-kanak gemar melihat prosesnya yang kelihatan ‘ajaib’ di mata mereka, yang mana gula yang kembang bersama serbuk penaik sewaktu memasaknya.

Asal-usul dalgona

Asal-usul dalgona ini sebenarnya tidak dapat dipastikan, namun ia dikatakan berasal dari Busan, pada sekitar tahun 60-an. Berbanding gula-gula karamel (toffee) dari negara yang lain, dalgona dari Korea ini mempunyai resepi yang cukup ringkas dan mudah untuk dibuat. Resepi asas bagi dalgona hanyalah menggunakan dua bahan sahaja, iaitu gula (atau blok glukosa) dan serbuk penaik (baking soda atau sodium bikarbonat).

Pada sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an, terdapat penjaja dalgona yang menjual kepingan gula-gula ini dengan mengenakan pelbagai cabaran menarik, dengan harga yang cukup rendah, iaitu di antara 50 hingga 100 won sahaja. Pelbagai bentuk dalgona, daripada bentuk hati, bintang dan banyak lagi bentuk lain dihasilkan bagi menarik perhatian pelanggan.

Kebiasaannya, penjaja akan mencabar pelanggan mereka yang kebanyakan terdiri daripada kanaka-kanak untuk memotong bentuk yang telah dihasilkan pada kepingan dalgona, dengan hanya menggunakan pin, tanpa merosakkannya. Ia semestinya bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi buat kanak-kanak yang masih muda. Namun, sebenarnya, cabaran inilah yang paling dinantikan oleh golongan kanak-kanak pada waktu itu.

Apa yang menariknya pada cabaran ini? Pada awal cabaran, ia menyeronokkan kerana lebihan kepingan dalgona yang dipotong itu boleh terus dimakan oleh kanak-kanak. Namun, dalam cuaca yang sejuk, dan tangan yang menggeletar, sudah pastilah usaha untuk memotong bentuk dalgona tersebut menjadi sedikit rumit, tambahan pula dalgona yang sejuk agak sukar untuk dipotong berbanding yang masih panas.

Sebagai hadiahnya, penjaja dalgona ini akan memberikan kepingan dalgona lain secara percuma, dan ada juga penjaja yang memberikan hadiah lain bergantung kepada kawasan ia dijual. Kegembiraan sebenar yang dinikmati oleh kanak-kanak ini bukanlah kerana hadiah yang diberikan, tetapi keseronokan berkumpul beramai-ramai di bawah payung penjaja dan sama-sama memotong dalgona.

Sentimen dan memori inilah yang menjadi kenangan istimewa bagi kanak-kanak yang membesar pada sekitar tahun 70-an hingga 80-an, dan sekaligus menjadikan dalgona antara gula-gula klasik kegemaran ramai. Meskipun begitu, bermula penghujung tahun 80-an dan seterusnya, dalgona ini perlahan-lahan semakin dilupakan atas pelbagai sebab seperti kualitinya yang rendah dan tahap kebersihan yang kurang dalam kalangan penjaja. Tambahan pula, ia bukanlah suatu makanan yang menyihatkan kerana 99 peratus bahannya adalah gula semata-mata.

Cara membuat dalgona

Seperti yang dinyatakan, bahan utama bagi dalgona ini hanyalah gula dan serbuk penaik sahaja. Kaedahnya mudah sahaja, iaitu:

  • Panaskan kuali dengan sedikit minyak
  • Letakkan satu sudu gula atau blok glukosa di atas senduk logam (ladle)
  • Cairkan gula tersebut sehingga menjadi karamel dan jernih
  • Masukkan serbuk penaik dan masakkan bersama gula karamel tersebut
  • Apabila ia mula kembang, pindahkan adunan gula ini ke atas permukaan/kepingan yang diletakkan sedikit minyak
  • Tekan adunan tersebut dengan menggunakan hotteok press (kepingan yang digunakan untuk membuat hotteok) untuk meratakannya
  • Sebelum ia menjadi sejuk, tekapkan acuan dengan bentuk yang anda sukai

Apa yang paling penting dalam proses penghasilan dalgona ini adalah pemilihan peralatan yang tepat, kerana untuk meratakan adunan gula yang masih panas bukanlah suatu proses yang mudah!

Peralatan membuat dalgona

Perbezaan dalgona dengan gula-gula lain

Secara asasnya, dalgona ini merupakan ahli keluarga kepada gula-gula karamel (toffee) yang sering kita temui di negara barat. Perbezaan utama antara dalgona dengan gula-gula dari negara lain hanyalah pada bahan utamanya sahaja. Di Amerika Syarikat contohnya, toffee yang terkenal di negara tersebut adalah English toffee, yang biasanya mengandungi badam di dalamnya, dengan dua versi iaitu keras dan boleh dikunyah.

Di United Kingdom pula, ia lebih dikenali sebagai butter crunch, manakala di Itali, ia dipanggil sebagai mou candies. Versi toffee yang diadun dengan menggunakan serbuk penaik ini merupakan rangkaian kepada konfeksi honeycomb (seperti dalgona), dan di United Kingdom serta Canada ia dikenali sebagai crunchie bar. Versi yang sama juga boleh ditemui di Australia, dengan nama violet crumble.

Kesimpulan

Pada hari ini, di Korea Selatan, dalgona masih dihasilkan, dan penjaja masih menjualnya. Namun, lokasinya para penjaja dalgona ini lebih banyak tertumpu kepada kawasan taman tema dan tempat tumpuan pelancong kerana tujuannya adalah untuk memperkenalkan gula-gula klasik ini kepada masyarakat luar.

Meskipun dalgona ini boleh dikategorikan sebagai suatu snek yang tidak menyihatkan dengan kandungan gula yang tinggi, namun bagi masyarakat Korea, mereka masih mahu mengenang dalgona sebagai suatu memori ketika zaman kanak-kanak mereka.  Memori tentang keseronokan dan kegembiraan ketika berkumpul beramai-ramai menanti dalgona panas mengikut bentuk yang mereka gemari.

RUJUKAN

Giandzi, M. (2020). Dalgona coffee is the new viral way to have instant coffee. Retrieved March 22, 2020, from https://www.msn.com/en- gb/foodanddrink/foodnews/dalgona-coffee-is- the-new-viral-way-to-have-instant-coffee/ar- BB11tdaw?li=AAJsMOW&srcref=rss

Jin Joo. (2018). Dalgona – Korean Sponge Candy Recipe. Retrieved March 22, 2020, from https://kimchimari.com/dalgona-sponge- candy-korean-street-food/

Namhee, C. (2017). Dalgona: An Entertaining , Wintery Snack from the Past. Retrieved March 21, 2020, from https://gwangjunewsgic.com/food- drink/korean-food/dalgona/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.